Halaman

Rabu, 29 Ogos 2012

Pedih yang paling dalam

Aku akui keputusan aku menjarakkan diri dengan Deanna bukanlah mudah. Sebenarnya, ada sesuatu juga yang bergelut dengan perasaan aku. Ada satu tangunggan yang berat untuk aku ceritakan.

Ianya tentang bagaimana aku bertemu dengan Deanna.

bdsm.

Aku akan terangkan istilah-istilah bdsm ini di post akan datang, buat masa ni, aku nak luahkan kekusutan hati aku.

Deanna adalah antara pertaruhan aku dan Master aku yang pertama. Ya, lelaki pertama yang berjaya mendominasi aku saat aku masih mentah dalam arena ini, dengan mudah dia dapat mengmiliki aku, collared. Kerana lelaki ini tahu aku punya kehendak yang kuat pada perempuan, lantas dia memplot untuk memiliki dua orang submissive perempuan. Ini berlaku tiga tahun yang lepas.

Untuk memikat perempuan bukanlah susah bagi aku.

Dan aku memikat Deanna waktu itu, antaranya untuk kuserahkan pada lelaki ini. Ya, aku terlalu naif waktu itu.

Mulanya Deanna tidak berjaya dipujuk lelaki ini, kerana Deanna hanya meletakkan hati dia pada aku. Tetapi sebagai submissive yang taat waktu itu, aku berjaya mempromosi lelaki ini pada Deanna. Dan pada tahun 2010, aku mempunyai krisis besar dengan lelaki ini, kegagalan dia menjaga aku menyebabkan aku hampir menyebabkan nama dia tercalar di arena ini. Tapi aku berjaya ditenangkan dengan kehadiran Master ku yang kedua.

Waktu itu lelaki ini melaburkan segalanya untuk memiliki Deanna. Usaha, tenaga dan juga mungkin wang. Waktu itu Deanna dah pun tinggal sebumbung dengan aku. Dan lelaki ini berjaya juga menenangkan hati aku. Aku tahu, keperluan Deanna pada bdsm amat tinggi. Aku dan dia submissive, kami mudah nanar dan hilang arah tanpa ada tali yang memacu kami.

Walaupun Deanna, banyak menghabiskan masa dengan aku, dan amat mempercayai aku, tetapi, Deanna secara fitrahnya adalah straight. Tidak seperti aku. Lalu disini kemenangan berpihak pada lelaki itu. Hati aku perit setiap kali mengetahui Deanna keluar dengan lelaki itu. Aku kalah kerana aku berjantina perempuan. Juga, kerana aku beragama Islam.

Dan sewaktu aku dalam proses pertunangan dan kahwin, banyak perkara berlaku pada Deanna, dia mula merokok dan minum dengan kerap. Sehari selepas perkahwinan aku, dia mabuk buat pertama kalinya. Serta lelaki itu saat itu telahpun lama bertapak dihati Deanna. Dan bukan sedikit kalinya aku terpaksa melihat Deanna disakiti hatinya. Aku terpaksa melihat gadis manja yang selalu mengingini belaian aku memaksa dirinya menjadi amat kuat. Entah berapa kali aku mengutip hati aku yang hancur.

Memang selalu sangat aku merancang nak menghancurkan hidup lelaki ini. Dia dah berkahwin dan beragama atheis, dia takkan boleh mengahwini Deanna tanpa melepaskan hidup utamanya.

Sebulan lepas aku dengar lelaki ni buat hal lagi, melukakan dan meninggalkan Deanna. Aku masa tu memang nak bersorak kegembiraan. Tapi semalam, berita buruk buat aku. Lelaki itu kembali lagi, kalini entah melabur apa pula pada Deanna. Ayat..

"He pay for everything"

Buat aku rasa nak memecahkan stereng kereta aku semalam. Walau aku tahu Deanna bukan mata duitan, tapi kerana kesempitan hidup dia sebagai pelajar uni dirantau orang, apa sahaja bantuan waktu dia kesempitan, dia takkan dapat menolak dengan mudah.

Aku tidak boleh berenggang dengan laptop, dan akhirnya membuatkan lelaki tu membayar semua kos membaiki kerosakan laptop Deanna, bodoh!. Bodoh bagi aku, kerana tak terfikir kesempatan ini. Ya, lelaki tu lebih licik. Dan...berduit. Tak mustahil, satu hari nanti, lelaki itu akan menyediakan tempat tinggal untuk Deanna.

