Halaman


Memaparkan catatan dengan label seksualiti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label seksualiti. Papar semua catatan

Isnin, 25 Ogos 2014

Pasca penyatuan

Browser di laptop tah apa yang silapnya tidak boleh buka blogger. Jadi terpaksa menulis dari telefon ini. Haish.

Kini masa untuk menulis dah tak banyak. Oleh kerana aku dan dia meminati bidang sukarelawan, sering hari minggu kami habiskan dengan program dan aktiviti. Aku lebih gemar menulis menggunakan laptop. Puas menatap skrin.

Bila alam perkahwinan aku tempuh ada sesuatu yang kadangkala aku kena belajar terima dengan redha. Terutama melibatkan kewanitaan.

Sepanjang hidup aku, aku lebih gemar dengan watak maskulin aku yang tak seberapa. Namun itulah aku. Lalu kerana perkahwinan, perkara yang melibatkan kewanitaan terpaksa aku tempuh.

Beberapa minggu lepas aku menjalani pemeriksaan kesihatan. Alhamdulillah aku ok setakat ini.

Naluri aku, ya benar,aku mahukan anak, tapi aku tak sanggup dan tidak selesa untuk melalui proses-proses ya melibatkan sistem biology wanita.

Aku terbaca satu artikel tentang seorang wanita yang sangat maskulin,berkahwin dan mempunyai seorang anak. Dan selepas kelahiran itu, dia memfailkan cerai dan terus menjalankan terapi hormon dan kemudiannya menjalani pembedahan menukar jantina.

Katanya proses biologi itu menyebabkan dia kemurungan dan benar-benar tahu bahawa dia terperangkap dalam tubuhnya.

Aku merasai perasaan itu sebanyak 20%.

Apatah lagi bila datang pertanyaan:-

"Kau tak mengandung lagi? Kau tak buat ke?"

Untuk pengetahuan mereka yang mempunyai semangat ingin tahu yang tinggi ini, jawapannya aku tidak pernah gagal menjalankan tanggungjawab aku terhadap dia dalam bab batiniah yang khusus ini.

Awalnya ia tidaklah mudah kerana ada beberapa kesan psikologi yang aku hadapi disitu. Tapi alhamdulillah, dia sangat memahami dan sangat bijak menangani masalah aku.

Alhamdulillah,aku dijodohkan dengan orang yang bukan sebaya.

Aku dan dia umpama kawan. Dan sangat indah kerana aku menjalani kehidupan tanpa lagi memikirkan apa yangbaku dan pasangan aku lakukan adalah murka Allah. Sebaliknya ia menjadi ibadat.

Cuma perlu berusaha mengislamkan keinginan dan nafsu.

Ada yang mengatakan..nah..bila kahwin,mereka yang gay,maknyah boleh sahaja hidup normal.

Anda tidak tahu perjuangan mereka menundukkan naluri yang lahiriah.

Sabar dengan kehidupan yang sementara. Sangat sementara.

Ahad, 3 Ogos 2014

Engkar, mungkir.

Jujurnya, aku tidak tahu untuk meletakkn tajuk. Jujurnya, aku hampir ingin meletakkan noktah kepada MG. Kerana aku merasakan kemelut yang aku hadapi dahulu sudah hampir hilang. Ramai yang bertanya, bagaimana..bagamana untuk berkahwin sedangkan mereka tidak dapat melupakan naluri.


Naluri, jujurnya aku belum temui kaedah penyelesaian. Aku cuma bertuah, kerana dikurniakan jodoh yang sangat memahami aku. Kadangkala, akulah menunjukkan padanya gadis-gadis cantik yang ada didepan mata, sama sahaja terujanya dia dan aku, kerana dia lelaki, jadi itu normal, kerana dia memahami aku, jadi dia tidak menempelak aku. Kerana dia tahu, sekadar itu-itu sahaja nakalku. Bukan juga dia membenarkan tingkah laku ku.


Namun, dia juga bukan selamanya untuk aku.


Ini bukan syurga, yang segalanya kekal disampingmu. Ini dunia. Dimana nanti kau juga akan hancur ditelan tanah, kecuali kau syahid atau penghafaz quran, atau mana-mana satu dari golongan itu. Jujurnya, perkahwinan ini juga, aku sebagai manusia biasa dan diuji dengan seksualiti, bukanlah mudah membuat keputusan. Aku cuma tenang selepas istikarah yang entah seberapa. Aku cuma tenang selepas meratap pada Yang Esa.


Kadangkala, aku masih mengkagumi kawan-kawan penk dan juga ftm. Betapa aku pernah dan teramat ingin seperti mereka. Tidak terbuang dalam diri sendiri. Namun realitinya kini, aku cuma isteri orang yang tidak pandai masak, berboxer dirumah dan sentiasa berambut pendek. Dunia ini juga pendek waktunya.


Biarlah aku menjadi aku dengan cara yang tidak engkar.


Bolehkah golongan kita berkahwin? Punya zuriat, hidup dijalan yang Allah redha?


Jawapan aku, yang juga kudapat dari seorang kawan.


Tiada yang mustahil bagi Allah.


Pertamanya, tinggalkan kekasih mu yang tidak diiktiraf dunia dan akhirat. Jangan beralasan tanggungjawab kerana kawan. Bila sahaja kau pernah merasakan dia lelaki mu atau dia isterimu itu tandanya kau di jalan yang tidak benar. Tinggalkan dia. Maaf, keras ayatku.  Tapi, untuk apa aku berlapik lagi, sampai bila?


Keduanya, lengkapkan solat dan aurat. Usaha, usaha hingga mati.


Ketiga, cari ilmu, dengan ilmu kau akan semakin dekat dengan tuhan dan orang-orang yang baik.


Cukup, buat tiga ini dulu. Inshaallah kau akan temui yang lain. Andai salah satu langkah ini kau gagal istiqamah, atau tidak buat, tapi terusan meroyan akan nasibmu, akan jodohmu, akan rumitnya hidupmu..tandanya kau yang memilih itu semua. Kau yang memilih engkar.


note: Dalam 3 peringkat ini kau akan menderita, tapi yakinlah Allah bersama orang-orang yang berjuang.

Khamis, 5 Jun 2014

Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.

Dhuha di Air Terjun Sg Perdik, kenangan GNY2.

Dalam dikelilingi satu kumpulan yang unik, ujian sering berlegar-legar. Sebelum aku memulakan group Jalan Pulang, bila aku ajak rakan-rakanku yang kulihat telahpun kuat bersendirian, kerana waktu itu sumpah aku amat lemah, kata mereka, kenapa nak dikumpulan dalam satu kolam, akan ada yang menjadi mangsa dan dimangsakan, keluar, berjalan seorang, hijrah, tinggalkan semua.

Aku pernah berkali berseorang, dan setiap kali itu aku jatuh, kerana aku amat memerlukan yang memahami aku, ya aku sangat lemah, mungkin cinta tuhan belum kurasai mencukupi, kerana itu aku menolak kata-kata rakanku itu, aku perlukan teman untuk bangkit.

Sering berasa asing dimajlis-majlis agama, dan sering merasa sangat perit keseorangan dalam berjuang menahan diri, lalu terdetik hati, aku perlukan teman seperjuangan.

Lalu terbentuk Jalan Pulang.

Dan, ya, apabila berkumpul bersama, gurauan dan ujian itu sentiasa ada. Kadangkala menjadi dilema didalam diri, benarkah apa yang aku lakukan ini ALLAH redha. Namun, sentiasa ada satu jawapan. Kebanyakan kami solo. Kerana menjauhi fitrah naluri yang mahu dilunasi. Lalu kawan-kawan inilah yang sering menjadi kekuatan.

Contoh, bagi yang keluar dari satu perhubungan, kesunyian akan menjadi musuh yang membunuh. Bila ramai untuk sama berhubungan, sedikit sebanyak kesunyian itu dapat dilawan.

Cuma moga Allah jauhkan kami dari kelembah penzinaan dan pergantungan pada satu-satu individu atas nama cinta, sekali lagi. Moga Allah haramkan kami meletakkan agama hanya sebagai topeng bagi menutupi satu kemungkaran yang besar.

Jangan sampai ada yang jumpa partner di Group Jalan Pulang!

Aku telah berpesan, dan aku merasakan niat dan jalan kumpulan ini masih lebih banyak kebaikan dari kemudharatan. Kerana aku masih percaya tidak semestinya perlu berjuang seorang dalam menghampiri jalan kebenaran.

Bagi aku Jalan Pulang/ GNY hanyalah umpama support group kepada satu jalan yang lebih baik. Kelainan seksualiti bukanlah untuk dibanggakan, tetapi juga bukanlah untuk membuatkan kita menderita dan sesal lalu menyalahkan takdir. Kita hadapi dunia ini dengan cara yang ALLAH mahu. Dan apabila kekuatan itu telah diperolehi, terpulanglah kepada kawan-kawan samada terus menjadi Daie kepada rakan-rakan yang mendepani ujian yang sama ataupun terus kepada agenda kehidupan yang lebih luas.

