Halaman


Memaparkan catatan dengan label aku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label aku. Papar semua catatan

Sabtu, 19 Disember 2015

hentian sang kembara

Hujung minggu lepas aku pergi waterpark sendirian, haha. Satu kerja yang agak gila. Melihat orang lain dengan anak-anak, aku agak kesal tak bawa anak-anak saudara. En. Somi tak berapa sihat haritu dan dia rela lagi menjaga abah dari pergi waterpark. Aku faham, dia tak gemar tempat orang ramai, seperti aku juga, tapi aku masih hidup dahagakan adventure. Penat juga di waterpark, dan disitu baru aku sedar, aku dah tua. Haha. Anak-anak panggil aku makcik, bukan lagi kakak.

Satulah aku dari dulu memang tak gemar orang panggil aku puan, makcik, kakak. Entahlah, entah bila rasa itu akan pergi.

Dan aku juga dalam perbincangan untuk tubuhkan sebuah NGO yang akan meliputi isu LGBT,HIV dan golongan berisiko.

Akhir-akhir ini aku akui, aku hanya boleh melakukan aktiviti-aktiviti yang berskala kecil, aku dan suami dah susah nak travel ke KL, untuk urusan-urusan aktiviti NGO. Abah bersama kami kini.  Jadi samada kami bergilir, bawa abah, atau melepaskan sahaja jemputan.

Ianya juga sedikit membataskan pergerakan aku yang dah biasa kemana sahaja. Namun bila aku fikir dalam-dalam, dia abah aku, yang mengajar aku mengaji dan solat, biarlah aku menjaga dia semampu aku, bagi masa yang masih berbaki.

Entah berapa lama lagi aku ada, entah berapa lama lagi dia ada.

PS: Sang Sembunyi, kenapa private blog kamu?

Sabtu, 28 November 2015

Orang macam aku

Siapapun kita, ujian tu sentiasa datang dan keinginan tu kadangkala sangat menghantui. Malah kemanisan yg orang lain lihat,terasa tawar dihati kita, dan apa yang orang lain rasakan kelat,menjadi sangat-sangat manis dihati kita.
Allahu.
Allahu.
Allahu.
Hanya kaulah yang maha Mengetahui. Hanya kau sahaja.
Sang iblis datang dari segenap arah,kadangkala kau lemah,walau kau tahu gagal tidak boleh ada dalam pilihanmu. Lalu,kau hanya bertahan walau hati sangat koyak, bagaikan kain buruk yang menanti rabak. Jiwa bagaikan perisai yang berlubang-lubang dek ditembusi pedang yang bertalu.
Dunia seolah tanpa warna, kerana hati sedang jerih menolak gagal.
Kadangkala bertanya bila semuanya berakhir. Namun selagi bernafas ia takkan bernoktah,kawan.
Redha Allah.
Jannah..
Bukan percuma.
Allahu.
Allahu.
Kuatkan hati kami.

...

Orang macam aku, hanya mampu meluah dengan kata-kata yang kelam. Sering orang menyangka, aku telah berkahwin, lalu ujian aku dah selesai, dah habis. Kadangkala aku sekadar senyum, bila kawan sendiri berkata demikian. Walhal kawan itu dulu yang mengatakan kalaulah ada button on/off untuk plu. Dan tidak waras andai kau menyangka dengan sebuah akad, maka kau berjumpa button off itu. Silap sayang.
Orang macam aku, cuma hati yang kena kuat. Kerana yakin apa yang aku buat betul, dan itupun syaitan akan jadikan modal setiap saat. Hati, anytime berbolak balik. Kadangkala ada saat hati tu terlintas juga yang bukan-bukan. Dan ada juga menyangka dengan kahwin, lalu kau jadi straight, nope, kau cuma belajar menerima fitrah.
Orang macam aku, kalau aku kata aku gagal, orang akan panggil aku pengkhianat pada ikatan yang sah itu. Tanpa sekelumit pun faham, akan usaha dan perjuangan hati yang kadangkala boleh jadi lemah bila-bila masa.
Hidup macam roda, harini kita menasihati, esok lusa kita pula perlu nasihat. Sejak akhir ini, setelah kehilangan seorang mentor, aku sebenarnya banyak bergantung pada kekuatan diri sendiri. Moga Allah sentiasa memberi kekuatan itu. Dia sebaik-baik tempat pergantungan. Tanpa Dia, debu aku pun takkan ada.

Jom, banyakkan baca ayat-ayat cinta Dia bila hati merusuh.

Langit dan masjid selalu indah

Khamis, 26 November 2015

Sekadar sementara

Kini ayah tinggal bersama kami, kekasih kini fulltime househusband, demi untuk menjaga ayah yang perlukan pemerhatian. Kadangkala aku tidak tahu bagaimana untuk berterima kasih atas pengorbanan dia. Ayah kini dalam rawatan pskiatri, sebulan sekali di hospital. Walaupun semuanya umpama repeatation yang kadangkala agak melelahkan namun, sentiasa aku doa moga kami sentiasa diberi kesabaran, demi keselamatan ayah.

Aku juga dalam rawatan pcos aku, ketidastabilan hormon yang aku hadapi rupanya banyak memberi jawapan kepada semua yang berlaku dalam hidup aku. Namun tidaklah memberikan jawapan yang mutlak.

Deanna kadangkala aku hubungi bertanya khabar, kata dia aku dan dia tetap akan berkasih sehingga bergelar warga emas, aku cuma senyum. Andai kasih ini ada, sentiasa kumohon untuk dilenyapkan. Kerana kekasih halal ini telah terlalu banyak berkorban dan menerima aku seadanya, andai dia pergi saat umur aku masih berbaki,kumohon agar tidaklah aku kembali pada cinta yang tidak ada redhaNya.

Hidup ini sementara, entah amal apa yang aku bawa. Aku ingin tenang-tenang sahaja, menguatkan diri dan menjalankan amanah yang ada ditangan.

Jumaat, 6 Mac 2015

PCOS dalam aku

Pertengahan bulan februari lepas, aku mendapat keputusan dari sample rahimku. Aku di diagnos PCOS. Aku yakin semua yang membaca blog ini boleh meng google tentang penyakit ini sekiranya tidak tahu. Penyakit ini tidaklah merbahaya, tidak lah kritikal. Cuma ia sebenarnya banyak membentuk hidup aku dulu, dan untuk masa depan, aku masih tidak tahu.