Deanna ada beberapa kali memberi hint untuk tinggal dirumah aku kembali. Jawapan aku..

aku: yang, ...kita kalau duduk bersama, kalau laki bini, dah dapat anak 10 dah.
dia: ahahaha..betul2.
aku: kalau you confinement pun I akan redah je.
dia: hahaha, yes..i tak boleh bayangkan you kalau tak dapat I taktahula. Kalau confinement, i kena duduk hospital kot supaya betul2 sembuh 40 hari.
aku: hahah..
dia: tapi kalau you lelaki, orang lain memang tak boleh sentuh i.
aku: jangan haraplah, you kalau nak keluar rumah pun belum tentu boleh.

Ya, itu jawapan aku, dan Deanna faham ayat2 disebalik jawapan aku, aku tidak mahu bersekedudukan lagi dengan dia. Dan ini menjadikan aku kalah besar pada lelaki ini.

Perit hati aku, melihat gadis yang aku sayang diratah oleh oleh orang yang aku benci. Kerana aku bukan seorang yang tidak bertamadun, lelaki tu masih lagi hidup dengan gembiranya.

Jumaat, 24 Ogos 2012

You are the last one..

Malam itu, aku tahu dia letih, dan aku sudah agak mengantuk.

Puas kami bercerita tentang apa sahaja yang berada dilangit dan bumi. Sambil menikmati aiskerim. Puas, aku mencuba-cuba, mencari saat dan memikir kewajaran samada aku perlu menyatakan tentang sesuatu yang terbuku.

aku: I want to tell you semething.
dia: what? now you make me scared. ( dia amat mudah menangkap apa jua reaksi wajahku)
aku: yang...I want to stop ...all our intimate thing.
dia: why ? (saat ini, aku banyak berdoa didalam hati, moga aku tidak mengguriskan hati perempuan yang aku sayang didepan mataku ini, senyumnya juga tiba-tiba lenyap)
aku: the last time we did...I..drop ('drop' bermaksud kemurungan selepas sesuatu play yang intense didalam bdsm)
dia:kita boleh hentikan drop tu, kita tahu about this thing.
aku: yang, ..its happen because i feel guilty..the smae thing...and you know its not the first time.
dia: but, you still sexually attract to girls, if not me, there will be other girls, and you know you really like to flirt other girls.
aku: no, no more after this, no more girls..am trying to stop.
dia: for all those girls who try to flirt and touch me, you are the only one who I really comfortable with, who I trust and know what I want.
aku: yang, it will not change anything, our friendship and..my love towards you.
dia: but I will merajuk with u.

aku senyum, dan aku rasa sedikit lega apabila melihat senyuman dia. Aku tahu aku perlu nyatakan dan lakukan ini.

Malam itu..sms dari aku padanya.

"you may not the first girl that I love, but you definitely the last one. Love you."

Selasa, 21 Ogos 2012

Aku ingin hidup seribu tahun lagi

Alhamdulillah aku berjaya harungi syawal ini. Dan paling best, adalah semalam pertemuan aku dengan seorang blogger yang hebat. Sesekali bila aku memandang tepat pada wajah dia, aku tahu dia manusia yang punya banyak cita-cita, jiwa dan semangatnya melaungkan semangat "aku ingin hidup seribu tahun lagi". Seorang bapa, seorang suami, pastinya ingin melihat masa depan anak-anak, dan entah dimana juga disebalik wajahnya, pasti ada pelbagai kerisauan yang tetap ditanggung oleh manusia biasa. Tetapi kerana dia bukan calang-calang orang, semua itu tidak dipamerkan selalu.

Aku, bila emosi mendesak, aku jadi nanar dan inginkan kematian.

Walhal setiap apa yang berlaku dalam bila aku fikir balik, tuhan nak jadikan aku kuat. Bila aku mohon untuk tuhan tolong hentikan kecenderungan aku pada perempuan, tuhan hadirkan Deanna dalam hidup aku, apabila aku berkata pada tuhan bahwa aku ingin berkahwin kerana aku ingin berhenti mengasihi Deanna, dan berharap perkahwinan itu menghentikan aku dari menyintai perempuan, tuhan uji aku dengan sebuah perkahwinan yang gagal. Segalanya seperti menekan segumpal garam ke luka yang amat pedih.

Jadi harini, aku ingin bangkit, dan hidup seribu tahun lagi. Hidup aku, untuk taubat dengan setiap yang aku lakukan. Mungkin aku akan tewas berjuta kali lagi. Tapi aku yakin, tuhan tidak akan mensia-siakan hambanya. Aku ingin lihat, adik lelaki kesayanganku menjadi daie dan seorang ayah yang soleh, aku ingin lihat keluarga ku yang menyokong aku sepenuhnya sewaktu proses perceraian aku dulu tua dan mempunyai zuriat yang membesar dengan baik.  Aku ingin melihat aku jatuh dan bangun lagi walau dengan seribu luka yang boleh saja membunuh dan menyiat seluruh isi tubuhku, tapi aku akan terus bagun selagi diizinkan tuhan.

