Halaman

Selasa, 30 April 2013

Antara Ego dan hikmah.



Aku adalah seorang yang ego, panas baran dan kurang sifat sabarnya. Aku bukanlah berjiwa besar seperti orang-orang yang aku kagumi. Banyak perkara yang harus aku belajar dalam hidup ini. Terlalu banyak.

Kadangkala kalau ada yang sedar, mungkin menganggap aku seorang schizophrenia. Ada waktu aku seorang yang sabar, ada waktu aku mudah melenting, kaki gaduh dan baran.

Ego menyebabkan aku tidak mudah menelan kritikan orang. Sewaktu berumur 17 tahun, didalam sebuah kem, aku pernah menendang kerusi melayang hampir terkena fasilitator yang bercakap didepan. Hanya kerana menegur sifat aku yang lain dari pelajar perempuan yang lain.

Baran.

Dan sejak akhir-akhir ini, banyak perkara yang membuatkan aku terpaksa telan dan belajar bersabar. Dengan perjuangan diri yang kadangkala sekadar menanti rebah, MGDA juga telah ditusuk bertubi-tubi.

Kawan-kawan mula sukar menerima kelemahan-kelemahan aku, aku yang dulu amatlah playful, suka mengurat sana sini, aku dipaksa untuk membuktikan perjuangan aku.

Perjuangan apa? perjuangan untuk mencari redha Allah. Perjuangan untuk menjadi manusia yang lebih baik. Manusia yang tidak berzina dan menghampiri zina.

Dan aku akui, bila disepak terajang oleh rakan-rakan plu yang masih juga berbangga dengan awek-awek mereka, separuh dari diri aku meradang, kau tu setiap hari kehulu-hilir dengan partner, malam dapat sedap-sedap, ada hati nak mengutuk dan menyindir aku.

Tak kurang juga rakan-rakan yang memang mempunyai jiwa yang baik, menasihati aku. Tapi resam orang baran dan ego, susah nak terima nasihat orang lain, kepala otak dia je yang betul,

Tapi aku selalu teringat kisah seorang sahabat nabi yang menangkap seorang pencuri (dikatakan pencuri itu adalah iblis yang menyamar) yang memberi nasihat kepada sahabat nabi itu. Lalu sahabat nabi itu mengadu kepada nabi tentang peristiwa itu. Kata rasullullah, benar, nasihatnya benar, lalu ikutlah tanpa mengira siapa dia.

Siapa pun orang yang memberi nasihat, namun andai nasihatnya benar, hadamlah andai ianya memang akan membawa kebaikan kepadamu.

Susah kan, sebab dalam diri, masih ada ego.

Benar, nasihat itu berat, lalu contohilah rasullullah yang sentiasa menasihati dengan berhikmah. Tapi dalam hidup ni, tak semua ubat semanis madu.

ps: wahai adik-adik, takpelah, akak redha korang panggil akak ni akak, nanti umur 50 karang kena telan juga orang panggil makcik,kan. Tak gitu pakcik. tapi janganlah saja-saja niat nak sindir, akak ni kan jiwa dia masih tak betul, selalu terasa dia ni 'bro'. Takpelah, hidup macam 'bro' pun..nanti bila jadi jenazah, akak-akak, makcik-makcik juga yang uruskan jenazah.

-menulis dengan mood tenang.

Ahad, 28 April 2013

Itik dan ayam

Kadangkala aku malas nak berbual dengan kawan-kawan straight yang tahu aku senget, tentang kegilaan aku pada perempuan.

Ada la ayat-ayat seperti..

Ala apa yang pompuan tu ada, kau ada.
Boringla perempuan dengan perempuan.
Perempuan takde .... apa nak buat.
Lelaki la menarik boleh dapat kasih sayang. Pergila mengorat lelaki, banyak lagi lelaki bujang.

Kadang aku terasa aku yang bodoh sebab berbual benda yang pastinya mereka tak faham.

Tapi aku kini ada satu tabiat iaitu lebih rela berbual dengan orang straight tentang seksualiti aku. Ada sebabnya, walaupun akhirnya aku yang sakit jiwa balik.

Sebabnya ialah, aku punya kecenderungan untuk memikat kawan -kawan perempuan yang tak straight. Dan aku tidak mahu berlaku kekecewaan dimana-mana. Sebab kedua ialah, aku takut aku yang lebih menggatal dengan kawan-kawan yang tak straight ni.

Lalu pilihan aku ialah, mengacau kawan-kawan ku yamg straight. Nafsu seksual aku tinggi, pada waktu-waktu tertentu. Dan daripada aku membelek gambar-gambar (porn lama dah aku tak layan) awek-awek yang buat bertambah terseksa, selalunya aku akan cari kawan-kawan straight yang tahu tentang seksualiti aku.

Kadangkala perbualan memang akan jadi bergaduh.

Hahah.

