Halaman

Khamis, 28 Mac 2013

Kenapa aku disini?

Ada seorang rakan bertanya aku, kenapa aku masih aktif dengan akaun MG DA didalam facebook dan aku juga masih berjumpa dan bergaul dengan rakan-rakan sengetians. Sedangkan kebiasaannya mereka yang nak berubah akan terus meninggalkan perkara ini dan terus tidak berhubungan.

Jujur aku katakan aku pernah beberapa kali begitu. Senyap malah pernah beberapa kali meng nyah aktifkan akaun MG DA.

Cuma kali ini, aku bertekad untuk terus hidup dengan identiti MG DA. Walau dah banyak benda berlaku pada batang tubuh MG DA ini, andai dia seorang manusia.

Pertama sekali, aku tidak mahu berjuang sendirian. Ramai rakan yang berkali-kali, lepas break up..ayat ayat dia macamni..

"You, I nak jadi straight, i tak nak cari girl lagi"
"Tolong, carikan saya lelaki, saya taknak dah dengan pengkid, taknak dah dengan andro, semua penipu"

Berpuluh kali aku dengar, Dan lepas tu, aku dipaksa melihat kebahagiaan kalian bersama kekasih berjantina perempuan juga.

Maafkan aku, andai ayat ini ayat kalian, samada kalian pembaca senyap ataupun sebaliknya.

Aku tak pernah kata aku kuat. Aku sebenarnya meminjam kekuatan dari ramai orang yang Allah temukan pada aku, apabila aku bertekad untuk berhenti. Tapi aku ingin berdiri disini sebagai MG DA yang dulunya berzina dengan wanita, yang dulunya mengamalkan bdsm. Malu? Malu dengan dosa ya. Jauh sekali nak rasa bangga. Tapi aku tidak mahu menjadi hipokrit yang menidakkan segalanya.

Aku tidak pernah berniat menjadi lurus. Tidak pernah mahu lupa yang aku pernah mencintai dan hingga kini aku masih bernafsu dengan perempuan. Kau boleh letak lelaki disebelah katil aku..mungkin lambat sikit aku nak fikir apa-apa. Tapi andai kau letak perempuan disebelah aku, belum sempat perempuan tu mendarat di katil, jantung aku dah berdebar-debar, otak aku dah jauh melayang.

Diulang, aku tidak pernah berniat menjadi straight!

Aku cuma mahu menjadi hamba Allah, yang Allah redha. Kalau aku berniat menjadi straight, boleh saja, aku mencuba berzina dengan lelaki, peluang ada dimana-mana, sama sahaja.

I am equality believer.

Kepercayaan semua manusia mempunyai hak yang sama untuk hidup dan dihormati. Tidak pernah aku setuju dengan penentangan masyarakat terhadap kehadiran golongan LGBT. Tidak pernah aku bersetuju dengan mana-mana diskriminasi dan prejudis. Baik perkauman, baik diskriminasi kepada ODHA (Orang yang hidup dengan hiv dan aids), baik diskriminasi terhadap jantina, kasta hidup.

Aku percaya, kau pak imam kah, kau gay kah, kau transgender kah, kau hiv kah, semua...semuanya manusia, darah kita sama, hati kita sama.

Ketidak setujuan aku cuma pada pengiktirafan hak pada yang salah. Hak untuk disamakan hak suami isteri yang diakad, dengan kekasih sejantina, maaf. Itu tidak akan pernah sekali aku setuju. Malah aku akan menjadi penentang yang paling gigih dan kuat untuk itu.

Walau sejuta kali kau bersenggama bersama kekasih, tetap termaktub, hak suami isteri itu untuk lelaki dan wanita yang diakadkan.

Namun, setiap penindasan dan kezaliman yang berlaku keatas sesiapa, tidak akan aku redha.

Bukan aku seorang yang sempurna dalam perjuangan ini. Namun, aku akan tetap berdiri disini, Dengan setiap ruang kemampuan yang aku ada.

