Halaman

Rabu, 18 Disember 2013

Bagaimana mendekati golongan LGBT? Perlukah?

Tajuk tak boleh blah kan. Ayat macam orang straight. Hahah. Setiap kali aku mendengar orang straight sebut LGBT, LGBT lalala, aku rasa nak gelak. Mungkin kerana orang-orang macam kita, rasa janggal nak sebut perkataan tu. Selalunya akan sebut PLU, kalau dikalangan kita senang sebut, budak senget gak. Bermaksud tidak straight.

Paling tak selesa bila ada sebut, normal dengan tak normal. Ahhh rasa macam makhluk asing. Memang macam wth sungguh.

Okay, aku, kau dan kita selalu salahkan orang-orang lurus atau dipanggil ahli-ahli syorga itu yang tak memahami kita, jadi apa sebenarnya yang kita nak mereka fahami? Apa yang nak mereka buat?

Apa? Apa?

Adakah sebenarnya tiada apa? Dan kita terus menyalak dinding bila rasa di salah fahami? Okay aku mahu respond kalian.

Terima kasih :)

Perlukah beb?

Islam semakin kompleks, pada yang naif

Beberapa hari yang lepas, aku terpana apabila seorang tokoh agama dikatakan wahabi. Aku mula mencari apa itu wahabi dan asal usul wahabi. Ditolak dengan aku baru menyedari penulis yang aku minati rupnanya membawa fahaman syiah.Tiba- tiba aku menjadi agak sedih dan gusar. Betapa ilmu agama memang tidak dapat disangkal memang penting. Aku memanglah tidak mampu buat masa ini mencapai ilmu-ilmu fiqh tasauf dan sebagainya. Masih lagi memperbaiki dan memperbaiki fardhu ain, dan syukur sentiasa suka membaca ilmu-ilmu yang aku tidak tahu untuk kategorikan apa.

Ya, benarlah dari 73 golongan hanya satu yang akan diterima.

Sebenarnya andai kau rajin membaca dan ada satu asas yang kukuh tentang Islam, tanpa sengaja apa sahaja fahaman yang lari dari fitrah kau akan merasa sukar untuk hadam. Macam ada sesuatu yang mengganggu fitrahmu. Namun tidak aku sangkal ada yang mempunyai asas yang kukuh pergi jauh menafikan hukum dan akhirnya terpesong juga. Pernah dengar seorang hafiz quran menjadi pengikut syiah yang setia?

Itu belum lagi kesedihanku menerima berita, rakan sepermainan ku terpampang wajahnya didada akhbar rentetan kes kematian pegawai JAIP yang ditembak oleh pengikut Tuhan Harun.

Ajaran-ajaran ini semakin kuat sedangkan ilmu dan amal semakin menipis!

Paling sedih, bila yang berilmu meletakkan ilmu tu mengikut fahaman logiknya. Dan sangat sedih kerana mereka memanipulasikan orang-orang yang naif dan sedang mencari. Itu pentingnya majlis ilmu. Berbincang dan tanyalah soalan-soalan bodoh, sekurang-kurangnya soalan itu akan menjadi pandai bila lepas tahap bodoh, yang sebenarnya tidak adapun istilah soalan bodoh.

Apa yang aku merepek agaknya?

Aku, aku sayangkan sahabat-sahabat rakan-rakan, aku tak sanggup melihat rakan-rakan  melihat kebatilan sebagai kebenaran. Sudahlah perjuangan dalam diri sendiri itu tidaklah mudah. Ini apabila melibatkan akidah, lebih musnahlah segalanya.




Isnin, 16 Disember 2013

Apa guna beragama?

"I dun get the purpose of living kalau rasa diri sinner sangat n sad n depress all the time"

Aku bukanlah orang yang mahir dalam agama, sungguh aku juga masih belajar dan ingatan aku agak mencabar dayanya. Namun pada beberapa hari yang lepas jujurnya, aku merasa gembira kerana diingatkan oleh sesuatu dari seorang rakan. Dan seorang rakan ini mempunyai satu isu dengan agama, dimana, moga dia diberi hidayah.



Benar, pagi ini juga aku mendengar pengisian dari radio dari Ustazah Norhafizah, tentang "Beban dosa". Apa yang aku fahami dari pengisian ini, memang kita manusia tak lepas dari dosa, setiap detik dengan apa-apa yang kita lakukan, kita yang lemah ni sentiasa tidak dapat lari dari dosa. Malah kalau mengikut pandangan ahli tasauf sedetik tidak mengingati Allah juga adalah dosa, dan itu logik. Kalau insan bercinta, kita akan jauh hati bila orangt yang kita cinta itu tak ingat pada kita, ya, Allah yang jadikan kita, apa tidak layakkah Allah murka andai kita tak mengingati dia?

Namun, kerana itu sebagai orang Islam juga, kita kena percaya sifat Ar Rahim yang dimiliki oleh Yang Maha Mencipta ini. Dan didalam Hadis Qudsi ada menyebut Allah ialah apa yang hambanya sangkakan (namun hadis ini perlu ditafsirkan dengan baik, dimana ia sebenarnya bermaksud kita harus yakin dengan sifat Allah yang sempurna dan mulia), Allah penerima taubat, Allah arrahim, dan Allah memerintahkan kita diantaranya ialah solat. Dalam pengisian yang disampaikan oleh Ustazah Norhafizah, solat itu sebenarnya adalah antara cara kita hamba Allah untuk memohon keampunan dari Allah. Tak cukup dengan doa-doa dan istighfar selepas solat, kita boleh juga melakukan solat-solat sunat mengikut yang disampaikan oleh Nabi Muhammad S.A.W


Benar, siapa kita untuk mengaku bebas dari dosa. Namun apakah manfaatnya penyesalan dosa yang membuatkan kita semakin jauh dari Allah? Sedangkan orang-orang yang yakin dengan janji Allah sepatutnya tenang dan redha?


Apa baiknya penyesalan dosa yang membawa kepada kekesalan tentang takdir? Dan lebih buruk lagi, penyesalan yang tidak membawa kita ke tikar sejadah pun? Hanya sekadar meroyan di FB dan juga pada insan-insan lain yang serba lemah.


Jadikan kesedihan dan penyesalan dosa itu membawa kita nak belajar ilmu, cinta dan suka dengan ilmu-ilmu agama dan membawa kita mula berdoa pada yang esa.


Aduh...MG kau bercakap dah macam ustazah ler pulok!


Lantak la apa nak kata, ini juga peringatan untuk aku.


Dan dalam pada itu, yang paling buruk, penyesalan itu hanya sementara, sedih hanya sementara dan kemudian jadi lali dan akur pada dosa, ia sekadar membawa makin jauh pada tuhan....ohhh tidak....jangan kami tergolong ke golongan itu....dan moga rakan-rakan dan kami akan tetap punya akhir yang baik dan jumpa di jannah.


Tidak, jangan sesekali dosa itu membuatkan kita lupa kita ini hamba Allah, yakni membawa penyesalan yang sangat panjang dan menjauhkan kita pada Yang Esa. Yakin ..Allah itu maha penerima taubat, sebaik-baik tempat pengampunan. Namun minta-mintalah kita ini bukanlah menjadi orang yang tidak punya sifat kehambaan, engkar berkali-kali dan akhirnya sekadar menipu taubat.


Namun siapalah aku. Allah tetap penerima taubat, walau setinggi lagit dan seluas lautan dosa itu..kerana itu setiap yang bukan Islam tidak semestinya kafir selamanya dan setiap yang ahli maksiat itu tidak semestinya bukan ahli syurga.


Dalam dunia ni, sebaik-baik anugerah adalah nikmat iman dan kalimah Lailahaillallah Muhammadurrasullullah. Bergembiralah dan pegang ia sebagai tanggungjawab (aduh..berat ni MG..kau yakin ke kau yang tulis entry ni?)


Sahabat kenyataan yang tidak tersangkal, mati juga kita tidak tahu bila..


ps: sejak- akhir ni, aku baru sedar, kadangkala isu seksualiti boleh membawa pada akidah. Dimana aku juga pernah satu ketika mahu membuang agama kerana letih mendengar hujah agama bahawa sesksualiti aku adalah terlarang dan sebagainya. Bila aku mula kembali, aku mula sedar betapa simpati aku pada rakan-rakan yang membenci agama dan akhirnya tidak nampak fungsi agama didalam hidup. Moga kami ditetapkan dijalan yang benar dan moga melihat kebenaran sebagai kebenaran serta mampu menyampaikan kebenaran yang benar kebenaran.




Sabtu, 30 November 2013

F Cinta platonik aku



Sedari kecil aku sering rapat dengan rakan-rakan PLU lelaki, kerana aku tak betah bersama lelaki-lelaki straight yang kasar dan kadangkala memandang aku sinis.

"Woi sedarlah kau tu pompuan, pergi balik lipat kain!"

Kau pernah dengar ni, masa kau masuk main bola, jadi goal keeper, masa tu aku rasa nak terajang-terajang dan pijak-pijak zakar lelaki lurus tu sampai hancur, sungguh.

Jadi, aku lebih gemar berkawan dengan rakan-rakan lelaki yang lembut. Dengan kawan perempuan pula, juga ada yang tak faham aku, diaorang sibuk bergosip tentang Back Streeet Boys la, apa jadah haram lagi. Masa tu, yang member-member yang pengkid pula, kerjanya cari gaduh saja, memekak sana sini (maaf realiti, ahh hormone testorane kita sedang memberontak waktu itu, zaman remaja, kalau tak pernah bertumbuk, ahh tak macho la!), tapi kadang-kadang aku ikut belakang juga. Tapi biasanya aku dengan dunia aku sendiri. Dan bersama rakan-rakan lelaki yang lembut, sering buat aku selamat.

Dan aku pula, umpama magnet pada rakan-rakan tidak straight ini. Sejak sekolah, hingga zaman kerja, akan ada yang menjadi side kick aku. Ya, hingga aku pernah berkahwin dengan salah seorang darinya.

Apa itu cinta platonik?

Cinta platonik adalah cinta tanpa nafsu, tanpa tarikan seksual. Kalau dalam dunia hetero, ianya adalah antara lelaki dan perempuan, dan bagi orang-orang hetero, ianya hampir mustahil. Namun bagi PLU, ini adalah cinta paling suci. Tanpa nafsu. Dan amat biasa terjadi.

Aku bertemu F, awal tahun ini, kalau tak silap aku. Dan bagai magnet, kami mula selalu bersama kesana-kemari, dan apatah lagi, dia tahu perjuangan aku dan dia juga sedang mencuba untuk berubah, jatuh bangun, dan aku berdoa moga dia akan terus berhijrah. Aku sangat sayang F. Sumpah. Dan ianya dalam cinta amat Platonik.

Dimata aku, F jujur, walau bergelumang dengan dunia yang kadangkala lebih banyak melukakan. Kadang-kala bila F mula berstylo dan melirik-lirik manja pada lelaki-lelaki yang taste nya, aku mula ketawa. Sebab aku faham. Aku faham, bagaimana aku dulu pun, selalu sangatlah cover macho atau buat-buat macho bila rasa perempuan didepan aku tidak lurus dan aku mula berkenan.