Sebab orang straight ada waktu memang tak dapat faham yang aku tak tertarik lansung dengan bentuk tubuh lelaki. Aku amat suka caring pada perempuan. Aku memang berkehendakkan apa yang perempuan ada. Apa yang lelaki ada tidak membuat aku bernafsu.

Dalam diri aku, aku adalah lelaki. Pada kebanyakan masa.

Sakit jiwa dan terseksa juga. Tapi sekurangnya kawan-kawan aku inilah yang membantu aku lari dari fokus ghairah aku. Membuatkan nafsu berahi aku turun, dan akhirnya berbincang tentang perkara lain.

Kawan-kawan, terima kasih. Kalianlah wakil-wakil dari tuhan untuk membantu aku. Walaupun kalian tak faham, tapi kalian tetap anugerah tak ternilai.

Jumaat, 26 April 2013

Sejujurnya, dan diri aku yang aku tinggalkan.

Sejujurnya, buat seseorang yang pernah jadi kekasih saya. Seorang Adam, yang pernah saya cuba usaha untuk menjadi yang halal buat saya..

Maafkan saya, maafkan saya.

Saya dalam diam, membandingkan anda dengan Deanna. Salah saya, saya tidak mampu mengasihi awak, seperti seorang perempuan mengasihi awak. Buat masa ini.

Saya boleh kata, entah kenapa, saya tawar hati.
Saya boleh kata, saya kini dan dulu, sebenarnya hanya jatuh hati dengan orang yang matang.
Saya boleh kata, mungkin saya telah lupa tentang cinta saya pada awak.
Saya boleh kata, saya terluka dengan sikap awak yang tidak membuktikan awak boleh menjadi suami buat saya.

Sebenarnya.
Dihati saya masih ada cinta buat seorang wanita.
Yang saya masih simpan, dan belum terhapus, walau saya tidak lagi bernoda dengan dia.

Untuk itu, maafkan saya. Sayalah yang tuhan uji dengan perasaan ini. Sayalah yang tidak lagi dapat mengasihi awak. Kerana saya acapkali membandingkan awak dengan dia.

Saya dah sebati dengan cinta seorang hawa buat saya.
Saya dah biasa. Walau hubungan itu sekadar tinggal kenangan,kini.

Mulai harini, saya tidak mahu memberi harapan pada sesiapa. Pada Hawa, saya dah tidak mampu engkar pada tuhan. Pada Adam..cinta saya tiada.

Maafkan saya, sepuluh jari. Sayalah yang sebenarnya tidak mampu mengasihi seorang lelaki.

Mungkin kini, saya ada satu impian yang lebih besar. Dalam masa yang sama, biarlah saya berjuang pada diri saya dahulu. Atau mungkin berjuang melupakan cinta ini, itu lebih tepat mungkin.

Perkahwinan, bukan perjuangan saya kini. Mungkin dulu, kerana menyangka dengan berkahwin saya akan melengkapi hidup. Tetapi, kini, saya nak belajar ..belajar jadi hamba Allah.

Apa gunanya berkahwin, andai saya tak mampu menyintai awak, walau awak boleh menjadi halal buat saya.

Saya percaya, tuhan akan sentiasa melindungi awak selagi awak berserah pada Dia.

Tidak pernah saya menolak sunnah untuk berkahwin. Namun, andai saya tidak mampu menyintai seorang lelaki kerana dihati saya ada seorang perempuan..perkara itu terlalu berat untuk saya hadapi,sebuah perkahwinan.

Dan saya akan sentiasa berjuang untuk tidak kembali pada siapa saya dahulu. Apa yang telah lepas, saya tinggalkan disitu. Biarlah saya menjadi manusia yang tidak bernafsu. Saya tidak kisah kini, orang kenal saya sebagai MGDA, cuma keluarga tu dan kawan sekerja tu, susah la sikit. Tapi saya percaya, Allah tidak akan menguji hambanya dengan sesuatu yang dia tak mampu. Kalau tuhan takdirkan aku tidak lagi perlu sembunyi, itulah yang terbaik.

Aku tidak akan menjaja siapa aku dulu. Tapi kalau yang tahu, biarlah, dan aku nak kalian tahu juga...




Saya percaya, saya tidak pernah sendirian.

Allah ada.

Hidup ni sebentar amat, azab kubur lagilah lama, azab neraka lansung kekal.

Ahad, 21 April 2013

Hidup sebagai skandal

Petang semalam aku menonton teater inggeris yang menjadi projek Deanna di kampus, beberapa bulan ini.

Aku tahu, dia sebenarnya hampir terlupakan aku. Faham, kesibukannya. Itu lebih baik dari kami sentiasa mencari masa untuk bersama dan akhirnya aku yang tidak dapat melayan gelora nafsu.

Dia sebagai pengarah duduk dibarisan hadapan bersama rakan lelakinya. Deanna, pernah cerita padaku, hubungannya yang bermasalah dengan teman lelaki, membuatkan dia melayan mana-mana lelaki yang menghampiri. Kataku kenapa tidak, cari saja yang terbaik.

