Halaman


Memaparkan catatan dengan label pengkid. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pengkid. Papar semua catatan

Isnin, 16 Mac 2015

Perkahwinan bagi seorang PLU

PLU that was born as woman.

Dulu beberapa kali aku mendengar luahan rakan-rakan yang telah berkahwin, yang sukar untuk menyesuaikan dengan keadaan, ada yang berputus asa dan keluar dari perkahwinan, ada yang sekadar menjadikan perkahwinan sebagai topeng namun ada yang kekal dan mampu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan baik.

Bagi PLU lelaki yang paling ditakuti adalah hubungan intim, sedangkan hubungan intim memp;unyai pelbagai penyelesaian andai sekadar mahukan zuriat.Jujur aku katakan, melaksanakan hubungan intim amatlah mudah namun, kasih sayang itulah yang paling sukar.

Begitu juga PLU perempuan,sama, tetap itu juga yang ditakuti. Semuanya ini apabila seorang PLU telah pun nekad untuk berkahwin. Namun sebenarnya didalam sebuah perkahwinan hubungan intim adalah paling mudah berbanding keberlansungan hidup dengan kasih sayang.

Kasih sayang kerana Allah adalah mahal harganya. Kerana kasih sayang itu akan membuatkan seseorang itu berusaha untuk menyukai apa yang dia tidak ingini. Dengan kasih sayang itu seseorang akan begitu mudah menepis setiap ketidaksempurnaan.

Perkahwinan bagi seorang PLU adalah hanya bila dia nekad.

Kekurangan dan ketidaksempurnaan pada diri boleh membuatkan seseorang itu tertekan dan menyesali perkahwinan.

Walau apapun... Allah melarang keluh kesah dan sangkaan buruk.

Ahad, 3 Ogos 2014

Engkar, mungkir.

Jujurnya, aku tidak tahu untuk meletakkn tajuk. Jujurnya, aku hampir ingin meletakkan noktah kepada MG. Kerana aku merasakan kemelut yang aku hadapi dahulu sudah hampir hilang. Ramai yang bertanya, bagaimana..bagamana untuk berkahwin sedangkan mereka tidak dapat melupakan naluri.


Naluri, jujurnya aku belum temui kaedah penyelesaian. Aku cuma bertuah, kerana dikurniakan jodoh yang sangat memahami aku. Kadangkala, akulah menunjukkan padanya gadis-gadis cantik yang ada didepan mata, sama sahaja terujanya dia dan aku, kerana dia lelaki, jadi itu normal, kerana dia memahami aku, jadi dia tidak menempelak aku. Kerana dia tahu, sekadar itu-itu sahaja nakalku. Bukan juga dia membenarkan tingkah laku ku.


Namun, dia juga bukan selamanya untuk aku.


Ini bukan syurga, yang segalanya kekal disampingmu. Ini dunia. Dimana nanti kau juga akan hancur ditelan tanah, kecuali kau syahid atau penghafaz quran, atau mana-mana satu dari golongan itu. Jujurnya, perkahwinan ini juga, aku sebagai manusia biasa dan diuji dengan seksualiti, bukanlah mudah membuat keputusan. Aku cuma tenang selepas istikarah yang entah seberapa. Aku cuma tenang selepas meratap pada Yang Esa.


Kadangkala, aku masih mengkagumi kawan-kawan penk dan juga ftm. Betapa aku pernah dan teramat ingin seperti mereka. Tidak terbuang dalam diri sendiri. Namun realitinya kini, aku cuma isteri orang yang tidak pandai masak, berboxer dirumah dan sentiasa berambut pendek. Dunia ini juga pendek waktunya.


Biarlah aku menjadi aku dengan cara yang tidak engkar.


Bolehkah golongan kita berkahwin? Punya zuriat, hidup dijalan yang Allah redha?


Jawapan aku, yang juga kudapat dari seorang kawan.


Tiada yang mustahil bagi Allah.


Pertamanya, tinggalkan kekasih mu yang tidak diiktiraf dunia dan akhirat. Jangan beralasan tanggungjawab kerana kawan. Bila sahaja kau pernah merasakan dia lelaki mu atau dia isterimu itu tandanya kau di jalan yang tidak benar. Tinggalkan dia. Maaf, keras ayatku.  Tapi, untuk apa aku berlapik lagi, sampai bila?