Aku dan F boleh berbual 24 jam tanpa henti jika diberi peluang. Dia tak suka fast food, dia tak gemar tempat sejuk, dan dia tidak lokek membelanja aku andai kami bertemu. Dia tetap lelaki disitu. Dia tetap tahu, fungsi lelaki adalah menjaga perempuan disampingnya, walaupun perempuan tu tak macam perempuan.

Ada waktu kadangkala aku nak usap dan belai F, letak dipangku dan beritahu dia, aku doa dengan sangat, dia akan kuat dan menjadi seorang pejuang menempuh hidup yang sangat sakit, dengan seksualiti ini. Namun aku sentiasa sedar batas aku dan dia, walau kadangkala aku hampir terlupa tentang hukum pergaulan aku dan dia adalah sama dengan lelaki yang bukan muhrim.

Kerana, aku sangat sayang akan sahabat ini. Kalau dia perempuan, aku dah peluk dan usap air matanya.

F, aku tahu, hukum tetap hukum, dan apatah lagi, aku kemungkinan akan tidak solo lagi, dan orang-orang lulus disekeliling aku tidak dapat memahami kejadian cinta platonik plu. Kita akan tetap ditangkap khalwat kalau sebilik, dunia tidak akan faham.

F, doa aku untukmu, sama juga seperti semua sahabat-sahabatku yang berjuang, solo atau tidak, yang berlawan dengan keinginan, setiap detik dan setiap saat. Aku akan terus mendoakan kalian dalam usai solatku, temukan kami semua difirdausi. Dan aku akan terus bergerak dan berusaha untuk menyebarkan dakwah dan kekuatan ini. Walau apapun status aku nanti. Aku akan bergerak dalam kapasiti dimana aku berhak.

Sahabatku F, semua dan juga aku, berhijrahlah dengan ilmu bukan dengan emosi, macam pesan ustaz yang kudengar dari radio ikim.fm, ilmu ada dimana-mana, sama juga ujian ada dimana-mana. Dan segala halangan serta iblis-iblis sedang menunggu dan sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan kembali. Aku yakin, iblis sangat cemburu dengan insan-insan yang bertaubat.

Kerana Allah amat mencintai hambaNya yang bertaubat.

Moga silaturahim hingga ke syurga! F, jaga diri, jaga hati, jaga iman, sayang!

Khamis, 28 November 2013

Demi masa, kita hanya hamba.

Setiap manusia tidak akan tahu apa yang akan terjadi pada masa depan. Malah kau tidak pernah tahu sesaat lagi mampukah kau bernafas.Lama aku tidak menulis, ada waktu, aku sibuk dengan kerja, ada waktu, aku sibuk dengan keluarga.

Aku sebenarnya sibuk bercinta.

Mungkin.

Mudahkah untuk bercinta sebagai satu pasangan hetero. Bagi aku, bagi aku yang mempunyai seksualiti yang berbeza, tidaklah mudah. Aku tidak memahami beberapa benda yang orang lurus fahami. Dan dia juga keliru dengan beberapa tindakan aku.

Ya cinta boleh dipupuk, dan apatah lagi dengan doa. Allahlah yang membisikkan rasa cinta, allah lah yang menerbitkan rasa.

Dalam pada itu, sedikit demi sedikit, aku buang nafsu kepada sang hawa yang sentiasa bergelora. Bila terkenang, aku istighfar. Walau ia mungkin tidak akan padam hingga aku mati. Namun aku percaya Allah pandang setiap usaha. Itu sahajalah usaha aku, saat hati tak keruan bila tubuh mula memberi respon pada ransangan didepan mata.

Satu ketika, aku menyoal sahabatku, kenapa aku tidak boleh bergaul dengan rakan-rakan lelaki, seperti rakan-rakan sejantina,sedangkan aku tidak punya rasa atau nafsu terhadap mereka. Kata sahabat, hukum tetap hukum. Apapun mereka tetap bukan muhrim.Entah kenapa perbincangan itu membuka mindaku pada sesuatu yang lain.

Kita selalu banyak songeh, kenapa tak boleh makan khinzir, kenapa tak boleh sentuh anjing..kenapa kena samak. Analisa logik akan boleh menerbitkan pelbagai analisis. Tetapi..sedarkah kita, hukum tetap hukum.
Ianya sekadar menguji sifat kehambaan kita pada Allah.

Benar, akan ada yang pertikai, mengapa tidak boleh berbahas tentang hukum, kenapa? Kenapa kena puasa, kenapa kena tutup aurat..kenapa..kenapa?

Jawapan yang mutlak dan tidak akan boleh dipertikai, adakah kita mengaku kita hamba allah?
Ya, hubungan aku dan dia serius, dan kini sedang dalam proses untuk sah. Dan ujian kami disini, untuk memahami tanggungjawab sebelum dipertanggungjawabkan dengan mutlak.Mulanya aku gusar, untuk menulis disini. Tapi ini adalah blog perjalanan aku. Pernah aku peduli apa yang terjadi? Jodoh, maut ketentuan tuhan, andai ada, ada, andai tiada takdir..tiada.

Aku juga faham, setiap bahagia atau derita adalah ujian dari Yang Esa, dan tidak akan Allah ujian hambaNya, melainkan dia mampu.

Doalah pada yang esa, Dialah yang Maha Mengetahui.


Rabu, 20 November 2013

Kem Islah Mahabbah dari kacamata aku

Pada 8-10 November yang lepas JAKIM dan Persatuan Sinar Sofia telah menganjurkan program Kem Islah Mahabbah, dimana Penceramah Jemputannya adalah Ustaz Hanafi Abdul Malek atau lebih dikenali sebagai SIfu Hanafi. Aku hadir sebagai salah seorang ahli Positive Warrior dan membawa beberapa orang peserta.

Program ini banyak memberi pengalaman baru bagi aku. Seperti biasa, program yang dianjurkan oleh JAKIM dari unit KSK (Keluarga, sosial dan komuniti) adalah untuk mencapai golongan komuniti terpinggir, iaitu didefinisikan sebagai golongan yang tidak berjaya dicapai oleh Institusi Masjid. Kebiasaanya terdiri dari PLHIV, IDU (intravenous drug user), LGBT dan sebagainya.  Banyak pengalaman yang aku timba sepanjang menghadiri program ini, Jujurnya aku masih baru dengan rakan-rakan exIDU. Dan kali ini, peserta program tidak dimajoriti oleh mana-mana golongan peserta, kerana ia juga melibatkan beberapa peserta wanita dari pelbagai NGO.

Sifu Hanafi, kanan sedang menjamu selera dengan pegawai JAKIM. (sebenarnya, telefon bimbit aku baru kena reformat, semua gambar hancus, jadi..agak hilang bahan nak bercerita disini)

Slot Sifu Hanafi dibahagi kepada dua. Kedua-duanya adalah tayangan video yang memberikan kesedaran kepada para peserta. Satu adalah tentang keagungan tuhan menciptakan manusia, dan seluruh alam, peserta dapat melihat dari sekecil sel didalam badan hinggalah seluruh galaksi bima sakti dan galaksi lainnya sebenarnya didalam genggaman tuhan yang maha pencipta. Slot kedua adalah tayangan video berkaitan sakaratul maut, maut yang menjemput dimana-mana, sesiapa sahaja.

Kem ini menemukan aku dengan insan-insan istimewa yang bergelut dengan ujiannya masing-masing. Dadah, stigma dan prejudis, semuanya sekadar ujian hidup.

Sebenarnya, kem-kem sebegini yang banyak menguatkan aku. Membuatkan aku sibuk dengan sesuatu. Dalam hidup aku, aku lemah dengan nafsu, nafsu pada perempuan. Dan aku sangkakan, tiada ubatnya. Tapi Allah tunjuk, bila buat sesuatu ..benar kerana Allah, Allah takkan sekali meninggalkan. Mungkin Allah taklah segedebuk bagi ubatnya pada aku. Tapi perlahan-lahan Allah ajar aku melihat dunia dari sudut yang berlainan. Melihat betapa hidup ni sekadar mengurus ujian, dan setiap ujian itu ada penyelesaiannya.

Sabtu, 2 November 2013

Kesedaran LGBT?

Bila aku melihat seminar-seminar yang diadakan oleh orang-orang lurus ni, kadangkala aku rasa kesian. Sedih pun ada. Matlamat tak sampai dan sekadar semakin memburukkan keadaan.

Bila seminar kesedaran ni sekadar memberitahu kewujudan, bagaimana mengenal pasti, memberitahu tentang kisah nabi lut..

Itu semua sekadar menambah kebencian golongan lurus terhadap kami. Dan bila kebencian dihadapi dengan kebencian, ianya sekadar menambah jurang. Dan akhirnya golongan kami makin jauh bersembunyi dan dalam masa yang sama semakin kuat.

Buat golongan kami yang menerima naluri ini dengan bangga dan merasakan Allah pasti memahami kemungkaran yang mereka buat, seminar-seminar sebegini akan sekadar menjadi alat untuk membina tembok yang lebih kukuh.

Ya, saya muslim, saya gay. Maaf. Aku menolak itu sekerasnya andai kau julang slogan itu dengan bangga.

Saya Islam, saya tahu naluri saya sekadar ujian. Noktah. Itu untuk aku. Untuk kalian aku percaya kalian boleh memilih jalan kalian.

Sayang aku tidak boleh menghadiri seminar ini kerana kekangan kerja. Walaupun tidaklah aku setuju dengan seminar ini.

Satu hari nanti aku percaya sesuatu harus dilakukan.

Rabu, 30 Oktober 2013

Gay, naluri atau nafsu

Persoalan ini selalu bermain difikiran aku. Aku pernah bertanya dengan seorang imam muda, bersama rakan aku. Kata ustaz tu, ujian seksualiti ini boleh jadi kedua-duanya. Naluri dan nafsu.

Katanya ramai beranggapan ia sekadar nafsu, disebabkan dah pernah mencuba lalu ia menjadi kenikmatan nafsu tersebut. Namun harus diingat, ada yang memang nalurinya sejak kecil dia punya keinginan pada jantina sejenis, sebelum ia mengenali bahawa itu adalah nafsu. Dan mereka ini dilahirkan dengan ujian itu. Tidak semua naluri boleh dihalalkan. Dan itulah perjuangan manusia dalam kehidupan, untuk ikut perintah Allah.

Aku bersetuju dengan pendapat ustaz ini. Teringat mereka yang bernalurikan naluri pedophile,  dimana tempat mereka didunia ini? Dan kalau nak diikut banyak naluri luar tabii yang kalau tidak diurus dengan betul akan lebih memudharatkan.

Atas dasar itu bagi aku, tiada istilah exgay. Memang benar ada istilah I was gay. Iaitu pernah menjadi pengamal aktiviti ini, tetapi kemudiannya cuba untuk berubah. Perubahan yang terbaik adalah kerana agama. Seorang gay, kadangkala memang dilahirkan gay, andai dia berubah dia sekadar mengubah nafsunya.