Bagi aku, aku ingin kedua-duanya. Aku ingin menuntut ilmu, menegakkan kalimah ALLAH, walau aku jauh dari sempurna. Dalam masa yang sama, bersama teman-teman menghadapi ujian kecil dimata individu lain, tetapi tidaklah mudah pada kami.

Tunjukanlah kami jalan yang lurus. (Mohon ada yang membimbing, menunjukkan jalan, bukan meninggalkan kami dan membunuh niat yang masih baru bertatih).

Ahad, 5 Januari 2014

Rasa yang masih wujud

Sangkaku ujian ini mudah,
Sangkaku semuanya akan senang,
Sangkaku ia dipermudahkan,

namun..

Yang paling sukar tetap dia
Yang paling sukar tetap aku
Yang paling sukar tetap rasa
Yang paling sukar tetap jiwa

Sekali lagi perasaan itu menderu
Sekali lagi mimpi itu berkecai
Sekali lagi realiti itu menghentak
Sekali lagi rasa itu menikam

Hati ini tidak pernah lurus
Tidak pernah
Walau sesaat

Aku hampir milik orang
Segalanya telah dimudahkan
Telah banyak syukur yang diredahi

Mungkin aku dah mula lalai berdoa
Mungkin aku dah mula leka 
Mungkin aku dah mula alpa meminta

Aku bukan menipu, walau itu yang wajib berlaku

Musuh yang paling utama bukanlah sang iblis
Musuh yang paling kejam bukanlah nafsu
Musuh yang paling jahat bukanlah si pemfitnah
Musuh yang paling akbar adalah diri

Diri sendiri
Diri yang disempurnakan kejadian ini
Diri yang lupa hamba

Pejam mata, sayang..
Bahagia yang itu bukan milikmu.
Bakar diri kalau perlu.

Dan berbahagialah dengan kasih sayang Dia

Jangan musnah kerana cinta manusia!

ps: aku hampir mengecap bahagia, hingga menyangka aku ini lurus, rupanya, hati ini...tetap ingat asalnya.

Sabtu, 30 November 2013

F Cinta platonik aku



Sedari kecil aku sering rapat dengan rakan-rakan PLU lelaki, kerana aku tak betah bersama lelaki-lelaki straight yang kasar dan kadangkala memandang aku sinis.

"Woi sedarlah kau tu pompuan, pergi balik lipat kain!"

Kau pernah dengar ni, masa kau masuk main bola, jadi goal keeper, masa tu aku rasa nak terajang-terajang dan pijak-pijak zakar lelaki lurus tu sampai hancur, sungguh.

Jadi, aku lebih gemar berkawan dengan rakan-rakan lelaki yang lembut. Dengan kawan perempuan pula, juga ada yang tak faham aku, diaorang sibuk bergosip tentang Back Streeet Boys la, apa jadah haram lagi. Masa tu, yang member-member yang pengkid pula, kerjanya cari gaduh saja, memekak sana sini (maaf realiti, ahh hormone testorane kita sedang memberontak waktu itu, zaman remaja, kalau tak pernah bertumbuk, ahh tak macho la!), tapi kadang-kadang aku ikut belakang juga. Tapi biasanya aku dengan dunia aku sendiri. Dan bersama rakan-rakan lelaki yang lembut, sering buat aku selamat.

Dan aku pula, umpama magnet pada rakan-rakan tidak straight ini. Sejak sekolah, hingga zaman kerja, akan ada yang menjadi side kick aku. Ya, hingga aku pernah berkahwin dengan salah seorang darinya.

Apa itu cinta platonik?

Cinta platonik adalah cinta tanpa nafsu, tanpa tarikan seksual. Kalau dalam dunia hetero, ianya adalah antara lelaki dan perempuan, dan bagi orang-orang hetero, ianya hampir mustahil. Namun bagi PLU, ini adalah cinta paling suci. Tanpa nafsu. Dan amat biasa terjadi.

Aku bertemu F, awal tahun ini, kalau tak silap aku. Dan bagai magnet, kami mula selalu bersama kesana-kemari, dan apatah lagi, dia tahu perjuangan aku dan dia juga sedang mencuba untuk berubah, jatuh bangun, dan aku berdoa moga dia akan terus berhijrah. Aku sangat sayang F. Sumpah. Dan ianya dalam cinta amat Platonik.

Dimata aku, F jujur, walau bergelumang dengan dunia yang kadangkala lebih banyak melukakan. Kadang-kala bila F mula berstylo dan melirik-lirik manja pada lelaki-lelaki yang taste nya, aku mula ketawa. Sebab aku faham. Aku faham, bagaimana aku dulu pun, selalu sangatlah cover macho atau buat-buat macho bila rasa perempuan didepan aku tidak lurus dan aku mula berkenan.

Aku dan F boleh berbual 24 jam tanpa henti jika diberi peluang. Dia tak suka fast food, dia tak gemar tempat sejuk, dan dia tidak lokek membelanja aku andai kami bertemu. Dia tetap lelaki disitu. Dia tetap tahu, fungsi lelaki adalah menjaga perempuan disampingnya, walaupun perempuan tu tak macam perempuan.

Ada waktu kadangkala aku nak usap dan belai F, letak dipangku dan beritahu dia, aku doa dengan sangat, dia akan kuat dan menjadi seorang pejuang menempuh hidup yang sangat sakit, dengan seksualiti ini. Namun aku sentiasa sedar batas aku dan dia, walau kadangkala aku hampir terlupa tentang hukum pergaulan aku dan dia adalah sama dengan lelaki yang bukan muhrim.

Kerana, aku sangat sayang akan sahabat ini. Kalau dia perempuan, aku dah peluk dan usap air matanya.

F, aku tahu, hukum tetap hukum, dan apatah lagi, aku kemungkinan akan tidak solo lagi, dan orang-orang lulus disekeliling aku tidak dapat memahami kejadian cinta platonik plu. Kita akan tetap ditangkap khalwat kalau sebilik, dunia tidak akan faham.

F, doa aku untukmu, sama juga seperti semua sahabat-sahabatku yang berjuang, solo atau tidak, yang berlawan dengan keinginan, setiap detik dan setiap saat. Aku akan terus mendoakan kalian dalam usai solatku, temukan kami semua difirdausi. Dan aku akan terus bergerak dan berusaha untuk menyebarkan dakwah dan kekuatan ini. Walau apapun status aku nanti. Aku akan bergerak dalam kapasiti dimana aku berhak.

Sahabatku F, semua dan juga aku, berhijrahlah dengan ilmu bukan dengan emosi, macam pesan ustaz yang kudengar dari radio ikim.fm, ilmu ada dimana-mana, sama juga ujian ada dimana-mana. Dan segala halangan serta iblis-iblis sedang menunggu dan sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan kembali. Aku yakin, iblis sangat cemburu dengan insan-insan yang bertaubat.

Kerana Allah amat mencintai hambaNya yang bertaubat.

Moga silaturahim hingga ke syurga! F, jaga diri, jaga hati, jaga iman, sayang!

Khamis, 28 November 2013

Demi masa, kita hanya hamba.

Setiap manusia tidak akan tahu apa yang akan terjadi pada masa depan. Malah kau tidak pernah tahu sesaat lagi mampukah kau bernafas.Lama aku tidak menulis, ada waktu, aku sibuk dengan kerja, ada waktu, aku sibuk dengan keluarga.

Aku sebenarnya sibuk bercinta.

Mungkin.

Mudahkah untuk bercinta sebagai satu pasangan hetero. Bagi aku, bagi aku yang mempunyai seksualiti yang berbeza, tidaklah mudah. Aku tidak memahami beberapa benda yang orang lurus fahami. Dan dia juga keliru dengan beberapa tindakan aku.

Ya cinta boleh dipupuk, dan apatah lagi dengan doa. Allahlah yang membisikkan rasa cinta, allah lah yang menerbitkan rasa.

Dalam pada itu, sedikit demi sedikit, aku buang nafsu kepada sang hawa yang sentiasa bergelora. Bila terkenang, aku istighfar. Walau ia mungkin tidak akan padam hingga aku mati. Namun aku percaya Allah pandang setiap usaha. Itu sahajalah usaha aku, saat hati tak keruan bila tubuh mula memberi respon pada ransangan didepan mata.

Satu ketika, aku menyoal sahabatku, kenapa aku tidak boleh bergaul dengan rakan-rakan lelaki, seperti rakan-rakan sejantina,sedangkan aku tidak punya rasa atau nafsu terhadap mereka. Kata sahabat, hukum tetap hukum. Apapun mereka tetap bukan muhrim.Entah kenapa perbincangan itu membuka mindaku pada sesuatu yang lain.

Kita selalu banyak songeh, kenapa tak boleh makan khinzir, kenapa tak boleh sentuh anjing..kenapa kena samak. Analisa logik akan boleh menerbitkan pelbagai analisis. Tetapi..sedarkah kita, hukum tetap hukum.
Ianya sekadar menguji sifat kehambaan kita pada Allah.