Kerana itu juga group jalan pulang, aku buka kepada semua PLU, tanpa mengira jantina. Walaupun aku akui, sasaran kumpulan ini lebih tertumpu pada perempuan, namun, kisah kita, perjuangan kita sama. Menuju jalan yang Allah redha, dengan ujian seksualiti ini.


PS: Maafkan aku buat semua kawan-kawan dan pembaca yang straight tentang entri  aku yang bertajuk si penghakim dan siprejudis. Itu adalah respond aku secara spontan apabila situasi begitu berlaku. Sepuluh jari aku pohon, maafkan aku, maafkan aku. Aku akui, tulisan aku saat itu dengan emosi marah yang masih berbaki.

Isnin, 25 Mac 2013

Andai lelaki..

Ada orang tanya ..aku bila lagi akan menikah?

Senang cakap, tiada orang nak pada aku. Tiada orang sanggup bertaruh apa sahaja untuk menjadikan aku halal bagi dia.

Aku ni tak berbaloi.

Dan sungguh aku bahagia dengan hidup aku sekarang. Kalau nak cari nahas..aku boleh saja jawab, apa perlunya aku berkahwin? Kalau orang yang sinis bertanya tentang nafsu batin dan zuriat.

Bagi aku perkahwinan bukan itu sahaja. Kalau fikir nafsu, aku cukup dengan perempuan. Kalau aku nak yang haram andai dengan lelaki, ada saja yang sanggup bersedia.

Tapi aku dah tolah yang haram dan akan sentiasa berjuang untuk itu.

Zuriat?

Cukuplah anak2 saudara yang ramai.

Bukan aku tak mahu semua yang halal dan zuriat yang menjadi penawar.

Tapi. Pertama sekali, aku tak rasa aku layak menjadi seorang isteri.

Benar aku boleh jadi taat. Namun aku tidak lah tabah untuk melalui perkahwinan kali kedua andai ia lebih buruk dari yang pernah aku lalui.

Bolehkah aku diterima?
Bolehkah lelaki itu menjadi lelaki?
Dalam masa yang sama menerima aku sebagai perempuan yang tak cukup sifat.

Kalau ingin aku menjadi wanita, sila jadi lelaki. Yang dominan. Yang memegang stereng kereta. Yang mampu melindungi aku. Yang mampu kawal aku. Yang mampu pegang aku.

Kalau ingin aku yang memegang stereng, yang mengawal semua, memegang hidup. Sila mampu layan ego aku. Sila mampu layan sikap dominan aku.

Aku tahu hukum. Tapi sila tolong aku.

Untuk jadi lelaki pada aku, mudah. Bukan dengan wang. Tapi sekurangnya makan minum tanggungla beb. Aku bukan wanita yang makeup dan dressup bagai. Aku tak pakai barang kemas, aku tak pakai pakaian2 mahal.

Kau harus tahu, aku amat selesa dengan tshirt dan jeans saja diluar. Dalam rumah tak perlu risau. Aku tak suka pakai apa pun.

Hanya lelaki dominan yang buat aku menjadi wanita. Yang buat aku jatuh kasih.

Dan jangan panggil aku gila bila kenal sisi gelap aku. Aku cuma dapat menjalankan hubungan batin dengan gembira bila lelaki dominan itu sanggup kenal sisi ku dalam hidup coklat.

Selain dari itu..tidak dominan..tidak bdsm..tidak terima aku..sila menjauh.

Biar aku tenggelam dalam perjuangan sendiri.

Mungkin akan ada perempuan yang mahu menjadi teman hidup aku tanpa meminta yang haram. Peduli apa dengan dunia.

Ps: ciri2 lelaki idaman...pandai masak, pandai ajar mengaji dan boleh tanggung aku cukup zahir dan batin. Serta terima aku seadanya.

Susah sangat kan.

Khamis, 21 Mac 2013

Sipenghakim dan si prejudis.

Dengan ini aku terpaksa berhati-hati. Amat berhati-hati meng approve sesiapa yang add dalam fb aku. Aku sedar ada juga pembaca ku yang lurus.

