Halaman

Isnin, 29 Julai 2013

Menghakimi, bukan aku.

Dimana aku berdiri?

Usai usrah dan gathering minggu lepas, alhamdulillah syukur yang amat sangat. Dapat jumpa kembali adik-adik, kawan-kawan yang berada dijalan yang sama.

Dan pulang dari bulatan kegembiraan itu, aku mula rasa aku perlu menyatakan pendirian aku, kepada pembaca blog, yang senyap atau tidak.

Aku tak pernah berbangga dengan pengalaman yang lepas. Entri-entri aku yang lepas telah memaparkan pencarian aku. Perlukah aku ulang apa pendirian aku?

Aku, memegang pendirian,. seks diluar nikah itu haram. Lalu tiada ruang untuk hubungan seksual samaada anda gay atau tidak. Jika anda tidak mahu orang mempersoalkan tentang kisah bilik tidur anda, apa perlunya anda mengaku dan berbangga bahawa anda adalah gay?

Jadi definisikanlah diri anda sebagai, teman serumah, rakan, sahabat, kalau anda yakin itu adalah anda.

Apabila anda dan pasangan saling merasakan diri dan mewar-warkan anda adalah suami isteri dalam satu perkahwinan, disitu datangnya hukum menafikan akad nikah didalam Islam dan mazhab shafiie. Dalam Islam, cuma mengiktiraf anda adalah suami isteri apabila berlakunya akad.

Jika aku menghakimi, itu bukan aku. Aku cuma berpegang pada apa yang aku yakini. Dan dalam masa yang sama aku menerima diri aku, dan juga sesiapa sahaja yang membawa kepada niat kepada kebaikan. Aku tidak pernah peduli siapa anda, punya partner atau tidak, gay atau tidak.

Aku pernah hidup punya partner dan aku tahu apa yang sukar dan apa yang mudah.

Aku terima orang straight dan aku juga sedar aku tergolong dalam orang yang tidak straight. I am one of PLU but I never proud of it.

Pendirian aku, aku tidak bersetuju dengan mana-mana individu yang menyatakan gay itu halal. Aku paling yakin ini, dan aku amat tenang ini. Ini adalah ketenangan yang paling tenang aku kecapi setelah bertahun menjalani kehidupan yang meresahkan.

Namun, menghakimi adalah bukan sikap aku, kerana itu aku menerima sesiapa sahaja sebagai rakan.

Jika anda tidak rasa bersalah, tidak perlu pula menjatuhkan hukum kepada orang lain. Kebenaran tidak perlukan hakim.


Rabu, 24 Julai 2013

Berkasih atau tidak, berpartner atau tidak..

Alhamdulillah, syukur untuk hari ini dan semua nikmat-nikmat yang Dia beri. Tidak semua doa kita Allah makbulkan sekelip mata, tapi terlalu banyak nikmat Allah yang kita tak minta, Allah tetap bagi percuma. Pernah minta oksigen? Pernah doa minta mata boleh buka, tapi tetap setiap pagi kita boleh buka mata. Alhamdulillah.

Dalam ramadhan ni, ada beberapa doaku yang Allah makbul on the spot. Gerun pula aku. Tak mengapa setiapnya aku terima dan moga Allah didik aku untuk redha, hidup sekadar ujian, nikmat pun ujian.

Beberapa hari ini, atau beberapa minggu kebelakangan ni, ada rakan-rakan bercerita padaku, tentang niat hati ingin berubah tapi, masih takut untuk melukakan hati partner, takut nak meninggalkan partner, kerana telah lama hidup bersama.

Salahkah berpartner? Walau tiada lagi hubungan atas katil.

Sukar aku nak jawab. Dalam salah, ada baiknya, dalam baiknya ada membuka ruang untuk salah.

Dalam pada itu, aku menghormati rakan-rakan yang dapat membawa insan yang mereka cintai kejalan yang lebih baik. Bersama, berdua, pergi majlis-majlis agama, sama-sama jemaah solat. Indah kan?