Keduanya, lengkapkan solat dan aurat. Usaha, usaha hingga mati.


Ketiga, cari ilmu, dengan ilmu kau akan semakin dekat dengan tuhan dan orang-orang yang baik.


Cukup, buat tiga ini dulu. Inshaallah kau akan temui yang lain. Andai salah satu langkah ini kau gagal istiqamah, atau tidak buat, tapi terusan meroyan akan nasibmu, akan jodohmu, akan rumitnya hidupmu..tandanya kau yang memilih itu semua. Kau yang memilih engkar.


note: Dalam 3 peringkat ini kau akan menderita, tapi yakinlah Allah bersama orang-orang yang berjuang.

Sabtu, 1 Mac 2014

Doa yang mustahil

Ada waktu aku selalu menyangka naluri aku akan selamanya wujud. Apatah lagi kehendak atau segala keinginan belum pernah reda. Aku cuma selamat bila dirumah,diluar..adalah medan peperangan bagi aku.

Seorang sahabat,berkali menegah aku bila aku mengatakan aku selamanya begini,kerana aku selalu percaya naluri ini wujud sejak aku dilahirkan.

Itu juga yang kadangkala menjadi alasan dan benteng kita mempertahankan apa yang ingin dilakukan. Jujurnya,kadangkala.

Semalam, saat aku memandu dia yang rehat disebelahku membaca terjemahan surah yang mengkisahkan doa Nabi Zakaria yang risau akan umatnya. Lalu berdoa agar dia mendapat zuriat walhal dia tahu dia telah terlalu tua dan isterinya mandul.

Lalu bila doanya diperkenankan, Nabi Zakaria tertanya-tanya,mana mungkin,hampir mustahil.

Ya. Di akal manusia yang amat terbatas,ianya mustahil.

Namun sahut Sang Pencipta,Dialah yang mengadakan daripada tiada apa-apa.

Saat aku mendengar bacaan itu,hati aku seolah dihiris-hiris. Hampir sahaja menitis air mata.

Kemudian dituruti dengan kisah Maryam, yang tidak perlu aku ungkapkan disini. Yang bukan pertama kali pastinya aku dengar. Sungguh ayat-ayat quran bukanlah sekadar penenang saat resah,tapi ianya adalah kalam Allah. Sesuatu yang Allah katakan kepada hambanya.

Dengan doa,tiada yang mustahil. Lalu kenapa percaya pada yang mustahil. Tidak pernahkah kau dengar kisah Maryam dan Nabi Zakaria? Yang hanya cebisan kisah dari sifat kun fayakun Sang Pencipta.

Doalah,moga hidup dijalan yang Allah redha.

Khamis, 23 Januari 2014

Kelas Iqrak dan perjuangan

Seorang sahabatku telah mengusahakan satu kelas iqrak buat sahabat-sahabat kami yang mencari-cari kelas asas dalam menjalani kehidupan dijalan yang benar.

Kelas dibuat dimasjid,diwajibkan berpakaian sopan,pemakaian tudung, cap ,selendang dan sebagainya adalah mengikut keselesaan anda.

Kelas dijalankan pada hari ahad jam 10 pagi disebuah masjid di seri kembangan, selangor, untuk lokasi terperinci bolehlah hubungi saya melalui email atau fb.

Bagi aku,mereka yang hadir adalah mereka yang ingin mendekatkan diri pada Allah, siapapun kami, inilah perjalanan hidup kami. Mungkin pada orang lain memang dilahirkan dijalan perjuangan dengan ujian yang lain. Kami, inilah permulaan yang tidaklah mudah.

Inshaallah program Getting Near You 2 juga akan dijalankan pada bulan Mac.
Perjuangan ini tetap diteruskan hingga kehujung nyawa. Berhijrah wajib dengan ilmu,bukan dengan emosi.

Fight sampai mati!

Rabu, 11 September 2013

Pengkid Haram Pergi haji

Kenapa aku timbulkan balik isu ni? Setelah berbincang dengan rakan-rakan, aku rasa aku bertanggungjawab untuk menulis kembali tentang isu ini.

sila rujuk entry Pengkid oh Pengkid. Dalam entry ini aku ada mengulas sedikit tentang video tentang fatwa atau hukum yang diberikan tabung haji bahawa Pengkid haram pergi haji.