Aku juga amat tidak mahu andai ada pembaca yang lurus ini kemudiannya mencetus perasaan tidak senang pada rakan plu aku.

Ada antara kami yang terus membenci golongan lurus..sebab perkara inilah. Banyak sangat yang menghakimi.

Aku..walaupun setakat ni aku dah tidak lagi berhubungan seks dengan perempuan..sampai bila bila pun aku takkan boleh kata aku lurus..straight. kami diuji demikian..kami boleh kawal..boleh bendung dan boleh beralih arah..mungkin. Tapi..naluri itu tuhan datangkan pakej.

Moga keturunan anda tiada yang demikian.

Jangan hakimi..sampai ada antara kami yang berdendam. Dan mendoakan. Aku mungkin tidak.

Jadi pada pembaca yang lurus, maafkan aku. Aku tidak akan add lagi sesiapa di fb.

Walaupun mungkin mereka bukan pembaca blog aku (yeah sepatutnya pembaca blog yang mahu aku approve fb sepatutnya faham), tapi perkara begini amat harus dielakkan.

Aku senget..aku plu dan rakan2ku ada yang pengkid..ftm..gay..whatever lable that you put. Mereka akan tersinggung.

Dan.

aku pun terasalah bangang!

Rabu, 20 Mac 2013

Pengorbanan yang paling mahal didalam dunia..

“Wahai bapa saudaraku, andai matahari diletakkan diletakkan di tangan kiriku dan bulan di tangan kananku, agar aku menghentikan seruan ini, aku tidak akan menghentikannya sehingga agama Allah ini meluas ke segala penjuru atau aku binasa kerananya”

Itulah kata-kata Rasulullah yang membuatkan aku hampir menitis air mata pagi tadi sewaktu terdengar slot bahasa arab di radio Ikim.

Kalau baca sirah, akan terbaca sirah yang menceritakan bagaimana Zainab, puteri Rasulullah, yang hampir setiap hari mencari ayahnya yang keluar dari rumah pagi-pagi, diwaktu petang. Dan banyak waktu dia hanya akan menemui ayahnya terbaring entah di pokok mana, kerana keletihan, dalam keadaan baju yang kotor, berdarah, luka dimana-mana, dan tidak kurang juga seringkala pasir, ludah dan pelbagai lagi kotoran ada ditubuh nabi.

Selama 13 tahun. Bukan sehari dua. Itulah yang Zainab hadapi, itulah zaman kanak-kanak Zainab.

Siapa nabi?

Manusia. Nabi, bukan tidak punya nafsu, bukan tidak punya marah, bukan tidak punya rasa sedih.

Tapi Nabi tahu dia hamba Allah. Dia ditakdirkan menjadi hamba Allah, pesuruh Allah. Pernah kah sekali rasulullah marah pada takdirnya?

Benar, nabi maksum.

Tapi, Rasulullah juga, pernah marah, hingga kemerahan wajahnya apabila hak Allah dilanggar, Rasulullah juga pernah bersedih saat kewafatan Siti Khadijah, Rasulullah juga merasa sakitnya sakaratul maut, dan saat itu diminta semua kesakitan itu ditimpakan pada nya bukan pada umatnya.

Siapa aku untuk menulis tentang ini.

Namun, aku sekadar meluahkan rasa kagum aku pada seorang manusia ini yang bernama Muhammad. Yang amat agung. Manusia terulung.

Siapa kita nak memarahi ujian yang ditimpakan?
Siapa kita nak mengamuk bila terluka kerana cinta?
Siapa kita nak membenci sewaktu hati disakiti?
Siapa kita nak membenci tuhan kerana kita dilahirkan menyintai kaum sejenis?
Siapa kita nak menentang, apabila kita tidak boleh bersama manusia yang kita cinta?

Paling penting, siapa kita, nak mempersoalkan hukum Allah yang telah termaktub jelas didalam al-quran? Siapa? Siapa kita nak menentang ajaran rasul?