Benar, akan ada yang pertikai, mengapa tidak boleh berbahas tentang hukum, kenapa? Kenapa kena puasa, kenapa kena tutup aurat..kenapa..kenapa?

Jawapan yang mutlak dan tidak akan boleh dipertikai, adakah kita mengaku kita hamba allah?
Ya, hubungan aku dan dia serius, dan kini sedang dalam proses untuk sah. Dan ujian kami disini, untuk memahami tanggungjawab sebelum dipertanggungjawabkan dengan mutlak.Mulanya aku gusar, untuk menulis disini. Tapi ini adalah blog perjalanan aku. Pernah aku peduli apa yang terjadi? Jodoh, maut ketentuan tuhan, andai ada, ada, andai tiada takdir..tiada.

Aku juga faham, setiap bahagia atau derita adalah ujian dari Yang Esa, dan tidak akan Allah ujian hambaNya, melainkan dia mampu.

Doalah pada yang esa, Dialah yang Maha Mengetahui.


Rabu, 30 Oktober 2013

Gay, naluri atau nafsu

Persoalan ini selalu bermain difikiran aku. Aku pernah bertanya dengan seorang imam muda, bersama rakan aku. Kata ustaz tu, ujian seksualiti ini boleh jadi kedua-duanya. Naluri dan nafsu.

Katanya ramai beranggapan ia sekadar nafsu, disebabkan dah pernah mencuba lalu ia menjadi kenikmatan nafsu tersebut. Namun harus diingat, ada yang memang nalurinya sejak kecil dia punya keinginan pada jantina sejenis, sebelum ia mengenali bahawa itu adalah nafsu. Dan mereka ini dilahirkan dengan ujian itu. Tidak semua naluri boleh dihalalkan. Dan itulah perjuangan manusia dalam kehidupan, untuk ikut perintah Allah.

Aku bersetuju dengan pendapat ustaz ini. Teringat mereka yang bernalurikan naluri pedophile,  dimana tempat mereka didunia ini? Dan kalau nak diikut banyak naluri luar tabii yang kalau tidak diurus dengan betul akan lebih memudharatkan.

Atas dasar itu bagi aku, tiada istilah exgay. Memang benar ada istilah I was gay. Iaitu pernah menjadi pengamal aktiviti ini, tetapi kemudiannya cuba untuk berubah. Perubahan yang terbaik adalah kerana agama. Seorang gay, kadangkala memang dilahirkan gay, andai dia berubah dia sekadar mengubah nafsunya.

Tidaklah mudah. Dalam waktu sekarang, aku sekali lagi sedang cuba menerima seorang lelaki dalam hidup aku. Segalanya serba kekok. Tak tahu bagaimana, perlukah bertemu, perlukah berhubung. Aku cuba untuk perhubungan ni jalan yang allah redha secara total. Dalam masa yang sama aku mudah ada perasaan tidak suka, dalam setiap hal. Mudah menyampah, ada semacam satu perasaan mual yang kadangkala datang tanpa diundang bila aku sedar aku sedang berhubung dengan seorang lelaki yang cuba untuk membawa aku berfikir tentang perkahwinan.

Dan paling sedih, kali ini. Lelaki ini tidak kenal sisi gelap aku.

Benar, mungkin dia tidak perlu tahu. Namun, itu menyebabkan dia tidak tahu..apa yang dia hadapi.

Rabu, 2 Oktober 2013

Kadang-kadang..

Kau tahu,
Kadangkala, aku selalu membela orang-orang straight dimata kawan-kawan ku. Kadang-kadang kataku, sabar, mereka tak faham. Kitalah yang harus menjadi orang yang berjiwa besar. Memaafkan dan melupakan.

Dan kadangkala,
Kau tahu,
Kadangkala aku jua tewas, kerana orang yang mengkhianati itu adalah orang yang aku percaya.

Kau tahu, bila ada orang luar buat silap, tidak faham sensitiviti kami, kadangkala aku cuba memahamkan, tapi ada detik waktu, aku terpaksa telan, mereka tidak faham kerana mereka tidak diuji sedemikian. Begitu juga aku tidak faham kesengsaraan orang diuji dengan ujian yang tidak pernah aku lalui.

Kadang-kadang ada rasa mahu mengalah.

Pergilah, pergilah kembali kedunia mu. Mereka memang tidak faham, apalah yang kau harapkan. Dan kadangkala terasa pedih kerana bila melihat diwajah orang-orang lurus itu seolah mereka dah amat memahami.

Kadang-kadang, hati kau berkata, sudah-sudahlah membela mereka yang tak perlu pun kau bela. Tak perlulah mendesak mereka yang bersamamu untuk menerima orang-orang yang gagal memahami.

Terima sahajalah, hanya PLU yang memahami PLU.

Entah apa yang kau minta. Entah apa yang kau ingin. Entah apa yang kau harapkan. Perlu sangatkah kau terhadap mereka. Hidup sahaja nafsi-nafsi, peduli sahaja apa yang perlu peduli. Mereka tidak pernah menerima kau pun sebenarnya.

Kadangkala sukar nak menilai kejujuran atau sekadar topeng. Terlalu sukar. Apatah lagi, orang seperti kau yang lurus hati dan mudah dipermainkan. Kelurusan mu pun selalu dipersenda.

Kembali sahaja kepada orang macam kau.

Ah, dunia ini pun bukan lama sangat. Tidak perlu berharap apa-apa. Pergantungan hanya pada yang esa. Dilahirkan dengan naluri yang cacat dan cela dimata mereka. Berjuang sahaja apa yang perlu. Tak perlu berjuang untuk membela orang lain.

Kenapa kawan?

Ah dunia ini terlalu kecamuk. Penjara. sungguh penjara.


Isnin, 3 Jun 2013

Orang macam kita (PLU)


Orang macam kita, kadangkala senyum sendiri melihat sidia,
Mahu disapa, kita sedar kita siapa,
Mahu mengejar, ah itu andai dia pun juga ..orang macam kita,
Lalu, kita cuma mampu memandang dihujung mata,
Memerhati kadangkala, sambil sembunyi diri..

Orang macam kita, kadangkala sakit..
Sakit menanggung hati yang kadangkala tidak mengenal batasan,
Sakit bila tak dapat menghiburkan nafsu..
Sakit bila memandang dia dari jauh,dengan pelbagai rasa..
Sakit menerima redha..yang kadangkala dipaksa-paksa..

Orang macam kita, sebenarnya istimewa..
Kadangkala..perkahwinan bukan hak kita..
Kadangkala..yang mudah dimata orang, kita tiada rasa..
Kadangkala..lebih faham apa yang tidak difahami..
Kadangkala..tak faham lansung, apa yang semua orang faham..

Orang macam kita, jiwanya merana..
Bila waktu, mula sedar..sendiri itulah halal..
Bila waktu, cinta menyapa bertalu-talu..
Bila waktu, akur, semua itu tiada hakiki

Orang macam kita..
Andai tidak ada rasa bertuhan,
Kita calon utama di hospital bahagia,
Menentang fitrah bukanlah mudah,
Memendam rasa boleh merosak,

Orang macam kita..
Wajib lebih dekat pada tuhan
Supaya nafsu jadi tunduk
Memang benar bila sendiri jadi kekurangan s.e.k.s
Namun bukankah kekurangan itu halal?
Penawarnya hanya ada pada tuhan, sang pemberi ujian
Sang pencipta yang tidak pernah zalim

Orang macam kami..
Kadangkala mohon pengertian
Kadangkala mohon kemaafan
Kerna tahu, keunikan kami menuntut kebencian kadangkala
Kerna tahu, keunikan kami buat kami menjadi onar kadangkala
Kerna tahu, keunikan kami telah meruntuh banyak rumahtangga
Kerna tahu, marah kami kadangkala sukar difahami

Orang macam kami..
Kadangkala minta ditunjuk
Kadangkala minta diajar
Kadangkala minta perhatian..
Kadangkala pelupa, kita semua manusia biasa punya ujian tersendiri.

Orang macam kami..
Juga hamba tuhan..walau kadangkala, kami terlupa.
Wajib belajar erti redha lebih dalam..
Juga minta tidak dihakimi,

Orang macam kami..
Ada dimana-mana..bantu, bukan jauhi
Sayangi, bukan dibenci.

Hanya Allah yang membalas segala kebaikan dan penawar segala ujian.


Khamis, 23 Mei 2013

Be your own master!

Pernah terfikir tak ngerinya andai esok bila kita bangun, adalah hari yang sama, terpaksa melalui kelukaan yang sama, dan kegembiraan yang sama.

Sebagai manusia yang cepat bosan dengan keadaan yang rutin, mimpi ngeri sebegitu adalah amat ngeri, rela mati dari kena bangun pagi pada hari yang sama.

Lalu hari yang baru patut disyukuri, tak gitu? Heheh.

Yep, orang macam kita, hanya harus menikmati nikmat yang ada, tidak perlu mengejar sesuatu yang tak pasti.

Bertuah orang macam kita.