Tidaklah mudah. Dalam waktu sekarang, aku sekali lagi sedang cuba menerima seorang lelaki dalam hidup aku. Segalanya serba kekok. Tak tahu bagaimana, perlukah bertemu, perlukah berhubung. Aku cuba untuk perhubungan ni jalan yang allah redha secara total. Dalam masa yang sama aku mudah ada perasaan tidak suka, dalam setiap hal. Mudah menyampah, ada semacam satu perasaan mual yang kadangkala datang tanpa diundang bila aku sedar aku sedang berhubung dengan seorang lelaki yang cuba untuk membawa aku berfikir tentang perkahwinan.

Dan paling sedih, kali ini. Lelaki ini tidak kenal sisi gelap aku.

Benar, mungkin dia tidak perlu tahu. Namun, itu menyebabkan dia tidak tahu..apa yang dia hadapi.

Isnin, 28 Oktober 2013

Aku bukan serangga

Awak, ya entry kali ni untuk awak. Yang sering tak lepas membaca blog saya. Awak yang manja. Awak yang comel. Awak yang sering risaukan diri saya.

Awak, awak kata awak minat Dark Angel. Dari dulu awak baca tulisan-tulisan Dark Angel.

Awak, akhir-akhir ni kita makin rapat. Dan saya makin takut. Takut sebab, situasi ini dah banyak kali terjadi pada saya. Saya dah banyak kali lukakan orang.

Dia tetap gadis yang terakhir saya sentuh. Itu janji saya pada tuhan. Selepas dia tidak akan ada lagi. Cukuplah, awak. Saya hidup resah dalam kenikmatan. Saya bahagia dalam raungan iman saya.

Tapi siapa boleh halang tentang hati. Kita tak pernah jumpa. Dan jujurnya saya takut untuk bertemu.

Awak, sebelum awak dah ada yang kecewa. Mungkin kerana keputusan dan janji saya pada tuhan. Tapi hati ni tak pernah pandai, dia tetap mengikut arus. Gembira disayangi, gembira diambil tahu, gembira dengan hawa yang comel.

Awak, jujurnya saya takut. Kelak awak saya lukai, dan awak terpaksa membunuh saya.

Saya dah dibunuh berkali-kali. Tapi saya tetap macamni. Hidup.

Awak kata saya sweet talker. Entah dari mana saya belajar kalau itu betul pun. Awak bukan orang pertama cakap saya macam tu.

Ya. Dark Angel memang jahat.

Tuhan, maafkan aku kerana banyak melukakan. Lindungi dia dimana saja. Tabahkan hati dia bila tiba waktunya. Syukur kerana meminjamkan dia buat aku, mengisi hari-hari lemahku.

Mungkin aku tidak akan menyentuh mana-mana hawa lagi selepas Deanna. Tapi hati?

Aku mungkin bukan serangga. Tapi aku mungkin racun.

Ahad, 27 Oktober 2013

Saya pernah wujud disana..

Sebentar tadi tiba-tiba aku terasa sesuatu, pabila melihat news feed fb seseorang. Orang itu tarikh persandingannya, sama dengan saya, orang itu adalah keluarga belah sana. Kami disanding bersama. Gambar-gambar dia bersama anak perempuan sulungnya, anak yang dikandungnya sewaktu saya dan bekas suami sedang berusaha untuk berpisah.

Bekas adik ipar saya.

Saya faham, apabila telah diakad, sebenarnya tiada istilah bekas, melainkan bekas suami apabila talak dijatuhkan.

Tetapi, bekas suami mengharamkan saya berhubung dengan keluarganya. Keluarganya yang menjadi tempat menumpang kasih, sewaktu dia mula mengajar saya erti kepahitan. Jauh dihati saya, saya rindukan keluarga disana.Sedikit pun saya tidak pernah mengingati dia yang pernah berkongsi kamar dengan saya. Tapi keluarganya, keluarga pinggir desa. Rumahnya, rumah sebuah yang kelilingnya semua saudara-mara, yang kepulangan saya sendirian sering ditanya-tanga asbabnya. Teringat saya, menaiki motor bersama adik ipar, melalui jalan denai sawah.

Saya rindu ibunya, yang tutur lembut. Benar. Hanya 3 bulan. Saya rasa bagai keluarga sendiri.

Melihat gadis kecil berusia setahun lebih itu, hati saya bagai digigit sesuatu. Satu hari nanti bila dia pandai berkata-kata, dia akan bertanya, siapa pengantin yang satu lagi, digambar-gambar perkahwinan mamanya. Dan saya harap mamanya dengan sabar menerangkan. Harap, mamanya memaafkan saya, kerana permulaan detik bahagia dia, adalah satu noktah hitam dalam hidup saya.


Rabu, 23 Oktober 2013

Segugus Harapan Setitis Kasih

Jarang aku tulis mengenai program-program yang aku pergi. Alasannya kerana aku takut identitiku terbongkar. Ya, itu sahaja. Kerana itu juga aku jarang menulis terperinci tentang apa yang aku lalui. Dan itu juga melindungi aku daripada memberitahu kalian tentang kehidupan aku.

Baiklah, mulai entri ini, aku akan catatkan kehidupan aku, dimana MG sekarang. Diruang kehidupan mana dia berada. Yang telah lepas adalah yang lepas, terpulang pada kalian ingin menghakimi.

Pada 18-20 hb, aku mengikuti Program Segugus Harapan dan Setitis Kasih. Kebanyakan peserta adalah bekas penagih dadah, yang kini telah pun dirawat menggunakan kaedah pengambilan methadone. Dalam program ini, terdapat dua ceramah utama. Satu ialah Perspektif Islam dalam menangani HIV yang disampaikan oleh Dato' Dr Faisal sebagai wakil dari JAKIM. JAKIM telah mengeluarkan naskah Manual HIV untuk diedarkan kepada masyarakat dan para agamawan, khusus menyampaikan maklumat yang tepat mengenai HIV dan juga mendedahkan masyarakat tentang tanggungjawab menentang stigma dan prejudis yang sentiasa perlu dihadapi oleh PLHIV. Buku ini boleh didapati di JAKIM yang berpejabat di Putrajaya.


Ceramah kedua adalah dari President PPWM (Pertubuhan Positive Warrior Malaysia) , memperkenalkan Pertubuhan Positive Warrior itu sendiri dan juga menerangkan tentang stigma yang dihadapi oleh insan-insan yang terkesan oleh HIV, cara-cara jangkitan HIV dan perkongsian pengalaman hidup beliau selepas diagnosed. Sharing beliau sebagai PLHIV sendiri banyak membuka mata peserta bahawa HIV ini hanyalah virus yang sebenarnya tidaklah memberi kesan buruk pada kehidupan dengan rawatan betul, tidak seperti yang digembar-gemburkan oleh media sebelum ini.

En. Mohamad bin Wahid, Presiden Pertubuhan Positive Warrior
Slot yang lain adalah outdoor dan juga LDK pada hari terakhir. LDK adalah mengenai plan tindakan yang meminta kami untuk merancang program. Setiap kumpulan diberi golongan sasaran seperti, Sex workers, Gay, Penagih Dadah dan PLHIV.

Kumpulan aku diberi tajuk Sex Workers, satu tajuk yang baik dan aku rasa, lain kali aku kena volunteer untuk present agar aku dapat menyampaikan idea dan pendapat aku lebih baik, tidaklah menyimpan rasa tidak puas hati hingga pulang program. Haha,

Sebenarnya, apa yang aku belajar dari program ini, adalah pendedahan kepada bekas penagih-penagih. Dimana aku lihat mereka mempunyai displin yang tinggi, solat jemaah, hampir semua hadir. Dan mereka juga telah biasa sharing dengan ahli kumpulan tentang pelibatan mereka dengan dadah, jujurnya kebanyakan mereka boleh pergi jauh lebih dari orang lain yang kononnya jauh lebih sempurna akhlaknya. Pengalaman mereka di CCRC ( Cure & Care Rehabilitation Centre ) yang dulunya dikenali sebagai Pusat Serenti. Menyebabkan mereka lebih berdisplin.

Aku pernah mendengar orang berkata penagih dadah tegar ini, harusnya hanya dicampak ke laut sahaja, kerana tiada apa yang menghentikan ketagihan mereka. Dan pendapat ini ternyata salah. Barisan urusetia yang juga bekas penagih dadah memberikan komitmen yang tinggi, dan jika dilihat wajah-wajah peserta, ada yang wajah mereka lebih bersih dari orang yang biasa aku temui. Seorang dua dari mereka memperlihatkan perwatakan pembawaan jemaah tabligh, membuktikan mereka benar-benar berubah.


Terlalu banyak yang berlaku dalam tempoh setahun kehidupan aku setelah aku menyertai Positive Warrior. Setiap pengalaman membuatkan aku lebih menghargai kehidupan.

Khamis, 10 Oktober 2013

Semalam Nirvana harini Maher Zain.

Sejak akhir-akhir ini, banyak perkara menyedarkan aku betapa masa itu sangat penting dan setiap orang tidak pernah tahu berapa lama masa yang diberikan. Dan aku amat mencemburui orang-orang berdakwah yang baru kembali pada Islam, sangat-sangat cemburu pada mereka. Betapa mereka sentiasa berada dijalan kebenaran dan pula membawa manusia kejalan kebenaran.

Kata seorang kawan, mahu atau tidak, kita wajib berubah, apabila telah tahu perkara yang benar dan hati mula menerima kebenaran. Walau sesakit mana pun jalan tu, walau sesusah mana pun halangan. Usaha sampai mati.

Beberapa rakan pernah berkata padaku, jalan aku agak mudah kerana aku memang bertudung. Aku tahu itu satu isu yang berat. Dan permulaan aku memakai tudung dahulu juga bukanlah mudah, cuma, aku bermula agak muda. Kolejku mewajibkan pemakaian tudung, walau tudung sebenarnya bukanlah definisi sebenar menutup aurat. Namun tudung membezakan penampilan. Kawan-kawan ku memang tahu dengan sifatku yang memang setiap bulan menggunting rambut, dari pergi ke kedai mamak, aku ke salon, dan dari salon akhirnya aku mencari rakan-rakan kolej yang pandai menggunting rambut, kerana dah malu menanggalkan tudung didepan amoi tukang gunting rambut.

Bila tidak bertudung di bilik asrama, yang tak biasa melihatku, pernah sahaja menjerit berlari, kerana menyangka ada lelaki masuk di asrama perempuan. Dan tak juga kurang yang terkesima dengan kekacakan aku .(hahahaha, sila muntah). Alah, ini perkara biasalah, macam kau masuk tandas perempuan, tapi kau berkemeja dan berambut mohawk atau spikey, mesti terserempak dengan makcik-makcik yang beristighfar dan gadis-gadis yang membeliakkan mata.

Tapi bila aku menyarungkan tudung, berakhirlah segala drama. Jadilah aku, si perempuan yang tak pandai segala fesyen, selekeh dan serabai. Ingat pakat tudung senang? nak gosoklah, nak kena matching dengan baju la, payah. sangat payah. Sejujurnya, ada juga kawan yang mengatakan pada aku, aku lebih elok tidak bertudung.