Nabi sayang umatnya kerana Allah. Apa apa dalam dunia ni, untuk kita dapat, perlukan pengorbanan. Dan didalam dunia ini, yang paling mahal sekali, adalah Agama.




Sedikit Kisah Zainab. Dan Rasulullah.

Isnin, 18 Mac 2013

Andai kau tahu

Kadangkala aku terfikir. Apakah benar apa yang aku lakukan? Dalam pada aku menentang diri aku, aku jua kadangkala ditentang dan diasak dari luar dan dalam. Deanna masih belum berpuas hati dengan penerangan aku. Dan keputusan aku. Teman-teman membenci aku malah kadangkala meninggal dan menjauhi aku.

Aku tetap aku. Kawan yang kalian kenal. Yang suka berbual bila kena topik dan nakal bila kena waktu.

Kadangkala rasa terbuang. Kadangkala rasa dibenci malah dimusuhi.

Aku bukan kebal. Ada waktu aku juga rapuh.

Memang setiap waktu aku rapuh. Cuma tuhan beri aku keajaiban untuk terus berdiri.

Kau tahu, aku sedang berfikir apa alasan yang harus kuberi pada Deanna, untuk tidak bersamanya. Dan aku tidak tahu menipu pada dia.

Jawapanya sebenarnya satu. Allah haramkan melunaskan nafsu pada pasangan yang belum berkahwin. Lalu dia akan menempelak, bagaimana kalau memang tiada penetrasi, masih haram? Kejamnya tuhan awak menafikan hak orang bujang melepaskan nafsu walaupun tiada penetrasi.

Jawapan cuma satu. Allah haramkan, kerana kita hambanya, dan dunia cuma ujian. Untuk dapat redha dan syurga illahi.

Syurga itu benar?

Aduh pastinya perbincangan akan menuji pada pengetahuan tauhid ku.

Aku bukanlah seorang yang cekap memberi penerangan.

"Its not easy to put my thought in words"

Itu kataku pada Deanna.

"Its ok, no need to explain for me today, later."

Dan aku tahu, aku harus bersedia dan memikirkan cara terbaik untuk menerangkan perkara ini.

Mungkin ini medan perjuangan aku. Aku harus cari keberanian dan keyakinan dalam mengharung ujian ini. Moga tuhan permudahkan aku merangkan.

Sabtu, 9 Mac 2013

Buat seorang kekasih..



Assalamualikum, awak apa khabar?

Saya tak tahu samada awak akan baca tulisan saya ke tidak. Dan saya tidak tahu samada apa yang saya fikirkan ini akan pernah sampai pada awak.

Pada tuhan, saya berserah tentang awak.

Awak adalah orang yang baik pada saya dahulu, yang pernah saya sayang. Yang pernah buat saya menangis, dan orang yang pernah membalas kasih saya, sejujurnya dan tanpa selindung.

Awak, benar saya tinggalkan awak, demi sesuatu yang Allah takdirkan. Berat bebanan jiwa saya, bila mengetahui awak semakin jauh. Tidak perlu tahu dari mana saya mengetahui berita ini.

Saya adalah seorang yang pelupa.

Saya mudah melupakan semua orang yang pernah menyayangi saya, pernah mengembirakan saya, atau pernah berduka kerana saya. Lebih lagi andai ianya seorang lelaki.

Tuhan takdirkan saya tidaklah begitu teruja dengan seorang lelaki.Walau secara jujurnya, saya punya beberapa lelaki yang saya kagumi.

Saya tidak pernah peduli pada para kekasih yang sudah tenggelam dengan dunia mereka, kerana saya sering merasa saya tiada apa untuk membuat mereka berhenti dari dunia yang mereka cipta.

Tapi, awak..

Awal pagi tadi, baru saya sedar, saya masih menyayangi awak.