Lalu aku duduk dibarisan tiga. Disebelah gadis tionghua yang aku terpeluk bahunya waktu sedang asyik menonton.

Aku tidaklah dapat menikmati sangat persembahan dihadapanku. Aku lebih sesekali memandang Deanna. Yang kadangkala ditenangkan oleh lelaki disebelahnya apabila ada babak yang gagal mencapai sempurna.

Hati aku, andai bukan kerana cinta, pasti tidak terasa apa. Terhiris juga. Namun aku cuba menumpukan pada pentas. Aku sedar aku siapa. Aku tidak akan pernah menjadi teman lelakinya. Walau bukan tak pernah kami hampir merancang berumahtangga di Thailand. Aku memilih untuk tidak menurut kemahuan hati dan nafsu.

Itulah hidup seorang skandal. Memerhati dari jauh, orang yang pernah kau uliti dan tahu setiap inci tubuh. Namun tidak sekali kau dapat isytihar hak.

Kebelakangan ini juga, aku rapat dengan seseorang. Namun wanita ini tahu prinsip dan perjuangan aku. Walau hatinya dalam pada aku. Dia berpunya. Jadi kami sekadar berhubung di hari kerja, 8pagi hingga 8malam, akibat sibuk, hnya beberapa kali sahaja dapat berhubungan.

Namun aku syukur dia sudi mengambil berat dan menemani hidup aku seadanya.
Akulah yang tidak pernah ada untuk dia.

Nak skandal dengan lelaki? Simpang malaikat 44. Aku rela pergi meminang kalau hati dah suka, dia pun suka dan dia tidak berpunya.

Kerna aku tahu betapa mahalnya sebuah perhubungan yag halal.
Terlalu mahal. Dan aku tidak ragu andai aku tidak mampu memilikinya.

Ps: gambar dibawah adalah screen capture status fb seorang penulis yang juga seorang plu. Statusnya menyentuh hati aku.

ps2: aku baru je tergerak nak check inbox..ampunnnnnn aku tak sedar banyak email bertandang, mari marah fon aku sebab tak bagi aku notification, yes..semua email akan dibalas harini juga. maaf ye.

Khamis, 18 April 2013

Kita adalah anugerah.

Kau tahu, bila aku rasa amat down, aku boleh mencapai balik ke tahap sifar aku dulu. Cuma aku taklah lagi terfikir nak habiskan hayat. Cuma aku terfikir cepatlah tuhan habiskan hayat aku, supaya aku tak buat banyak lagi kemungkaran dan dosa atas dunia ni.

Sebenarnya, perasaan hidup sendiri ni kena amat kuat. Bila balik letih fikiran berkecamuk tentnag kerja dan perkara lain, balik rumah, kosong, hanya perabut yang tidak berjiwa, hidup rasa macam tiada erti.

Bila kita lemah, iblis jadi kuat bangkit melompat-lompat, memainkan perasaan, mulalah membisikkan perasaan yang kita tidak akan bahagia, kita takkan dicintai, mahu atau tidak, perasaan itu ada dalam semua manusia.

Nak bercinta, hati lebih mudah mencintai gadis.

Taknak bercinta, hati macam kosong, yelah, iman masih lemah.

Sebenarnya, kehadiran kita didunia adalah anugerah yang esa buat alam, andai kita pandai berfikir. Buat keluarga. Buat sahabat, buat orang-orang disekeliling, malah buat orang asing yang kita bukakan pintu pun. Atau saja orang asing yang kita hadiahkan senyum.

Benar, orang bujang, selalu tak stabil (so what? kau nak suruh aku pinang Pierce Brosnan?), terimalah kalau kami meroyan dimana-mana. Tapi, kamilah yang selalu ada untuk kerja, kamilah yang selalu ada sebagai sahabat, kamilah yang meramaikan tempat melepak, kamilah yang mudah sikit nak berjuang dimana-mana.

Jadi, orang bujang, orang tiada pasangan, senyum. Anda juga tidak kurang harganya dengan orang-orang lain, malah anda kadangkala lebih berharga jika anda kuat emosi dan kental rohani.

Aku mencari orang bujang seperti aku dikawasan berhampiran, untuk jadikan kawan.Sekian.

ps: entry sebelum ini tidaklah menggambarkan aku putus asa. aku akan berjuang hingga ke akhir, inshaallah.

Selasa, 16 April 2013

Ada apa dengan cinta

Aku dan dia hampir membicarakan tentang perjumpaan dengan keluarga. Dan aku rasa kerana aku punya rasa kasih pada dia, maka bila kami mula menghubungi, kami terus mahu ketahap yang serius.

Tapi, entah kenapa mungkin kerana demam selama 5 hari. Aku jadi ragu. Benarkah dia boleh menyayangi aku lebih dari Deanna menyayangi aku, atau sekurang-kurangnya setara.