Dalam pada itu mereka juga berjaya mengekang nafsu!

Memang amat aku hormati dan kagumi.

Kalau tanya aku, aku tak mampu. Dan sejujurnya, cukuplah aku telah berjaya keluar dari perhubungan itu. Kerana, aku orang yang belum berjaya mengekang nafsunya.

Bagi yang berpartner, masih belum dapat berhenti hubungan intim. Cuba mulakan dengan diri. Buatlah apa sahaja yang mendatangkan kebaikan dan lebih menenangkan hati, doa banyak-banyak...Allah dengar..yang penting usaha. Setiap usaha Allah pandang.

Namun andai anda telah solo, tak perlulah mencari, tak perlulah meminta pasangan. Bagi aku jika anda solo, Allah bagi peluang untuk lebih dekat pada DIA, lebih bergantung pada DIA, lebih sedar akan kewujudan DIA. Allah sebenarnya bagi peluang yang lebih hebat.

Seorang rakan bertanya pada ku..

"Akankah orang lain menghakimi saya, saya nak ke majlis ilmu, tapi saya ada partner"

Awak, usaplah air mata, pandang pada saya, dan ingat satu perkara.. Dalam hidup ini, tidak perlu fikir apa yang orang kata, tapi fikirlah apa yang Allah kata. Allah pandang usaha awak, Dia tahu, setiap niat dihati awak, Dia lebih dekat dari urat leher awak. Saya tahu awak telah lelah, ada kala awak rasa putus asa dan ingin menghentikan hayat, kerana lelah dengan cinta manusia dan dosa. Tapi, Dia sayang awak, lalu Allah datangkan rasa resah itu pada awak, sebab Dia nak awak mula datang pada DIA.


"....(Wahai Muhammad), maka katakanlah: "Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang yang mengikutku...." Al-i-imran ayat 20





Jumaat, 19 Julai 2013

Nikmat 10 ramadhan yang pertama 2013

Salam Jumaat :)

Hariini 10 Ramadhan, Alhamdulillah. Aku tidak tahu apa yang akan terjadi esok kerana aku bukanlah penilik nasib. Namun aku amat amat syukuri 10 ramadhan pertama ini.

Tahun ini aku belajar nikmat berpuasa. Pada sabtu dan ahad lepas, aku diserang gastrik buat pertama kali dalam hidup aku. Ya, akibat selama ini aku amat pergunakan nikmat boleh makan apa sahaja yang halal. Dan aku adalah penggemar makanan pedas yang amat. Bila aku disua ubat pil setelah mendapat suntikan penahan sakit di klinik. Tanpa sedar aku terasa sayu.

Secara jujur aku bukanlah alim sangat, aku bukanlah baik sangat. Dulu-dulu aku selalu juga ponteng puasa, curi-curi makan dan kadangkala gembira bila datang waktu 'Allah bagi cuti'. Dulu aku mana kira ramadhan ke tak, semua aku tak suka.

Keluar klinik, masuk kereta, dengar pula radio yang sedang ceritakan nikmat orang berpuasa. Pahala dan ganjaran puasa, Allah simpan sebagai haknya. Sebagai rahsianya. Dan orang berpuasa ini, jika tulus kerana Allah, setiap perbuatannya adalah ibadatnya, laparnya, letih dia, semua Allah tahu dan kira. Allah seolah mewar-warkan bahawa dia hak Allah.

Bayangkan, orang yang sayang kita, cinta pada kita, bagitahu satu dunia, kita ni adalah milik dia. Bukankah itu kegembiraan yang agung, pada semua kita yang sering mencari cinta.

Masa tu, baru aku sedar, selalu terdengar keluhan rakan-rakan yang dalam rawatan ubat, mengadu sedih tak dapat puasa. Baru aku faham perasaan mereka.