Dulu, aku adalah remaja yang juga punya inferior dan rebel, tapi aku berjaya menjadi seseorang, memiliki rumah sendiri sebelum berusia 30 tahun, pernah dicintai oleh lelaki dan wanita, dan pernah dikahwini oleh lelaki gay yang perfectionist.

Aku pernah terjebak begitu dalam didalam bdsm yang hampir membawa penyerahan diri kepada manusia, alhamdulillah, tuhan izin lagi aku mengucap syahadah. Aku pernah berhenti solat kerana membenci tuhan, pernah menjadi saksi pesta arak, pernah ..pernah..pernah..pelbagai lagi aib yang tidak ingin ku buka dan aku mohon agar Allah tidak pamerkan keaiban aku itu di masyhar kelak.

Namun alhamdulillah, aku masih islam dan dara.

Dan semalam, apabila  blogger itu mengucapkan tahniah, saat itu hati aku hampir sebak (tapi kena pura2 macho nih), biar seribu manusia menghina dan tidak tahu betapa getirnya aku menyimpan baki iman dan kesucian yang masih tersisa, semalam adalah penawar.

Tuhan, aku ingin hidup seribu tahun lagi untuk bertaubat padaMU.

Ahad, 19 Ogos 2012

Cinta yang mengundang sengsara

Hariini, entah bagaimana setelah mendengar khutbah aidilfitri, aku jadi tahu kenapa aku bersedih sepanjang beberapa hariini.

Kerana aku mencapai tahap, aku benar-benar menyintai Deanna.

Lantas semua yang ada didunia ini aku rasakan menjadi penghalang. Dan aku juga seolah sukar nak bernafas kerana aku asyik mengingatkan diri aku..."kalau lah dia ada dengan aku", Dan difikiran aku juga seolah mengasak pemikiran aku menentang diri aku sendiri. Aku asyik tertekan denga perasaan kenapa aku tidak boleh bersama dia.

Bayangkan, keluarga sibuk dengan persiapan aidilfitri, tetapi fikiran aku asyik teringatkan dia. Dalam kepala otak aku ni, aku sekadar fikir bila nak mencari masa bersama dia. Dan aku amat marah bila aku ditegur oleh orang lain yang terlalu kerap dengan dia, dalam fikiran aku ada satu perasaan tertekan, kenapa orang lain tak boleh terima yang aku menyintai dia, dan selalu ada rasa membuak marah...ooh..kalau pasangan normal kahwin dan asyik mahsyuk berdua, tiada siapa marah.

Fikiran aku dah mula menentang semua persekitaran aku.

Dan dalam masa yang sama, aku tahu perkara menyintai dia adalah salah, tetapi aku tidak sedar bahawa aku menyintai dia sampai tahap begini.

Ya Allah. Benarlah, aku dah menyintai dia sangat. Sampaikan dihati aku sukar nak masuk apa-apa kebahagiaan selain dia.

Memang sejak akhir-akhir ini, aku sukar nak ketawa, walaupun menonton filem lawak. Letaklah segala Ice Age ke madagascar ke, semua cerita tu sebaliknya bertukar menjadi sedih. Kerana aku hanya fokus pada babak sedih.

Nasiblah dia agak enggan berpindah kerumah ku kembali, akibat sedikit terluka dengan perkahwinan aku yang lepas. Kalau tidak, memang hidup aku berputar menjadi siapa aku sebelum perkahwinan tu.

Aku mesti belajar berhenti menyintai dia. Anggap sahaja dia sebagai sahabat. Dan, aku harus mengekang nafsu aku. Serta, kalau boleh aku perlu berbincang dengan dia. Walau ini kali kesejuta pun aku menerangkan perkara ini pada aku, andai dia sahabat aku, dia akan terima. Jika tidak...

Marilah meluahkan cinta dan masa aku pada game kehkehkehkeh...


Jumaat, 17 Ogos 2012

Kenapa aku benci raya?

Aku tahu setiap keluarga punya cerita.