Kalau aku nyatakan kerisauan ini, pasti sahaja dia merasakan ego nya tercabar. Dan aku tidak berterus terang pun yang aku masih menyayangi Deanna.

Bagaimana ingin aku lupa cinta kasih aku pada Deanna, bila aku sakit, dia yang bertanya keadaan aku, dia yang menawarkan untuk membawa aku ke klinik.

Ada apa erti cinta, kalau tiada rasa.
Ada apa erti cinta, kalau membuat kau sepi.

Cukuplah.
Cukuplah.
Cukuplah.

Cukuplah, aku mencuba mencari jalan dengan makhluk bernama adam.

Biarlah aku bercinta dengan segala cinta terlarang. Cinta yang lebih membuatkan aku bahagia. Mungkin tiada rezki ku untuk dikasihi sang adam.

Tapi aku janji tidak akan berzina.

Kalau ada sang hawa yang sanggup mengasihi aku tanpa nafsu, aku disini. Hidup ini terlalu sepi untuk sendiri. Dan aku pun tidaklah begitu kuat untuk menanggung kelukaan yang bertubi.

Aku bukan kalah, tapi aku akur pada sesuatu.

Ahad, 14 April 2013

Ustaz songsang, fitnah akhir zaman?

Sebenarnya dah lama, aku nak menulis atas perkara ini. Dan harini, baru teringat dengan spontan.

Eh, aku bukanlah ilmuan yang menulis setelah mengkaji berpuluh buku, jika anda mahukan tulisan sedemikian, sila pergi ke blog-blog ilmuan yang terbentang untuk dibaca.

Satu perinsip aku, ujian seksualiti adalah universal.

Aku pernah punya seorang sahabat yang mengajar ilmu agama, tapi dihari tidak bekerja, dia menjalankan aktiviti-aktiviti 'luar biasa'. Dia malu, malu dengan dosanya. Dia tidak pernah memberitahu aku dengan terperinci siapa dia yang sebenar, namun hari demi hari setelah lama berkawan, sisi realiti itu akhirnya lengkap diminda aku.

Ujian seksualiti, terakam didalam al-quran sejak kisah nabi luth. Dan kemudiannya, disuatu waktu lagi, zaman para sahabat, pernah berlaku seseorang yang berwajah amat kacak, yang sering digoda lelaki-lelaki lain, dinasihati untuk pergi ke satu daerah yang lelaki-lelaki disana memang kacak-kacak belaka.

Terlalu banyak kisah orang-orang alim yang terbongkar sifat songsangnya, malamnya merintih sayu dan mengimamkan qiyamulail, siangnya mengurat anak-anak murid yang jambu.

Bagi aku, ujian bagi orang yang berilmu adalah lebih tinggi lagi. Nafsu tidak mengenal belas kasihan, malah nafsu menggunakan kuasa ultraman didalam jiwa seorang yang berilmu.

Dan kawan aku tadi, adalah seorang ustazah.

Bukan aku nak mengembar-gemburkan pangkatnya didalam masyarakat. Cuma aku nak tekan disini, ujian nafsu dan seksualiti tidak lansung memberi laluan kepada golongan berilmu, apatah lagi ilmu agama. Ianya adalah ujian sejak azali lagi.

Dan caci maki serta hinaan orang-orang awam kepada mereka yang berilmu ini apabila sesuatu kehinaan itu terbongkar, adalah ujian lagi kepada golongan berilmu tersebut.

Bukankah setiap perkara didunia ini adalah ujian. Lalu, apabila kita mengetahui tentang perkara ini, mengenali sipelaku, ujian pada kita adalah untuk memilih yang batil ataupun benar. Perkara batil adalah menurut tipuan dunia, dengan menghakimi sipelaku ini. Kebenaran pula, ini hanyalah sekadar pengajaran bagi kita, bahawa tiada satu manusia pun  yang terlepas dari melakukan dosa dan kesilapan, siapa kita untuk menghakimi.

Pilihan ditangan anda untuk menghakimi..dengan ayat-ayat "Ish..ustaz ustazah pun tak boleh percaya sekarang ni, buat maksiat juga, berzina juga, gay juga."

Sedar tak kita bahawa zina dan segala dosa yang berkait seks itu sekadar dosa, dan siapakah dari kita yang tidak melakukan dosa?

Atau pilihan kedua..doakan moga orang itu tabah, sering bertaubat, dan moga Allah kuatkan lagi hati kita dijalan kebenaran, mengambil kisah sipelaku tadi sebagai pengajaran.

Sepuluh tahun dulu, sewaktu aku duduk serumah dengan rakan-rakan seusrah, aku ternganga apabila mendengar kisah ustaz-ustazah dikampung kawanku yang ditangkap berzina. Setelah beberapa tahun kemudian, aku sedar, zina itu hanyalah dipinggir-pinggir pinggan makanan aku.