Alhamdulillah, cuma dua hari. Tapi rakan-rakan aku, ada yang tidak mengjangka, ramadhan yang lepas adalah kali akhir mereka dapat berpuasa.

Bagaimana andai nikmat puasa untuk ramadhan kalini adalah yang terakhir. Ya Allah, hilang satu nikmat yang agung.

Dan selain ukhwah bersama rakan-rakan GNY didalam whatssap dan FB yang saling berkongsi tazkirah dan audio bacaan mengaji, tak kurang juga yang suka menyanyi menghibur hati, hehe. Aku berpeluang bertemu dengan seorang sahabat yang banyak menyokong aku sejak blog ini mula menyentuh tentang PLU. Sahabatku, yang beravatar kucing comel di FB, Allah pinjamkan sehari untukku.

Aku berpeluang iftar bersama keluarganya dan kemudian terawih di masjid negeri, yang selalunya aku akan elak kerana bilangan rakaat yang banyak. Malam tu kami berbual panjang dalam perjalanan, tentang dunia PLU dan pertembungan dunia kami dengan golongan agamawan. Latar belakang dia dan aku amat berbeza, fikrah Islaminya banyak menyekat naluri yang menjadi persamaan antara aku dan dia.

Kawan, aku rindu berjemaah subuh denganmu.

Ramadhan kalini, juga aku belajar apa itu Talaqi. Belajar dengan al-baghdadi Learning Center aku dapat lihat peluang untuk aku belajar quran terbentang luas. Sangat-sangat syukur pada yang esa, memberi aku keberanian mendaftarkan diri di pusat pengajian itu awal disember lepas.

Banyak sungguh nikmat, bila mencari jalan kebenaran. Terlalu banyak nikmat ujian dan nikmat kegembiraan. Lalu kawan, jangan gentar, yakinlah dengan sifat penyayang Allah. Bila kau bertekad untuk meninggalkan kepalsuan, Allah akan membantuMu dengan setiap jalan dan cara yang unik.


Selasa, 16 Julai 2013

K.A.M.I Jalan Pulang.

Hariini Ramadhan ke 7. Hariini dan sejak akhir- akhir ini aku menemui apa yang aku cari sewaktu aku mula-mula menekan button 'create' kepada group Jalan Pulang.

Dan aku menemui mereka dalam perjalanan ke Program GNY.

Kami berlima, dan aku tidak dapat menyatakan siapa, kerana faham akan privacy antara kami. Setiap kami ada kelebihan masing-masing. Dan saling melengkapi. Aku tidak lagi sendirian dalam menjalani perjuangan aku. Deanna tidak lagi menjadi teras dalam hidup aku. Walaupun Deanna kini duduk amat hampir dengan kediaman aku, tapi kami melansungkan kehidupan masing-masing tanpa banyak pertemuan. Walaupun, rasa sayang itu kadangkala masih sukar untuk didefinisikan.

Selain adik-adik GNY yang sering menceriakan hidup kami di whassap group, kami selalu juga berkongsi apa-apa tazkirah atau apa sahaja ilmu mana yang ada. Kadangkala kami hampir berkongsi hidup, mengemaskini apa yang kami lakukan, mengemaskini masalah-masalah yang kami hadapi, dan kami semakin saling mengenali, inshaallah kami saling doa moga ukhwah ini akan bawa kesyurga.

Walau kadangkala kami menakal juga sampai tak ingat dunia,haha.

Dari kami, ada yang banyak menghafal doa, suka mengaji, ada yang amat ceria dan manis lebih dari gula, dan indah orangnya, ada yang sentiasa boleh menjaga dan melindungi, dan tak kurang juga ada yang manja (erkk.aku kah? bukan aku seorang kot). Antara kami ramai yang mempunyai asas agama yang kukuh, dan kami saling berkongsi, dalam pada tak sangka, ramai yang dapat memberi input.