Betul, derita bila terpaksa menolak cinta yang dah sah-sah takkan menjadi halal. Cinta yang kalau bernafsu besar trillion angkasa dan buat hubungan seks 20 juta kali sehari pun tidak akan menghasilkan benih.

Kui..kui..kui.

Bila ada yang datang bertamu, aku hanya harus sekadar melayan sebagai kawan, walau hati membuak nak manja-manja sikit.

Fikir balik, kalau layan hati aku dan layan hati dia, dua dua sengsara, dua dua akan timbul perkara yang lebih parah.

Cukuplah parah yang dah aku alami.

Nafsu dan emosi harus dikawal, agar ia menjadi hamba pada diri. Berlaku kejam kepada dia, supaya dia sedar siapa tuannya. Ni tidak, sesuka hati je nak muncul, sesuka hati je nak bagi tuan ni penat melayan, berair mata dan tempat-tempat lain.

Hidup ini pilihan. Ya, mungkin  aku tidak dapat memilih untuk membalas cinta dia. Si dia..atau si dia..atau aku sendiri.

Tapi pilihan aku adalah untuk menjadi tuan pada diri sendiri, iaitu hamba hanya kepada yang Esa.

Selamat pagi, selamat bekerja. Kalau mengantuk, jangan layan..bangun dan buat kerja okeh!

Tak ke mati kalau kena alami 50st date,, kesian kat perempuan ni dan kesian kat Adam Sandler. Eh..syukur kau ada harini dan esok.

Ahad, 7 April 2013

Saya seorang biseksual.

Ujian demi ujian datang pada manusia, selagi dia hidup dan diizinkan tuhan untuk terus memimpin diri. Dan selalu dijanjikan bahawa sabar didunia ini hanya lah sedikit berbanding kegembiraan diakhirat apabila mendapat redha Allah.

Dalam hidup aku, banyak masa membuatkan aku merasakan aku adalah lesbian. Aku pecinta wanita, aku meminati wanita.

Sehinggalah aku berjumpa dengan seseorang yang banyak mengubah persepsi hidup aku.

Dia bukanlah sempurna. Dia bukan sesiapa.

Tapi dia orang pertama meletakkan skru dikepala aku, mengatakan aku biseksual. Tidak melalui kata-katanya, tetapi melalui rasa yang wujud dalam diri aku. Mungkin sejak dia pergi, tiada lelaki yang buat aku begitu.

Ya, aku biseksual. Harini aku mengaku, dan hanya kerana lelaki ini datang kembali.

Aku hampir melupakan dia, setelah beberapa usaha yang mematahkan hati aku sendiri, bukanlah putus asa, namun aku merasakan hidup aku lebih mudah bersendiri.

Namun, tidak Allah uji manusia itu untuk sia-sia. Dan tidak juga Allah tinggalkan manusia itu menganggap dirinya sudah selamat dari tipu daya dunia.

Kadangkala aku merasakan aku ni jalang sangat. Bila dengan Deanna pun nafsu bertalu, dan kini datang pula lelaki yang pernah memberi erti cinta dalam hidup aku.

Teringat perbualan aku dengan seorang kawan..

aku: kau tahu aku pernah ada, boy friend, ada girl friend dan pernah ada suami?
dia: woiii..susuk apa kau pakai ni?

Haha.

Meninjau entri-entri di blog bro Najmi, melihat ada lelaki gay yang lebih mudah mengaku mereka biseksual, buat aku tersenyum sinis. Aku pula susah nak mengaku bahawa aku adalah biseksual, takut dibuang rakan lesbian dan dicemuh masyarakat sudahlah tentu.

Pedih bila orang kata, depan belakang pun kau boleh, lelaki perempuan pun kau sapu, kalah haiwan.

Bekas kekasih aku pernah berkata pada aku.

"Awak tahu kenapa antara sebab khinzir haram? Kerana mereka melakukan hubungan seks tanpa jantina, itu nature mereka"

Itulah kata bekas teman wanita ku, saat mendengar aku akan berkahwin.

Dan, ya. Kadangkala aku rasa aku seperti jalang. Terseksa dengan diri sendiri. Oleh kerana tekad aku, aku ingin berhenti meniduri perempuan, jadi aku dah agak dapat mengawal pergaulan ku dengan Deanna.

Tetapi bila lelaki ini datang kembali. Tahulah aku sebenar-benar ujian nafsu. Dan untuk menjadikan ini halal juga kelihatan masih jauh lagi. Aku dengan ketakutan aku pada ikatan yang sah, dan dia juga dengan kehidupan dia.

Jauhilah zina, walau siapapun anda, walau siapa pun aku. Walau dengan siapapun aku hadapi.Inilah seberat-berat ujian. Tekad aku, aku tidak akan bercinta, aku tidak akan berpasangan, tidak akan melayan, selagi tidak akad.

Dan sebenarnya, bersendirian itu lebih mudah, dari mengetahui ada seseorang yang kau inginkan, dan dia juga menginginkan anda, namun belum sampai masanya. Atau..bukan lagi takdirnya.

You want to be bisexual? Think again, you will suffer more.


Khamis, 28 Mac 2013

Kenapa aku disini?

Ada seorang rakan bertanya aku, kenapa aku masih aktif dengan akaun MG DA didalam facebook dan aku juga masih berjumpa dan bergaul dengan rakan-rakan sengetians. Sedangkan kebiasaannya mereka yang nak berubah akan terus meninggalkan perkara ini dan terus tidak berhubungan.

Jujur aku katakan aku pernah beberapa kali begitu. Senyap malah pernah beberapa kali meng nyah aktifkan akaun MG DA.

Cuma kali ini, aku bertekad untuk terus hidup dengan identiti MG DA. Walau dah banyak benda berlaku pada batang tubuh MG DA ini, andai dia seorang manusia.

Pertama sekali, aku tidak mahu berjuang sendirian. Ramai rakan yang berkali-kali, lepas break up..ayat ayat dia macamni..

"You, I nak jadi straight, i tak nak cari girl lagi"
"Tolong, carikan saya lelaki, saya taknak dah dengan pengkid, taknak dah dengan andro, semua penipu"

Berpuluh kali aku dengar, Dan lepas tu, aku dipaksa melihat kebahagiaan kalian bersama kekasih berjantina perempuan juga.

Maafkan aku, andai ayat ini ayat kalian, samada kalian pembaca senyap ataupun sebaliknya.

Aku tak pernah kata aku kuat. Aku sebenarnya meminjam kekuatan dari ramai orang yang Allah temukan pada aku, apabila aku bertekad untuk berhenti. Tapi aku ingin berdiri disini sebagai MG DA yang dulunya berzina dengan wanita, yang dulunya mengamalkan bdsm. Malu? Malu dengan dosa ya. Jauh sekali nak rasa bangga. Tapi aku tidak mahu menjadi hipokrit yang menidakkan segalanya.

Aku tidak pernah berniat menjadi lurus. Tidak pernah mahu lupa yang aku pernah mencintai dan hingga kini aku masih bernafsu dengan perempuan. Kau boleh letak lelaki disebelah katil aku..mungkin lambat sikit aku nak fikir apa-apa. Tapi andai kau letak perempuan disebelah aku, belum sempat perempuan tu mendarat di katil, jantung aku dah berdebar-debar, otak aku dah jauh melayang.

Diulang, aku tidak pernah berniat menjadi straight!

Aku cuma mahu menjadi hamba Allah, yang Allah redha. Kalau aku berniat menjadi straight, boleh saja, aku mencuba berzina dengan lelaki, peluang ada dimana-mana, sama sahaja.

I am equality believer.

Kepercayaan semua manusia mempunyai hak yang sama untuk hidup dan dihormati. Tidak pernah aku setuju dengan penentangan masyarakat terhadap kehadiran golongan LGBT. Tidak pernah aku bersetuju dengan mana-mana diskriminasi dan prejudis. Baik perkauman, baik diskriminasi kepada ODHA (Orang yang hidup dengan hiv dan aids), baik diskriminasi terhadap jantina, kasta hidup.

Aku percaya, kau pak imam kah, kau gay kah, kau transgender kah, kau hiv kah, semua...semuanya manusia, darah kita sama, hati kita sama.

Ketidak setujuan aku cuma pada pengiktirafan hak pada yang salah. Hak untuk disamakan hak suami isteri yang diakad, dengan kekasih sejantina, maaf. Itu tidak akan pernah sekali aku setuju. Malah aku akan menjadi penentang yang paling gigih dan kuat untuk itu.

Walau sejuta kali kau bersenggama bersama kekasih, tetap termaktub, hak suami isteri itu untuk lelaki dan wanita yang diakadkan.

Namun, setiap penindasan dan kezaliman yang berlaku keatas sesiapa, tidak akan aku redha.

Bukan aku seorang yang sempurna dalam perjuangan ini. Namun, aku akan tetap berdiri disini, Dengan setiap ruang kemampuan yang aku ada.