Rakaman Video Program Bicara Fatwa Di UITM, Shah Alam. Ini dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Selangor. 

Bila aku berbincang dengan rakan-rakan, dan aku rujuk balik pada entry The Last Pillar, ianya sebenarnya ada kaitan yang kuat. Fatwa ini dikeluarkan oleh mereka yang berpengatahuan agama, ya benar ada yang menyebut, fatwa sekadar pendapat sekumpulan manusia yang mempunyai sijil dalam bidang agama. Namun jika difikir dengan mata hati, kenapa fatwa ini dikeluarkan? Kerana ianya berasaskan pada fakta atau hukum akidah.

Pengkid haram, dan pengkid haram pergi haji selagi ia merasakan dirinya pengkid, bukan muslimat.

Ini pandangan ahli agama. Mereka melihat dari segi hukum, sama seperti pengharaman rokok dan sebagainya.  Ini fakta. Mereka berilmu didalam bidang akidah. Dalam rukun iman ada konsep redha. Dan apabila konsep redha itu tidak dapat diterima oleh seseorang individu, akidahnya boleh diragui.

Ya, pada awalnya aku melenting, sama seperti pengharaman rokok, manalah perokok-perokok tegar dapat menelan dengan hati yang gembira, sukar. Tapi bagi yang faham hukumnya, akan sedar, mahu atau tidak ianya betul, dan semua orang tahu berhenti rokok bukan mudah bagi yang tegar. Tapi bagi yang berjihad ini, pasti kemenangan yang besar bagi mereka. Jujur aku kagum pada perokok tegar yang berjaya berhenti rokok.

Berbalik pada pengkid, walau ia soal naluri dan kehidupan, apabila sampai waktu mahu atau tidak kita kena akur, dunia ini sementara dan tujuan kita dilahirkan kedunia ini adalah untuk beribadat pada Yang Esa. Andai salah satu syarat ibadat itu adalah menuntut kita redha dengan kejadian fitrah, sebagai hamba, siapa kita untuk mempersoalkan.

Tabung Haji menjawab tentang masalah bilik, tetapi hukum ini sebenarnya harus dilihat dengan mata hati. Sesiapa yang merasakan dia benci dengan kejadian dirinya dan menentang hukum, tidak mahu menerima bahawa beliau adalah muslimat, tidak redha. Bagaimana nak melawat rumah Tuan Yang Mencipta Segala?



Fatwa yang dikeluarkan ini adalah dari ahli agama, jadi beliau melihat dari sudut agama. Penerangan mungkin agak lemah untuk orang awam.

Mungkin contoh jenaka rasulullah boleh menjadi analogi, apabila rasulullah mengatakan kepada seorang wanita tua, bahawa orang tua tidak masuk syurga, wanita itu menangis dan berlalu. Tapi kemudiannya, rasulullah panggil dan berkata, umur penghuni syurga ialah antara 30-35, semuanya muda-muda, yang tua akan jadi muda, jadi, orang tua tidak ada adalam syurga.

Pengkid tak selamanya pengkid, bak kata salah seorang sahabatku, apabila anda telah menerima diri adalah muslimat, isu ini gugur pada diri anda.

Tapi kalau keluar permintaan .."Saya pengkid, nak pergi dengan kawan-kawan saya je, nak sebilik"

Hukum pengkid haram, haram pergi haji, masih ada pada anda.




Kepada sahabat-sahabat yang ibu dan ayah kesana, anda adalah pemegang amanah, dan pastinya ibu dan ayah mendoakan anda disana.Moga kami semua dapat menjadi tetamuMu dalam keadaan kami redha denganMu (uijian-ujianMu, takdir-takdirMu) dan Kau redha dengan kami. Aamiin.

link rujukan :Pengkid oh pengkid, The last Pillar
             

Rabu, 4 September 2013

Pengkid oh pengkid

Sebenarnya isu ini agak dah basi. Tapi asyik bermain dikepala aku.  Beberapa bulan lepas, ada dua isu yang berputar di muka buku tentang pengkid. Pengkid disini adalah individu berjantina perempuan yang berperwatakan lelaki. Kenapa aku buka definisi, sebab ada juga yang merujuk kepada semua kami yang senget sebagai pengkid. Sungguh salah. Tapi tiada salah apa pun, cuma salah definisi sahaja. Aku tak kisah pun.