Akhirnya, aku temui mereka. Kalau aku fikirkan balik, Waktu aku bermula, dari titik pertemuan yang Allah izinkan aku menemui AHP Positive yang kini adalah Presiden Pertubuhan Positive Warriors Malaysia, kemudian aku banyak mengorak langkah melalui sokongan beliau.

Walau persahabatan ini adalah sesuatu yang aku impikan setahun dulu, namun aku yakin ianya bukanlah penghujung perjuangan ini. Ianya adalah permulaan kami. Dan bila ada orang kata, tulah sibuk nak create group..sibuk nak buat itu ini, bagi aku itu semua perancangan Allah, hati aku tergerak..dan Allah yang gerakkan. Apa pun kesilapan yang aku buat dan ujian yang aku tempuh adalah didikan dari Yang Esa.

Cabaran paling utama, adalah, istiqamah. Tidak tenggelam dalam nikmat yang Allah beri.

Yang paling utama, yakin dengan apa yang aku perjuangkan.

Kepada pembacaku, yang akhir-akhir ini muncul dan meluahkan, awak perlu buat keputusan untuk diri awak sendiri, dimana akhirnya hidup ini. Tanam dalam diri tekad untuk bertemu Allah dalam keadaan Dia redha pada awak. Dan untuk itu, mungkin banyak yang perlu diubah dalam hidup, banyak yang perlu diusahakan.

Kepada semua, moga cinta ini Kerana Allah. Dan Inshaallah aku juga akan tidak akan melupakan niat dan tujuan saya waktu membuka group Jalan Pulang, iaitu kepada semua PLU.

Note: Gambar tu terlalu ayu, maaf. Tapi terlalu indah kan.


Jadi inilah gambaran kami sebenar..kot

Tapi dikalangan kami sebenarnya ada sekuntum mawar, susah nak cari gambaran tu, Haha.

Jumaat, 12 Julai 2013

PLU, stigma dan prejudis

Situasi A:

Lisa: Aku menyintai kau, semua dunia ini berputar diatas dirimu, Sara.
Sara: Tapi, yang, my mum dah dapat bau tentang I dan U, I rasa kita kena slow down.
Lisa: Tapi, I tak boleh tak jumpa you, dunia ni macma kelabu je bila tak dapat jumpa you. Arghh, your mum tak faham la.
Sara: I tahu, masa you pergi kursus haritu, I giler rindu dekat you. Tapi my mum dah tak bagi jumpa you lagi. 
Lisa: What??? Ah...macamana ni.

Situasi B:

Mak: aish, saya tengok anak kita tu melekat je dengan si Lisa tu, kesana kemari dengan budak pengkid tu, nama Lisa, cantik dah, tapi perangai mengalahkan jantan.

Ayah: Hmm, nak buat macamana dah dari dulu si Lisa tu macam tu.

Mak: ish, haritu, saya nampak mereka berpeluk-peluk dalam kereta, ishhh, tak senonoh.

Situasi A + Situasi B:

Mak: Budak-budak pengkid ni tak tahu ke yang diorang tu haram, macam jantan tu haram, berkepit dengan perempuan sesama jenis tu haram. 

Lisa: Ya, allah kenapalah sukarnya aku nak melupakan dia, kenapalah aku ada naluri ini, kenapa kau lahirkan aku dengan naluri ini. Argh, mak si Sara ni pula memang tak faham, aku dan anak dia cinta suci!

Situasi C:

Sekumpulan lelaki: Woi, pengkid, kalau aku rogol kau, kau mengandung tak?!


Ini adalah contoh segala picu stigma dan prejudis. Kalau boleh aku katakan, umpama katak bercakap dengan itik. Katak terus meng ong-ong dan itik terus menyudu.

Orang heterosexual, penuh dengan rasa jijik terhadap PLU dan kebencian terhadap manusia jenis kami.

Orang homosexual, menyampah dan juga penuh dengan dendam kesumat terhadap orang heterosexual.

Lalu dimana titik pertemuan?