Kerana itu juga group jalan pulang, aku buka kepada semua PLU, tanpa mengira jantina. Walaupun aku akui, sasaran kumpulan ini lebih tertumpu pada perempuan, namun, kisah kita, perjuangan kita sama. Menuju jalan yang Allah redha, dengan ujian seksualiti ini.


PS: Maafkan aku buat semua kawan-kawan dan pembaca yang straight tentang entri  aku yang bertajuk si penghakim dan siprejudis. Itu adalah respond aku secara spontan apabila situasi begitu berlaku. Sepuluh jari aku pohon, maafkan aku, maafkan aku. Aku akui, tulisan aku saat itu dengan emosi marah yang masih berbaki.

Khamis, 7 Mac 2013

Bukan Ubat kuat tongkat Ali


harini ini tiada kata-kata. Kata orang, kenapa berhenti berharap? Aku cuma berhenti berharap pada dunia, kerena telah terlalu banyak nikmat yang aku kecapi, andai apa yang bukan aku miliki, itulah yang bukan rezki dan hak aku. aku cuma ingin 'pergi' dalam redha dan tidak sebagai penderhaka. Jika ujian datang dan aku yakin hidup ini sekadar mengurus ujian...kuserah segalanya pada yang Esa. Dan aku yakin dia pemberi jalan penyelesaian.

Ada orang bertanya, bagaimana aku sekuat ini. Tidak kawan, aku tidak lah sekuat apa. Dan aku yakin ujian kalian lebih dasyat lagi. Aku ini sekadar melepaskan satu persatu, dan itu pun masih bersisa.

Bila tekad nak berubah dan nak berhentikan semuanya kerana Allah, bantuan Allah pasti datang tanpa disangka-sangka. Aku pernah menyangka dengan perkahwinan aku akan selamat dan berubah. Rupanya tidak. Benar kata Deanna dulu..

"If God cannot stop you, how a husband can stop you?"

Sebelum berkahwin, aku pernah berkali berhenti, doa dengan sangat pada tuhan, dan memang Allah bantu dengan pelbagai kejadian. Tapi kemudiannya Allah juga akan datangkan ujian yang makin besar, dan semuanya itu untuk mengajar aku lebih kuat, kerana Allah maha Penyayang.

Selepas gagalnya perkahwinan itu, aku masih juga 'bersama' dengan Deanna, namun rasa bersalah dah amat tinggi. Mungkin proses perceraian dulu buat aku semakin kuat dengan Allah, solat malam selalu, kerana perkahwinan itu terlalu dasyat buat mental aku. Merayu dan merintih disejadah itu menjadi amalan, tabiat manusia, bila buntu dan sukar dia akan mencari Allah, bila senang..dia mencari yang lagha.

Dan selepas perceraian itu, aku mula tenang, dan waktu itu dah bertekad, itulah sebesar-besar pengajaran Allah, perkahwinan tidak akan menghentikan aku, malah apa-pun tidak akan menghentikan segala onar dan penderhakaan yang aku buat.

Hanya dengan rasa bertuhan.

Ya, hanya dengan rasa itu yang akan menghentikan aku. Dan bila hati mula berniat berubah kerana Allah. Allah temukan dengan orang-orang yang membantu.

Pertemuan aku dengan sahabat blogger yang hebat, membuatkan aku tekad. Aku diberi nikmat kesihatan dan umur, sampai bila lagi akan aku bazirkan dengan dosa yang meresahkan diri?

Syawal 2012, aku berterus terang, dengan Deanna, dimana beberapa hari sebelum tu, kami masih bermukah sesuka hati, dan setiap kali ia berlaku, aku makin resah, aku makin derita, walau selepas nikmat dunia yang beberapa jam itu. Dan tuhan bagi kekuatan pada aku, untuk berterus terang menyatakan pendirian aku pada Deanna, bukan mudah, kerana dia pengikut Katholik, dia mempersoalkan semua asbab yang aku nyatakan.

Satu demi satu. Aku leraikan.

Dan semuanya, Allah bantu. Malah semuanya..Allah gerakkan.

Aku sedar, ujian yang kawan-kawan lalui adalah amat hebat lagi. Namun, aku doakan semuanya akan menemui penghujung yang baik dan Allah redha. Moga kita sentiasa diberi hidayah, amin..yarabbal alamin.

ps: aku selalu rasa nak gelak tengok iklan-iklan ni, dalam masa yang sama, aku simpati..siapa kata mudah menjadi lelaki?



Isnin, 18 Februari 2013

Pengkid, ftm dan transgender.

Sebelum aku mula bicara, mari aku bercerita tentang definisi yang dipakai. Namun harap maklum, definisi yang terang hanyalah sekadar penilaian aku dari pergaulan, pembacaan dan pengalaman.

Pengkid:
Golongan yang dilahirkan sebagai perempuan namun mempunyai cara hidup seperti lelaki, cara berpakaian, cara bercakap dan bergaul. Kebanyakan mereka tidak selesa dikenali sebagai perempuan melalui panggilan nama seperti kakak, cik dan sebagainya. Malah nama panggilan yang dipilih juga selalunya menyerupai nama lelaki.

FTM (Female to male):
Mereka ini bukan sekadar berpakaian atau hidup seperti lelaki, mereka sentiasa menganggap diri mereka lelaki, dan merasakan terperangkap dengan tubuh biologi mereka. Mereka didefinisikan ftm sepatutnya hanya setelah mereka membuat pembedahan membuang buah dada. Ada yang memulakan dengan mengambil pil Testoran atau dipanggil 'T'. Selepas fasa ini biasanya mereka akan melengkapi diri mereka dengan pembedahan Metoidioplasty, untuk memiliki penis yang membolehkan mereka sekurang-kurangnya membuang air berdiri. Dan terakhir adalah pembedahan buang rahim, agar mereka tidak mengalami haid.

Transgender:
Golongan FTM ataupun MTF. Dimana FTM dipanggil Transmen dan MTF dipanggil Transwomen.

Pengkid biasa dilihat namun, FTM pada awalnya hampir tidak wujud. Namun, mereka sebenarnya ada. Terlalu sukar untuk dibezakan, kerana mereka biasanya amat low profile, amat. Mereka tidak pernah menganggap diri mereka lesbian, mereka adalah lelaki.

Aku sering dan suka mengkaji kehadiran FTM sejak 3 tahun lepas, dan komuniti di Malaysia telah ada, namun jarang disedari kerana mereka terlalu terpencil.

Membaca dari artikel The Transmen is still overshadowed  aku merasa sesuatu.

Aku dapat merasakan sedikit kemelut dijiwa mereka. Ya, aku tahu mencapai impian namun tidak akan pernah diiktiraf, apalah ada pada pengiktirafan kewujudan, jika di bandingkan dengan kepuasan yang diperolehi. Di Malaysia, penukaran gender didalam dokumen hanya dibolehkan kepada golongan khunsa, iaitu yang disahkan doktor memiliki dua jantina.

Pertama sekali, prinsip aku, kita semua manusia, masyarakat yang menghakimi dan menjadikan dunia ini memaksa banyak perkara. Kalau ikut hati aku, aku memang nak buat pembedahan, dan migrate ke luar negara..lalu hilanglah semua ketidak puasan.

Ingat dalam diri kami tiada tuhan? Kucing pun tunduk pada kekuasaan Illahi. Perkara paling besar dan anugerah paling berharga adalah kalimah Allah didalam hati. Dan ini tidak akan dapat dinilai oleh sesiapa.

Berhakkah orang lain mengatakan orang transgender ini harus dibakar dilaknat Allah, tak diterima bumi, harus dipulaukan, harus ditentang, malah ada yang mengatakan harus dibunuh.

Mereka mengatakan dan melantik diri menjadi hakim kerana mereka tidak pernah merasa betapa peritnya rasa janggal dalam setiap perkara, merasa tidak pasti dalam setiap perkara, merasa keliru dalam setiap perkara, merasa asing pada tubuh sendiri.

Sewaktu berusia 18 tahun, aku ingat bagaimana seluruh keluarga menentang aku, abang merayu, kakak menempelak, Pa dan Ma melontarkan bahawa aku memalukan keluarga. Namun pemberontakkan hati itu hilang kah? Tidak. Ia cuma hilang, bila Allah beri hidayah pada hati, iaitu beberapa tahun kemudian.

Lalu pada semua prejudis dan kebencian yang dilemparkan, adakah ada impak pada setiap jiwa yang telah tekad? Jawapannya tidak, ianya sekadar menguatkan dan membina benteng disegenap ruang hati, lalu mencari jalan keluar.

Sewaktu mengikuti program street dakwah dahulu, aku panas telinga bila ada rakan se program yang mengadu kawan mereka tidak menutup aurat dan sebagainya. Ingin sahaja aku memberitahu, perkara paling utama adalah syahadah, adalah iman dan kalimah Allah. Ramai sahaja orang bukan islam yang bertudung litup, tetapi tiada syahadah dihati.

Membenci, tidak akan menyelesaikan apa-apa, kerana dunia ini hanya sementara. Yang utama adalah masih memegang kalimah syahadah. masih mengaku diri ini Islam. Dan aku tahu itupun mahal harganya bagi segelintir muslim secara biologi.