Akhirnya terbiasa juga dengan tudung itu, dan perlahan-lahan aku belajar menutup aurat, mana yang boleh. Is not easy, tahun 2008. Aku pernah kembali tidak bertudung kerana merasa terhina, bertudung tetapi bersama dengan teman wanita dan berkumpul dengan rakan-rakan sisi gelapku. Dimana zina adalah permainan kami.

Demi masa, segalanya boleh berputar. Rasa bertuhan boleh hilang dan muncul, kepayahan mematuhi perintah tuhan boleh sembuh dan menjadi nikmat. Iman boleh tumbuh dan hancur. Cinta boleh datang dan pergi. Begitu juga insan boleh pergi dan datang. Sesungguhnya tiada apa yang kekal.

Susah, tapi boleh.

Demi masa, waktu sihat itu tidak selamanya.
Demi masa, duit gaji kadangkala ada 5 hari sahaja.
Demi masa, semalam makan secret recipe harini makan maggi,
Demi masa, semalam pergi Movida harini pergi masjid
Demi masa, dulu dengan kaset Nirvana, sekarang pandai cari cd Maher Zain
Demi masa, semalam pakai tudung labuh, harini boleh pakai short pergi pekan
Demi masa, harini hidup, esok belum tahu lagi, kawan.

Iman turun naik, hidayah boleh ditarik balik,segala ilmu boleh dilupa tidaklah pelik.

Masa tidak pernah menunggu. Jika penghalangnya adalah cinta, korbankan cinta itu untuk ke syurga. Jika penghalangnya nafsu, marilah usaha hingga mati moga nafsu itu menjadi Islam.


Isnin, 7 Oktober 2013

Beberapa hari ini

Selalunya aku tidak bercerita tentang hidup aku, aku akan bercerita tentang apa yang aku fikir. Itu adalah lebih selamat di alam maya. Mudah dan keselamatan aku adalah tanggungjawab aku.

Beberapa waktu dulu, aku pernah terfikir untuk menunjukkan diri aku yang sebenar, dan perlahan-lahan, ianya berlaku tanpa aku sedari apabila aku mula terlibat sebagai sahabat kepada pertubuhan Positive Warriors dan kemudiannya mula berhubung dengan seorang dua kakitangan Jakim, juga kebanyakannya kerana Positive Warriors dan juga PAFI (Pertubuhan Amal Firdausi)

Apabila, muncul sebagai seorang yang orang lain tahu letar belakang aku, aku lebih terasa diterima. Apa sahaja tindakan aku tidak perlu berselindung, dan yang paling penting aku buat, apa yang aku rasa betul. Apabila ada yang mengetahui kewujudan blog ini melalui link FB dan sebagainya, ada kawan meminta aku mengubah blog ini supaya tidak lagi bercerita sebagai MG.

Bagi aku, mudah, aku bermula sebagai MG disini, akhir aku, aku tak pasti, tapi aku yakin, MG ada tanggungjawab tersendiri.

Beberapa harini, aku telah diuji dengan bayangan seolah memberitahu aku, itulah sedikit sebanyak yang perlu aku hadapi seandainya aku mahu muncul sebagai MG, di ruang hidup normal aku.

Mudah sahaja, bagaimana kalau keluarga dan orang sekeliling aku dalam kehidupan sebenar mengetahui identiti aku disini, pertama sekali, yang akan gelak sampai jatuh kerusi adalah bekas suami. Kemudian kawan-kawan sekolah yang selalu berdendam dengan sifat asingku di sekolah dan uni, Kemudian, keluarga.

Bukanlah aku memikirkan pandangan orang, tapi buat masa ini, aku masih punya ibu ayah yang harus dijaga hati dan perasaan, aku juga belum kental untuk dibuang keluarga, yang aku faham ada juga yang amat stigma dengan isu lgbt.

Andai ia berlaku secara tanpa aku jangka atau sedar, aku mohon pada yang esa, supaya aku tabah dan kehidupan aku dapat menyatakan pada yang berkenaan, bahawa masa silam adalah masa silam. Walaupun kadangkala apa yang ada pada aku adalah naluri dan membuatkan aku terbuang kadangkala, aku harap aku tidak akan pernah berputus asa untuk menzahirkan tekad aku dalam hidup ini.

Oh, untuk pengetahuan, aku dan Deanna kini, walau apapun, hanyalah sekadar kawan, yang pernah menjadi teman hidup. Walaupun perasaan kami amat dalam, namun aku sedar dialah perjuangan aku. Perjuangan aku untuk tidak melakukan yang Allah tak redha. Tanggungjawab sebagai kawan, sentiasa aku lunaskan. seminggu dua juga, dia yang kini jiran aku, aku menjaga keretanya, panaskan enjin, tengok rumah, sementara dia berpergian untuk aktiviti kolejnya.

Pernah aku terlalu berkeinginan pada dia dan dalam masa yang sama menolak kehadiran seorang lelaki yang ingin menyunting aku, aku amat ingin menyatakan "I dont want to get married but I desperately need you on my bed", tapi aku sedar, itu nafsu yang berlawan fitrah hidup. Dan kenapa aku menolak adam itu? Bagi aku ini soal hati, kalau dah tak berkenan nak buat macamana. Dan aku juga akur, jika ada pun adam yang aku berkenan, tak semestinya Allah takdirkan untuk aku.

Untuk beberapa hariini, perkahwinan bukan milik aku, hidup harus diteruskan dengan sabar dan kasih sayang itu harus dizahirkan mengikut acuan yang diredhai.


Note: dari blog ini, juga aku mendapat tahu, ada rakan-rakan yang telah berjuang sendirian bertahun-tahun, 8 tahun, 5 tahun itu biasa. Dan aku amat kagumi mereka. Aku? Baru setahun jagung dah kecoh haha. Pada semua yang berjuang sendirian, aku pasti Allah tidak pernah meninggalkan hambaNya.

Ahad, 6 Oktober 2013

Petua hidup

Apabila hati tercedera, maafkan, abaikan dan perbaiki diri.

kata-kata Ustaz Mohammad Amin.


Rabu, 2 Oktober 2013

Kadang-kadang..

Kau tahu,
Kadangkala, aku selalu membela orang-orang straight dimata kawan-kawan ku. Kadang-kadang kataku, sabar, mereka tak faham. Kitalah yang harus menjadi orang yang berjiwa besar. Memaafkan dan melupakan.

Dan kadangkala,
Kau tahu,
Kadangkala aku jua tewas, kerana orang yang mengkhianati itu adalah orang yang aku percaya.

Kau tahu, bila ada orang luar buat silap, tidak faham sensitiviti kami, kadangkala aku cuba memahamkan, tapi ada detik waktu, aku terpaksa telan, mereka tidak faham kerana mereka tidak diuji sedemikian. Begitu juga aku tidak faham kesengsaraan orang diuji dengan ujian yang tidak pernah aku lalui.

Kadang-kadang ada rasa mahu mengalah.

Pergilah, pergilah kembali kedunia mu. Mereka memang tidak faham, apalah yang kau harapkan. Dan kadangkala terasa pedih kerana bila melihat diwajah orang-orang lurus itu seolah mereka dah amat memahami.

Kadang-kadang, hati kau berkata, sudah-sudahlah membela mereka yang tak perlu pun kau bela. Tak perlulah mendesak mereka yang bersamamu untuk menerima orang-orang yang gagal memahami.

Terima sahajalah, hanya PLU yang memahami PLU.

Entah apa yang kau minta. Entah apa yang kau ingin. Entah apa yang kau harapkan. Perlu sangatkah kau terhadap mereka. Hidup sahaja nafsi-nafsi, peduli sahaja apa yang perlu peduli. Mereka tidak pernah menerima kau pun sebenarnya.

Kadangkala sukar nak menilai kejujuran atau sekadar topeng. Terlalu sukar. Apatah lagi, orang seperti kau yang lurus hati dan mudah dipermainkan. Kelurusan mu pun selalu dipersenda.

Kembali sahaja kepada orang macam kau.

Ah, dunia ini pun bukan lama sangat. Tidak perlu berharap apa-apa. Pergantungan hanya pada yang esa. Dilahirkan dengan naluri yang cacat dan cela dimata mereka. Berjuang sahaja apa yang perlu. Tak perlu berjuang untuk membela orang lain.

Kenapa kawan?

Ah dunia ini terlalu kecamuk. Penjara. sungguh penjara.


Selasa, 1 Oktober 2013

Carpe Diem!

Tiga tahun dulu aku amat memegang kata-kata ini, Carpe Diem., live life to the fullest. Aku teroka dan mencuba apa yang aku nak buat. Hidup sangat teruja dan mengasyikkan. Tapi akhirnya aku, nasiblah Allah masih sudi menarik aku kembali dan menyedarkan akan kerosakan yang aku buat pada akidah dan iman aku sendiri.

Dan sejak akhir-akhir ini, aku mula kenal kembali erti sebenar istilah "Carpe Diem".

Aku suka kan hidup aku yang sekarang, syukur amat sangat. Hidup aku rasa amat bermakna, aku mula faham sangat bahawa apabila kita meninggalkan sesuatu kerana Allah, Allah tidak akan meninggalkan atau mensia-siakan kita.

Rehatkan diri, menjadi pilihan yang entah keberapa kini. Banyak perkara yang aku harus selesaikan dan aku mula belajar untuk menggunakan masa sebaiknya, masih berusaha.

Melawat rakan-rakan yang masih merasa berjuang sendirian. Saling beri kekuatan.

Jujurnya, aku juga amat belajar manusia ini amat lemah. Bila tidak beragama, kita akan amat sengsara, jiwa akan menderita dan kebanyakan rakan yang tidak redha dengan ketentuan ini, sering berakhir dengan pergantungan pada ubat kemurungan.

Akal kita ada hadnya. Rahmat Allah lah yang tiada batasnya.

Aku mula menemui sesuatu yang amat aku suka, tak gemar untuk aku labelkan apa. Cukuplah aku katakan, aku amat syukur kerana aku kini melakukan apa yang aku yakin benar.


A078
Dan kaumnya pun datang meluru kepadanya (dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya), sedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan. Nabi Lut berkata: "Wahai kaumku! Di sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamu-tetamuku. Tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat)?"

Semalam sewaktu aku dihidangkan dengan ayat 77 dari surah Hud ini, aku amat tersentuh. Betapa Nabi Lut, sanggup melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan kaumnya dari melanggar perintah Allah, hingga sanggup menawarkan anak perempuannya.

Dia seorang BAPA. Namun kerana dia sedar beratnya perintah Allah, dia sanggup menawarkan anaknya, lalu menunjukkan juga, walau apa jua, yang halal itu adalah lebih baik dari segala-galanya.

Banyak lagi dosa yang lain, zina, riba, derhaka pada ibu bapa, namun kenapa dosa ini Allah turunkan azab hingga satu umat habis musnah?