Golongan agama dianggap tidak memahami tetapi cuba menyampaikan dakwah. Dan golongan yang didakwah akan terus-terusan menganggap  golongan agama ini golongan yang harus dijauhi.

Kesannya? Dakwah tidak sampai, dan golongan PLU akan semakin tergapai-gapai, ada yang mencari, ada yang hilang. Sedangkan berdakwah itu wajib sebaik sahaja seseorang itu beragama Islam dan tahu erti syahadah.

“If you want to do da'wah to a person, do da'wah to them, not about them.”

Imam Omar Suleiman


Setiap manusia saling memerlukan, kalau nak diwujudkan masjid untuk PLU itu tidaklah menepati nilai Islam yang universal. Kenapa tak sahaja diminta satu planet yang semuanya PLU, perghhh fantasi aku tu, semua satu planet ni perempuan. Dan untuk lelaki satu planet yang lain pula. Bila dah nak pupus, barulah dipaksa membiak. Ambik kau, nak?

Pertama sekali, aku selalu sampaikan pada kawan, dan semua orang PLU ni kadangkala cemburu nak mampus, dekat orang straight yang boleh menghalalkan naluri mereka. Kerana nafsu itu fitrah, lalu sakit jiwa lah orang yang sukar untuk mencari redha Allah dengan nafsu.

Benar, setiap manusia ada ujiannya, dan sebesar-besar nikmat adalah iman. Seperti dakwah kepada non-muslim, andai seorang pendakwah Islam gagal memahami agama atau kepercayaan non-believer itu, adalah sukar untuk pendakwah itu menyampaikan dakwahnya. Bolehkah anda berdakwah dengan mengatakan..

"Babi ni haram, dahlah kotor, tu pasal agama Islam is the best"

Kalau tak kena penampar, dah cukup baik.

Takkah sama dengan..

"Tahu tak gay ni haram, Islam laknat"

Benar, kenyataannya betul, tapi adakah dakwah akan sampai, adakah kebenaran itu akan sampai pada hati orang yang didakwah, tidak. Sukar.

Andai ada yang menganggap, memahami golongan PLU adalah sukar dan meletihkan, maka, sabar sahaja penawarnya. Umpama seorang Psychiatrist dengan pesakitnya, jika tidak tahan, mungkin akan menzalimi pesakit dan dirinya sendiri.

Apa yang aku ceramahkan ni?

Aku juga pernah berkali-kali putus asa dengan kawan-kawan PLU sendiri yang resam manusia pelbagai, entah esok lusa aku gagal lagi dan putus asa lagi. Dan sebagai seorang yang cuba untuk menambah ilmu, aku tidak dapat lari dari menghormati ustaz di tempat mengaji, ustaz yang memberi ceramah, ustazah yang adalah bini ustaz tempat mengaji tadi.(lol)

Benar, hanya PLU yang memahami PLU, tetapi hidup ini tidak akan berlansung dengan indahnya hanya dengan PLU sahaja. Dan benar, PLU ini pengamal aktiviti yang Allah larang, tapi andai anda tidak memahami kami dan tidak cuba membawa kami mendekati jalan yang benar, dimasa depan bagaimana anda nak memahami andai ada insan yang anda sayang adalah peminat kaum sejenis.

Islam tidak pernah menghalalkan stigma dan prejudis.

Rabu, 10 Julai 2013

GNY:Pengalaman tak ternilai

GNY=Program Getting To Near You 2013

Alhamdulillah telah selesai semua. Hikmahnya program ini diadakan seminggu sebelum ramadhan.

Program ini dihadiri oleh 20 orang peserta, peserta pelbagai latar belakang dan proffesion tetapi memegang satu label yang sama. Andai anda mahu melabelkan. Dan, niat yang sama. Mahu menuntut ilmu.

Penceramah terdiri dari Ummie Ros (Raudhatus Sakinah), NurSyuhada (Perunding Imej), Sifu Hanafi (Penceramah bebas, selalu di tv9 rancangan tanyalah Ustaz, dan sering mengadakan program bersama transgender), fasilitator-fasilitator dari Yayasan Ihtimam dan Ustazah Laila (Perunding Motivasi).