Doa aku buat semua, siapa pun anda, bagaimana pun diri anda, walau ada yang mengatakan anda tidak layak hidup dibumi ini, peganglah kalimah Allah, dan akuilah rasulullah itu pesuruhnya, ada banyak perkara, hanya Allah dan anda sahaja yang tahu. Solatlah cara mana pun. Selagi anda mengaku anda Islam, anda adalah saudara seIslamku.Moga kita sama-sama sentiasa mendapat hidayahNya.

Link: Videoblog ,PLUcommunity, wikipedia, Iranian Transmen

Salah seorang FTM selepas mastectomy, pembedahan dada.

Rabu, 23 Januari 2013

Tekanan dan kerinduan.

Sehari-dua ni aku amat sibuk dengan kerja. Dan biasalah, waktu sibuk macamni, segalanya akan bertimpa, masa tu lah orang-orang yang tak disangka, akan menghubungi aku, sama nak menambahkan sibuk aku.

Philip menghubungi aku beberapa kali, tapi aku tidak mengangkat panggilan, ku balas dengan pesanan ringkas, memang aku amat sibuk.

Dan dalam sibuk, banyak kali pula fikiran ku melayang.

Melayang pada play session yang mengasyikkan. Ada waktu, hampir juga ,mahu aku mengangkat telefon dan meluahkan pada Philip. Tapi, itu namanya aku mencari maut, saja menghulur leher ke mulut buaya. Selain Philip, master ku yang kedua juga pun pernah menawarkan..

"Tell me, anytime you want"

Ha, amik tu memang tawaran tahap tinggi.

Gian.

Ya, gian tu dah datang. Teringin sahaja aku hubungi Deanna. Aku tahu dia ada cara untuk menolong aku, walau penawar yang diberi tak sehebat yang diberi oleh dom atau master. Tapi tiada rotan, akar pun berguna. Segalanya akan berakhir dengan nafsu juga.

Namun terlintas difikiran aku, tentang kisah yang pernah diceramahkan oleh Ustaz Ebit Lew.

Ada seorang pemuda, penagih dadah. Dia telah bertaubat. Kemudian kerjanya, menjaga kedua ibu bapanya yang sudah tua. Tetapi dia tidak pernah sembuh dari ketagihan. Bila sampai waktu ketagihnya, dia masuk kesatu bilik kosong dirumahnya, berkurunglah dia disitu, meraung dan merana sendirian, menangis dan menjerit. Demi menahan ketagihannya.

Tak silap aku, pemuda itu akhirnya pergi dalam pemergian yang baik.

Kalau penagih dadah boleh menahan diri, kenapa aku tidak.

Ini perjuangan aku.

Aku tergolong dalam golongan yang apabila stress atau sibuk, hormon atau nafsunya juga akan memuncak, dan nafsu ku bukanlah pada lelaki atau wanita pada waktu ini. Tetapi pada kecenderungan ku yang asing. Ianya juga bukanlah berunsur seksual semata.

Tidak pernah aku nyatakan dengan jelas, apa kecenderungan aku yang sebenarkan? Biarlah aku simpan.

Inshaallah, satu demi satu nafsu ini akan kujinakkan. Boleh, kerana hidup ini hanya ujian.




Selasa, 11 Disember 2012

Jalan Pulang - Gay,Lesbian,Biseksual,Transgender


Tajuk panjang. Akhirnya aku mulakan page ni, dan taktahulah akan ada yang menyertainya. Selama ni dalam Facebook, aku dok merayau-rayau layan. Apa salahnya aku mencuba. Dan benar, ada rakan senget yang pernah tanya kenapa aku menulis di blog ini. Kataku luahan perasaan, haha.

Tapi akhir-akhir ini, blog ini benar-benar menjadi sisi gelap aku. Dan aku amat aktif di FB sisi gelap aku jua. Kalau ada orang boleh bangga sebut, I am gay. Aku juga nak diri aku menerima seksualiti ini. Ya, aku pernah amalkan lesbianisme, dan aku bukan amat straight.

Ada yang mungkin bertanya, ala kau dah stop, kau senyap boleh tak, kau tu entah esok lusa balik kejalan tu juga.

Kalau ada orang boleh bangga beritahu "I am gay", kenapa aku kena malu mengaku "I was a gay" atau "I was a bisexual". Bukan aku mengatakan yang aku boleh membasuh semua gen lesbian atau biseksual dalam siri aku, tetapi, aku berjuang untuk tidak berzina.

Aku mencari rakan-rakan yang boleh sama-sama bersama aku, yang sedar dengan seksualiti mereka, seksualiti mereka tidak salah tetapi perbuatan haram kami yang salah. Dan aku, amat-amat memerlukan sokongan kawan-kawan. Jalan seorang tidak akan sama.

Iya, ini aku.

Page ini hanya permulaan, mungkin aku akan tubuhkan secret group, tapi tengok pada kewajarannya nanti.

update telah mulakan secret group. Jalan Pulang LGBT/PLU  , nama group mungkin akan ditukar. Ini percubaan sahaja.

Rabu, 10 Oktober 2012

Signifikasi blog AHP Positif




Ya, apa signifikasinya blog AHP Positif buat aku?

Aku bertemu blog ini, selepas aku mengalami satu fasa hitam didalam blog aku. Waktu tu aku cuba menyambung fasa yang pernah terbengkalai dalam hidup aku. Tak mengapalah tentang fasa itu, dah pun berlalu.

Yang penting, blog ni benar-benar membuka mata aku.

Hidup ni sangat-sangat luas.

Kalau nak ikut kekaguman aku pada pengasas blog ini, ianya sekadar menambahkan ketakjuban aku pada Yang Maha Berkuasa. Blog ni salah satunya, menarik aku supaya berhenti berduka selepas era fasa hitam itu. Dan kemudiannya, mengheret aku pada perjuangan aku.

Perjuangan yang selama ni tak pernah bertahan lebih dari seminggu pun. Perjuangan yang sekadar selalu ditempelak oleh kekasih dan juga skandal. Wohaaaaaa...skandal beb.

Bukan skandal kah kalau aku pernah curi-curi buka pintu dapur waktu malam, pernah sewa hotel dan menyamar sebagai lelaki, pernah merasa tidak selamat andai mati terbunuh sewaktu play dalam bdsm.

Blog AHP ni memberi kekuatan pada aku. Antaranya selalu mengingatkan aku, betapa aku sekadar terselamat dari HIV kerana beberapa prinsip yang aku pegang teguh. Sebenarnya ia hanya satu garis halus dan amat kabur.  Pakcik ni tak pula songsang dan buat benda-benda buas macam aku, diuji juga dengan HIV. Sesungguhnya setiap insan ada ujiannya sendiri.

Dan blog ni banyak,amat banyak beritahu aku. Pergunakan kesihatan yang ada sebaiknya. Aku tahu, mungkin ada PLHIV yang kalau boleh, sanggup bayar untuk apa sahaja agar hiv itu lenyap dalam hidup mereka. Namun alhamdulillah, tak kurang juga yang kerana hiv lah mereka mendapat kehidupan baru yang lebih bernilai, yang tidak ternilai sebenarnya.

Jadi, sebelum aku terjebak, mati sewaktu play bdsm ke, syirik tertukar agama waktu sujud pada master aku ke, atau tertukar agama sebab nak sangat kahwin dengan partner aku ke, lari ke thailand untuk hidup tanpa prejudis tentang lesbian, atau menjadi hamba zina yang paling hina ke. Baik aku taubat dan berhenti. Kalau aku boleh membuat seribu usaha untuk menghalalkan yang haram, kenapa tidak aku buat satu usaha untuk menghentikan yang haram? Walau pahitnya bagai membunuh jiwa aku.

Benar lesbian amat sukar untuk mendapat hiv, tetapi aku biseksual. Dan tak menolak, mereka yang terlibat dengan aku jua ada yang biseksual, kalau tak terkena std lain, tu dah kira beruntung. Lelaki ni memang jalang kan, patut ada planet khas untuk perempuan.Hahahahaaha. Sori bro, gurau. Dan lesbian pun taklah semestinya selamat, ada ramai kawan aku yang lesbian pernah berkahwin, dan kini tukar pasangan sana sini, kalau dia pernah berkahwin, dan partner dia pun seorang isteri, dan kemudiannya nanti melibatkan orang lain. Kalau tak berjangkit penyakit, berjangkit dosa.

Dan sebenarnya, blog AHP kini memang menjadi hidup aku. Aku manusia yang memerlukan sesuatu untuk melupakan sesuatu. Jadi dulu aku amat aktif dengan komuniti bdsm, dan kini komuniti Positive Warrior Support Group pula menjadi tempat aku berhubung silaturahim. Dulu aku aktif di komuniti bdsm kerana mereka menerima aku sebagai lesbian bicurious, tetapi agak jengkel dengan aku sebab aku asyik meroyan nak berhenti bdsm sebab rasa bersalah.