Rupanya, ketidak seimbangan hormon adalah antara simptomp PCOS. Ada rasa sedikit ralat kerana aku membiarkan sahaja keadaan ini berlarutan hingga keusia ini.

Masa remaja dulu, aku selalu berkata pada diri, seronoknya andai aku menjadi lelaki, tiada dada untuk diselindungkan, dan pelbagai lagi kehendak yang kononya akan merungkai masalah jiwa aku waktu itu. Lalu apa bila menyedari tubuhku mengalami gangguan hormon, yang waktu itu aku telah sedari, namun sekadar membiarkan, kerana ada sedikit rasa gah disitu. Yeah, betullah aku bukan ditakdirkan untuk menjadi 100% perempuan.

Rupanya berat badan mudah naik juga antara simptom penyakit ini. Yeah menurunkan berat badan adalah battle yang aku hadapi sejak remaja.

Dan diusia dewasa ini, semuanya menjadi jelas dan sedikit sukar bagi aku. kalian tahu, secebis dalam hati aku masih ada sedikit tidak redha menjadi perempuan dalam kehidupan ini? Itu kelemahan aku, yang Allah mahu mendidik aku untuk belajar tentang itu.

Sesungguhnya setiap manusia ada jalan dan ujiannya sendiri.

Penghidap PCOS tidak mudah mempunyai zuriat seperti orang-rang lain. Ya, ia bergantung pada rezki dan takdir, namun orang pcos harus menjalani pelbagai rawatan seperti suntikan hormon dan sebagainya untuk ovum mereka dapat disenyawakan.

Gangguan kitaran haid yang dulunya sangat aku gemar dan sangat selesa tentang itu, rupanya tanda hampir tepat bagi penyakit ini. Kalau minda aku masih seperti remaja dulu, pasti aku lebih lagi membenci tuhan kerana melahirkan aku sebagai perempuan.

Tak bolehkah aku mengidap penyakit yang unisex sikit supaya aku tidak perlu berulang alik ke klinik O&G itu? Hahah. Maaf omelanku.

Kadang-kadang ujian-ujian hidup ini memang Allah takdirkan untuk kita belajar dan membentuk diri menjadi redha.

Aku melontarkan satu pertanyaan dangkal kepada doktor, boleh tak andai rahim aku dibuang sahaja, supaya aku tak perlu menghadapi ini semua. Doktor itu agak terkejut dan memberi jawapan yang memperlihatkan fikiran aku yang tidak normal. Separuh dari diri aku kadangkala putus asa menjadi perempuan. Dan tiada siapa yang memahami.

Subhanallah, bukan kah terlalu banyak nikmat yang telah diberikan dan aku nikmati. Adamku puas menenangkan aku, katanya dia tidak mahu fikir tentang zuriat, dia mahu aku sihat, kerana andai aku tidak berusaha untuk kembalikan kitaran hormon yang seimbang, rahim itu akan mempunyai peluang yang lebih kepada kanser.

Ya, semua kita berpeluang mendapat kanser tanpa mengira siapa, nama bila diberitahu angka 1% itu berada didalam fail perubatan kita,tidaklah mudah untuk tenang.

Sesungguhnya, nikmat manakah yang mahu didustakan. Bila semua ujian adalah untuk semakin mendekatkan diri seorang hamba kepada tuannya.

Sabtu, 21 Februari 2015

Nikmat tab mandi.

Satu hari nanti saya nak beli bath tab. Tak tahula akan tercapai atau tak. Kadang-kadang saya fikir,banyak betul keinginan kita untuk dunia ni. Walhal saya tak tahu berapa lama akan hidup.

Dulu saya rasa macam lama nak tunggu kesedihan pulih. Dan juga cinta tu hilang. Rasa macam lama sangat nak keluar dari jerat yang sangat menyakitkan.

Tapi Alhamdulillah, Allah bagi peluang.

Kadang-kadang,kita selalu ingat keluh kesah sahaja,kita lupa dengan nikmat yang Allah beri. Ada hadis mengatakan lebih kurang begini, orang yang leka dengan nikmat dunia bila bangun dan takutnya menghadapi hari-hari di padang mahsyar,bila ditanya malaikat,ingatkah dia akan nikmat dunia,dia seolah lupa lansung dengan kenikmatan itu.

Begitu juga dengan mereka yang menderita menahan sabar di dunia,apabila diberikan buku amalan ditangan kanan dan apatah lagi bila berjaya melepasi titian sirat dengan baik,mereka lupa pedih peri didunia.

Ya Allah,entah apa yang aku dah buat didunia ini,entah aku leka,entah aku ingat.

Rabu, 11 Februari 2015

Sejenis cryptonite

Aku bukanlah superman. Tapi setiap hari adalah perjuangan buat aku. Cinta itu kadangkala sekadar ujian di dunia.

Bila mesej dia datang,dunia seolah cair didepanku. Dan aku seolah-olah longlai.

Namun itulah namanya hidup ini adalah ujian. Penting sangat kah cinta manusia yang buat kita engkar pada tuhan? Tak, lansung tak penting,malah itulah yang akan menarik kakimu di padang mahsyar nanti.

Sekilas terlupa jangan sampai membiar diri terjerumus.

Apa itu cinta pada manusia yang buat kau lupa pada hukum tuhan? Itulah ujian,yang andai kau akur pada cinta itu,kau akan musnah.

Biar tanpa cinta itu,dan kau tenang dengan kebenaran.

Ahad, 18 Mei 2014

Lelaki yang stigmatise

Mula-mula, aku ingat nak menulis secara umum, tentang PLU, tentang senario dunia yang semakin pelbagai, tetapi aku manusia kecil yang tidak pandai bercerita tentang kehilangan MH370, tentang dunia semakin panas atau dajjal yang semakin dekat waktu kedatangannya.

Sehari dua ni, aku sedih. Ya, sedih yang hakiki.

Cabaran orang macam aku. Ya, orang macam aku yang selama ni hidup macam..macam aku..ish, how to define me? Aku bukan penkid, dulu...satu waktu dulu mungkin. Ahhh..senang cakap, aku agak stress dan kecewa dan dah malas nak fikir pasal satu perkara ni, memasak.