Betapa berat neraca pertimbangan dek dosa ini, dek amalan yang dikatakan keji ini.

Seorang kawan berkata padaku, ujian akan sentiasa datang, nafsu tak pernah padam. Bagi aku, ya itu betul dan dalam surah Insyiqaq Allah janji, setiap manusia diuji berfasa-fasa. Jangan ingat apabila selesai suatu perkara, akan habis disitu, tidak, selagi bergelar manusia, hidup adalah ujian.

Tanpa rasa bertuhan, jiwa akan musnah dengan setiap ujian.

Tinggalkan yang ragu, tinggalkan yang meresahkan. Usaha dan usaha, hingga mati pun.

Jangan sampai hilang rasa berdosa, lalu angkuh dengan kebatilan (suatu yang palsu/dosa ) mula menjelma.

Yang meresahkan itu dosa.

Usaha hingga Mati. Itulah hidup perjuangan. Itulah hidup yang penuh cabaran. Itulah hidup yang sebenar hidup!

Lets Carpe Diem, live life to the fullest!




ps:Aku mungkin masih nakal, namun aku telah meninggalkan dan akan berusaha hingga mati, untuk meninggalkan apa yang meresahkan aku itu. I already make a decision, my decision. Walau aku mengarut dan mengeluh kadangkala, itu adalah kerana aku sekadar manusia biasa. 

Isnin, 23 September 2013

Bukan kerana Adam

Sejak akhir-akhir ini, aku akui aku lebih banyak menghabiskan masa dengan kawan-kawan dan juga berulang-alik dari bandar kelahiran ku, ke KL, tanggungjawab terhadap keluarga dan aktiviti samada bersama NGO sukarelawan juga sudah mula menapak dihatiku.

Mendapat berita dari pengajur GNY, kami inshaallah diminta untuk merancang GNY 2 pada november, moga dipermudahkan urusan dan niat kami tetap dan jitu kerana Dia.

Dalam pergaulan ku akhir-akhir ini, aku bertemu beberapa rakan plu yang mengalami kisah silam yang getir. Berubah dan cuba berubah, dimanipulasi oleh kaum adam, kerana kononnya mengajak mereka pada perubahan, tapi sebaliknya sekadar nak menggunakan mereka.

Sedih, kerana perubahan itu akan semakin sukar selepas itu, dan simpati kerana luka dan parut yang ditinggalkan bukan alang-alang.

Berubah dan menjadikan Adam sebagai penyelesaian, bukanlah jawapan yang tepat. Namun, kesilapan sebegai manusia tidak pernah dapat dielak. Kalau nak dikecam, memanglah sukar untuk menjumpai Adam yang benar-benar tahu tanggungjawabnya diluar sana.

Namun Sang Adam juga lemah, juga manusia, kesalahannya juga kerana dia manusia.

Berubah, cukup kerana tidak mahu terlibat dengan apa-apa yang Allah tak redha, samada yang ragu-ragu atau yang pasti. Berusaha kearah itu, bagi aku, pendapat aku yang lemah ini, itulah yang tepat.

Walau jalannya, tidak pernah mudah. Sejak akhir ini aku sedar, aku semakin memerlukan kekuatan, kerana seolah ada suatu kekosongan dalam jiwa aku. Lebih-lebih lagi, bila tuntutan kerja dan tanggungjawab pada banyak perkara, semakin membuat masa untuk menuntut ilmu itu kurang. Walhal, menuntut ilmu adalah penawar dalam perjuangan. Paling tidak, membuka buku-buku hadis dan memainkan video-video ceramah ustaz-ustaz dari Youtube sudah sedikit menjadi penawar.

Manusia, memerlukan sentuhan,hati dan fizikal. Oleh kerana aku kini kerap bersendirian, kerana jauh dari keluarga, keperluan itu kadangkala menghampiri sifar. Tidak hairan ramai orang bujang memilih untuk memlihara haiwan peliharaan, tapi, situasi aku yang selalu berada dalam perjalanan pula tidak mengizinkan.

Namun, putus asa tidak sekali. Alhamdulillah, aku dah melepasi tahap itu. Moga aku tetap dijalan ini, dan aku sedar hati manusia itu berbolak-balik, usaha tetap usaha.


Rabu, 11 September 2013

Pengkid Haram Pergi haji

Kenapa aku timbulkan balik isu ni? Setelah berbincang dengan rakan-rakan, aku rasa aku bertanggungjawab untuk menulis kembali tentang isu ini.

sila rujuk entry Pengkid oh Pengkid. Dalam entry ini aku ada mengulas sedikit tentang video tentang fatwa atau hukum yang diberikan tabung haji bahawa Pengkid haram pergi haji.

Rakaman Video Program Bicara Fatwa Di UITM, Shah Alam. Ini dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Selangor. 

Bila aku berbincang dengan rakan-rakan, dan aku rujuk balik pada entry The Last Pillar, ianya sebenarnya ada kaitan yang kuat. Fatwa ini dikeluarkan oleh mereka yang berpengatahuan agama, ya benar ada yang menyebut, fatwa sekadar pendapat sekumpulan manusia yang mempunyai sijil dalam bidang agama. Namun jika difikir dengan mata hati, kenapa fatwa ini dikeluarkan? Kerana ianya berasaskan pada fakta atau hukum akidah.

Pengkid haram, dan pengkid haram pergi haji selagi ia merasakan dirinya pengkid, bukan muslimat.

Ini pandangan ahli agama. Mereka melihat dari segi hukum, sama seperti pengharaman rokok dan sebagainya.  Ini fakta. Mereka berilmu didalam bidang akidah. Dalam rukun iman ada konsep redha. Dan apabila konsep redha itu tidak dapat diterima oleh seseorang individu, akidahnya boleh diragui.

Ya, pada awalnya aku melenting, sama seperti pengharaman rokok, manalah perokok-perokok tegar dapat menelan dengan hati yang gembira, sukar. Tapi bagi yang faham hukumnya, akan sedar, mahu atau tidak ianya betul, dan semua orang tahu berhenti rokok bukan mudah bagi yang tegar. Tapi bagi yang berjihad ini, pasti kemenangan yang besar bagi mereka. Jujur aku kagum pada perokok tegar yang berjaya berhenti rokok.

Berbalik pada pengkid, walau ia soal naluri dan kehidupan, apabila sampai waktu mahu atau tidak kita kena akur, dunia ini sementara dan tujuan kita dilahirkan kedunia ini adalah untuk beribadat pada Yang Esa. Andai salah satu syarat ibadat itu adalah menuntut kita redha dengan kejadian fitrah, sebagai hamba, siapa kita untuk mempersoalkan.

Tabung Haji menjawab tentang masalah bilik, tetapi hukum ini sebenarnya harus dilihat dengan mata hati. Sesiapa yang merasakan dia benci dengan kejadian dirinya dan menentang hukum, tidak mahu menerima bahawa beliau adalah muslimat, tidak redha. Bagaimana nak melawat rumah Tuan Yang Mencipta Segala?



Fatwa yang dikeluarkan ini adalah dari ahli agama, jadi beliau melihat dari sudut agama. Penerangan mungkin agak lemah untuk orang awam.

Mungkin contoh jenaka rasulullah boleh menjadi analogi, apabila rasulullah mengatakan kepada seorang wanita tua, bahawa orang tua tidak masuk syurga, wanita itu menangis dan berlalu. Tapi kemudiannya, rasulullah panggil dan berkata, umur penghuni syurga ialah antara 30-35, semuanya muda-muda, yang tua akan jadi muda, jadi, orang tua tidak ada adalam syurga.

Pengkid tak selamanya pengkid, bak kata salah seorang sahabatku, apabila anda telah menerima diri adalah muslimat, isu ini gugur pada diri anda.

Tapi kalau keluar permintaan .."Saya pengkid, nak pergi dengan kawan-kawan saya je, nak sebilik"

Hukum pengkid haram, haram pergi haji, masih ada pada anda.




Kepada sahabat-sahabat yang ibu dan ayah kesana, anda adalah pemegang amanah, dan pastinya ibu dan ayah mendoakan anda disana.Moga kami semua dapat menjadi tetamuMu dalam keadaan kami redha denganMu (uijian-ujianMu, takdir-takdirMu) dan Kau redha dengan kami. Aamiin.

link rujukan :Pengkid oh pengkid, The last Pillar
             

Ahad, 8 September 2013

Ujian yang satu ini..

Satu ketika aku hampir putus asa. Diam tak diam, aku ada membuka hati aku sedikit pada seorang adam. Namun entahlah, memang resam dunia mungkin, yang untuk mencari redha Allah itu tidak akan datang bergolek. Tapi yang Allah tak redha itu memang bergolek-golek malah menguji mu setiap saat.

Jujur aku katakan, aku masih menyayangi Deanna. Bila tak berjumpa, setiap saat aku mengingati dia, bodoh kah, patutnya setiap saat aku mengingati Sang Pencipta.

Semalam dua ujian melanda diri aku.

Digoda untuk menjadi yang halal, namun terikat dengan pelbagai undang-undang dunia. Digoda menjadi yang haram, dan hampir kecundang.

Moga aku diberi kekuatan, setiap saat.


Rabu, 4 September 2013

Pengkid oh pengkid

Sebenarnya isu ini agak dah basi. Tapi asyik bermain dikepala aku.  Beberapa bulan lepas, ada dua isu yang berputar di muka buku tentang pengkid. Pengkid disini adalah individu berjantina perempuan yang berperwatakan lelaki. Kenapa aku buka definisi, sebab ada juga yang merujuk kepada semua kami yang senget sebagai pengkid. Sungguh salah. Tapi tiada salah apa pun, cuma salah definisi sahaja. Aku tak kisah pun.

Isu pertama, video yang kononnya menghina Islam. Video ni, setelah aku tonton berkali-kali. Pertama sekali, aku dah berdebar dah bila nampak individu didalam ni. Yang bagi aku sekadar boyish kot. Pengkid tegar, lebih lagi dari ini. Aku tak sedap hati, sebab aku tahu akan mulalah segala cacian terhadap golongan pengkid menghangatkan masyarakat. Masa tu aku berdoa agar bukanlah individu ini seorang Islam. Allah tak makbul. Didalam kad pengenalannya, Islam.




Tapi, percaya atau tidak, aku tak rasa pun video ini menghina islam. Pada aku video ini sekadar memainkan sentimen perkauman. Berdosa ke sentuh anjing? Orang melayu, kalau sebut anjing pergh, memang boleh melenting. Walhal dalam sirah ada disebut orang yang tidak solat dengan sengaja, air hujan yang jatuh ke atapnya, boleh dianggap air yang jatuh tu lebih hina dari urin anjing. Sentuh anjing cuma perlu samak, tidak berdosa, anjing juga makhluk ciptaan Allah. Sentuh orang yang bukan muhrim, ya berdosa. Tak solat, ya berdosa. Dan, yeah, Maznah agak nakal memainkan sentimen ini, dan sekarang tak tahu lah apa cerita didalam lokap ke. Aku akui, video ini tidak wajar, kerana video ini memang berniat jahat untuk meng onarkan masyarakat melayu Islam di Malaysia.