Isu pertama, video yang kononnya menghina Islam. Video ni, setelah aku tonton berkali-kali. Pertama sekali, aku dah berdebar dah bila nampak individu didalam ni. Yang bagi aku sekadar boyish kot. Pengkid tegar, lebih lagi dari ini. Aku tak sedap hati, sebab aku tahu akan mulalah segala cacian terhadap golongan pengkid menghangatkan masyarakat. Masa tu aku berdoa agar bukanlah individu ini seorang Islam. Allah tak makbul. Didalam kad pengenalannya, Islam.




Tapi, percaya atau tidak, aku tak rasa pun video ini menghina islam. Pada aku video ini sekadar memainkan sentimen perkauman. Berdosa ke sentuh anjing? Orang melayu, kalau sebut anjing pergh, memang boleh melenting. Walhal dalam sirah ada disebut orang yang tidak solat dengan sengaja, air hujan yang jatuh ke atapnya, boleh dianggap air yang jatuh tu lebih hina dari urin anjing. Sentuh anjing cuma perlu samak, tidak berdosa, anjing juga makhluk ciptaan Allah. Sentuh orang yang bukan muhrim, ya berdosa. Tak solat, ya berdosa. Dan, yeah, Maznah agak nakal memainkan sentimen ini, dan sekarang tak tahu lah apa cerita didalam lokap ke. Aku akui, video ini tidak wajar, kerana video ini memang berniat jahat untuk meng onarkan masyarakat melayu Islam di Malaysia.

Dunia pengkid juga yang kena ludah.

Kemudian, isu tentang Tabung Haji mengisytiharkan Pengkid haram pergi haji. Masa ni aku memang nak kata Apa neraka! (What the hell). Tengok video, rupanya masalah nak menyediakan bilik, kerana ditakuti muslimat lain tidak mahu berkongsi bilik.




Pertama sekali, aku nak cakap. Pengkid, kalau nak pergi haji, dia dah tak macam pengkid dah. Kalau ada pun, dalam hati sahaja. Cuma, ye, kalau bila sebilik dengan muslimat lain, buka tudung, rambut ala komando, memang muslimat lain akan tak senang, apa susah, duduk kan jela dengan makcik-makcik, paling-paling pun beristighfar je, paling-paling pun makcik-makcik tu berleter jela. Dan lagipun, kalau kami nak pergi haji, masa tu takde lah fikir nak mengsongsang tak tentu pasal. Ehhh..kami pun tahu juga hormat agama dan tanah suci tu, kalau tak takdelah kami pergi mendaftar haji weiiii. Benda ni takde isu sebenarnya. Takdelah siapa antara kami yang kurang akal, mendaftar nak pergi haji, lepas tu declare kami ni pengkid. Tu konpem la orang kurang waras wehhh.

Lain tak bukan sekadar nak memburukkan pengkid kan? Isu ni. Jangan risau, tidak ada pengkid yang mendeclare diri pengkid nak daftar haji. Ni lain dengan kes FTM. FTM di Malaysia memang tidak ada undang-undang mengesahkan. Itu kes lain. Semua, pengkid ke, senget ke, PLU mana pun, kalau nak pergi haji, mesti nak pergi sebagai muslimat/muslimin. Dan kalau tersatu bilik dengan muslimat yang ala-ala pengkid pun, jaga aurat sudahla, tak perlu takut, kami sedar diri, kami sedar kami dimana masa tu. Jaga aurat sebagai sesama perempuan. Janganla pula, pergi gedik tanpa seurat benang dalam bilik tu. Itu memang cari nahas.

Setiap kita punya hati dan perasaan, lihatlah lebih dari sekadar kulit. Jika anda seorang yang berhikmah.


note: aku rindu nak menulis. Hujung tahun makin hampir, makin sibuk. hidup aku alhamdulillah, segala puji bagi Allah, aku gembira dan tenang, segalanya punya hikmah. Dan ..aku sayang dan rindu mak ayah aku yang kini tak tinggal sekali dengan aku, mungkin sementara, atau tempoh tertentu.