Sekarang di blog ahp dan PWSG, aku diterima (walaupun mereka senyap je..hehe) dan menerima semua status aku.

Dan pakcik ahp yang tua ni tapi dia sebenarnya taklah tua sangat, lah yang selalu menyokong aku..untuk terus berjuang dan berjuang. Lalu melalui dia juga aku kenali Ao Ahp, Edgenote dan kira (bukan nama sebenar), yang menjadi penyokong setia aku.

Siapalah nak sokong biseksual dan bdsmer terbuang dari golongannya ni. Yang cuba memadamkan kisah silamnya dengan taubat yang entah laku atau tidak.

Salah. Allah ada..dan Allah akan datangkan bantuannya melalui pelbagai bentuk, apabila seseorang itu meninggalkan sesuatu kerana Allah.

Moga semua Positive Warrior Support Group akan terus berjuang, demi Allah!

Note: Cuma sayang, aku belum mampu mendedahkan blog ahp kepada rakan-rakan di FB rasmiku, hanya kerana takut identiti Malaikat gelap ku terdedah. Moga satu hari nanti, Allah tunjukkan jalan buat aku.

Isnin, 1 Oktober 2012

Ep 3: Seksualiti, lesbian dan biseksual


Lesbian itu Musahaqah

Awak, lesbian adalah haram. Benar, ia tidak disebut dengan terperinci didalam alquran, seperti kisah nabi Luth yang terang dan nyata mendatangi kaum sejenisnya.

Tetapi, sebagai manusia yang mengucap syahadah dan bermazhabkan imam shafiee dan berfahaman sunni, kita tidak boleh menolak hadis. Ada dua hadis sahih yang menyebut tentang lesbian. Didalam hadis ini lesbian dirujuk sebagai Musahaqah ataupun perbuatan Sihaq.

Hadis pertama:
Dari Abu Musa katanya, Rasulullah bersabda, “Bila lelaki menyetubuhi lelaki maka keduanya berzina, dan bila wanita menyetubuhi wanita maka kedua-duanya juga berzina.” (HR Al-Baihaqi dalam Syu’abil Iman)

Setakat ini tiada keraguan tentang Imam Al-Baihaqi, beliau mempunyai ilmu yang luas dan mengkaji kitab-kitab imam shafie. 

Hadis kedua:

Imam Al-Alusi dalam kitab Ruhul Ma’ani, berpendapat Sihaq (lesbian) termasuk dalam kategori liwat seperti yang terjadi pada kaum Luth, iaitu seorang wanita menyetubuhi wanita. Dalam hadith Hudzaifah r.a Nabi bersabda, “Sesungguhnya benarlah ucapan (Allah SWT) atas kaum Luth tatkala kaum wanita (daripada mereka) merasa cukup dengan wanita dan kaum lelaki merasa cukup dengan lelaki.”

 Hudzaifah r.a adalah seorang sahabat nabi yang digelar penyimpan rahsia nabi.

Aku selalu percaya, memang kita dilahirkan dengan naluri ini, pernah aku suarakan disebuah forum Islam, cinta itu universal dan antara kita memang dilahirkan sebegini. Seorang kawan diforum itu menjawab, lalu bagaimana dengan Pedophilia? Mereka juga berkeinginan demikian sebagai naluri semulajadi, ingat mereka minta dilahirkan demikian. Dan kalau dikatakan cinta itu tak kira jantina dan sebagainya, pernah dengar tentang abang menyintai adik, pakcik menyintai anak saudaranya, lalu halalkah cinta ini? Kadangkala cinta itu lah ujian. Nafsu itulah juga ujian.

Seorang kawanku pernah menjawab soalan ku dengan satu soalan juga. 

"Adakah yang kau lakukan itu kerana Allah?"

Senyap, sesenyapnya aku. Sebab memang aku tahu, kalau mengaku hamba Allah, harus juga tahu, seharusnya setiap perbuatan kerana Allah.

Bernaluri kepada kaum sejenis, tidak salah, ianya menjadi haram apabila saling melunaskan nafsu.

Secara ringkas, lesbian ada beberapa kategori.

a) Butch

Butch ni selalunya di Malaysia dipanggil pengkid atau yang agak kurang extereme dipanggil tomboy. Mereka selalunya berposisi sebagai lelaki didalam hubungan. Tapi ada juga gaypeng, dimana kedua-duanya pengkid.

b) Femme

Kedua-duanya wanita dan beraksi seperti wanita, aku selalu rasakan yang ni memang lesbian tegar dan sejati.

c) andro

Mereka ni tidak terlalu berketrampilan seperti lelaki tetapi tidak juga seperti perempuan, dan mereka juga boleh dengan lesbian femme, atau juga pengkid, tapi selalunya mereka berposisi seperti pengkid.

Dan harus diingat, tidak semua yang berperwatakan seperti lelaki itu lesbian. Tidak semestinya.

Apa pun perwatakan kita, kita adalah hamba Allah. Tak salah, duduk serumah, sekatil dan menjadi teman hidup, andai keinginan seks boleh itu ditolak ketepi. 

Aku dah tahu dan meyakini lesbian itu haram, lalu andai aku melakukannya, aku akan kemurungan. Aku juga pernah mencari-cari sebab, hadis atau ayat quran yang menghalalkan lesbian. Tapi di setiap perbincngan dimana-mana forum Islam (sebab aku mengucap syahadah, jadi aku ke forum Islam) aku terpaksa semakin akur, tidak ada yang menghalalkan hubungan seks sejenis, termasuk sesama wanita.

Benar, bak kata Tariq Ramadhan, kita tidak boleh menolak dan meminggirkan gay, tetapi tidak semestinya kita boleh menghalalkannya.Andai anda ada dalil mengatakan lesbian itu halal, mari..kita bincang. Mana tahu, aku boleh bawa Deanna berjumpa tok kadi (oh..aku ada berjumpa dengannya 2 hari yang lepas, tapi ya..she is not mine anymore, hambar, tawar perjumpaan kami. tapi aku syukur dengan itu, kerana aku pernah berdoa agar dihilangkan rasa cinta aku pada dia).

amin, tamatlah kisah episod yang agak terperinci dari aku tentang Seksualiti, lesbian dan biseksual ini.

Moga setiap kita diberi hidayah dan kekuatan untuk menghadapi setiap ujian didunia ini, sahabat. 

Antara sumber permulaan rujukan (wall UAI) disini.

Ep 1: Seksualiti, lesbian dan biseksual (aku)
Ep 2: Seksualiti, lesbian dan biseksual (biseksual)

Siapa aku?

Isnin, 24 September 2012

Ep 2: Seksualiti, lesbian dan biseksual.


Biseksual.
Adakah anda perempuan/wanita biseksual?

Sebenarnya, jika wanita, adalah agak sukar untuk memastikan anda adalah biseksual. Aku hingga sekarang pun masih ada 10% keliru tentang diri aku. Sejujurnya kalau aku melihat lelaki tidak berpakaian, aku tidak rasa apa-apa. Melainkan lelaki itu ada aura dominan. Ni masalah aku. Mungkin kerana aku dilahirkan berkecenderungan begitu. Tetapi, wanita ni ada satu kelemahan.

Sentuhan.

Sejujurnya, aku pernah tidak bertanggungjawab membuatkan seorang gadis straight menjadi biseksual. Kalau setahun dulu memang aku berbangga la, tapi sekarang benda ni jadi bebanan pada aku, nasiblah gadis tu tak mencari perempuan lain.

Biseksual yang sebenar adalah yang bernafsu pada kedua-dua jantina. Aku tak dapat terangkan nafsu pada lelaki, sebab sejujurnya nafsu aku amat kuat pada perempuan. Bila tengok perempuan, kalau kau orang nampak mata aku terpejam sekejap tu, maksudnya aku tengah kawal semangat kebangsaan lah tu. Kalau aku renung je lebih dari 2 minit, memang pastilah perempuan yang berpakaian depan mata aku tu dah masuk dalam pelukan aku, dah kena ratah, dalam kepala aku.(korang takkan jumpa aku in person kan,kan,kan..hehe).

Tapi sejujurnya aku pernah hampir kalah dengan sentuhan. Jadi aku tahu, aku juga ada naluri wanita, iaitu kalah dengan sentuhan. Pada tempat tertentu, Jadi sebenarnya, aku selalu rasa, lelaki yang mengahwini wanita lesbian, andai anda pakar dalam sentuhan, akhirnya wanita tu akan tunduk juga pada anda. Cuma, kena hilangkan rasa tidak selamat wanita itu pada anda.

 Jadi, soalan seorang pembaca samaada adakah dia seorang biseksual, setelah dia berkahwin kerana takut bergelumang dengan dosa, dan setelah berpisah dengan suaminya, dia kini menjalin hubungan dnegan seorang pengkid, jawapan aku senang je, anda mungkin bicurious.