Diruang yang terhad ini (yelah fikiran dah sampai ke bazar ramdhan, lol) tak mampu aku nak rumus semua pengalaman yang telah ditimba dan tercipta antara kami disini.

Di program ini kami mengenali Ummie Ros yang penuh dengan sifat keibuan, banyak bercerita tentang pengalamannya menguruskan Raudhatus Sakinah, brkongsi ilmu tentang ukhwah dan persaudaraan didalam islam.

Perunding imej, Puan Suraya menyebabkan kami faham betapa indahnya seorang wanita itu, menambah pengetahuan kami yang terdiri dari pecinta wanita.

Sifu Hanafi menyentak kami dengan kepentingan alfatihah, menyelusuri diri kami untuk lebih mengenali diri, menilai diri yang fitrahnya adalah hamba Allah dan mempunyai pelbagai latar belakang yang menjadikan kami siapa hariini. Tiada pengalaman yang sia-sia termasuklah kisah seorang peserta  yang memancitkan tayar gurunya, kemudian diberi idea untuk membaling telur busuk dan juga kisah seorang peserta yang dibesarkan didalam keluarga islam, namun kemudiannya memeluk buddha dan kristian, akhirnya kini kembali kepada Islam.

Fasilitator-fasilitator memberi penerangan tentang asas ibadat seperi taharah, rukun wudhu dan solat. Soalan demi soalan menjadi topik hangat perbincangan, apa sahaja, apa sahaja hinggalah kepada dilema kami sebagai PLU antara kewajiban mandi wajib selepas bersihaqah dan meladeni nafsu. Moga kami berjaya berjuang untuk tidak lagi melakukannya. Kemudian praktikal solat dan juga wudhu di surau.

Akhir sekali adalah slot bersama Ustazah Laila yang dikenali sebagai ustazah paling cantik. Seorang perunding motivasi. Berkongsi dengan kami bahawa hidup sebenarnya bukanlah ujian, tetapi adalah pilihan yang didatangkan dari Allah.

Tidak lupa juga slot sharing as PLU, kami berkongsi pengalaman suka duka sebagai orang-orang senget. Bagaimana kami bermula, bagaimana kami menyedari naluri ini wujud, pelbagai cerita benar yang amat berharga. Hinggakan tak sedar kami hampir menghabiskan beberapa dulang sandwich dari pihak hotel. Dari jam 11 malam hingga ke 3 pagi. Dan pastinya setiap cerita sekadar untuk kami yang mula membina ukhwah dan saling baru berkenalan.

Banyak pengalaman dan ilmu yang ditimba. Dan pengalaman pertama terlibat dalam program yang melibatkan PLU dan orang-orang straight pastinya sekadar mimpi andai mahukan kesempurnaan. Setiap cabaran adalah peluang untuk memperbaiki diri.

Pertembungan golongan agamawan dan PLU pastinya memberi banyak ruang dan peluang untuk saling sama mengenali.

Dan dari program ini juga akan terhasil kelompok kecil perbincangan ilmu dan bersama-sama lagi ke taman-taman syurga. Inshaallah.

Ada rezki, jika ada pihak lagi yang sudi menaja, inshaallah program ini akan diadakan lagi. Kepada urusetia dan penaja yang kupilih untuk meng anonymiti kan mereka, sungguh hanya Allah mampu membalas pahala kalian, dan moga sentiase berusaha mendidik kami untuk berdakwah dan mengikut jejak kalian.

Segala puji bagi Allah. Alhamdulillah.
Selamat menyambut Ramadhan, moga ramadhan ini hijrah, moga ramadhan ini kita dikalangan yang dirahmati.


Note: Group FB Jalan Pulang PLU telah pun dijadikan secret group demi menjaga identiti group dan kerahsiaan ahli-ahli, sekiranya ingin menyertai, sila email saya. Terima kasih.