Ya, aku tak gemar memasak, dan aku beruntung kerana ditemukan soulmate yang tak kisah, dan rela buat itu semua untuk aku. Tapi, sebab aku ada bercita-cita nak jadi isteri mithali, aku teringin nak pandai masak, orang selalu kata, air tangan isteri la bagai. Tapi secara seriusnya, Islam taklah meletakkan, tanggungjawab isteri adalah memasak, kau pergi baca ilmu munakahat sana ya.

Seriusnya, aku tak pandai potong bawang bagai. Aku allergic dapur dari azali. Cita-cita aku dari kecil dulu, nak kerja dan bagi anak bini makan. See...

Kemahiran hidup ni pula bukanlah boleh dipelajari dan dikuasai dalam masa sehari, dan aku cepat putus asa pada benda-benda renyah macamni. I am a noob, gamers, nerd and writer. Kalau aku hidup sendiri, aku cuma makan maggi dan makan kat luar sahaja, tapi sebab sekarang ni kesian pada kekasih serumah yang asyik memasak untuk aku, membuatkan aku sedih kadangkala.

Dan aku membenci setiap lelaki atau wanita diluar sana yang mengatakan tugas perempuan adalah memasak, what the...

Kekurangan aku juga, aku terlalu bergantung pada diri sendiri, aku tak tahu untuk impress orang lain, tidak tahu untuk mengambil hati orang, aku sangat jujur hingga selalu sukar untuk menuturkan kata-kata. Tidak mudah, aku melakukan untuk orang. Sebagai manusia lemah, tidak lah mudah aku untuk mengikhlaskan diri melakukan semua yang aku tidak tahu, untuk Al-Khaliq. 

Deep in my heart..there is a small voice, telling me, I am not suit with this world, normal world...

Ahad, 9 Februari 2014

Fasa kehidupan

Sesungguhnya hidup ini berfasa-fasa. Dan begitu juga ujian yang ditakdirkan dalam landas kehidupan. Bila direnung diri ini, dalam-dalam, kadangkala alngkah celakanya jika kita tidak sedar kita adalah sekadar hambanya, yang melansungkan hidup sebagai khalifah, yang darjatnya lebih tinggi dari malaikat yang kekal berzikir setiap saat.

Ya, alhamdulillah, pernikahan yang berlansung pada minggu lepas adalah sesuatu yang sukar aku lupakan, kerana ia disusuli pula dengan pemergian insan yang paling aku sayang namun paling sukar aku sayangi, ibuku.

Sungguh, saat aku melangkah masuk kerumah bersama sang suami, aku memerlukan masa sendirian dan sebak beberapa saat. Kerana aku seolah tersedar, ya allah, aku kini seorang isteri. Satu keputusan yang tidak ada undur atau dapat dipadam. Kalau sebulan dulu, ia hanya sekadar mimpi, kali ini, detik ini adalah realiti yang akan menjadi hidup aku.

Alhamdulillah, aku dan dia amat serasi. Allah jodohkan kami, kerana memang kami dijodohkan dengan penuh keserasian. Dia menjadi bahu aku, disaat aku menerima berita pemergian ibu.

Dan, alhamdulillah, tuhan beri aku kekuatan dan kemudahan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Sesuatu yang orang macam kita sering takuti. Aku akui, sebelum ini perkara ini juga menjadi sesuatu yang aku takuti.

Namun Allah lah pemegang hati manusia, , Dialah Maha Pembolak-balik hati manusia. Dia juga menjadikan setiap sesuatu itu dengan penuh hikmah dan ujian.

Sesungguhnya kamu tetap melalui beberapa keadaan yang bertingkat-tingkat baik buruknya, (sebelum kamu menemui Tuhan - menerima kesenangan dan kebahagiaan atau sebaliknya)
(Al-Insyiqaaq 84:19

Yakin pada DIA. Hidup kan menjadi sekadar jalan yang kau lalui.

Khamis, 28 November 2013

Demi masa, kita hanya hamba.

Setiap manusia tidak akan tahu apa yang akan terjadi pada masa depan. Malah kau tidak pernah tahu sesaat lagi mampukah kau bernafas.Lama aku tidak menulis, ada waktu, aku sibuk dengan kerja, ada waktu, aku sibuk dengan keluarga.

Aku sebenarnya sibuk bercinta.

Mungkin.

Mudahkah untuk bercinta sebagai satu pasangan hetero. Bagi aku, bagi aku yang mempunyai seksualiti yang berbeza, tidaklah mudah. Aku tidak memahami beberapa benda yang orang lurus fahami. Dan dia juga keliru dengan beberapa tindakan aku.

Ya cinta boleh dipupuk, dan apatah lagi dengan doa. Allahlah yang membisikkan rasa cinta, allah lah yang menerbitkan rasa.

Dalam pada itu, sedikit demi sedikit, aku buang nafsu kepada sang hawa yang sentiasa bergelora. Bila terkenang, aku istighfar. Walau ia mungkin tidak akan padam hingga aku mati. Namun aku percaya Allah pandang setiap usaha. Itu sahajalah usaha aku, saat hati tak keruan bila tubuh mula memberi respon pada ransangan didepan mata.

Satu ketika, aku menyoal sahabatku, kenapa aku tidak boleh bergaul dengan rakan-rakan lelaki, seperti rakan-rakan sejantina,sedangkan aku tidak punya rasa atau nafsu terhadap mereka. Kata sahabat, hukum tetap hukum. Apapun mereka tetap bukan muhrim.Entah kenapa perbincangan itu membuka mindaku pada sesuatu yang lain.

Kita selalu banyak songeh, kenapa tak boleh makan khinzir, kenapa tak boleh sentuh anjing..kenapa kena samak. Analisa logik akan boleh menerbitkan pelbagai analisis. Tetapi..sedarkah kita, hukum tetap hukum.
Ianya sekadar menguji sifat kehambaan kita pada Allah.

Benar, akan ada yang pertikai, mengapa tidak boleh berbahas tentang hukum, kenapa? Kenapa kena puasa, kenapa kena tutup aurat..kenapa..kenapa?

Jawapan yang mutlak dan tidak akan boleh dipertikai, adakah kita mengaku kita hamba allah?
Ya, hubungan aku dan dia serius, dan kini sedang dalam proses untuk sah. Dan ujian kami disini, untuk memahami tanggungjawab sebelum dipertanggungjawabkan dengan mutlak.Mulanya aku gusar, untuk menulis disini. Tapi ini adalah blog perjalanan aku. Pernah aku peduli apa yang terjadi? Jodoh, maut ketentuan tuhan, andai ada, ada, andai tiada takdir..tiada.