Dan aku paling suka membaca buku "Dosa" terbitan Buku Fixi. Mengisahkan kisah pelajar-pelajar pondok tahfiz yang mencari adventure hingga menjebakkan mereka kepada dunia homosexual, dadah dan parti-parti liar.



Siapa tahu, mereka yang kita kutuk kerana terdengar nya berita mereka terlibat dengan keruntuhan moral, songsang dan zina, malamnya merekalah abid (ahli ibadah) yang paling banyak menangis kerana taubat pada yang Esa.

Kita? Tidur terbongkang penat main game.

Sabtu, 13 April 2013

Memilih untuk tidak memilih



Demam masih belum kebah, ada waktu rasa demam tu amat kuat, hingga lelangitku luka kerana panas.

Aku cuba rapat dengan seseorang, dan cuba untuk tidak menghubungi Deanna. Tapi aku tewas. Walau cuma sekali dua mesej Deanna yang masuk, tetapi kata-katanya membuatkan aku dihargai.

Aku tak biasa melalui rasa yang dingin,

Deanna kekasih terbaik ku saat ini. Sepanjang aku terlantar, fikiran aku hanya pada dia.

Lalu aku terfikir, andai aku berkahwin, tidak adil kerana aku akan membandingkan kasih sayang Deanna dengan orang lain. mungkin aku boleh minta untuk dibuktikan cinta. Tapi kebanyakan lelaki yang aku kenal, sekadar pengecut. Akan meradang dengan ego atau sekadar menarik diri kerana tidak mahu ego dipertandingkan.

Aku suka membaca tulisan seorang blogger ini. Bagi, aku tidak ada salahnya andai aku terus berjuang seorang. Dan aku tidak akan pernah seorang. Zaman aku mengharapkan bimbingan seorang khalifah dah berlalu. Mereka tidak wujud. Untuk aku.

Lalu, aku memilih untuk tidak memilih. Berapa lama? Hanya tuhan yang tahu.

Dan pilihan ini lebih mudah, walau untuk hidup dijalan ini adalah sukar.

Jumaat, 12 April 2013

Hidup yang indah

Jarang aku bercerita tentang hidup aku. Tentang apa yang aku lihat.

Selalunya aku akan menulis tentang emosi.

Bukanlah aku tiada life. Selain kerja. Alsan utama ialah aku tidak mahu dikenali. Selain berblog dan bersosial di fb, aku juga hidup macam manusia lain.

Tapi cukuplah blog ini memaparkan apa yang paling dalam. Diluar, aku sekadar manusia biasa yang mungkin kalian tak perasan pun kalau terlanggar.

Namun buat masa ini, aku masih seorang, kerana sebab tertentu, aku masih tinggal dengan keluarga.

Harininaku kurang sihat. Kepala sakit dan selsema. Baru bertugas diluar pejabat. Dan mungkin akan ambil mc hariini.

Bila tak sihat selalu rasa nak bermanja kan. Dulu..ahh..malas nak sebut kenangan tinggal dengan Deanna.

Hidup sendiri. Ya, walau tinggal dengan mak dan ayah, kami tak begitu rapat.

Lalu bila sedang tak sihat ini. Lebihla aku gemar mengunci diri didalam bilik.

Deanna..tolonglah ambil aku selepas kelas.

Terasa seperti dysfunctional pula.

Selasa, 9 April 2013

Positive warriors!!

Entry ini aku dedikasi buat rakan-rakan sukarelawan yang banyak memberi kekuatan pada aku.

Sejak aku mengikuti blog ahp positive, terlalu banyak pengajaran yang aku belajar.

Kerana kami berkecimpung dalam komuniti yang menyokong plhiv, banyak cerita diskriminasi terhadap golongan ODHA (orang yang hidup dengan hiv aids) mengajar aku untuk banyak bersyukur. Juga banyak bina kekuatan.

Siapapun ODHA, mereka adalah manusia seperti anda. Malah lebih tabah lagi. Mereka adalah golongan yang Allah uji dengan ujian yang hebat. Ditendang ahli keluarga, dihina rakan sekeliling, hilang pekerjaan malah ada yang hilang segalanya serentak. Dan harus diingat..saat itu mereka juga mungkin masih terkejut apabila baru didiagnosed.

Contoh terdekat ,jika anda PLU, bayangkan anda terpaksa menyembunyikan diri anda dari keluarga iatu orang yang paling anda sayang, dari rakan-rakan straight yang mungkin prejudis. Anda bersembunyi dalam diri anda sendiri. Ustaz Hasrizal pernah menyebut..umpama berada dalam lohong paling dalam. Sepi...terlalu sepi.

Dan apa yang ODHA hadapi adalah lebih hebat lagi dari lohong itu. Saat kesihatan paling rapuh. Dan dunia amat sendiri. Apakah yang lebih sakit lagi?

Positive warriors adalah pertubuhan yang cuba menjadi support community kepada golongan muslim plhiv di malaysia. NGO pertama untuk muslim di malaysia. Disertai oleh sukarelawan yang dianggap supporters.