Ahad, 7 Julai 2013

GNY:Aku dan Oswald

Program getting near you (GNY), menemukan aku dengan sahabat-sahabat yang tidak ternilai harganya, mari aku ceritakan sedikit demi sedikit.

Kisah pertama adalah kisah aku dan Oswald yang bertemu melalui group Jalan Pulang, dia salah seorang ftm yang hadir didalam group itu, selain Axl yang pernah aku temui.

Kami duduk sebilik, aku dan dia bagaikan dua sahabat karib. Dikatakan hubungan kami seperti hubungan kulit, Skinship. Hubungan tanpa tarikan seksual, mungkin kerana aku yang lesbian. Atau aku yang kurang perempuan, lalu kami boleh tidur sekatil tanpa sebarang masalah. Itu belum lagi kami saling berbangga dengan boxer dibadan.

Jujurnya, itu pengalaman pertamaku sebilik dengan plu. Tapi kalau aku sebilik dengan gadis yang memang femme, mahu melayang aku. Nasib kami telah awal-awal merancang letakan bilik peserta, sebarang risiko sebolehnya kami jauhi.

Kadangkala kami berpegang tangan, kerana Oswald rimas dengan sifat aku yang suka menoleh kebelakang andai dia dibelakangku, apalah yang mampu aku lakukan, sikap dominan ku kadangkala tak bertempat, sentiasa mahu orang yang bersama denganku selamat disisi.

Kadangkala kami bergasak macam budak-budak. Tapi aku kalahlah dengan kekuatanku yang tak seberapa. Paling seronok, Oswald menggunakan fizikalnya yang ternyata lebih kuat dari aku, untuk mengejutkan aku subuh. Cukup sekadar dia meletakkan kakinya menghempap kaki aku, dah cukup buat aku terjaga sambil merengus. Yelah, 3 hari aku dan kawan-kawan banyak menguruskan peserta, dan juga bersembang hingga lewat, menyebabkan tidur menjadi pilihan akhir.

Paling indah, bila kami solat bersama. Dan Oswald amat segera menunaikan solat dengan alarm nya yang setiasa dipasang, untuk kelima-lima waktu. Sedang aku, cuma memasang alarm untuk waktu tidur!

Sepanjang kuliah, aku menjadi penterjemah dan tanpa aku sangka, aku boleh juga menterjemah ke bahasa inggeris dengan spontan. Alhamdulillah. Harapnya terjemahan aku membantu Oswald dalam memahami ilmu yang cuba disampaikan oleh penceramah.

Kesibukan bersama rakan menguruskan situasi, kadangkala membuatkan aku terpaksa membiarkan Oswald bersendiri, ah, dia sememangnya sebenarnya amat berdikari, kawan ini telah banyak mengembara dan telah punya banyak pengalaman hidup yang mengkagumkan.

Akhir pertemuan, adalah apabila aku menghantarnya di balai berlepas, moga Allah menemukan kita lagi.

Dan sesungguhnya, aku menyayangi mu kerana Allah, sahabat.

note: akan menulis tentang perkongsian di program getting near you dan juga ukhwah antara teammate yang amat berharga.

Sabtu, 6 Julai 2013

Kejujuran itu lantai kehidupan

Dalam hidup aku, aku banyak melalui saat-saat dimana sikap lurus aku dipergunakan atau dipermainkan. Namun, aku tetap aku. Lurus dan kadangkala terlalu jujur. Andai aku tidak terlalu jujur, tidaklah terhasilnya blog ini. Ramai yang respon betapa berani aku memaparkan apa yang berlaku dalam hidup aku. Walaupun tidaklah begitu terperinci.

Kalau tidak kerana terlalu jujur, tidaklah aku terjebak dengan bdsm dan telah di kolar 2 master dalam tempoh yang singkat. Ada orang bertahun-tahun.