Aku juga faham, setiap bahagia atau derita adalah ujian dari Yang Esa, dan tidak akan Allah ujian hambaNya, melainkan dia mampu.

Doalah pada yang esa, Dialah yang Maha Mengetahui.


Ahad, 27 Oktober 2013

Saya pernah wujud disana..

Sebentar tadi tiba-tiba aku terasa sesuatu, pabila melihat news feed fb seseorang. Orang itu tarikh persandingannya, sama dengan saya, orang itu adalah keluarga belah sana. Kami disanding bersama. Gambar-gambar dia bersama anak perempuan sulungnya, anak yang dikandungnya sewaktu saya dan bekas suami sedang berusaha untuk berpisah.

Bekas adik ipar saya.

Saya faham, apabila telah diakad, sebenarnya tiada istilah bekas, melainkan bekas suami apabila talak dijatuhkan.

Tetapi, bekas suami mengharamkan saya berhubung dengan keluarganya. Keluarganya yang menjadi tempat menumpang kasih, sewaktu dia mula mengajar saya erti kepahitan. Jauh dihati saya, saya rindukan keluarga disana.Sedikit pun saya tidak pernah mengingati dia yang pernah berkongsi kamar dengan saya. Tapi keluarganya, keluarga pinggir desa. Rumahnya, rumah sebuah yang kelilingnya semua saudara-mara, yang kepulangan saya sendirian sering ditanya-tanga asbabnya. Teringat saya, menaiki motor bersama adik ipar, melalui jalan denai sawah.

Saya rindu ibunya, yang tutur lembut. Benar. Hanya 3 bulan. Saya rasa bagai keluarga sendiri.

Melihat gadis kecil berusia setahun lebih itu, hati saya bagai digigit sesuatu. Satu hari nanti bila dia pandai berkata-kata, dia akan bertanya, siapa pengantin yang satu lagi, digambar-gambar perkahwinan mamanya. Dan saya harap mamanya dengan sabar menerangkan. Harap, mamanya memaafkan saya, kerana permulaan detik bahagia dia, adalah satu noktah hitam dalam hidup saya.


Khamis, 10 Oktober 2013

Semalam Nirvana harini Maher Zain.

Sejak akhir-akhir ini, banyak perkara menyedarkan aku betapa masa itu sangat penting dan setiap orang tidak pernah tahu berapa lama masa yang diberikan. Dan aku amat mencemburui orang-orang berdakwah yang baru kembali pada Islam, sangat-sangat cemburu pada mereka. Betapa mereka sentiasa berada dijalan kebenaran dan pula membawa manusia kejalan kebenaran.

Kata seorang kawan, mahu atau tidak, kita wajib berubah, apabila telah tahu perkara yang benar dan hati mula menerima kebenaran. Walau sesakit mana pun jalan tu, walau sesusah mana pun halangan. Usaha sampai mati.

Beberapa rakan pernah berkata padaku, jalan aku agak mudah kerana aku memang bertudung. Aku tahu itu satu isu yang berat. Dan permulaan aku memakai tudung dahulu juga bukanlah mudah, cuma, aku bermula agak muda. Kolejku mewajibkan pemakaian tudung, walau tudung sebenarnya bukanlah definisi sebenar menutup aurat. Namun tudung membezakan penampilan. Kawan-kawan ku memang tahu dengan sifatku yang memang setiap bulan menggunting rambut, dari pergi ke kedai mamak, aku ke salon, dan dari salon akhirnya aku mencari rakan-rakan kolej yang pandai menggunting rambut, kerana dah malu menanggalkan tudung didepan amoi tukang gunting rambut.

Bila tidak bertudung di bilik asrama, yang tak biasa melihatku, pernah sahaja menjerit berlari, kerana menyangka ada lelaki masuk di asrama perempuan. Dan tak juga kurang yang terkesima dengan kekacakan aku .(hahahaha, sila muntah). Alah, ini perkara biasalah, macam kau masuk tandas perempuan, tapi kau berkemeja dan berambut mohawk atau spikey, mesti terserempak dengan makcik-makcik yang beristighfar dan gadis-gadis yang membeliakkan mata.

Tapi bila aku menyarungkan tudung, berakhirlah segala drama. Jadilah aku, si perempuan yang tak pandai segala fesyen, selekeh dan serabai. Ingat pakat tudung senang? nak gosoklah, nak kena matching dengan baju la, payah. sangat payah. Sejujurnya, ada juga kawan yang mengatakan pada aku, aku lebih elok tidak bertudung.

Akhirnya terbiasa juga dengan tudung itu, dan perlahan-lahan aku belajar menutup aurat, mana yang boleh. Is not easy, tahun 2008. Aku pernah kembali tidak bertudung kerana merasa terhina, bertudung tetapi bersama dengan teman wanita dan berkumpul dengan rakan-rakan sisi gelapku. Dimana zina adalah permainan kami.

Demi masa, segalanya boleh berputar. Rasa bertuhan boleh hilang dan muncul, kepayahan mematuhi perintah tuhan boleh sembuh dan menjadi nikmat. Iman boleh tumbuh dan hancur. Cinta boleh datang dan pergi. Begitu juga insan boleh pergi dan datang. Sesungguhnya tiada apa yang kekal.

Susah, tapi boleh.

Demi masa, waktu sihat itu tidak selamanya.
Demi masa, duit gaji kadangkala ada 5 hari sahaja.
Demi masa, semalam makan secret recipe harini makan maggi,
Demi masa, semalam pergi Movida harini pergi masjid
Demi masa, dulu dengan kaset Nirvana, sekarang pandai cari cd Maher Zain
Demi masa, semalam pakai tudung labuh, harini boleh pakai short pergi pekan
Demi masa, harini hidup, esok belum tahu lagi, kawan.

Iman turun naik, hidayah boleh ditarik balik,segala ilmu boleh dilupa tidaklah pelik.

Masa tidak pernah menunggu. Jika penghalangnya adalah cinta, korbankan cinta itu untuk ke syurga. Jika penghalangnya nafsu, marilah usaha hingga mati moga nafsu itu menjadi Islam.