Pernah dengar Plhiv menghabiskan saat akhir di gereja? Itu biasa.

Lalu disinilah kewujudan Positive Warriors bagaikan dinanti-nanti.

Hiv boleh dirawat dan dikawal, namun setakat ini tidak boleh disembuhkan. Sejak rawatan HAART diperkenalkan iaitu ubatan yang diambil oleh mereka yang didiagnose hiv positif, kes Aids sudah hampir tiada.

Selagi rawatan Haart ini diambil sebaiknya, plhiv boleh hidup sihat seperti orang yang bukan hiv. Virus didalam badan akan mencapai undetected setelah beberapa bulan Haart diambil. ODHA cuma perlu kekalkan hidup sihat.

Kadangkala aku lihat bonus buat odha, kesihatan mereka benar-benar dipantau.

Dan yang paling aku kagumi, setelah mereka melepasi tahap grieving itu, mereka adalah orang yang amat kuat dan tabah. Mereka pernah jatuh dan seluruh dunia bagai menghempap.

Namun, saat mereka bangun dan mencari jalan hidup dengan kehidupan yang Allah redha. Mereka adalah manusia baru yang hebat.

Kalau pelajaran ini dianggap sifar, rugilah mata yang melihat dan hati yang merasa.

Ahad, 7 April 2013

Saya seorang biseksual.

Ujian demi ujian datang pada manusia, selagi dia hidup dan diizinkan tuhan untuk terus memimpin diri. Dan selalu dijanjikan bahawa sabar didunia ini hanya lah sedikit berbanding kegembiraan diakhirat apabila mendapat redha Allah.

Dalam hidup aku, banyak masa membuatkan aku merasakan aku adalah lesbian. Aku pecinta wanita, aku meminati wanita.

Sehinggalah aku berjumpa dengan seseorang yang banyak mengubah persepsi hidup aku.

Dia bukanlah sempurna. Dia bukan sesiapa.

Tapi dia orang pertama meletakkan skru dikepala aku, mengatakan aku biseksual. Tidak melalui kata-katanya, tetapi melalui rasa yang wujud dalam diri aku. Mungkin sejak dia pergi, tiada lelaki yang buat aku begitu.

Ya, aku biseksual. Harini aku mengaku, dan hanya kerana lelaki ini datang kembali.

Aku hampir melupakan dia, setelah beberapa usaha yang mematahkan hati aku sendiri, bukanlah putus asa, namun aku merasakan hidup aku lebih mudah bersendiri.

Namun, tidak Allah uji manusia itu untuk sia-sia. Dan tidak juga Allah tinggalkan manusia itu menganggap dirinya sudah selamat dari tipu daya dunia.

Kadangkala aku merasakan aku ni jalang sangat. Bila dengan Deanna pun nafsu bertalu, dan kini datang pula lelaki yang pernah memberi erti cinta dalam hidup aku.

Teringat perbualan aku dengan seorang kawan..

aku: kau tahu aku pernah ada, boy friend, ada girl friend dan pernah ada suami?
dia: woiii..susuk apa kau pakai ni?

Haha.

Meninjau entri-entri di blog bro Najmi, melihat ada lelaki gay yang lebih mudah mengaku mereka biseksual, buat aku tersenyum sinis. Aku pula susah nak mengaku bahawa aku adalah biseksual, takut dibuang rakan lesbian dan dicemuh masyarakat sudahlah tentu.

Pedih bila orang kata, depan belakang pun kau boleh, lelaki perempuan pun kau sapu, kalah haiwan.

Bekas kekasih aku pernah berkata pada aku.

"Awak tahu kenapa antara sebab khinzir haram? Kerana mereka melakukan hubungan seks tanpa jantina, itu nature mereka"

Itulah kata bekas teman wanita ku, saat mendengar aku akan berkahwin.

Dan, ya. Kadangkala aku rasa aku seperti jalang. Terseksa dengan diri sendiri. Oleh kerana tekad aku, aku ingin berhenti meniduri perempuan, jadi aku dah agak dapat mengawal pergaulan ku dengan Deanna.

Tetapi bila lelaki ini datang kembali. Tahulah aku sebenar-benar ujian nafsu. Dan untuk menjadikan ini halal juga kelihatan masih jauh lagi. Aku dengan ketakutan aku pada ikatan yang sah, dan dia juga dengan kehidupan dia.

Jauhilah zina, walau siapapun anda, walau siapa pun aku. Walau dengan siapapun aku hadapi.Inilah seberat-berat ujian. Tekad aku, aku tidak akan bercinta, aku tidak akan berpasangan, tidak akan melayan, selagi tidak akad.

Dan sebenarnya, bersendirian itu lebih mudah, dari mengetahui ada seseorang yang kau inginkan, dan dia juga menginginkan anda, namun belum sampai masanya. Atau..bukan lagi takdirnya.