Ma dan Pa, pernah tinggal berasingan. Lama. Dan aku tinggal dengan Pa. Jadi disini aku dah memang tak begitu rapat dengan Ma. Pa, tidaklah begitu baik sangat dengan aku, sebab aku dari kecil dah memang agak nakal. Pa, pernah halau aku keluar rumah kerana tidak tahan dengan kenakalan aku. Masa tu aku darjah enam kalau tak silap. Dalam adik beradik, aku seorang yang pernah kena rotan, kena pukul dengan pam basikal pun ada.

Sebenarnya, aku rasa waktu tu, Pa stress dengan keadaan keluarga kami. Dan begitu juga Ma. Adik beradik yang tua dah pun diasrama. Tinggal aku dan Ucu.

Aku suka memancing dengan Pa. Aku sesungguhnya lebih mudah dengan Pa, berbanding Ma. Ma pernah tampar aku kerana perkara kecil.

Tapi aku tahu, Pa tidak gemar pada aku, kerana perwatakan aku yang seperti lelaki dulu. Pa dan aku bermusuh, hinggalah aku masuk uni.

Ma, dan aku, kadang-kadang macam angin, sepoi bahasa..kadangkala macam taufan.

Ma selalu dahulukan anak-anak lelaki. Aku rasa kerana itu, aku sering rasa dunia ini tidak adil pada perempuan. Aku tak pernah dapat menjadi diri sendiri. Dan dulu, aku pernah merasakan, aku ini pembawa sial didalam keluarga. Sebab Ma pernah berkata demikian. Tapi mungkin masa tu Ma terlalu marah.

Dan raya...sukar nak bagi keindahan bagi aku.

Sejak kecil aku selalu bercita-cita untuk tidak pulang ke kampung waktu raya. Pernah sekali, hampir jadi. Aku memang tekad tak mahu balik. Tapi, rakan serumah ku pula begitu berbaik hati, membelikan tiket kepal terbang, tanpa pengetahuan aku.

Salah satu sebab aku bersetuju untuk kahwin dulu, sebab aku nak lari dari keluarga.

Umur aku dah 32 tahun, dan aku sedar aku ada seketul ego. Aku nak tinggal sendiri. Salah satu keputusan silapku, ialah bila aku beli rumah, senegeri dengan Ma. Tapi aku juga tahu, andai aku memilih untuk tinggal dinegeri lain...Mungkin dah tiada apa dah pada diri aku. Mungkin aku dah tukar jantina, atau mungkin aku dah puas berzina.

Ada waktu, aku hampir putus asa untuk cari bahagia, untuk dekat diri pada tuhan. Pedih hati aku, mengenang kan hidup aku yang tak serupa orang lain. Aku tak pernah berjaya menjadi anak perempuan yang dikehendaki pa dan ma. Dan insan yang menyintai aku dan menerima aku seadanya, bukan pula halal untuk aku kahwini.

Kadang-kadang, aku jadi takut pada diri aku. Aku takut aku akan lemah dalam mengekang segalanya. Aku takut aku akan nekad, tinggalkan ma dan pa. Aku takut aku akan nekad dan lebih mudah menyerupai lelaki. Aku takut aku akan nekad membawa Deanna pergi.

Saat-saat macamni, aku terkenangkan Amir. Amir pernah hampir menyuarakan padaku, dia nak aku dan dia berhijrah kemana-mana, andai keluarga aku tidak menerima dia . Sekarang Amir dah ada orang lain, dan tidak memberikan jawapan pada permintaan aku untuk menyambung dan menghalalkan hubungan kami dahulu.

Mungkin kali ini, raya terburuk bagi aku. Kerna tak mustahil orang akan bertanya dimana suami aku.

Benar, aku kecewa bila permintaan aku yang satu ini tak tertunai. Hidup aku ni dah tida apa buat aku. Betul, aku belum cukup taubat, tapi adakah aku akan dapat tutup akaun dosa?

Aku dah rancang nak pergi bercuti dengan Deanna. Dia seorang sahaja yang faham dan sabar dengan aku.Dahla dia seorang Nasrani, amat kuat dengan agamanya. Itu pun satu, kadang-kadang aku takut akhir ku nanti di akidah yang lain, kerana dia.

Takut, semua ketakutan tu ada pada aku.

Dari dulu, aku menunggu agar ada orang selamatkan aku. Yang dapat bimbing aku. Yang akan pegang aku bila aku mula meronta, yang akan ingatkan aku bila aku lalai, yang akan kuatkan aku bila aku rasa amat..amat lemah.

Tapi, aku tahu, tuhan nak aku selamatkan diri aku sendiri. Tuhan nak aku berjuang sendiri, supaya aku lebih dekat dengan dia.