Isnin, 7 Oktober 2013

Beberapa hari ini

Selalunya aku tidak bercerita tentang hidup aku, aku akan bercerita tentang apa yang aku fikir. Itu adalah lebih selamat di alam maya. Mudah dan keselamatan aku adalah tanggungjawab aku.

Beberapa waktu dulu, aku pernah terfikir untuk menunjukkan diri aku yang sebenar, dan perlahan-lahan, ianya berlaku tanpa aku sedari apabila aku mula terlibat sebagai sahabat kepada pertubuhan Positive Warriors dan kemudiannya mula berhubung dengan seorang dua kakitangan Jakim, juga kebanyakannya kerana Positive Warriors dan juga PAFI (Pertubuhan Amal Firdausi)

Apabila, muncul sebagai seorang yang orang lain tahu letar belakang aku, aku lebih terasa diterima. Apa sahaja tindakan aku tidak perlu berselindung, dan yang paling penting aku buat, apa yang aku rasa betul. Apabila ada yang mengetahui kewujudan blog ini melalui link FB dan sebagainya, ada kawan meminta aku mengubah blog ini supaya tidak lagi bercerita sebagai MG.

Bagi aku, mudah, aku bermula sebagai MG disini, akhir aku, aku tak pasti, tapi aku yakin, MG ada tanggungjawab tersendiri.

Beberapa harini, aku telah diuji dengan bayangan seolah memberitahu aku, itulah sedikit sebanyak yang perlu aku hadapi seandainya aku mahu muncul sebagai MG, di ruang hidup normal aku.

Mudah sahaja, bagaimana kalau keluarga dan orang sekeliling aku dalam kehidupan sebenar mengetahui identiti aku disini, pertama sekali, yang akan gelak sampai jatuh kerusi adalah bekas suami. Kemudian kawan-kawan sekolah yang selalu berdendam dengan sifat asingku di sekolah dan uni, Kemudian, keluarga.

Bukanlah aku memikirkan pandangan orang, tapi buat masa ini, aku masih punya ibu ayah yang harus dijaga hati dan perasaan, aku juga belum kental untuk dibuang keluarga, yang aku faham ada juga yang amat stigma dengan isu lgbt.

Andai ia berlaku secara tanpa aku jangka atau sedar, aku mohon pada yang esa, supaya aku tabah dan kehidupan aku dapat menyatakan pada yang berkenaan, bahawa masa silam adalah masa silam. Walaupun kadangkala apa yang ada pada aku adalah naluri dan membuatkan aku terbuang kadangkala, aku harap aku tidak akan pernah berputus asa untuk menzahirkan tekad aku dalam hidup ini.

Oh, untuk pengetahuan, aku dan Deanna kini, walau apapun, hanyalah sekadar kawan, yang pernah menjadi teman hidup. Walaupun perasaan kami amat dalam, namun aku sedar dialah perjuangan aku. Perjuangan aku untuk tidak melakukan yang Allah tak redha. Tanggungjawab sebagai kawan, sentiasa aku lunaskan. seminggu dua juga, dia yang kini jiran aku, aku menjaga keretanya, panaskan enjin, tengok rumah, sementara dia berpergian untuk aktiviti kolejnya.

Pernah aku terlalu berkeinginan pada dia dan dalam masa yang sama menolak kehadiran seorang lelaki yang ingin menyunting aku, aku amat ingin menyatakan "I dont want to get married but I desperately need you on my bed", tapi aku sedar, itu nafsu yang berlawan fitrah hidup. Dan kenapa aku menolak adam itu? Bagi aku ini soal hati, kalau dah tak berkenan nak buat macamana. Dan aku juga akur, jika ada pun adam yang aku berkenan, tak semestinya Allah takdirkan untuk aku.

Untuk beberapa hariini, perkahwinan bukan milik aku, hidup harus diteruskan dengan sabar dan kasih sayang itu harus dizahirkan mengikut acuan yang diredhai.


Note: dari blog ini, juga aku mendapat tahu, ada rakan-rakan yang telah berjuang sendirian bertahun-tahun, 8 tahun, 5 tahun itu biasa. Dan aku amat kagumi mereka. Aku? Baru setahun jagung dah kecoh haha. Pada semua yang berjuang sendirian, aku pasti Allah tidak pernah meninggalkan hambaNya.

Rabu, 2 Oktober 2013

Kadang-kadang..

Kau tahu,
Kadangkala, aku selalu membela orang-orang straight dimata kawan-kawan ku. Kadang-kadang kataku, sabar, mereka tak faham. Kitalah yang harus menjadi orang yang berjiwa besar. Memaafkan dan melupakan.

Dan kadangkala,
Kau tahu,
Kadangkala aku jua tewas, kerana orang yang mengkhianati itu adalah orang yang aku percaya.

Kau tahu, bila ada orang luar buat silap, tidak faham sensitiviti kami, kadangkala aku cuba memahamkan, tapi ada detik waktu, aku terpaksa telan, mereka tidak faham kerana mereka tidak diuji sedemikian. Begitu juga aku tidak faham kesengsaraan orang diuji dengan ujian yang tidak pernah aku lalui.

Kadang-kadang ada rasa mahu mengalah.

Pergilah, pergilah kembali kedunia mu. Mereka memang tidak faham, apalah yang kau harapkan. Dan kadangkala terasa pedih kerana bila melihat diwajah orang-orang lurus itu seolah mereka dah amat memahami.

Kadang-kadang, hati kau berkata, sudah-sudahlah membela mereka yang tak perlu pun kau bela. Tak perlulah mendesak mereka yang bersamamu untuk menerima orang-orang yang gagal memahami.

Terima sahajalah, hanya PLU yang memahami PLU.

Entah apa yang kau minta. Entah apa yang kau ingin. Entah apa yang kau harapkan. Perlu sangatkah kau terhadap mereka. Hidup sahaja nafsi-nafsi, peduli sahaja apa yang perlu peduli. Mereka tidak pernah menerima kau pun sebenarnya.

Kadangkala sukar nak menilai kejujuran atau sekadar topeng. Terlalu sukar. Apatah lagi, orang seperti kau yang lurus hati dan mudah dipermainkan. Kelurusan mu pun selalu dipersenda.

Kembali sahaja kepada orang macam kau.