You want to be bisexual? Think again, you will suffer more.


Sabtu, 6 April 2013

Permata yang hilang

 Ceritanya begini, aku punya seorang sahabat gay yang baru mendirikan rumah tangga. Aku amat menghormati dia kerana amat ingin untuk merealisasikan perkahwinannya. Dia amat ingin membahagiakan isterinya.

Walaupun bukan mudah kerana tidak dapat disangkal insan-insan yang mempunyai naluri yang bukan biasa, sukar untuk melakukan sesuatu yang kebiasaan bagi orang lain. Banyak deria rasa yang perlu dipupuk dan dilatih.

Namun aku amat-amat mendoakan dia berjaya menjadi suami yang soleh dan pemimpin bagi keluarganya. Kerana usaha yang ditunjukkan bagi aku, bukanlah alang-alang.

Dan paling penting, dia tidak malu memohon pertolongan.

Di akhir perbualan kami, dia ucapkan terima kasih, dan dengan selamba aku kata.

"Its okay, saya memang minat benda ni"

Haha.

Aku memang minat perempuan, aku memang minat melakukan hubungan batin dengan wanita, apa yang tiada, ialah aku tidak punya aset yang boleh menerbitkan zuriat.

Sambil berbincang dengan dia, ditangan aku adalah buku Permata Yang hilang, yang pernah aku pujuk bekas suamiku untuk membacanya. Akhir sekali, aku pula yang membacanya dari kulit-ke kulit. Buku ni dihadiahkan oleh kawan aku, aku pun tak tahu nak cari kat mana. Masa cerai dulu, teringat juga aku nak bagi buku ni pada bekas suami, yelah mana tahu dia ada rezki dengan wanita lain. Tapi fikir balik, lantaklah, dia lelaki pandailah dia cari sendiri.

Kalian nak salinannya? Boleh email dan poskan wang utuk fotostat dan kos penghantaran. Kahkahkahkaahkahkah.

Aku tahu boleh saja dapat dalam format pdf, tapi..kalau dah biasa pegang buku, tak puaslah kan tengok yang pdf.

Sebenanrya, ini bukan kali pertama aku buat kerja ni, menolong orang dalam bab nafkah batin. Dulu masa zaman-zaman irc lah..dan juga antara kenalan pun, ada juga yang aku tolong. Apa yang aku tolong?

Aku beritahu apa yang perempuan suka. Apa yang perempuan rasa. Apa yang perempuan nak.

Dalam buku ni kerap bagitahu, setiap perbuatan suami untuk menyukakan isteri beroleh pahala. Malah rasulullah sendiri menyeru agar sekiranya suami isteri melansungkan nafkah batin ini, dibuat secara bersungguh-sungguh. (matilah, ayat takleh blah)

Kadangkala dalam aku menunjuk ajar tu, aku dok terbayang, bestnya dapat isteri depa. Eh, aku manusia gak. Dah lah biseksual, danggg (sound effect batu-bata terhempap kat kepala).

Seksualiti, seksualiti, ni semua mainan aku sejak dulu. Minat aku sejak kecil-kecil lagi, dan itu juga yang membuatkan aku terjebak dalam bdsm, dan paling sedih, bdsm memang ada dalam darahku.

Nak tanya aku tentang nak bagi nafkah batin pada perempuan, aku tahulah. Tapi tanya aku pasal lelaki, arghhh..salah orang. Lelaki ni amat complicated, dan jujurnya, aku hampir dungu kalau tanya tentang lelaki. Aku mungkin memang loser bab lelaki. Takpelah, aku redha.

Eh, memang kadangkala aku ni ada juga cita-cita nak jadi ahli seksual terapi.Kehkehkeh.

Rabu, 3 April 2013

Apa itu kehormatan?

Antara kehormatan diri ialah menjaga kehormatan orang lain.

Aku agak tidak gemar dengan blogger atau sesiapa sahaja yang menyindir atau mengkritik secara umum dengan menyebut nama individu tertentu.

Pertama sekali, bagi aku, sebagai blogger, kau harus sedar yang tulisan kau adalah public.

Apabila mengkritik dengan menunjukkan sesuatu yang kau anggap kesalahan seseorang, itu namanya kau mengaibkan.

Dan jangan sekali berdebat sekadar untuk mengaibkan, kawan.

Bagi aku hanya politikus bangsat sahaja yang akan suka mengaibkan orang.

Rasulullah tidak pernah menegur dengan mengaibkan. Dan baginda adalah seorang yang amat mulia.

Dan kenapa aku selalunya lebih gemar menggunakan bahasa scientific apabila mahu menyebut sesuatu yang agak sulit, kerana aku masih cuba menjaga adab, walau blog ini adalah rakaman hidup aku yang amat jujur.

Penulisan adalah satu alat mengangkat peradaban. Juga boleh menjatuhkan. Boleh memecah belahkan, boleh mengundang kebencian.