Awak, saya faham, ujian yang awak tanggung amat berat. Kerana ujian itu, saya pernah membuang awak. Ya, saat saya jahil dulu. Saya tidak mahu mengatakan ianya satu kesilapan, kerana takdir tuhan pada saya adalah sebaik-baik kejadian.

Awak, betapa bencinya, saya memikirkan andai awak berputus asa kerana ujian itu, lalu awak bertindak menikmati kehidupan sebolehnya, walau...ia bermakna jauh dari yang Esa, walau ia bermakna berlingkar dengan noda.

Siapa saya untuk berkata demikian.

Awak dan saya dari dunia yang sama.

Ditakdir, untuk dilahirkan dengan pakej ini. Diuji dengan ujian ini.

Saya ingat awak kuat, tapi saya lupa, saya meninggalkan seorang kawan yang pernah merayu dikaki saya. Seorang kekasih yang pernah berkorban banyak perkara untuk saya, dan demi nafsu yang bukan dari satu pihak.

Tidak mahu saya memikirkan, yang saya mungkin orang yang bertanggungjawab merubah siapa awak sekarang.

Awak, berhentilah.

Kita hidup tidak lama. Berapa banyak lagi kerosakan yang ini kita lakukan. Dulu, awak terlalu menyayangi saya..hingga awak terlalu jujur.

Saya, sedang cuba melupakan semua perasaan cinta pada manusia.

Ujian ini bukan segalanya, rasa bertuhan itulah sesuatu dan segalanya.
Haruskah saya mencari awak kembali? Adakah awak perlukan saya? Ah, cuma Yang Khaliq menentukan segalanya, dan Yang Khaliq jua sebaik-baik pelindung.

Wasalam.

Tuhan, dia..tidak tahu..
Tuhan, dia cuma kalah dengan rasa tewas,
Tuhan, berilah hidayah pada kami,
Tuhan, berilah pengakhiran yang baik untuk kami,
Tuhan, dia keseorangan menghadapi ujian ini..
Tuhan, lindungilah dan datangkan bantuan..buat sahabat ini..
Amin. Amin..yarabbal alamin.

Khamis, 7 Mac 2013

Bukan Ubat kuat tongkat Ali


harini ini tiada kata-kata. Kata orang, kenapa berhenti berharap? Aku cuma berhenti berharap pada dunia, kerena telah terlalu banyak nikmat yang aku kecapi, andai apa yang bukan aku miliki, itulah yang bukan rezki dan hak aku. aku cuma ingin 'pergi' dalam redha dan tidak sebagai penderhaka. Jika ujian datang dan aku yakin hidup ini sekadar mengurus ujian...kuserah segalanya pada yang Esa. Dan aku yakin dia pemberi jalan penyelesaian.

Ada orang bertanya, bagaimana aku sekuat ini. Tidak kawan, aku tidak lah sekuat apa. Dan aku yakin ujian kalian lebih dasyat lagi. Aku ini sekadar melepaskan satu persatu, dan itu pun masih bersisa.

Bila tekad nak berubah dan nak berhentikan semuanya kerana Allah, bantuan Allah pasti datang tanpa disangka-sangka. Aku pernah menyangka dengan perkahwinan aku akan selamat dan berubah. Rupanya tidak. Benar kata Deanna dulu..

"If God cannot stop you, how a husband can stop you?"

Sebelum berkahwin, aku pernah berkali berhenti, doa dengan sangat pada tuhan, dan memang Allah bantu dengan pelbagai kejadian. Tapi kemudiannya Allah juga akan datangkan ujian yang makin besar, dan semuanya itu untuk mengajar aku lebih kuat, kerana Allah maha Penyayang.

Selepas gagalnya perkahwinan itu, aku masih juga 'bersama' dengan Deanna, namun rasa bersalah dah amat tinggi. Mungkin proses perceraian dulu buat aku semakin kuat dengan Allah, solat malam selalu, kerana perkahwinan itu terlalu dasyat buat mental aku. Merayu dan merintih disejadah itu menjadi amalan, tabiat manusia, bila buntu dan sukar dia akan mencari Allah, bila senang..dia mencari yang lagha.