Jumaat, 12 Julai 2013

PLU, stigma dan prejudis

Situasi A:

Lisa: Aku menyintai kau, semua dunia ini berputar diatas dirimu, Sara.
Sara: Tapi, yang, my mum dah dapat bau tentang I dan U, I rasa kita kena slow down.
Lisa: Tapi, I tak boleh tak jumpa you, dunia ni macma kelabu je bila tak dapat jumpa you. Arghh, your mum tak faham la.
Sara: I tahu, masa you pergi kursus haritu, I giler rindu dekat you. Tapi my mum dah tak bagi jumpa you lagi. 
Lisa: What??? Ah...macamana ni.

Situasi B:

Mak: aish, saya tengok anak kita tu melekat je dengan si Lisa tu, kesana kemari dengan budak pengkid tu, nama Lisa, cantik dah, tapi perangai mengalahkan jantan.

Ayah: Hmm, nak buat macamana dah dari dulu si Lisa tu macam tu.

Mak: ish, haritu, saya nampak mereka berpeluk-peluk dalam kereta, ishhh, tak senonoh.

Situasi A + Situasi B:

Mak: Budak-budak pengkid ni tak tahu ke yang diorang tu haram, macam jantan tu haram, berkepit dengan perempuan sesama jenis tu haram. 

Lisa: Ya, allah kenapalah sukarnya aku nak melupakan dia, kenapalah aku ada naluri ini, kenapa kau lahirkan aku dengan naluri ini. Argh, mak si Sara ni pula memang tak faham, aku dan anak dia cinta suci!

Situasi C:

Sekumpulan lelaki: Woi, pengkid, kalau aku rogol kau, kau mengandung tak?!


Ini adalah contoh segala picu stigma dan prejudis. Kalau boleh aku katakan, umpama katak bercakap dengan itik. Katak terus meng ong-ong dan itik terus menyudu.

Orang heterosexual, penuh dengan rasa jijik terhadap PLU dan kebencian terhadap manusia jenis kami.

Orang homosexual, menyampah dan juga penuh dengan dendam kesumat terhadap orang heterosexual.

Lalu dimana titik pertemuan?

Golongan agama dianggap tidak memahami tetapi cuba menyampaikan dakwah. Dan golongan yang didakwah akan terus-terusan menganggap  golongan agama ini golongan yang harus dijauhi.

Kesannya? Dakwah tidak sampai, dan golongan PLU akan semakin tergapai-gapai, ada yang mencari, ada yang hilang. Sedangkan berdakwah itu wajib sebaik sahaja seseorang itu beragama Islam dan tahu erti syahadah.

“If you want to do da'wah to a person, do da'wah to them, not about them.”

Imam Omar Suleiman


Setiap manusia saling memerlukan, kalau nak diwujudkan masjid untuk PLU itu tidaklah menepati nilai Islam yang universal. Kenapa tak sahaja diminta satu planet yang semuanya PLU, perghhh fantasi aku tu, semua satu planet ni perempuan. Dan untuk lelaki satu planet yang lain pula. Bila dah nak pupus, barulah dipaksa membiak. Ambik kau, nak?

Pertama sekali, aku selalu sampaikan pada kawan, dan semua orang PLU ni kadangkala cemburu nak mampus, dekat orang straight yang boleh menghalalkan naluri mereka. Kerana nafsu itu fitrah, lalu sakit jiwa lah orang yang sukar untuk mencari redha Allah dengan nafsu.

Benar, setiap manusia ada ujiannya, dan sebesar-besar nikmat adalah iman. Seperti dakwah kepada non-muslim, andai seorang pendakwah Islam gagal memahami agama atau kepercayaan non-believer itu, adalah sukar untuk pendakwah itu menyampaikan dakwahnya. Bolehkah anda berdakwah dengan mengatakan..

"Babi ni haram, dahlah kotor, tu pasal agama Islam is the best"

Kalau tak kena penampar, dah cukup baik.

Takkah sama dengan..

"Tahu tak gay ni haram, Islam laknat"

Benar, kenyataannya betul, tapi adakah dakwah akan sampai, adakah kebenaran itu akan sampai pada hati orang yang didakwah, tidak. Sukar.

Andai ada yang menganggap, memahami golongan PLU adalah sukar dan meletihkan, maka, sabar sahaja penawarnya. Umpama seorang Psychiatrist dengan pesakitnya, jika tidak tahan, mungkin akan menzalimi pesakit dan dirinya sendiri.