Tahun 2009, aku pernah berhenti solat. Rasanya dekat setahun juga. Sebab aku berputus asa dengan tuhan. Tahun itu aku paling hebat diranjang dengan Xola. Dan juga meraikan kehinaan dalam bdsm.

Entahlah.

Amat sukar mencari yang halal. Nabi pernah kata, cukuplah Allah bersamanya. Tapi tuhan kurniakan isteri-siteri dan sahabat buat dia. Aku, entahlah.

Apa akhirnya hidup aku. AKu takut mati dalam keadaan hina.

Memang hariini aku banyak terfikir, alangkah indah, andai ini ramadhan terakhir aku.

Jadi , maaf memang tiada ucapan selamat hari raya dari aku.

Selasa, 14 Ogos 2012

aku dan dia

Memang apa yang berlaku dua hari lepas, buat aku rasa bersalah, buat aku rasa hina sangat pada tuhan, dan aku tak tahu entah berapa banyak istighfar yang boleh aku buat untuk hapuskan dosa tu.

Aku dan dia, kami pernah hidup macam suami dan isteri. Mengucup dahinya setiap pagi bila dia ke kelas, dan mengucup bibirnya sewaktu aku pulang dari kerja. Dan tidak dikira bagaimana setiap malam kami menikmati kehidupan dunia yang mengasyikkan.

Tiada manusia yang menerima aku seadanya setakat ini. Kecuali, ya..Amir..
Bayangkan, saat tinggal serumah, aku akan berkejar pulang, kerana ada satu perasaan berbunga-bunga untuk pulang. Sejak itu, aku terlampau sayangkan dia. Walaupun aku tahu, dia tidaklah berperasaan begitu pada aku, kerana dia adalah seorang pansexual. Atau kata mudah, dia sebenarnya straight, aku yang sengetkan dia. Dia mudah menyintai kerana sexual. Yang pasti, dia bukan lesbian.

Waktu aku bercinta dengan Amir dalam lima bulan, Amir pernah mencemburui dia. Tetapi, waktu tu cinta aku pada Amir tidaklah dalam.

Aku sedar, aku amat menyintai dia, Deanna.

Hingga aku sedar, aku tidak akan berjaya melepaskan diri dari perasaan aku pada dia. Bila-bila masa andai dia datang pada aku, aku tak pernah dapat menolak untuk tidak memuaskan nafsu kami. Kerana cinta aku pada dia amat kuat.

Dan, aku tahu, kerana itu juga mempengaruhi sebab aku menerima lamaran dari si kurus. Kerana aku ingat, dengan berkahwin, aku akan dapat melupakan cinta haram ku ini. Ternyata, ujian tuhan pada aku, bukan tamatnya disitu.

Sekarang ni, satu demi satu kawan-kawan yang menjadi rakan ke sinema dan tempat mengadu, menghilang. Sya memutuskan hubungan dengan aku, kerana sikap baran ku. Rakan rapatku Hazim, yang juga seorang lelaki gay, telah ku putuskan hubungan atas beberapa sebab.

Jadi, bila sunyi, aku akan cari Deanna.

Aku tak tahu, sampai bila.

Isnin, 13 Ogos 2012

Aku ini binatang jalang

Aku rasa aku nak tukar sajak ini.

Aku ini seorang musibat, siang kata taubat malam buat maksiat
Aku ini seorang musibat, sekejap kata mahu taat sekejap tahu saja apa perlu dibuat
Aku ini seorang musibat, mengadu pada tuhan setengah saat, derhaka pula beribu saat
Aku ini seorang musibat, orang pandang baik, tapi sebenar tabiat macam taik

Tamat.

Aku ini seorang musibat ya allah..
Bilakah aku akan dapat menyekat nafsu haramku, ya Allah.
Bilakah aku akan kenal istiqamah, ya Allah Bukan tidak pernah aku meninggalkan mu dan menjahanamkan iman, ya Allah Aku ini musibat ya Allah..
Layakkah aku meminta agar aku mati dalam keadaan aku rindu padamu?
Sedang nafsu yang bergelumang didalam hati aku ni tak pernah mengalah bila diminta.
AKu tak pernah menolak bila dipinta, kerana aku takut dia terluka, si musibat ini lupa akan sedang pada Mu dia derhaka.

Ya Allah. Apa yang harus aku kata pada dia. Pada dia ada nikmat yang senantiasa bergolak pada aku. Dan dia tak pernah faham...sebab bukan tuigas dia untuk faham. Ramadhan ini aku berani derhaka, apatah lagi waktu saat syaitan mula mengambil tempat.