Ah, dunia ini pun bukan lama sangat. Tidak perlu berharap apa-apa. Pergantungan hanya pada yang esa. Dilahirkan dengan naluri yang cacat dan cela dimata mereka. Berjuang sahaja apa yang perlu. Tak perlu berjuang untuk membela orang lain.

Kenapa kawan?

Ah dunia ini terlalu kecamuk. Penjara. sungguh penjara.


Selasa, 1 Oktober 2013

Carpe Diem!

Tiga tahun dulu aku amat memegang kata-kata ini, Carpe Diem., live life to the fullest. Aku teroka dan mencuba apa yang aku nak buat. Hidup sangat teruja dan mengasyikkan. Tapi akhirnya aku, nasiblah Allah masih sudi menarik aku kembali dan menyedarkan akan kerosakan yang aku buat pada akidah dan iman aku sendiri.

Dan sejak akhir-akhir ini, aku mula kenal kembali erti sebenar istilah "Carpe Diem".

Aku suka kan hidup aku yang sekarang, syukur amat sangat. Hidup aku rasa amat bermakna, aku mula faham sangat bahawa apabila kita meninggalkan sesuatu kerana Allah, Allah tidak akan meninggalkan atau mensia-siakan kita.

Rehatkan diri, menjadi pilihan yang entah keberapa kini. Banyak perkara yang aku harus selesaikan dan aku mula belajar untuk menggunakan masa sebaiknya, masih berusaha.

Melawat rakan-rakan yang masih merasa berjuang sendirian. Saling beri kekuatan.

Jujurnya, aku juga amat belajar manusia ini amat lemah. Bila tidak beragama, kita akan amat sengsara, jiwa akan menderita dan kebanyakan rakan yang tidak redha dengan ketentuan ini, sering berakhir dengan pergantungan pada ubat kemurungan.

Akal kita ada hadnya. Rahmat Allah lah yang tiada batasnya.

Aku mula menemui sesuatu yang amat aku suka, tak gemar untuk aku labelkan apa. Cukuplah aku katakan, aku amat syukur kerana aku kini melakukan apa yang aku yakin benar.


A078
Dan kaumnya pun datang meluru kepadanya (dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya), sedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan. Nabi Lut berkata: "Wahai kaumku! Di sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamu-tetamuku. Tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat)?"

Semalam sewaktu aku dihidangkan dengan ayat 77 dari surah Hud ini, aku amat tersentuh. Betapa Nabi Lut, sanggup melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan kaumnya dari melanggar perintah Allah, hingga sanggup menawarkan anak perempuannya.

Dia seorang BAPA. Namun kerana dia sedar beratnya perintah Allah, dia sanggup menawarkan anaknya, lalu menunjukkan juga, walau apa jua, yang halal itu adalah lebih baik dari segala-galanya.

Banyak lagi dosa yang lain, zina, riba, derhaka pada ibu bapa, namun kenapa dosa ini Allah turunkan azab hingga satu umat habis musnah?

Betapa berat neraca pertimbangan dek dosa ini, dek amalan yang dikatakan keji ini.

Seorang kawan berkata padaku, ujian akan sentiasa datang, nafsu tak pernah padam. Bagi aku, ya itu betul dan dalam surah Insyiqaq Allah janji, setiap manusia diuji berfasa-fasa. Jangan ingat apabila selesai suatu perkara, akan habis disitu, tidak, selagi bergelar manusia, hidup adalah ujian.

Tanpa rasa bertuhan, jiwa akan musnah dengan setiap ujian.

Tinggalkan yang ragu, tinggalkan yang meresahkan. Usaha dan usaha, hingga mati pun.

Jangan sampai hilang rasa berdosa, lalu angkuh dengan kebatilan (suatu yang palsu/dosa ) mula menjelma.

Yang meresahkan itu dosa.

Usaha hingga Mati. Itulah hidup perjuangan. Itulah hidup yang penuh cabaran. Itulah hidup yang sebenar hidup!

Lets Carpe Diem, live life to the fullest!




ps:Aku mungkin masih nakal, namun aku telah meninggalkan dan akan berusaha hingga mati, untuk meninggalkan apa yang meresahkan aku itu. I already make a decision, my decision. Walau aku mengarut dan mengeluh kadangkala, itu adalah kerana aku sekadar manusia biasa. 

Sabtu, 24 Ogos 2013

Bulan di Bagan Lalang

Kau rasa sendiri bila sendiri? Haha. Soalan yang tiada erti. Aku kini tinggal seorang, tidak lagi bersama kedua orang tua. Mungkin bagi setengah orang ianya bukan apa. Tapi bagi aku ini bagai tamparan hebat juga.

Sejak aku berpisah dengan teman serumah, setahun dulu, aku tidak pernah tinggal seorang.

Dan lebih getir lagi kerana aku sedang cuba untuk tidak memperdulikan Deanna.

Aku nak, kali ni aku tidak mengharapkan apa-apa dari dia.

Bersendiri begini perkara yang baru bagi aku. Walaupun aku selalu mengetahui perkara ini akan aku tempuh juga. Dan aku sudah tidak gemar keluar. Lebih gemar dirumah. Atau, keluar jauh untuk menemui rakan-rakan.

Bersendiri begini buat aku perlu menjaga diri lebih. Jaga kesihatan, kawal keinginan, jaga solat.

Rakan-rakan cuba membantu dari jauh. Alhamdulillah.

Semalam, melihat bulan di Bagan Lalang, aku lihat ia begitu sunyi, dikelilingi kegelapan.

Sekurangnya, aku masih lagi boleh memetik suis lampu dengan dayaku :)

Jumaat, 2 Ogos 2013

Single itu Indah

Bullshit.

Ia derita..
Ia sengsara..
Ia gelap..
Ia sakit..
Ia menyesakkan..
Ia menghimpit..
Ia tawar..
Ia..

Sepi.

Semuanya kau boleh ganda 7, andai orang yang pernah kau cintai dan buat kau bahagia, duduk dan tinggal, tidak sampai 200 meter dari tempat kau menaip ini. Waktu kau sedang menaip ini, dia juga sedang sibuk dengan kehidupannya, cuba untuk sibuk.

Tadi, aku duduk sebentar dikamarnya, menghantar juadah lebih berbuka. Dia menjamuku dengan secangkir teh hijau. Melihat dia, nafsuku menggebu, namun dapat kubuang jauh. Ini ramadhan, kalau tak hormat pun jangan jadi bangsat.