Dunia pengkid juga yang kena ludah.

Kemudian, isu tentang Tabung Haji mengisytiharkan Pengkid haram pergi haji. Masa ni aku memang nak kata Apa neraka! (What the hell). Tengok video, rupanya masalah nak menyediakan bilik, kerana ditakuti muslimat lain tidak mahu berkongsi bilik.




Pertama sekali, aku nak cakap. Pengkid, kalau nak pergi haji, dia dah tak macam pengkid dah. Kalau ada pun, dalam hati sahaja. Cuma, ye, kalau bila sebilik dengan muslimat lain, buka tudung, rambut ala komando, memang muslimat lain akan tak senang, apa susah, duduk kan jela dengan makcik-makcik, paling-paling pun beristighfar je, paling-paling pun makcik-makcik tu berleter jela. Dan lagipun, kalau kami nak pergi haji, masa tu takde lah fikir nak mengsongsang tak tentu pasal. Ehhh..kami pun tahu juga hormat agama dan tanah suci tu, kalau tak takdelah kami pergi mendaftar haji weiiii. Benda ni takde isu sebenarnya. Takdelah siapa antara kami yang kurang akal, mendaftar nak pergi haji, lepas tu declare kami ni pengkid. Tu konpem la orang kurang waras wehhh.

Lain tak bukan sekadar nak memburukkan pengkid kan? Isu ni. Jangan risau, tidak ada pengkid yang mendeclare diri pengkid nak daftar haji. Ni lain dengan kes FTM. FTM di Malaysia memang tidak ada undang-undang mengesahkan. Itu kes lain. Semua, pengkid ke, senget ke, PLU mana pun, kalau nak pergi haji, mesti nak pergi sebagai muslimat/muslimin. Dan kalau tersatu bilik dengan muslimat yang ala-ala pengkid pun, jaga aurat sudahla, tak perlu takut, kami sedar diri, kami sedar kami dimana masa tu. Jaga aurat sebagai sesama perempuan. Janganla pula, pergi gedik tanpa seurat benang dalam bilik tu. Itu memang cari nahas.

Setiap kita punya hati dan perasaan, lihatlah lebih dari sekadar kulit. Jika anda seorang yang berhikmah.


note: aku rindu nak menulis. Hujung tahun makin hampir, makin sibuk. hidup aku alhamdulillah, segala puji bagi Allah, aku gembira dan tenang, segalanya punya hikmah. Dan ..aku sayang dan rindu mak ayah aku yang kini tak tinggal sekali dengan aku, mungkin sementara, atau tempoh tertentu.

Rabu, 28 Ogos 2013

Tidak peduli itu sukar

Malam dah semakin ke pagi. Aku harini sukar untuk tidur. Ya, seminggu dua ini aku agak sibuk dengan urusan kerja dan keluarga.

Namun, kau tahu, setiap kali aku melintasi rumahnya, hati aku akan tersenyum bila melihat keretanya dirumah sewanya. Perasaan tu masih mirip orang bercinta. Tak nampak orang, bumbung rumah pun dah melepaskan rindu dihati.

Aku cuba untuk tidak menghubungi dia sejak dua minggu lepas. Malam ni mesejnya sampai ke telefon. Dan aku cuma membalas mengatakan aku sibuk.

Demi tuhan, ingatan ini hampir setiap saat pada dia.

Seksanya bila terpaksa buat tidak peduli. Makankah dia, gembirakah dia, sakitkah. Dan, aku harus bertahan untuk tidak sekali-kali meluahkan apa-apa kepedihan kepada dia. Aku tidak harus sekali-kali menyatakan apa sahaja perasaan yang melanda.

Tahan. Tahan Mg. Tahan rasa itu.

Biar luah disini. Bukan pada dia yang akan sekadar membuat kau semakin lemah.

Yakinlah. Kau sekadar hamba.

Sabtu, 24 Ogos 2013

Bulan di Bagan Lalang

Kau rasa sendiri bila sendiri? Haha. Soalan yang tiada erti. Aku kini tinggal seorang, tidak lagi bersama kedua orang tua. Mungkin bagi setengah orang ianya bukan apa. Tapi bagi aku ini bagai tamparan hebat juga.

Sejak aku berpisah dengan teman serumah, setahun dulu, aku tidak pernah tinggal seorang.

Dan lebih getir lagi kerana aku sedang cuba untuk tidak memperdulikan Deanna.

Aku nak, kali ni aku tidak mengharapkan apa-apa dari dia.

Bersendiri begini perkara yang baru bagi aku. Walaupun aku selalu mengetahui perkara ini akan aku tempuh juga. Dan aku sudah tidak gemar keluar. Lebih gemar dirumah. Atau, keluar jauh untuk menemui rakan-rakan.

Bersendiri begini buat aku perlu menjaga diri lebih. Jaga kesihatan, kawal keinginan, jaga solat.

Rakan-rakan cuba membantu dari jauh. Alhamdulillah.

Semalam, melihat bulan di Bagan Lalang, aku lihat ia begitu sunyi, dikelilingi kegelapan.

Sekurangnya, aku masih lagi boleh memetik suis lampu dengan dayaku :)

Ahad, 18 Ogos 2013

The last pillar: Tiang yang akhir

Disatu ketika, aku melenting apabila seseorang mengatakan pengkid menolak akidah. Aku berasa amat marah. Sangat-sangat marah. Aku rasa macam nak pancung orang yang sedap mulut berkata. Kau tu dah lahir lengkap sebagai lelaki dan resam kau memang maskulin, boleh lah kau cakap macam tu. Cuba kalu lahir sebagai lelaki, tapi kau suka pakai gaun, kau suka memasak, kau suka lelaki, hah baru kau tahu langit tinggi rendah.

Mudahnya, kau menuturkan kata. Dasar lelaki keparat.

Ha, macam tulah marah aku.

Dan disatu hari..


 entah bagaimana aku terbaca  gambar diatas dari gambar-gambar di muka buku.

Beriman dengan qada dan qadar, buat aku tersentak. Bagaimana tanda beriman dengan qada dan qadar?



Lalu, adakah semua ketentuan Allah tidak boleh diubah? Ada yang boleh diubah, ada yang memang telah ditentukan. Itu pendapat aku. Dan kelahiran kita didunia adalah antara takdir yang tidak boleh diubah. Terutama jantina.

Melainkan seseorang itu khunsa. Iaitu mempunyai dua alat jantina atau sistem peranakan. Persoalan khunsa atau tidak seseorang itu, hanya dapat diketahui oleh tuan empunya diri sahaja, dan golongan khunsa ini berhak mendapat jantina yang mendominasi tubuhnya.

Jika anda berpakaian seperti jantina lawan, dengan niat untuk menyerupai jantina lawan dengan sengaja,  dimana sifat redha dan berimannya anda pada tiang iman yang ke enam? Mungkin ramai yang kata..kerana perkerjaan, kerana cara hidup. Ya. Terpulang, semuanya atas niat anda. Niat anda pada tuhan.

Jika anda mempersoalkan kenapa anda dilahirkan sebagai perempuan, dimana percaya nya anda pada qada dan qadar.

Jika anda membenci diri anda yang dilahirkan bukan dengan jantina yang anda kehendaki, dimana sifat Islam anda yang bermaksud menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah?

Lalu salahkah andai anda dikatakan telah hampir kepada menolak akidah Islam?

Berapa ramai antara kita yang mengamuk andai dikatakan bukan Islam? Tapi, berakidah Islamkah kita sebenarnya? Dalam sedar tak sedar ramai antara kita yang kelam akidah, termasuk aku bila aku meratap tangis, kenapa aku bukan lelaki lalu aku tidak boleh menikahi kekasihku.

Redha dengan siapa anda sewaktu anda dilahirkan, khususnya bab jantina. Kalau lahir lelaki, tetapi lembut, kalau lahir perempuan tetapi maskulin, semua itu tidak menjadi salah dimata Allah. Jadi sahaja lelaki, walaupun lembut, jadi sahaja perempuan, walaupun kasar. Asalkan sahaja tidak membenci kejadian sendiri dan mengikut kehendak diri yang Allah tak redha.

Aku hanya memberitahu, jauh sekali menghakimi.

Moga setiap kita, mati sebagai hamba ALLAH.Amin.

Khamis, 15 Ogos 2013

Misfit, aku sedar aku siapa

Semalam, aku berbincang dengan dia secara santai. Kami dengan rasminya cuma sebagai kawan kini.

Sedih juga.

Setelah aku masih sayang pada dia, akhirnya ya, mengalah. Sayang apa pun aku pada dia. Aku bukan siapa-siapa. Kerana keputusan aku untuk tidak lagi menjadi teman sekamar.

Lepaskan.

Dan harini, aku masih lagi msngajaknya untuk ke tutti fruity. Dia menolak, alasannya sibuk dengan latihan debatnya.

Ditakdirkan, bila aku mengajak kawanku yang juga terkejut kerana aku tidak pernah mahu mengajak sesiapa keluar, menemani aku, kami terserempak. Ya, dia keluar ke kedai aiskrim juga, dengan kawan sekuliahnya.

Aku menegur, membuat muka ceria. Mulanya aku tiada apa-apa, ya mungkin dia baru habis latihan debat dan ada masa bersama kawan. Apa salahnya.

Salahnya ialah aku.

Kerana aku masih menyayangi dia, walau sedar aku bukan siapa-siapa lagi.

Aku ingat aku kuat. Bila kami dengan rasminya mengatakan kami hanya kawan.

Aku lah yang tak sedar diri. Aku bukan kawan sekuliahnya. Aku juga bukan pengkid seperti yang dia harap-harapkan dulu.

Harap aku dapat sedar, kasih ini telah terlalu banyak menjadi racun buat aku. Cinta ini telah terlalu banyak memusnahkan aku.

Dan aku telah terlalu tua dan juga letih untuk itu semua.

Biar derita itu yang membuat aku bahagia.

Cinta yang Allah redha kadangakala terlalu mahal buat sesetengah orang, bukan sekadar untuk orang macam kita sahaja, tapi untuk orang-orang lurus juga.

Namun adakah hidup ini sekadar untuk memburu cinta manusia?

Pasti sekali-kali tidak.

Jumaat, 9 Ogos 2013

Analisa diri 1 Syawal

Malam ini, 1 Shawal.

Dan aku berada dirumah aku, melepaskan diri dari tradisi keluarga. Tak tahu samada aku akan berpatah balik esok.

Malam syawal, ada beberapa perkara yang mengganggu emosi aku. Menerima wechat audio dari seseorang yang aku tahu mengasihi aku, menerima sms dari seseorang yang kawan aku baru kenalkan pada aku, dan menerima satu lagi wechat dari seseorang yang pernah hadir dihati aku.

Walhal, hati aku amat merindui pada seorang hawa yang dulunya menjadi teman tidur aku.

Dengan berat aku melepaskan ramadhan.