Pilihan ditangan anda.

Selasa, 2 April 2013

You never like this before.

Sebentar tadi Philip menghubungi aku.

Dia: You kenapa sekarang ni, susah nya nak hubungi, you dah ada boyfriend ke?
aku: taklah, mana ada.
Dia: Then, kenapa you tak reply mesej, tak angkat call.
Aku: I kan banyak driving.
Dia: You never like this before, sebelum ni kalau you driving pun, you akan sms later, sekarang mana ada, you bukan macam ni, dulu.

Philip mula meninggikan suara.

Dan, argh. Aku mula agak menikus, cuba mencari bahasa yang baik untuk aku terangkan. Dia dulunya adalah dominan aku. Aku telah dilatih untuk menjaga hati dia, untuk taat, untuk mendengar kata-kata dia.

Aku: Saya, saya ..saya busy sedikit sekarang.
Dia: You busy apa? Explain to me.

Aura dom dia dah datang dah....

Aku: I involve dengan, hmm...lesbian group yang nak jadi straight (dem, bukan itu maksud ku, tapi apa cara mudah aku nak explain?). Dan support group untuk plhiv.
Dia: You sebenarnya macamana ni? You tak jumpa Deanna lagi? You dah tinggalkan Deanna? You nak quit?
Aku: I ...you dah tahu kan i dah quit bdsm.
Dia: Ya, but this one about Deanna, I know you really love her before this and I know you fuck her like no tomorrow when you living with her.
Aku: Yea, i dah stop tapi i still care about her.
Dia: But you not play with her anymore.
Aku: yep, not anymore.
Dia: No wonder, dia drop. She really sad okay.
Aku: What can i do, i already decide.

Dan kemudiannya perbualan berakhir, bila dia perlu pergi. Aku tidak tahu samada dia akan menghubungi aku lagi atau tidak. Tetapi mengetahui Deanna sebenarnya sedih dengan apa yang berlaku, membuatkan aku sayu juga.

Aku dan Philip.

Aku pernah cuba-cuba meminta Philip memeluk Islam, agar dia boleh menikahi aku. Tapi, biasalah, samada aku tidak berbaloi atau hidayah Allah belum sampai padanya, walau cuba-cuba juga aku menyampaikan apa yang aku boleh.

Philip seorang yang budiman. Dia tahu bila masanya perlu bertegas dengan aku, dan bila masanya dia melayan kenakalan aku.

Hanya lelaki tertentu akan dapat mencari sifat manja aku, sifat taat aku.

Banyak takdir belum sampai memihak pada aku.

Kadangkala, aku rindu menjadi budak nakal. Aku rindu untuk ditundukkan...

Rindu pada segala yang indah, yang bukan dengan redha Allah, adalah perit. Dunia ini memang bagai penjara. Bagaikan bangkai. Bagaikan racun. Bagaikan bara.

Isnin, 1 April 2013

Apa akhirnya?

Kadangkala aku tertanya apa akhirnya cerita hidup aku.

Umur aku nak menjangkau pertengahan 30 an. Baru minggu ni aku pergi pemeriksaan kesihatan, keluarga ada sejarah diabetik dan darah tinggi. Nak tak nak kesihatan kena jaga sikit (tu pun bila ada orang remind..heehe).

Kadangkala bila aku terkenangkan Deanna, aku selalu fikir, biarlah aku seorang diri, selagi kasih aku ada pada dia, walau aku memang akan berjuang ke akhir hayat aku untuk tidak menyentuh dia.

Kerana satu perkara. Andai ada jodoh aku didunia, aku tak pandai nak bersembunyi. Aku mudah rasa bersalah. Bagi aku, biar orang itu tahu aku ada rasa kasih pada seseorang yang bukan adam, dan orang itu cuba untuk membuatkan aku menyintai dia lebih dari aku menyintai Deanna.

Amat sukar untuk aku menelan sekali lagi sebuah ikatan halal tanpa kasih sayang.

Selagi hati aku tak menyintai lelaki yang halal itu (andai ada) lebih dari aku mengasihi Deanna, selagi itu aku akan dihantui rasa bersalah.

Pernah aku hampir terluah pada ahli keluarga ku...betapa disayangi dan mengasihi seorang wanita itu jauh lebih mudah.

Pernah aku terfikir..mungkin makhluk bernama adam memang fitrahnya dingin, tidak mahu disentuh apatah lagi menyentuh.

Ah kalau begitu..memang sengsara sahaja yang menanti.

Aku dan Deanna umpama pelengkap. Dia suka diraba dan aku suka meraba. Itulah kebahagiaan dunia buat aku, bila bersama dia.

Cuma halal dan haram yang menghentikan segala.

Bolehkah seorang Adam mengasihi aku lebih dari kasih yang diberi oleh Deanna?

Jika sengsara bersama yang halal. Baiklah aku memilih seumur hidup menentang yang haram.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...