Apa yang perlu aku buat Ya Allah.
Apa yang perlu aku buat Ya Allah.
Apa yang perlu aku buat Ya Allah.

Kalau orang berzina boleh berkahwin. Aku, zina sejuta kali dengan dia pun takkan jadi halal. Mungkin harus pergi tukar jantina..ya itu jadi bodoh lagi sejuta kali. Tolonglah aku Ya Allah, si musibat ni kadangkala jadi amat bodoh dan bangang.

Jumaat, 10 Ogos 2012

Syukur atas segala



Rakan dah ada yang bertanya tentang aku dan Zaid, begitu juga dengan seorang dari ahli keluargaku. Dan haritu, aku rasa bersalah juga kerana menipu pada Pa, tentang aku keluar dengan Zaid. Ada alasan aku untuk tidak berkata benar. Memang sejak aku menjadi bujang, aku sudah jarang keluar dengan kawan-kawan lelaki. Pa dan Ma tahu selalunya dengan siapa aku ke sinema atau kemana-mana. Dan aku akan sebut dengan siapa aku keluar. Tapi nak menyebut nama Zaid pada Pa. Buat aku berfikir 20 kali. Pa akan menyangka aku dan Zaid serius.

Sedangkan aku sebenarnya tidak berfikir pun untuk serius dengan sesiapa buat masa ini. Hidup aku dah selesa, alhamdulillah.

Sepanjang hidup aku, hampir semua doaku Allah makbulkan. Kenapa nak dipertikaikan doa yang satu itu, andai bukan itu yang tuhan takdir buat aku. Banyak nikmat yang tuhan dah kurniakan buat aku. Terutamanya keluarga. Ramai sahabatku yang tidak rapat dengan keluarga, hingga dengan adik beradik pun tak mesra. Aku syukur amat sangat, aku punya adik beradik yang tidaklah ramai, tetapi mereka amat menyayangi aku. Ucu, mengetahui hampir semua selok belok hidup aku, tetapi tidak pernah menghakimi aku, malah amat menyayangi aku hingga kadangkala dicemburui oleh teman hidupnya kini. Ucu, yang pernah berceramah pada abang iparnya (kini bekas) hingga merah telinga sikurus. Masih teringat aku, di mahkahmah ..sekeluarga datang denganku. Tapi dia sendirian.

Ya Karim, cuma aku pinta satu. Hujung hidup aku, kau ambillah aku, disaat aku amat merindui ingin menemuiMu, dan kau redha dengan ku.Amin ya rabbal alamin.

Rabu, 8 Ogos 2012

Pagi ini..

Pagi ni, aku sebak waktu membaca quran. Ma diluar bilik, Pa juga menonton tv. Entah apa yang mereka fikirkan saat mendengar bacaanku berbaur tangisan.

Mungkin mereka sangka aku masih berduka dengan kegagalan perkahwinanku.

Tidak, duka tentang itu telah tidak wujud bagi aku, tiada apa yang perlu aku tangiskan untuk itu.

Tangisku, kerana semalam aku hampir tewas. Aku kembali berforum di komuniti bdsm. Aku malah mengajak Deanna bercuti.

Ujian inilah yang paling payah bagi aku. Entah kenapa nafsu tidak pernah berkurang. Dan aku tidak tahu mahu bercerita dengan siapa.

Doa ku pada tuhan, aku tidak kisah kalau disyurga tiada bidadari atau pasangan sejati ku, aku mahu mati dalam keadaan aku tidak derhaka padaNya.

Aidid, rakan bdsm ku yang masih online dan kadangkala jadai mangsa tempat pengaduan cuba untuk faham mengapa aku seharusnya tidak mengajak Deanna kerumah, dia juga cuba untuk faham kenapa aku ingin berhenti dari terlibat dalam bdsm. Sekurang-kurangnya dia Islam, solat dan tahu hukum, walau dia tidak senegara dan sebangsa denganku. Tapi aku tahu, dia tidak dapat berbuat apa-apa, dan aku tidak boleh terlebih mengadu dengan dia, kerana dia juga pernah beberapa kali mengajak aku untuk session. Lelaki, apa lagi yang dicita kalau dah ada yang bagai menjemput?

Aku tak mahu bermukah dengan perempuan atau lelaki, aku tak mahu serahkan seinci pun tubuhku pada bukan yang halal.Tolonglah bertahan, tolonglah. Kalau aku kembali pada Deanna, mengucup bibirnya yang mungkin berakohol dan saling melunaskan, walau aku sedar dia bukan milik aku bermaksud segalanya sia-sia.