Dalam hidup aku, cuma ada seorang yang amat aku yakini untuk hidup bersama, dia, bukan yang Allah redha. Bila datang seorang Adam, hidup aku akan jadi sukar, jadi serabut, jadi tertekan, mungkin akan buat bahagia sekadar secicip cuma, tapi kegusaran yang akan lebih menghempap kepala aku.

Aku ingin hidup bebas berlandaskan jalan yang benar. Aku ingin hidup bebas tanpa keluarga menjadi ujian hebat. Aku ingin hidup berjuang, tanpa ikatan yang mengcengkam.

Tiga ujian besar aku sekarang ialah:

1. Keluarga.
2. Deanna
3. Keinginan berkeluarga.

Keinginan itu ada, tapi yang hadir tak dapat meyakinkan aku, membuatkan aku takut dengan risiko. Dalam waktu yang sama, hati aku makin ingin mendampingi Deanna lagi, seperti dulu-dulu. Bila aku sibuk, keinginan itu mati, tapi bila ruang masa mula percuma, aku mula leka.

Dan keluarga, ujian makin menekan, kadangkala tak tergalas dibahu.

Cita-cita ku, aku ingin menjadi tenaga pengajar di pusat pengajian quran yang aku ikuti sekarang, dan aku ingin mengikuti mana-mana latihan pendakwah. Tinggi kan cita-cita aku.

Bila ada tekad, hati aku sedikit tenang. Sekurang-kurangnya menjadi azimat pada ku untuk menjaga diri.

Kelemahan aku:

1. Masih belum cukup kuat menentang cinta pada manusia.
2. Selalu gagal menyampaikan idea dalam berbicara.
3. Amat lemah dalam berhujah. Walau yakin akan bukti dan prinsip.
4. Akhlak, akhlak,akhlak. Masih terlalu fakir.
5. Ibadat masih terlalu banyak yang perlu diperbaiki, paling utama, harus kukuhkan solat.

Bagaimana andai seluruh hidup aku, aku laburkan untuk mengejar cita-cita aku tadi?

Mengapa tidak?

Inshaallah.

Yang penting, aku wajib kekal berada dijalan yang benar. Terlalu banyak sudah masa yang aku sia-siakan.






Jumaat, 2 Ogos 2013

Single itu Indah

Bullshit.

Ia derita..
Ia sengsara..
Ia gelap..
Ia sakit..
Ia menyesakkan..
Ia menghimpit..
Ia tawar..
Ia..

Sepi.

Semuanya kau boleh ganda 7, andai orang yang pernah kau cintai dan buat kau bahagia, duduk dan tinggal, tidak sampai 200 meter dari tempat kau menaip ini. Waktu kau sedang menaip ini, dia juga sedang sibuk dengan kehidupannya, cuba untuk sibuk.

Tadi, aku duduk sebentar dikamarnya, menghantar juadah lebih berbuka. Dia menjamuku dengan secangkir teh hijau. Melihat dia, nafsuku menggebu, namun dapat kubuang jauh. Ini ramadhan, kalau tak hormat pun jangan jadi bangsat.

Hati menderu, meminta aku memenuhi pelawaannya untuk tidur. Tapi, otak masih dapat berfikir ligat. Baik kau angkat kaki sebelum, nafsu mula menyeru.

Lalu, aku kembali ke kamar aku. Sepi. Hanya dengan satu kalimah itu cukup mendefinisikan.

Lagi 10 minit jam 12. Mata aku masih segar. Ya, Tidurlah, moga kau dapat bangun sepertiga malam. Ini ramadhan, bulan istimewa. Jangan kau layan hati.

Kau single, kau sepi, kau kerinduan. Tapi kau ada tenang yang tidak boleh dijual beli.

Senyum, sayang, moga apa yang buat ini untuk Allah.



Isnin, 29 Julai 2013

Menghakimi, bukan aku.

Dimana aku berdiri?

Usai usrah dan gathering minggu lepas, alhamdulillah syukur yang amat sangat. Dapat jumpa kembali adik-adik, kawan-kawan yang berada dijalan yang sama.

Dan pulang dari bulatan kegembiraan itu, aku mula rasa aku perlu menyatakan pendirian aku, kepada pembaca blog, yang senyap atau tidak.

Aku tak pernah berbangga dengan pengalaman yang lepas. Entri-entri aku yang lepas telah memaparkan pencarian aku. Perlukah aku ulang apa pendirian aku?

Aku, memegang pendirian,. seks diluar nikah itu haram. Lalu tiada ruang untuk hubungan seksual samaada anda gay atau tidak. Jika anda tidak mahu orang mempersoalkan tentang kisah bilik tidur anda, apa perlunya anda mengaku dan berbangga bahawa anda adalah gay?

Jadi definisikanlah diri anda sebagai, teman serumah, rakan, sahabat, kalau anda yakin itu adalah anda.

Apabila anda dan pasangan saling merasakan diri dan mewar-warkan anda adalah suami isteri dalam satu perkahwinan, disitu datangnya hukum menafikan akad nikah didalam Islam dan mazhab shafiie. Dalam Islam, cuma mengiktiraf anda adalah suami isteri apabila berlakunya akad.

Jika aku menghakimi, itu bukan aku. Aku cuma berpegang pada apa yang aku yakini. Dan dalam masa yang sama aku menerima diri aku, dan juga sesiapa sahaja yang membawa kepada niat kepada kebaikan. Aku tidak pernah peduli siapa anda, punya partner atau tidak, gay atau tidak.

Aku pernah hidup punya partner dan aku tahu apa yang sukar dan apa yang mudah.

Aku terima orang straight dan aku juga sedar aku tergolong dalam orang yang tidak straight. I am one of PLU but I never proud of it.

Pendirian aku, aku tidak bersetuju dengan mana-mana individu yang menyatakan gay itu halal. Aku paling yakin ini, dan aku amat tenang ini. Ini adalah ketenangan yang paling tenang aku kecapi setelah bertahun menjalani kehidupan yang meresahkan.

Namun, menghakimi adalah bukan sikap aku, kerana itu aku menerima sesiapa sahaja sebagai rakan.

Jika anda tidak rasa bersalah, tidak perlu pula menjatuhkan hukum kepada orang lain. Kebenaran tidak perlukan hakim.


Rabu, 24 Julai 2013

Berkasih atau tidak, berpartner atau tidak..

Alhamdulillah, syukur untuk hari ini dan semua nikmat-nikmat yang Dia beri. Tidak semua doa kita Allah makbulkan sekelip mata, tapi terlalu banyak nikmat Allah yang kita tak minta, Allah tetap bagi percuma. Pernah minta oksigen? Pernah doa minta mata boleh buka, tapi tetap setiap pagi kita boleh buka mata. Alhamdulillah.

Dalam ramadhan ni, ada beberapa doaku yang Allah makbul on the spot. Gerun pula aku. Tak mengapa setiapnya aku terima dan moga Allah didik aku untuk redha, hidup sekadar ujian, nikmat pun ujian.

Beberapa hari ini, atau beberapa minggu kebelakangan ni, ada rakan-rakan bercerita padaku, tentang niat hati ingin berubah tapi, masih takut untuk melukakan hati partner, takut nak meninggalkan partner, kerana telah lama hidup bersama.

Salahkah berpartner? Walau tiada lagi hubungan atas katil.

Sukar aku nak jawab. Dalam salah, ada baiknya, dalam baiknya ada membuka ruang untuk salah.

Dalam pada itu, aku menghormati rakan-rakan yang dapat membawa insan yang mereka cintai kejalan yang lebih baik. Bersama, berdua, pergi majlis-majlis agama, sama-sama jemaah solat. Indah kan?

Dalam pada itu mereka juga berjaya mengekang nafsu!

Memang amat aku hormati dan kagumi.

Kalau tanya aku, aku tak mampu. Dan sejujurnya, cukuplah aku telah berjaya keluar dari perhubungan itu. Kerana, aku orang yang belum berjaya mengekang nafsunya.

Bagi yang berpartner, masih belum dapat berhenti hubungan intim. Cuba mulakan dengan diri. Buatlah apa sahaja yang mendatangkan kebaikan dan lebih menenangkan hati, doa banyak-banyak...Allah dengar..yang penting usaha. Setiap usaha Allah pandang.

Namun andai anda telah solo, tak perlulah mencari, tak perlulah meminta pasangan. Bagi aku jika anda solo, Allah bagi peluang untuk lebih dekat pada DIA, lebih bergantung pada DIA, lebih sedar akan kewujudan DIA. Allah sebenarnya bagi peluang yang lebih hebat.

Seorang rakan bertanya pada ku..

"Akankah orang lain menghakimi saya, saya nak ke majlis ilmu, tapi saya ada partner"

Awak, usaplah air mata, pandang pada saya, dan ingat satu perkara.. Dalam hidup ini, tidak perlu fikir apa yang orang kata, tapi fikirlah apa yang Allah kata. Allah pandang usaha awak, Dia tahu, setiap niat dihati awak, Dia lebih dekat dari urat leher awak. Saya tahu awak telah lelah, ada kala awak rasa putus asa dan ingin menghentikan hayat, kerana lelah dengan cinta manusia dan dosa. Tapi, Dia sayang awak, lalu Allah datangkan rasa resah itu pada awak, sebab Dia nak awak mula datang pada DIA.


"....(Wahai Muhammad), maka katakanlah: "Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang yang mengikutku...." Al-i-imran ayat 20





Jumaat, 19 Julai 2013

Nikmat 10 ramadhan yang pertama 2013

Salam Jumaat :)

Hariini 10 Ramadhan, Alhamdulillah. Aku tidak tahu apa yang akan terjadi esok kerana aku bukanlah penilik nasib. Namun aku amat amat syukuri 10 ramadhan pertama ini.

Tahun ini aku belajar nikmat berpuasa. Pada sabtu dan ahad lepas, aku diserang gastrik buat pertama kali dalam hidup aku. Ya, akibat selama ini aku amat pergunakan nikmat boleh makan apa sahaja yang halal. Dan aku adalah penggemar makanan pedas yang amat. Bila aku disua ubat pil setelah mendapat suntikan penahan sakit di klinik. Tanpa sedar aku terasa sayu.

Secara jujur aku bukanlah alim sangat, aku bukanlah baik sangat. Dulu-dulu aku selalu juga ponteng puasa, curi-curi makan dan kadangkala gembira bila datang waktu 'Allah bagi cuti'. Dulu aku mana kira ramadhan ke tak, semua aku tak suka.

Keluar klinik, masuk kereta, dengar pula radio yang sedang ceritakan nikmat orang berpuasa. Pahala dan ganjaran puasa, Allah simpan sebagai haknya. Sebagai rahsianya. Dan orang berpuasa ini, jika tulus kerana Allah, setiap perbuatannya adalah ibadatnya, laparnya, letih dia, semua Allah tahu dan kira. Allah seolah mewar-warkan bahawa dia hak Allah.

Bayangkan, orang yang sayang kita, cinta pada kita, bagitahu satu dunia, kita ni adalah milik dia. Bukankah itu kegembiraan yang agung, pada semua kita yang sering mencari cinta.