Apa yang aku ceramahkan ni?

Aku juga pernah berkali-kali putus asa dengan kawan-kawan PLU sendiri yang resam manusia pelbagai, entah esok lusa aku gagal lagi dan putus asa lagi. Dan sebagai seorang yang cuba untuk menambah ilmu, aku tidak dapat lari dari menghormati ustaz di tempat mengaji, ustaz yang memberi ceramah, ustazah yang adalah bini ustaz tempat mengaji tadi.(lol)

Benar, hanya PLU yang memahami PLU, tetapi hidup ini tidak akan berlansung dengan indahnya hanya dengan PLU sahaja. Dan benar, PLU ini pengamal aktiviti yang Allah larang, tapi andai anda tidak memahami kami dan tidak cuba membawa kami mendekati jalan yang benar, dimasa depan bagaimana anda nak memahami andai ada insan yang anda sayang adalah peminat kaum sejenis.

Islam tidak pernah menghalalkan stigma dan prejudis.

Jumaat, 10 Mei 2013

FTM, kami dan ujian seksualiti, Part 2 (terjemahan)


Oswald adalah seorang FTM yang baru menyertai group Jalan Pulang.

Oswald:

Saya menerima satu email tentang Bengkel pengurusan Jenazah. Saya banyak berfikir tentang apabila saya mati, siapa akan menguruskan saya, lelaki muslim atau wanita muslim?. Saya adalah Transmen (Female to Male) post-op.

MG: Saya  pernah menghadiri ceramah, yang memperkatakan tentang jenazah. Seorang MTF (Transwomen, Male to Female), akan diuruskan oleh lelaki muslim dan FTM diuruskan oleh wanita muslim.

Oswald: Oh, jadi bagaimana dengan muslim transgender yang mahu berkahwin? Bagaimana dengan menunaikan haji dan umrah?

MG: Perkahwinan dikalangan transgender adalah tidak sah. Kecuali FTM berkahwin dengan seorang yang memang dilahirkan sebagai lelaki. Satu fakta yang agak sedih untuk kita terima, semua ibadah mesti dijalankan mengikut jantina kita dilahirkan.

MG: Kecuali Khunsa, khunsa adalah kes yang berbeza, dimana mereka memang dilahirkan dengan dua jantina. Selalunya ia boleh dibezakan dengan adanya rahim atau kilang sperma. Jika seseorang itu boleh mempunyai sperma, sudah semestinya dia lelaki, sekiranya mempunyai rahim, sudah semestinya perempuan.

MG: Tapi ada wanita yang dilahirkan tanpa rahim. Kesimpulannya, khunsa akan disahkan oleh doktor samada seseorang itu benar-benar mempunyai dua jantina sejak dia dilahirkan. Ianya boleh ditentukan oleh hormon, struktur tulang, sperma, rahim malah kromosom. Kemudian mereka akan mengesahkan seseorang itu sebagao khunsa dan penjaga biasanya dinasihatkan untuk membuat pembedahan jantina kepada kanak-kanak itu.

Itu mengikut apa yang saya tahu dari syarie. Sekurang-kurangnya, itulah yang berlaku di Malaysia.

Pada awalnya, saya juga tertanya-tanya tentang ini, tapi didalam ceramah yang saya hadiri, fasilitator itu berkongsi dengan kami pengalamannya menguruskan jenazah MTF (wanita transgender/maknyah/transwoman). Jadi dari situ saya faham bagaimana hukum soal ibadat terhadap transgender.

Oswald: Terima kasih. Saya sebenarnya tidak berani untuk mengimpikan perkahwinan, bagaimana dengan menunaikan ibadat haji?

MG: Menunaikan haji, jika kita fikir secara rasional, dalam kad pengenalan anda adalah lelaki (Oswald adalah warganegara Singapura, mempunyai peruntukan undang-undang untuk menukar jantina, setelah pembedahan jantina dilakukan). Arab Saudi akan menerima itu. Tetapi samada ibadah itu sah atau tidak, ditakuti secara syarie ia Cuma akan sah jika ftm menunaikannya seperti muslimah.

Oswald: Pada masa kini, didalam jantina pada ID saya adalah lelaki, tetapi tidak pada sijil kelahiran.