Tapi semua itu aku anggap satu pengalaman yang amat berharga. Walau tak sekali aku bangga dengan apa yang terjadi.Dan satu juga sifat aku, aku mudah melupakan, aku mudah membuang ketepi apa yang menyakitkan. Kalau orang lain putus cinta sampai kurus kerana kecewa, aku putus cinta, tak pernah pun buat aku kurus. Kehkehkeh.

Aku boleh buang orang yang memegang aku dengan erat, dalam sekelip mata.

Dua hari lepas, seorang adam, yang telah lama menjadi sahabat aku, dan kemudiannya, mula meletakkan harapan pada aku, menyambut hari lahir ku. Namun detik itu juga, aku terpaksa berlaku jujur dan adil padanya. Harapan itu membuatkan aku rasa terbelengu.

Hati aku tiada untuk dia. Ada orang tanya, kenapa aku tiada hati pada dia. Hati adalah satu ruang yang amat rumit. Mungkin kerana aku 80% lesbian. Mungkin kerana dia tidak dominan, mungkin kerana dia gagal buat aku bergantung pada dia. Pelbagai kemungkinan.

Lalu aku pinta dengan muktamad, jangan meletakkan harapan apa-apa. Cuma bila dia telah bersedia menjadi seorang suami, hubungi aku andai dia sudi.

Aku telah tidak betah keluar dengan adam. Apatah lagi dia sering men tag aku di fb. Orang akan lihat, aku ni status pernah berkahwin.

Riwayat al-bukhari dan muslim, Orang yang menanggung keperluan wanita janda dan orang-orang miskin, pahalanya seperti orang yang qiamulail, berpuasa, dan berjihad tidak henti-henti.

Hah, apa lagi..tanggunglah aku..heheheheeh.

Jadi, apabila begitu juga mereka yang bertanya kenapa aku tidak bersetuju untuk mempunyai hubungan dengan mereka dengan label couple,partner dan sebagainya, aku tolak dengan satu penyataan.

"Aku menyayangi kamu kerana Allah"

Dan tiada apa yang lebih hebat dari itu. Dan itu juga menafikan segala kehendak seksualiti aku terhadap kamu.

Andai menghendaki aku, nikahi aku, dan andai nikah itu yang kamu hasratkan, bersedialah untuk menjadi yang memimpin, aku, wanita yang tidak cukup sifat, wanita yang terpaksa berjihad untuk menyayangi kamu, aku juga seseorang yang perjuangnnya sendiri, namun andai kamu boleh berusaha untuk nmemimpin nafsuku dan diriku kepada jalan yang Allah redha,

Aku bukanlah orang yang menolak sunnah.

note: baru melihat statusnya di fb, dia bernada kecewa. Maafkan aku.



Rabu, 3 Julai 2013

Getting to near you

Ya, aku dan rakan-rakan ku baru usai program ini. Bagi aku yang tidak pernah mengendalikan mana-mana program sebegini, aku agak penat. Tidur agak kurang. Dan bila pulang, tanggungjawab sedia ada tetap ada.

Bagi aku, program ini adalah program perintis bagi golongan orang macam kami. Bersama didalam majlis ilmu, disamping saling mengetahui siapa diri sendiri.

Mulanya, kami merasakan seperti sedang melanggar satu tembok, iaitu stigma diri dan juga masyarakat sekeliling. Kalau kita mengharap kita akan berjaya memecahkan tembok itu tanpa luka dan dengan cantiknya, kita bukanlah rasional.

Tapi, kita berada dalam kesatuan, semua saling menggengam tangan dengan niat yang satu.Lalu hadirlah satu ukhwah yang bagi aku amat indah. Saling berkenal antara satu sama lain, dengan satu niat, untuk menimba ilmu tentang ibadat.

Aku yakin, kalau putus asa tiada didalam kamus, impaknya amat hebat. Senyumlah dengan menyebut tiga, anda akan mendapat senyuman yang paling indah.

:)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...