Apatah lagi andai aku mula ...

kadang-kadang, aku nak luah pada Zaid, cepatlah nikahi aku, walau aku tak menyintai dia dan aku tahu dia pun belum sebenarnya menyintai aku dan dia juga belum lagi dapat membuktikan pada kedua ibu bapaku yang dia mampu menjadi suami. Dia masih belum mempunyai pekerjaan. Dan apa motifnya aku mengajak dia, sedang aku belum tahu samaada aku bersedia menjadi seorang isteri. Aku cuma mahukan teman yang faham aku.

Aku tahu hanya lelaki dominan yang menyayangi sepenuhnya yang akan dapat melupakan aku sepenuhnya pada bdsm dan juga perempuan. Zaid tiada itu.

Dan entahlah, beberapa hari lepas, aku mimpi, sekali lagi aku dinikahi lelaki yang tiada keinginan pada aku.

Aku sebenarnya bukan terlalu menginginkan perkahwinan, aku inginkan sesuatu yang boleh menghentikan aku dari ujian seksualiti ini.

ps: baru terima link dari seorang sahabat...istighfarlah penawarnya.

Isnin, 6 Ogos 2012

Rindu yang menggila, selalu.

Bagaimana andai kau ditakdirkan jatuh cinta? Amat sangat. Kau dan dia amat intim. Dan dia paling menerima kau seadanya. Dia menerima kau walau kau berbaju atau tidak. Dia menerima kau, walau kau buat apa kesilapan pun.

Tapi, sayang, cinta kau dan dia sering mengundang dosa, malah tidak pernah halal.

Buatlah apa sahaja, bayarlah setinggi mana pun mahar, dia bukan untuk kau.

Sakit. Amat sakit. Dan dia amat bekehendakkan engkau. Dan dia kadangkala tidak mahu fahami, kenapa tidak kau lunaskan keinginan yang juga ada pada kau. Malah menggila.

Kau pernah rindu hingga mengalir air mata? Ya, kadangkala aku jadi cengeng. Selalu.

Aku tahu, hanya satu ubatnya. Isilah hati dengan cinta pada Illahi. Saat itu tiada cinta yang tertanding. Tapi, ianya juga bukan mudah. Tiada siapa pernah berkata cinta menuju Allah itu mudah.

Kadang-kadang, aku harap andai aku ditakdir tak punya hati dan nafsu. Tapi, aku manusia. Kadangkala hati memberontak..ahh..langgar sahaja segala batasan persetankan segala hukum. Jadi perjuangan aku selama ini sia-sia? Kalah? Tewas?

Sabtu, 4 Ogos 2012

Abang Lan

Pagi ni aku nampak kelibat Abang Lan didalam kereta, aku lihat dia termenung lagi. Aku nak hon, tapi tak sempat pula. Ah, kenapalah aku tak cam kereta abang Lan yang di parkir didepan rumahnya.

Abang Lan, jirang kuyang rumahnya bertentang dengan padang taman kami. Aku taklah rapat dengan dia, tapi Abang Lan seorang lelaki yang agak lembut, jadi aku punya gayradar ni memang tinggi antenanya. Maksudnya aku suka perhati mereka. Maaf, tiada judgement disini, cuma aku sekadar tertanya-tanya, bagaimana kehidupan mereka.

Dua tahun lepas, ibu abang lan meninggal. Setelah berapa lama terbaring dikatil akibat stroke. Abang Lan yang menjaga semua keperluan ibunya. Mereka dah lama sekadar tinggal berdua.

Satu yang aku suka. Abang Lan, andai terserempak dengan aku, dimana saja, dia pasti akan menegur. Walaupun pernah aku hampir cam tak berapa cam abang lan ni.

Aku agak umur Abang Lan dah mencecah 40 tahun.

Sejak ibu abang Lan meninggal, dah jarang aku terserempak dengan Abang Lan, walaupun sejujurnya, aku memang selalu memerhati rumahnya setiap kali aku lalu pulang dari tempat kerja. Setiap kali nampak abang lan, aku cuma menegur. Tapi kadang-kadang aku hanya pandang. Teringin nak hon, bila beberapa kali, aku lihat Abang Lan duduk ditepi padang merenung ke tengah padang tu. Tapi nanti, apa pula kata dia, dahla aku ni perempuan.

Abang Lan semakin kurus. Cengkung. Dalam hatiku tertanya-tanya, sakitkah? Adakah...harapnya, Abang Lan tidak diuji dengan ujian itu.

Hati aku sering tertanya..bagaimana kehidupan Abang Lan...seolah aku rasa sepi yang Abang Lan rasa.