MG: Arab Saudi akan terima, tapi..seperti saya terangkan tadi..
Oswald: Saya bersedia untuk menerima kenyataan ini. Saya tidak mahu hilan iman saya lagi.

MG: Sama seperti semua ibadah. Bagi syariah Islam, ianya akan mengikut jantina kelahiran, kecuali khunsa.

MG: Saya menyayangi kami! Dan tahu ianya tidak mudah, kawan.

Oswald: Memang  ternyata tidak mudah. Kita kembali kepada Allah seperti kita datang kesini dari Dia. Saya telah pun berbincang dengan teman saya tentang ini.

MG: Kerana itu saya menyayangi kamu! Sayang kerana Allah, semua kita boleh kembali pada Allah dan sesetengah kita melalui jalan yang sukar, tetapi Allah tahu dan kira setiapnya. Makin susah perjalanan itu, makin tinggi darjat iman seseorang itu.

Hidup ni tiada apa...redha Allah adalah amat sesuatu.

Oswald: Terima kasih kerana menyayangi saya, kawan. (terharu). Saya menghargai kebebasan dan pilihan yang Allah beri. Ya, hidup hanya sementara. Saya amat gembira menyertai group ini sejak jumaat lepas.

MG: Inshaallah. Moga Allah merahmati kita, moga kita kembali pada Allah dengan redhaNya, dan moga semua kita berjumpa disyurga.amin.

Mesejnya kepada ku:
Di masa hadapan, saya akan bersedia untuk menunaikan haji dan pergi kesana sebagai wanita. Selepas pulang, saya akan terus menjadi wanita, hingga akhir hayat.

Note:
Definisi ’pre-op’, post-op dan full op FTM:-
Pre-op: Tanpa pembedahan jantina. Hanya menggunakan suntikan hormon terapi (HRT).

Post-op: Telah menjalani pembedahan jantina(SRS): bahagian atas dan juga hysterectomy (membuang rahim). Terus menggunakan suntikan hormon (HRT).

Full –op: Telah menjalani pembedahan jantina (SRS): Pembedahan penis mengikut beberapa kaedah yang dipilih- phalloplasty (mengambil kulit lengan atau peha dan menstruktur zakar dan penis) ataupun Metoidioplasty (mengubah struktur clitorist, tanpa membentuk zakar). Meneruskan suntikan hormon.

Proses detransisi bukanlah mudah dan hampir mustahil, kerana Oswald telah pun lama mengambil suntikan hormon, dan telah menjalani pembendahan Post-op. Dan dia memerlukan kestabilan estrogenes untuk struktur tulang apabila telah tiada lagi rahim dan ovari.

Apapun, dunia hanyalah sementara. Siapa dan apa rupa kita dihadapan manusia, selagi perintah Allah kita turuti..kita hanya hamba Allah..dan Allah lah yang maha mengetahui niat dan usaha hambaNya.

Entry rujukan: apa itu pengkid dan FTM
Entry Part 1: respond seorang FTM.

Catatan dari Oswald: Between Islam and FTM 



Isnin, 18 Februari 2013

Pengkid, ftm dan transgender.

Sebelum aku mula bicara, mari aku bercerita tentang definisi yang dipakai. Namun harap maklum, definisi yang terang hanyalah sekadar penilaian aku dari pergaulan, pembacaan dan pengalaman.

Pengkid:
Golongan yang dilahirkan sebagai perempuan namun mempunyai cara hidup seperti lelaki, cara berpakaian, cara bercakap dan bergaul. Kebanyakan mereka tidak selesa dikenali sebagai perempuan melalui panggilan nama seperti kakak, cik dan sebagainya. Malah nama panggilan yang dipilih juga selalunya menyerupai nama lelaki.

FTM (Female to male):
Mereka ini bukan sekadar berpakaian atau hidup seperti lelaki, mereka sentiasa menganggap diri mereka lelaki, dan merasakan terperangkap dengan tubuh biologi mereka. Mereka didefinisikan ftm sepatutnya hanya setelah mereka membuat pembedahan membuang buah dada. Ada yang memulakan dengan mengambil pil Testoran atau dipanggil 'T'. Selepas fasa ini biasanya mereka akan melengkapi diri mereka dengan pembedahan Metoidioplasty, untuk memiliki penis yang membolehkan mereka sekurang-kurangnya membuang air berdiri. Dan terakhir adalah pembedahan buang rahim, agar mereka tidak mengalami haid.