Hati menderu, meminta aku memenuhi pelawaannya untuk tidur. Tapi, otak masih dapat berfikir ligat. Baik kau angkat kaki sebelum, nafsu mula menyeru.

Lalu, aku kembali ke kamar aku. Sepi. Hanya dengan satu kalimah itu cukup mendefinisikan.

Lagi 10 minit jam 12. Mata aku masih segar. Ya, Tidurlah, moga kau dapat bangun sepertiga malam. Ini ramadhan, bulan istimewa. Jangan kau layan hati.

Kau single, kau sepi, kau kerinduan. Tapi kau ada tenang yang tidak boleh dijual beli.

Senyum, sayang, moga apa yang buat ini untuk Allah.



Ahad, 7 Julai 2013

GNY:Aku dan Oswald

Program getting near you (GNY), menemukan aku dengan sahabat-sahabat yang tidak ternilai harganya, mari aku ceritakan sedikit demi sedikit.

Kisah pertama adalah kisah aku dan Oswald yang bertemu melalui group Jalan Pulang, dia salah seorang ftm yang hadir didalam group itu, selain Axl yang pernah aku temui.

Kami duduk sebilik, aku dan dia bagaikan dua sahabat karib. Dikatakan hubungan kami seperti hubungan kulit, Skinship. Hubungan tanpa tarikan seksual, mungkin kerana aku yang lesbian. Atau aku yang kurang perempuan, lalu kami boleh tidur sekatil tanpa sebarang masalah. Itu belum lagi kami saling berbangga dengan boxer dibadan.

Jujurnya, itu pengalaman pertamaku sebilik dengan plu. Tapi kalau aku sebilik dengan gadis yang memang femme, mahu melayang aku. Nasib kami telah awal-awal merancang letakan bilik peserta, sebarang risiko sebolehnya kami jauhi.

Kadangkala kami berpegang tangan, kerana Oswald rimas dengan sifat aku yang suka menoleh kebelakang andai dia dibelakangku, apalah yang mampu aku lakukan, sikap dominan ku kadangkala tak bertempat, sentiasa mahu orang yang bersama denganku selamat disisi.

Kadangkala kami bergasak macam budak-budak. Tapi aku kalahlah dengan kekuatanku yang tak seberapa. Paling seronok, Oswald menggunakan fizikalnya yang ternyata lebih kuat dari aku, untuk mengejutkan aku subuh. Cukup sekadar dia meletakkan kakinya menghempap kaki aku, dah cukup buat aku terjaga sambil merengus. Yelah, 3 hari aku dan kawan-kawan banyak menguruskan peserta, dan juga bersembang hingga lewat, menyebabkan tidur menjadi pilihan akhir.

Paling indah, bila kami solat bersama. Dan Oswald amat segera menunaikan solat dengan alarm nya yang setiasa dipasang, untuk kelima-lima waktu. Sedang aku, cuma memasang alarm untuk waktu tidur!

Sepanjang kuliah, aku menjadi penterjemah dan tanpa aku sangka, aku boleh juga menterjemah ke bahasa inggeris dengan spontan. Alhamdulillah. Harapnya terjemahan aku membantu Oswald dalam memahami ilmu yang cuba disampaikan oleh penceramah.

Kesibukan bersama rakan menguruskan situasi, kadangkala membuatkan aku terpaksa membiarkan Oswald bersendiri, ah, dia sememangnya sebenarnya amat berdikari, kawan ini telah banyak mengembara dan telah punya banyak pengalaman hidup yang mengkagumkan.

Akhir pertemuan, adalah apabila aku menghantarnya di balai berlepas, moga Allah menemukan kita lagi.

Dan sesungguhnya, aku menyayangi mu kerana Allah, sahabat.

note: akan menulis tentang perkongsian di program getting near you dan juga ukhwah antara teammate yang amat berharga.

Ahad, 16 Jun 2013

Dunia PLU dan aku.

Akhir-akhir ini aku kekerapan aku menulis blog dah semakin menipis. Banyak tumpuan aku lebih kepada Mukabuku, dalam group Jalan Pulang, yang selalu juga ada banyak perkara yang mencabar dan memberi pengajaran kepada aku.

Ada orang kata, jika mahu berubah, tinggalkan dunia itu. Tinggalkan semua. Aku akui, aku tidak kuat untuk itu, bila berubah, bila aku tinggalkan kemudiannya aku akan berpatah balik.

Kali ini, sedikit demi sedikit, aku mula tekad, aku mahu membawa rakan-rakan PLU ku ke jalan yang diredhai, inshaallah. Aku dan rakan-rakan cuba membentuk satu medium dimana kami tahu tujuan kami, kami tahu siapa kami dan kami faham hakikat diri.

Antara kami sudah tiada persembunyian, kami tewas, kami keluh kesah, kami sama-sama cuba beri kekuatan diri.

Berlainan andai kami terus meninggalkan rakan-rakan PLU. Kami akan bersembunyi dengan orang diluar sana, bila berkumpul akan rasa rendah diri, akan rasa ada satu pemberontakan..

"Ahh..kalaulah kalian tahu"

Dan apabila bersama rakan PLU yang tidak tahu niat dan perjuangan, kami juga akan bersembunyi, takut ditempelak, takut diejek.

Benar, jangan dipandang pandangan orang, tetapi berapa ramai yang dapat mencapai tahap iman begini? Aku manusia biasa, lemah dan masih bertatih. Hidup seorang dalam diri, masa yang sama berjuang menentang nafsu, itu namanya menentang fitrah.

Fitrah manusia berkasih sayang, berpasang-pasangan. Andai berpasangan itu tidak menjadi hak bagi diri, salah kah kami melunaskan fitrah berkasih-sayang sesama rakan yang memahami?

Group jalan pulang juga banyak cabarannya, bila mengumpulkan hampir semua kategori PLU dan berlainan tahap ilmu agama. Kadangkala perkara santai menjadi debat, dan perkara debat makin tidak difahami. Cuba juga dielakkan, kadangkala aku yang lebih emosi dan meroyannya, haha.

Moga ada juga asbab kebaikannya.

Lalu bila berkumpul dalam satu persamaan, tidak dapat dielak bila menghadapi ujian yang lazim.

Jatuh hati.