Masa tu, baru aku sedar, selalu terdengar keluhan rakan-rakan yang dalam rawatan ubat, mengadu sedih tak dapat puasa. Baru aku faham perasaan mereka.

Alhamdulillah, cuma dua hari. Tapi rakan-rakan aku, ada yang tidak mengjangka, ramadhan yang lepas adalah kali akhir mereka dapat berpuasa.

Bagaimana andai nikmat puasa untuk ramadhan kalini adalah yang terakhir. Ya Allah, hilang satu nikmat yang agung.

Dan selain ukhwah bersama rakan-rakan GNY didalam whatssap dan FB yang saling berkongsi tazkirah dan audio bacaan mengaji, tak kurang juga yang suka menyanyi menghibur hati, hehe. Aku berpeluang bertemu dengan seorang sahabat yang banyak menyokong aku sejak blog ini mula menyentuh tentang PLU. Sahabatku, yang beravatar kucing comel di FB, Allah pinjamkan sehari untukku.

Aku berpeluang iftar bersama keluarganya dan kemudian terawih di masjid negeri, yang selalunya aku akan elak kerana bilangan rakaat yang banyak. Malam tu kami berbual panjang dalam perjalanan, tentang dunia PLU dan pertembungan dunia kami dengan golongan agamawan. Latar belakang dia dan aku amat berbeza, fikrah Islaminya banyak menyekat naluri yang menjadi persamaan antara aku dan dia.

Kawan, aku rindu berjemaah subuh denganmu.

Ramadhan kalini, juga aku belajar apa itu Talaqi. Belajar dengan al-baghdadi Learning Center aku dapat lihat peluang untuk aku belajar quran terbentang luas. Sangat-sangat syukur pada yang esa, memberi aku keberanian mendaftarkan diri di pusat pengajian itu awal disember lepas.

Banyak sungguh nikmat, bila mencari jalan kebenaran. Terlalu banyak nikmat ujian dan nikmat kegembiraan. Lalu kawan, jangan gentar, yakinlah dengan sifat penyayang Allah. Bila kau bertekad untuk meninggalkan kepalsuan, Allah akan membantuMu dengan setiap jalan dan cara yang unik.


Selasa, 16 Julai 2013

K.A.M.I Jalan Pulang.

Hariini Ramadhan ke 7. Hariini dan sejak akhir- akhir ini aku menemui apa yang aku cari sewaktu aku mula-mula menekan button 'create' kepada group Jalan Pulang.

Dan aku menemui mereka dalam perjalanan ke Program GNY.

Kami berlima, dan aku tidak dapat menyatakan siapa, kerana faham akan privacy antara kami. Setiap kami ada kelebihan masing-masing. Dan saling melengkapi. Aku tidak lagi sendirian dalam menjalani perjuangan aku. Deanna tidak lagi menjadi teras dalam hidup aku. Walaupun Deanna kini duduk amat hampir dengan kediaman aku, tapi kami melansungkan kehidupan masing-masing tanpa banyak pertemuan. Walaupun, rasa sayang itu kadangkala masih sukar untuk didefinisikan.

Selain adik-adik GNY yang sering menceriakan hidup kami di whassap group, kami selalu juga berkongsi apa-apa tazkirah atau apa sahaja ilmu mana yang ada. Kadangkala kami hampir berkongsi hidup, mengemaskini apa yang kami lakukan, mengemaskini masalah-masalah yang kami hadapi, dan kami semakin saling mengenali, inshaallah kami saling doa moga ukhwah ini akan bawa kesyurga.

Walau kadangkala kami menakal juga sampai tak ingat dunia,haha.

Dari kami, ada yang banyak menghafal doa, suka mengaji, ada yang amat ceria dan manis lebih dari gula, dan indah orangnya, ada yang sentiasa boleh menjaga dan melindungi, dan tak kurang juga ada yang manja (erkk.aku kah? bukan aku seorang kot). Antara kami ramai yang mempunyai asas agama yang kukuh, dan kami saling berkongsi, dalam pada tak sangka, ramai yang dapat memberi input.

Akhirnya, aku temui mereka. Kalau aku fikirkan balik, Waktu aku bermula, dari titik pertemuan yang Allah izinkan aku menemui AHP Positive yang kini adalah Presiden Pertubuhan Positive Warriors Malaysia, kemudian aku banyak mengorak langkah melalui sokongan beliau.

Walau persahabatan ini adalah sesuatu yang aku impikan setahun dulu, namun aku yakin ianya bukanlah penghujung perjuangan ini. Ianya adalah permulaan kami. Dan bila ada orang kata, tulah sibuk nak create group..sibuk nak buat itu ini, bagi aku itu semua perancangan Allah, hati aku tergerak..dan Allah yang gerakkan. Apa pun kesilapan yang aku buat dan ujian yang aku tempuh adalah didikan dari Yang Esa.

Cabaran paling utama, adalah, istiqamah. Tidak tenggelam dalam nikmat yang Allah beri.

Yang paling utama, yakin dengan apa yang aku perjuangkan.

Kepada pembacaku, yang akhir-akhir ini muncul dan meluahkan, awak perlu buat keputusan untuk diri awak sendiri, dimana akhirnya hidup ini. Tanam dalam diri tekad untuk bertemu Allah dalam keadaan Dia redha pada awak. Dan untuk itu, mungkin banyak yang perlu diubah dalam hidup, banyak yang perlu diusahakan.

Kepada semua, moga cinta ini Kerana Allah. Dan Inshaallah aku juga akan tidak akan melupakan niat dan tujuan saya waktu membuka group Jalan Pulang, iaitu kepada semua PLU.

Note: Gambar tu terlalu ayu, maaf. Tapi terlalu indah kan.


Jadi inilah gambaran kami sebenar..kot

Tapi dikalangan kami sebenarnya ada sekuntum mawar, susah nak cari gambaran tu, Haha.

Jumaat, 12 Julai 2013

PLU, stigma dan prejudis

Situasi A:

Lisa: Aku menyintai kau, semua dunia ini berputar diatas dirimu, Sara.
Sara: Tapi, yang, my mum dah dapat bau tentang I dan U, I rasa kita kena slow down.
Lisa: Tapi, I tak boleh tak jumpa you, dunia ni macma kelabu je bila tak dapat jumpa you. Arghh, your mum tak faham la.
Sara: I tahu, masa you pergi kursus haritu, I giler rindu dekat you. Tapi my mum dah tak bagi jumpa you lagi. 
Lisa: What??? Ah...macamana ni.

Situasi B:

Mak: aish, saya tengok anak kita tu melekat je dengan si Lisa tu, kesana kemari dengan budak pengkid tu, nama Lisa, cantik dah, tapi perangai mengalahkan jantan.

Ayah: Hmm, nak buat macamana dah dari dulu si Lisa tu macam tu.

Mak: ish, haritu, saya nampak mereka berpeluk-peluk dalam kereta, ishhh, tak senonoh.

Situasi A + Situasi B:

Mak: Budak-budak pengkid ni tak tahu ke yang diorang tu haram, macam jantan tu haram, berkepit dengan perempuan sesama jenis tu haram. 

Lisa: Ya, allah kenapalah sukarnya aku nak melupakan dia, kenapalah aku ada naluri ini, kenapa kau lahirkan aku dengan naluri ini. Argh, mak si Sara ni pula memang tak faham, aku dan anak dia cinta suci!

Situasi C:

Sekumpulan lelaki: Woi, pengkid, kalau aku rogol kau, kau mengandung tak?!


Ini adalah contoh segala picu stigma dan prejudis. Kalau boleh aku katakan, umpama katak bercakap dengan itik. Katak terus meng ong-ong dan itik terus menyudu.

Orang heterosexual, penuh dengan rasa jijik terhadap PLU dan kebencian terhadap manusia jenis kami.

Orang homosexual, menyampah dan juga penuh dengan dendam kesumat terhadap orang heterosexual.

Lalu dimana titik pertemuan?

Golongan agama dianggap tidak memahami tetapi cuba menyampaikan dakwah. Dan golongan yang didakwah akan terus-terusan menganggap  golongan agama ini golongan yang harus dijauhi.

Kesannya? Dakwah tidak sampai, dan golongan PLU akan semakin tergapai-gapai, ada yang mencari, ada yang hilang. Sedangkan berdakwah itu wajib sebaik sahaja seseorang itu beragama Islam dan tahu erti syahadah.

“If you want to do da'wah to a person, do da'wah to them, not about them.”

Imam Omar Suleiman


Setiap manusia saling memerlukan, kalau nak diwujudkan masjid untuk PLU itu tidaklah menepati nilai Islam yang universal. Kenapa tak sahaja diminta satu planet yang semuanya PLU, perghhh fantasi aku tu, semua satu planet ni perempuan. Dan untuk lelaki satu planet yang lain pula. Bila dah nak pupus, barulah dipaksa membiak. Ambik kau, nak?

Pertama sekali, aku selalu sampaikan pada kawan, dan semua orang PLU ni kadangkala cemburu nak mampus, dekat orang straight yang boleh menghalalkan naluri mereka. Kerana nafsu itu fitrah, lalu sakit jiwa lah orang yang sukar untuk mencari redha Allah dengan nafsu.

Benar, setiap manusia ada ujiannya, dan sebesar-besar nikmat adalah iman. Seperti dakwah kepada non-muslim, andai seorang pendakwah Islam gagal memahami agama atau kepercayaan non-believer itu, adalah sukar untuk pendakwah itu menyampaikan dakwahnya. Bolehkah anda berdakwah dengan mengatakan..

"Babi ni haram, dahlah kotor, tu pasal agama Islam is the best"

Kalau tak kena penampar, dah cukup baik.

Takkah sama dengan..

"Tahu tak gay ni haram, Islam laknat"

Benar, kenyataannya betul, tapi adakah dakwah akan sampai, adakah kebenaran itu akan sampai pada hati orang yang didakwah, tidak. Sukar.

Andai ada yang menganggap, memahami golongan PLU adalah sukar dan meletihkan, maka, sabar sahaja penawarnya. Umpama seorang Psychiatrist dengan pesakitnya, jika tidak tahan, mungkin akan menzalimi pesakit dan dirinya sendiri.

Apa yang aku ceramahkan ni?

Aku juga pernah berkali-kali putus asa dengan kawan-kawan PLU sendiri yang resam manusia pelbagai, entah esok lusa aku gagal lagi dan putus asa lagi. Dan sebagai seorang yang cuba untuk menambah ilmu, aku tidak dapat lari dari menghormati ustaz di tempat mengaji, ustaz yang memberi ceramah, ustazah yang adalah bini ustaz tempat mengaji tadi.(lol)

Benar, hanya PLU yang memahami PLU, tetapi hidup ini tidak akan berlansung dengan indahnya hanya dengan PLU sahaja. Dan benar, PLU ini pengamal aktiviti yang Allah larang, tapi andai anda tidak memahami kami dan tidak cuba membawa kami mendekati jalan yang benar, dimasa depan bagaimana anda nak memahami andai ada insan yang anda sayang adalah peminat kaum sejenis.

Islam tidak pernah menghalalkan stigma dan prejudis.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...