Khamis, 2 Ogos 2012

Awak Muslimkah?



Aku selesai membaca "Di Hamparan Shamrock" tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Entah beberapa kali tulisan ustaz moden ini mengundang tangis aku.

Betapa buruknya aku sebagai orang Islam, tetapi tidak berjaya mempunyai pekerti Muslim. Itu belum masuk bab aku tidak pernah dapat memperbaiki diri, malah memusnahkan pula kepercayaan orang lain terhadap aku.

Hina dan sungguh banyak kesilapan aku.

Aku mengikuti tulisan-tulisan Ustaz Hasrizal lama dulu. Dulu dia banyak mengungkap tentang cinta, yang membuat aku berangan-angan untuk menjadi suri buat suami yang soleh. Dia juga pernah berani mengungkap kisah Cinta Songsang Semakin Songsang. Namun kini aku memang tak pandang kisah-kisah suami soleh isteri solehah..cinta kesyurga la bla..bla sebagainya.

Tapi buku ini adalah tentang perjuangan beliau menamatkan pengajiannya yang tertangguh selama tiga tahun, ujian bukan alang-alang. Seorang ustaz masuk penjara, bukanlah perkara yang selalu didengar, melainkan tahanan ISA atau Al-Maunah.

"Manusia yang tidak berani mati untuk sesuatu, tidak layak untuk apa-apa". "Apa yang kau perjuangkan, wahai manusia bernama MUSLIM?"

Bait kata-kata ini membuat aku mengais teresak-esak. Dari dulu aku ingin berjuang, di kampus aku pernah terperangkap dengan politik kampus, hampir bawa musibah, dan kemudian aku mencuba lagi, namun nasib tidak membawa aku kemana. Dan aku akhirnya berjuang sendirian dalam kehinaan.

Tak mengapa, banyak lagi yang perlu aku perbaiki dalam diri aku. Antaranya beban ujian seksualiti. Disini aku menulis berbagai-bagai, tapi dimedan lain aku menulis yang mengundang fitnah.

Rabu, 1 Ogos 2012

Amarah yang merugikan

Antara kelemahan aku ialah, aku seorang yang..apabila marah, aku tidak mudah mengawal marah aku. Walaupun ia jarang berlaku, tetapi kebanyakan persahabatanku terlerai adalah kerana sifat amarahku. Percaya atau tidak, di suatu kursus sewaktu aku berusia 17 tahun, kerusi didepan ku pernah melayang dan hampir mengenai seorang fasi, semata kerana amarah.





Tetapi dua hari lepas, ianya terjadi lagi.

Kaliini mangsanya ialah Ina (nama ini terpaksa kutukar beberapa kali didalam blog ini)

Lina telah kembali ke partnernya, dan tindakan aku selama ni cuba untuk menjadi sahabat yang baik mendengar masalahnya dan kesedihannya apabila ditinggalkan oleh ex nya seolah mencurah di daun keladi. Silap aku, orang ikhlas tidak akan peduli tentang itu. Waktu tu amarahku memuncak apabila mendapat tahu seorang rakan kami yang aku kenal juga menjadi amat sedih dengan tindaka Lina. Aku pernah menasihati/ memberi amaran kepada Lina supaya tidak memberi harapan kepada kawan kami ini, kelak kawan ini akan kecewa, kerana kawan ini baru sahaja mengenal dunia senget.

Akhirnya aku yang pada mulanya hanya berkias perkara ini didalam twitter, telah menjadikan twitter medan perang kami. Semua rakan senget terasa dengan tindakan aku. Dan aku juga mengumpul musuh akhirnya.

Dua hari aku off twitter. Dan kemudian menyah aktifkan akaun sisi gelapku di mukabuku.

Tindakan aku nak memberi pengajaran kepada Lina tidak berhasil, malah aku memusnahkan diri aku sendiri.

Aku sebenarnya seorang yang amat lembut hati, kerana itu juga aku sering merasakan aku sering ditindas oleh rakan yang aku percaya. Aku selalu lupa yang aku harus bertegas. Supaya kelak aku tidak merasa apa-apa terbeban dibahu aku.

Ex Lina, mula mengancam dan menghina aku di Twitter. Hmmm, mengapakah aku mudah lupa. Lupa tentang sisi hodoh golongan ini. Mereka terlalu possesive. Akhirnya, aku sekadar memangsakan diri.

Buat kali keduanya didalam hidup aku, aku terpaksa mengenepikan rasa risau terhadap ancaman golongan perempuan maskulin ini.

Hai..bila agaknya aku ni nak matang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...