Atas sebab cinta dan berpasangan itu fitrah, apa yang tiada di syurga namun Adam dambakan Hawa. Berkali, dan kali ini aku jatuh hampir kepada dalam. Namun kami berdua sedar situasi kami, akhirnya berkali kami menggigit jadam yang pahit, saling mengingati, bahawa ianya bukan pilihan kami.

Dalam pada itu juga, aku sebenarnya cuba mengusahakan untuk mendapatkan yang halal. Orang selalu kata...wei..cari la yang boleh menjadi halal. Ya, aku cuba, juga seperti biasa, tidak berjaya, sekali lagi Allah belum mengizinkan.

Diakui, kadangkala ia sampai kepada takah putus asa, namun bila berfikir balik, apalah yang aku dapat andai berputus asa, dahla tuhan paling benci orang yang berputus asa apatah lagi dengan rahmatnya. Andai aku kata Allah memang tak beri hak pada aku untuk berkahwin, itu maksudnya aku berburuk sangka pada ALLAH, aku berputus asa dengan sifat rahmatnya.

Berusaha, dan andai ada rezki, syukur.
Berusaha, dan andai gagal, yakin, jika tidak disini, disana nanti.

Lansungkan sahaja hidup ini dengan usaha dan haramkan diri dari melakukan kemungkaran, andai tewas, jangan sampai hilang rasa berdosa.

Pengajaran yang wajib aku pelajari juga, bila dalam berusaha membawa rakan-rakan pada jalan yang ada nilai kembali pada jalan yang benar (siapa aku ni nak membawa ke jalan yang benar, benar sangat ke aku ni? diri pun belum betul sangat,  moga tuhan kasihani aku dan sentiasa betulkan niat aku, aku hanya menyampaikan yang sedikit yang aku tahu) ialah, semua yang menghampiri aku adalah amanah. Jika aku tergoda dengan cara mereka, aku lah yang salah kerana tidak memimpin diri, jika aku tertarik dengan diri mereka, akulah yang salah kerana tidak membetulkan keadaan.

Perit, pahit, susah, kejam.. semua rasa ada.

Namun, dosa itu adalah yang membuatkan kita resah, membuatkan kita takut diketahui.

Buat aku, dan buat semua rakan-rakan yang sedang berjuang, andai anda telah tahu apa yang dinamakan kebenaran dan apa yang dinamakan kebatilan (tidak benar/palsu), berdirilah, berdirilah dan bangunlah walau berjuta kalipun anda rebah.

Bayangkan seperti orang yang berdiri tegak dipadang pasir, dipanah busur berkali kali kerana anda yakin akan sesuatu, anda akan mati, semua orang akan mati, tapi sebelum mencapai kematian itu, adakah anda berusaha bangun apabila panahan busur itu melukakan anda, mencederakan anda? Itu yang Allah kira.

Inshaallah.


Rabu, 12 Jun 2013

Moga dirimu mendapat syurga

Disatu ketika, aku meroyan, lalu membanjiri fascebook aku dengan status yang amat negatif. Kemudian juga me whatssap kononnya dengan niat nak mengadu nasib.

Mengadu sana ditendang, mengadu sana dibelasah.

Akhirnya tidak tahu kemana. Lupa. Lalu ..tiba, sewaktu sedang sibuk bercerita, berbual dengan seseorang melalui skype. Satu panggilan menerjah telefon rumah.

Dia, seorang kawan yang aku kagumi ketabahannya, walau kehidupan kalau dilihat dari mata kasar, berganda ketidak adilannya.

Kami berbual, bergelak ketawa..akhirnya..sampai pada tujuan dia menelefon aku. Tentang status-statusku di FB, lalu..lagi terang bersuluh, aku mengatakan aku dalam kesedihan. Walau kesedihan itu bukan yang baru pun.

Dia: kau tak sembahyang ke?
Aku: err..sembahyang.
Dia: Kau tak minta?
Aku: Minta?
Dia: Kau tak minta dekat tuhan apa yang kau nak, kau tak bagitahu pada tuhan apa yang kau fikir?
Aku: Aku...ya..(ya..aku telan dalam hati, jarang aku berdoa tentang perkara yang paling meresahkan aku)
Dia: Kau minta lah pada tuhan, apa saja. Dia yang buat kau, kenapa kau tak minta pada dia?
Aku: Ada aku minta..
Dia: Habis sekali dua je, kau ingat minta harini esok dapat?
Aku: Err..mungkin..akulah yang termasuk orang yang sombong pada tuhan, tak mahu meminta, malu meminta..
Dia: Ha, tahu takpe, kau sombong dekat tuhan kenapa? Kata solat, tapi bersedih macam tu. Kau tak minta kat tuhan la ni. Kau nak dekat pada tuhan tapi tak boleh berubah. Aku cuba untuk dekat dengan tuhan walaupun aku tahu aku belum berubah.

Kalau siang tadi aku kena belasah. Malam tu aku kena penampar terus.

Kawan, moga dirimu mendapat syurga. amin.

note: Jumpa link tafsir yang ada audio penjelasan tafsir quran, menarik.

Selasa, 11 Jun 2013

Satu ruang yang aku lupakan.

Dalam hidup aku, ada sesuatu yang amat berat aku tanggung. Yang aku hadapi setiap kali aku bangun pagi, dan juga setiap kali aku ingin melelapkan mata. Ada kala aku bangun dengan rasa kelam yang amat sangat, dan ada kala aku tidur dengan gusar yang amat sangat.

Dan aku menghadapinya sejak kecil.

Sejak kecil aku bercita-cita untuk hidup merantau, seorang. Aku hampir berjaya, hinggalah satu detik, Allah ragut kehidupan itu, lalu Allah letakkan aku pada kehidupan yang menafikan semua yang aku pinta.

Allah nak aku hadapi apa yang aku tutup dan hindarkan, apa yang aku larikan diri. Aku faham. Kadangkala bila fikiran aku letih, aku memujuk hati aku, untuk redha. Benar kata seorang kawan yang semakin jauh dari aku, inilah ujian yang sebenarnya lebih hebat dari ujian seksualiti aku.

Dan kerana itu, ianya tidak pernah akan dapat kuceritakan. Untuk ini aku tidak mampu berlari atau melarikan diri. Ianya perlu aku hadapi.

Pagi ini, video inilah penawar, dan aku perlu simpan dalam video ini dalam otak dan juga hati.

note: diruang gadget, sudah ada kemudahan terjemahan google.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...