Transgender:
Golongan FTM ataupun MTF. Dimana FTM dipanggil Transmen dan MTF dipanggil Transwomen.

Pengkid biasa dilihat namun, FTM pada awalnya hampir tidak wujud. Namun, mereka sebenarnya ada. Terlalu sukar untuk dibezakan, kerana mereka biasanya amat low profile, amat. Mereka tidak pernah menganggap diri mereka lesbian, mereka adalah lelaki.

Aku sering dan suka mengkaji kehadiran FTM sejak 3 tahun lepas, dan komuniti di Malaysia telah ada, namun jarang disedari kerana mereka terlalu terpencil.

Membaca dari artikel The Transmen is still overshadowed  aku merasa sesuatu.

Aku dapat merasakan sedikit kemelut dijiwa mereka. Ya, aku tahu mencapai impian namun tidak akan pernah diiktiraf, apalah ada pada pengiktirafan kewujudan, jika di bandingkan dengan kepuasan yang diperolehi. Di Malaysia, penukaran gender didalam dokumen hanya dibolehkan kepada golongan khunsa, iaitu yang disahkan doktor memiliki dua jantina.

Pertama sekali, prinsip aku, kita semua manusia, masyarakat yang menghakimi dan menjadikan dunia ini memaksa banyak perkara. Kalau ikut hati aku, aku memang nak buat pembedahan, dan migrate ke luar negara..lalu hilanglah semua ketidak puasan.

Ingat dalam diri kami tiada tuhan? Kucing pun tunduk pada kekuasaan Illahi. Perkara paling besar dan anugerah paling berharga adalah kalimah Allah didalam hati. Dan ini tidak akan dapat dinilai oleh sesiapa.

Berhakkah orang lain mengatakan orang transgender ini harus dibakar dilaknat Allah, tak diterima bumi, harus dipulaukan, harus ditentang, malah ada yang mengatakan harus dibunuh.

Mereka mengatakan dan melantik diri menjadi hakim kerana mereka tidak pernah merasa betapa peritnya rasa janggal dalam setiap perkara, merasa tidak pasti dalam setiap perkara, merasa keliru dalam setiap perkara, merasa asing pada tubuh sendiri.

Sewaktu berusia 18 tahun, aku ingat bagaimana seluruh keluarga menentang aku, abang merayu, kakak menempelak, Pa dan Ma melontarkan bahawa aku memalukan keluarga. Namun pemberontakkan hati itu hilang kah? Tidak. Ia cuma hilang, bila Allah beri hidayah pada hati, iaitu beberapa tahun kemudian.

Lalu pada semua prejudis dan kebencian yang dilemparkan, adakah ada impak pada setiap jiwa yang telah tekad? Jawapannya tidak, ianya sekadar menguatkan dan membina benteng disegenap ruang hati, lalu mencari jalan keluar.

Sewaktu mengikuti program street dakwah dahulu, aku panas telinga bila ada rakan se program yang mengadu kawan mereka tidak menutup aurat dan sebagainya. Ingin sahaja aku memberitahu, perkara paling utama adalah syahadah, adalah iman dan kalimah Allah. Ramai sahaja orang bukan islam yang bertudung litup, tetapi tiada syahadah dihati.

Membenci, tidak akan menyelesaikan apa-apa, kerana dunia ini hanya sementara. Yang utama adalah masih memegang kalimah syahadah. masih mengaku diri ini Islam. Dan aku tahu itupun mahal harganya bagi segelintir muslim secara biologi.

Doa aku buat semua, siapa pun anda, bagaimana pun diri anda, walau ada yang mengatakan anda tidak layak hidup dibumi ini, peganglah kalimah Allah, dan akuilah rasulullah itu pesuruhnya, ada banyak perkara, hanya Allah dan anda sahaja yang tahu. Solatlah cara mana pun. Selagi anda mengaku anda Islam, anda adalah saudara seIslamku.Moga kita sama-sama sentiasa mendapat hidayahNya.

Link: Videoblog ,PLUcommunity, wikipedia, Iranian Transmen

Salah seorang FTM selepas mastectomy, pembedahan dada.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...