Sekiranya anda, bersetubuh dengan pengkid tersebut, anda juga memainkan peranan, iaitu menyentuh kekasih (aku tak gemar nak sebut pengkid, sebab aku pun pernah baling kerusi sebab orang panggil aku pengkid) anda dengan nafsu, iaitu berkehendak kepada kekasih itu, bukannya sekadar ingin membalas setelah dia memuaskan anda, ya, anda biseksual. Tetapi andai, anda sekadar berperanan sebagai bottom, dimana dia yang amat berkehendak pada anda dan anda suka disentuh dan disetubuh oleh dia kerana kepuasan yang diberikan, jadi anda sebenarnya sekadar memainkan peranan wanita, anda bukan biseksual, anda mungkin sekadar bicurious atau paling kelakar(maaf), anda mungkin sebenarnya adalah memang straight.

Berzina, memanglah nikmat, sedang berzina dengan diri sendiri pun dah rasa nikmat kan (dimana aku pun sedang berusaha sekuat mungkin untuk tidak melakukkannya lagi). Sebab tu Allah larang mendekati zina. Dalam Ianya merosakkan minda anda. Ianya akan menjadikan anda menyukai nikmat yang haram itu.

Buat kawan, jauhi zina.Apabila dia dan kamu mula membuka pakaian, hukum aurat telah tertulis, apabila dia menyentuh kemaluan mu, hukum lesbian (sihaq) telah terjadi.

Allah berfirman:"Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk" (Al-Isra' 17:32)

Aku tahu bukan mudah. Aku kemurungan selama hampir sebulan, aku tahan macam ambil dadah, aku tahan hati sedih bila dia merayu pada aku, sedih sampai nak gigit stereng kereta la lebih kurang. Sebenarnya, baru dua minggu ni aku stabil, boleh lupa.

Dan aku sedar untuk memutuskan hubungan dengan kekasih, bukan mudah. Tapi, aku ada seorang kawan lesbian yang telah membawa partner nya ke jalan yang benar, dua-dua mencari hidayah, belajar agama kembali, dan berhenti melakukan hubungan seks. Bukan mudah, bak kata kawan aku tu, partner dia pernah buat tarian poll tanpa seurat benang lah depan dia, sebab nak merayu.

Tentang lesbian, aku akan tulis entry akan datang.

Dan pada yang bertanya, ada aku selitkan email, dan juga aku letak di header untuk dihubungi.




Ahad, 23 September 2012

Ep 1:Seksualiti, lesbian, dan biseksual.

I am boyish, am I lesbian?

Aku dilahirkan dalam kekeliruan. Kekeliruan tentang seksualiti aku. Dan aku tahu aku tidak sendirian.

Seorang pembaca blog ni bertanyakan satu soalan di formspring (ya, aku check formspring, cuma, kalian tu selalu tanya as anonymous, jadi macamanalah aku nak jawab secara personal, lagipun aku terima notification melalui email saja, password akaun aku dah lupa,lol).

Soalan dia lebih kurang begini:

"Saya kahwin kerana tidak mahu bergelumang dengan dosa, tetapi suami saya curang, lalu saya berhubungan dengan perempuan, adakah saya biseksual?"

Macamni, baiklah, aku cuba cerita sejarah aku. Mungkin dah cerita tapi terpaksa cerita lagi. Sebab kalau aku nak menulis berdasarkan teori atau ujian klinikal, maksudnya kenalah tunggu 5 tahun lagi aku ambil master dalam seksualogi, dimana tidak ditawarkan di Malaysia. Aku tahu, aku dah survey.

Jadi tulisan ini akan aku bagikan kepada tiga bahagian iaitu tentang aku, pandangan aku tentang lesbian dan definisinya, serta akhir sekali adalah tentang biseksual.

Aku mula meminati perempuan hanya kerana terpikat dengan kecomelan dan kecantikan mereka sejak aku tadika. Masa tu manalah tahu nak buat apa pun dengan mereka. Tapi, dari dulu aku memang ramai rakan lelaki, dan aku amat rapat dengan adik beradik lelaki aku. Jadi dari situ aku tengok budak-budak lelaki tak menarik lansung, dahlah busuk lepas tu selalu tak bagi aku join main sama, lepas tu, aku juga selalu rasa benci pada mereka kerana aku dilahirkan dalam keluarga yang memuja golongan lelaki. Anak lelaki tidak perlu kedapur, tidak perlu bangun pagi, hanya perlu pesan makan minum, tidak perlu basuh pinggan, tidak perlu lipat kain, dan bilik mereka bersepah adalah perkara biasa, normal, kalau tidak mereka tu pondan. Jadi, sejak kecil aku sahajalah yang akan kena belasah kalau rumah macam kapal karam. Jadi, perasaan feminism masa tu menebal. Aku membenci apa sahaja yang adat mengatakan perempuan perlu tahu. Aku tak pandai hargai bunga dan aku benci kedapur.

Perasaan suka pada lelaki, ada. Sejak baligh ataupun sebelum. Cuma kerana aku kasar, lalu aku tidak pernah dilayan seperti perempuan. Umur 10 tahun aku dah meminati seorang pelajar lelaki disekolah. Sebab dia ni muka baik. Ya, aku memang fitrahnya suka orang baik, bersih tak smoking, dan dia ni abang sulong yang ada berderet adik lelaki. Dominan. Masa ni dah mula aku minat mana-mana budak lelaki yang nampak baik, tak buli budak perempuan.

Umur 12 tahun, aku masuk sekolah perempuan. Disitulah bermula, aku minat budak perempuan comel, muka chinese look. Hingga kini.

Masuk sekolah lain budak-budak lelaki anti aku sebab aku boyish, tak manja macam budak perempuan lain, ooh..aku ingat dulu, budak lelaki suka panggil aku 'Bouncer', yela sebab saiz badan aku dan juga muka aku yang macam ganas. Tak tahu dalam hati ada taman. haha.Nampak je la aku macho, tapi aku dok minat budak lelaki lebih la dari aku minat budak perempuan. Budak perempuan aku minat sebab mereka comel je dan aku suka nak melindungi mereka.

Sebelum umur 27, aku bercinta dengan lelaki sebanyak 2 kali. Dan tahun 2008, aku mula kenal internet dan porno lesbian.  Bagi aku lelaki tiada apa yang menarik, suara dalam video tak menarik dan pelakon pun selalunya tak kacak. Dan aku selalu rasa nak muntah bila tengok alat sulit mereka, dalam video la, masa tu aku tak pernah tengok secara nyata.(Astarghfirullah al azim, istighfar banyak).

Umur 27, aku putus cinta, dan aku pertama kali jumpa Xola. Xola membawa impian dan keinginan bdsm aku menjadi nyata. Dan masa tu aku dah sedar, bdsm ni secara umumnya, kuncinya adalah keterujaan seksual. Lepas cuba pelbagai aksi dlm bsm, nafsu akan teruja, dan masa tu akan ada rasa nak melunaskan nafsu. Dan sejak itu aku bernafsu pada perempuan. Masa tu aku memang tak berapa pandang lelaki dah, aku menisytiharkan diri aku sebagai lesbian.  Masuk komuniti lesbian dan mula mengejar gadis-gadis. Tetapi bdsm mengajar aku bahawa lelaki yang dominan boleh membuat aku rasa kasih pada mereka. Lelaki yang tegas, dan keras waktu mengawal aku, mampu membuatkan aku terbang melayang sambil senyum (wakakaka, ayat tak boleh blah).

Sejujurnya sewaktu itu aku amat naif tentang heteroseksual. Kerana sifat aku yang tomboy, boyish tidak tahu menunjukkan sifat perempuan, aku terperangkap dalam kenaifan aku sendiri. Tidak dinafikan sebenarnya, aku sebenarnya sekadar menyangka aku adalah lesbian. Waktu itu. Aku terperangkap dalam prejudis dan sifat masyarakat. Rasa rendah diri, membuatkan aku waktu merasakan aku tidak layak untuk menjadi perempuan. Lalu aku sebenarnya membaja benih sifat ingin tahu menjadi nafsu. Nafsu yang akhirnya menjadikan aku biseksual. Kata Master aku yang pertama, aku adalah Lesbian bicurious.

Dan sifat ingin tahu serta ketidak yakinan seksualiti aku, membuat aku menjelajah dunia sisi gelap dan hampir terjerumus ke lembah sesat.

update: Cuma aku teringat, sewaktu aku berusia 14 tahun lebih kurang, seorang ssaudara ku yang dah matang, dan memang cantik dan punya tubuh wanita yang sempurna berusia 21 tahun tak silap aku waktu itu., telah tidur bersama aku,dengan hanya memakai pakaian dalam saja. Malam itu, aku resah yarabbi, mata aku tak boleh nak pandang dia, walaupun aku berusaha menjeling dia. Tangan aku berpeluh dan jadi ketar, hingga  dia menempelak aku dan mengatakan aku lesbian, kerana bagi dia dan, berpakaian begitu adalah biasa. Muka aku kemerahan. Itu pertama kali aku mendengar perkataan lesbian. Tapi aku memang dah mula keliru dengan seksualiti aku masa itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...