Dan selepas perceraian itu, aku mula tenang, dan waktu itu dah bertekad, itulah sebesar-besar pengajaran Allah, perkahwinan tidak akan menghentikan aku, malah apa-pun tidak akan menghentikan segala onar dan penderhakaan yang aku buat.

Hanya dengan rasa bertuhan.

Ya, hanya dengan rasa itu yang akan menghentikan aku. Dan bila hati mula berniat berubah kerana Allah. Allah temukan dengan orang-orang yang membantu.

Pertemuan aku dengan sahabat blogger yang hebat, membuatkan aku tekad. Aku diberi nikmat kesihatan dan umur, sampai bila lagi akan aku bazirkan dengan dosa yang meresahkan diri?

Syawal 2012, aku berterus terang, dengan Deanna, dimana beberapa hari sebelum tu, kami masih bermukah sesuka hati, dan setiap kali ia berlaku, aku makin resah, aku makin derita, walau selepas nikmat dunia yang beberapa jam itu. Dan tuhan bagi kekuatan pada aku, untuk berterus terang menyatakan pendirian aku pada Deanna, bukan mudah, kerana dia pengikut Katholik, dia mempersoalkan semua asbab yang aku nyatakan.

Satu demi satu. Aku leraikan.

Dan semuanya, Allah bantu. Malah semuanya..Allah gerakkan.

Aku sedar, ujian yang kawan-kawan lalui adalah amat hebat lagi. Namun, aku doakan semuanya akan menemui penghujung yang baik dan Allah redha. Moga kita sentiasa diberi hidayah, amin..yarabbal alamin.

ps: aku selalu rasa nak gelak tengok iklan-iklan ni, dalam masa yang sama, aku simpati..siapa kata mudah menjadi lelaki?



Ahad, 3 Mac 2013

Alif tanpa hamzah, ya tanpa titik.



Kelas tamhid adalah antara yang aku nantikan setiap minggu. Paling utama kerana banyak perkara yang aku pelajari, disebabkan sibuk dan beberapa kekangan, dah agak lama aku tak ikuti mana-mana kuliah.

Ya, manusia ada turun naik nya,kan.

Harini dan semalam, antara huruf yang menarik hati aku, adalah aliff yang tidak berhak dibunyikan tanpa hadirnya hamzah. Dan huruf ya, yang cuma diletakkan titik sekiranya mempunyai tanwin dan untuk memastikan jenisnya samada jantan atau betina, ya, itulah kata ustaz itu.

Simpati aku pada huruf ya, kerana ada waktu dia mempunyai titik dan ada waktu tidak. Bila dia tanpa titik, dia seolah hilang kelakian. Seolah kelihatan togel sahaja. Tapi pernah kah 'ya' memberontak? Tidak sekali, dia tetap melansungkan tugasnya sebagai huruf 'ya'.

Dan aliff, tidak berhak dibunyikan sekiranya tanpa hamzah, dan jika dilihat ada waktu aliff memang tiada hamzah, namun kebanyakan waktu bila dia ada bersama huruf lain, ia akan menjadi mad asli dan harus dibaca dengan dua harkat.

Kalau anda menjadi huruf 'ya' yang kadangkala tidak bertitik, adakah anda akan memberontak kepada tuhan, berang dengan kejadian diri?

Kalau anda menjadi 'aliff' tanpa hamzahnya, sehingga akhir kitab, adakah anda akan terus merasa sepi tanpa hak untuk dibunyikan?

Oh, tidak sekali aku terjebak dengan situasi mengatakan quran itu makhluk.

Bagi aku, huruf-huruf ini unik, seolah metafora kehidupan manusia. Namun mereka tetap huruf yang tertera sebagai kalam Allah.

Kalau hidup umpama aliff tanpa hamzahnya, Allah tetap memberi rezki dan nikmat-nikmat yang lain, kalau huruf 'ya' tanpa titik, anda tetap 'ya' dan ada fungsi juga bunyinya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...