Halaman

Rabu, 30 Oktober 2013

Gay, naluri atau nafsu

Persoalan ini selalu bermain difikiran aku. Aku pernah bertanya dengan seorang imam muda, bersama rakan aku. Kata ustaz tu, ujian seksualiti ini boleh jadi kedua-duanya. Naluri dan nafsu.

Katanya ramai beranggapan ia sekadar nafsu, disebabkan dah pernah mencuba lalu ia menjadi kenikmatan nafsu tersebut. Namun harus diingat, ada yang memang nalurinya sejak kecil dia punya keinginan pada jantina sejenis, sebelum ia mengenali bahawa itu adalah nafsu. Dan mereka ini dilahirkan dengan ujian itu. Tidak semua naluri boleh dihalalkan. Dan itulah perjuangan manusia dalam kehidupan, untuk ikut perintah Allah.

Aku bersetuju dengan pendapat ustaz ini. Teringat mereka yang bernalurikan naluri pedophile,  dimana tempat mereka didunia ini? Dan kalau nak diikut banyak naluri luar tabii yang kalau tidak diurus dengan betul akan lebih memudharatkan.

Atas dasar itu bagi aku, tiada istilah exgay. Memang benar ada istilah I was gay. Iaitu pernah menjadi pengamal aktiviti ini, tetapi kemudiannya cuba untuk berubah. Perubahan yang terbaik adalah kerana agama. Seorang gay, kadangkala memang dilahirkan gay, andai dia berubah dia sekadar mengubah nafsunya.

Tidaklah mudah. Dalam waktu sekarang, aku sekali lagi sedang cuba menerima seorang lelaki dalam hidup aku. Segalanya serba kekok. Tak tahu bagaimana, perlukah bertemu, perlukah berhubung. Aku cuba untuk perhubungan ni jalan yang allah redha secara total. Dalam masa yang sama aku mudah ada perasaan tidak suka, dalam setiap hal. Mudah menyampah, ada semacam satu perasaan mual yang kadangkala datang tanpa diundang bila aku sedar aku sedang berhubung dengan seorang lelaki yang cuba untuk membawa aku berfikir tentang perkahwinan.

Dan paling sedih, kali ini. Lelaki ini tidak kenal sisi gelap aku.

Benar, mungkin dia tidak perlu tahu. Namun, itu menyebabkan dia tidak tahu..apa yang dia hadapi.

Isnin, 28 Oktober 2013

Aku bukan serangga

Awak, ya entry kali ni untuk awak. Yang sering tak lepas membaca blog saya. Awak yang manja. Awak yang comel. Awak yang sering risaukan diri saya.

Awak, awak kata awak minat Dark Angel. Dari dulu awak baca tulisan-tulisan Dark Angel.

Awak, akhir-akhir ni kita makin rapat. Dan saya makin takut. Takut sebab, situasi ini dah banyak kali terjadi pada saya. Saya dah banyak kali lukakan orang.

Dia tetap gadis yang terakhir saya sentuh. Itu janji saya pada tuhan. Selepas dia tidak akan ada lagi. Cukuplah, awak. Saya hidup resah dalam kenikmatan. Saya bahagia dalam raungan iman saya.

Tapi siapa boleh halang tentang hati. Kita tak pernah jumpa. Dan jujurnya saya takut untuk bertemu.

Awak, sebelum awak dah ada yang kecewa. Mungkin kerana keputusan dan janji saya pada tuhan. Tapi hati ni tak pernah pandai, dia tetap mengikut arus. Gembira disayangi, gembira diambil tahu, gembira dengan hawa yang comel.

Awak, jujurnya saya takut. Kelak awak saya lukai, dan awak terpaksa membunuh saya.

Saya dah dibunuh berkali-kali. Tapi saya tetap macamni. Hidup.

Awak kata saya sweet talker. Entah dari mana saya belajar kalau itu betul pun. Awak bukan orang pertama cakap saya macam tu.

Ya. Dark Angel memang jahat.

Tuhan, maafkan aku kerana banyak melukakan. Lindungi dia dimana saja. Tabahkan hati dia bila tiba waktunya. Syukur kerana meminjamkan dia buat aku, mengisi hari-hari lemahku.

Mungkin aku tidak akan menyentuh mana-mana hawa lagi selepas Deanna. Tapi hati?

Aku mungkin bukan serangga. Tapi aku mungkin racun.

Ahad, 27 Oktober 2013

Saya pernah wujud disana..

Sebentar tadi tiba-tiba aku terasa sesuatu, pabila melihat news feed fb seseorang. Orang itu tarikh persandingannya, sama dengan saya, orang itu adalah keluarga belah sana. Kami disanding bersama. Gambar-gambar dia bersama anak perempuan sulungnya, anak yang dikandungnya sewaktu saya dan bekas suami sedang berusaha untuk berpisah.

Bekas adik ipar saya.

Saya faham, apabila telah diakad, sebenarnya tiada istilah bekas, melainkan bekas suami apabila talak dijatuhkan.

Tetapi, bekas suami mengharamkan saya berhubung dengan keluarganya. Keluarganya yang menjadi tempat menumpang kasih, sewaktu dia mula mengajar saya erti kepahitan. Jauh dihati saya, saya rindukan keluarga disana.Sedikit pun saya tidak pernah mengingati dia yang pernah berkongsi kamar dengan saya. Tapi keluarganya, keluarga pinggir desa. Rumahnya, rumah sebuah yang kelilingnya semua saudara-mara, yang kepulangan saya sendirian sering ditanya-tanga asbabnya. Teringat saya, menaiki motor bersama adik ipar, melalui jalan denai sawah.

Saya rindu ibunya, yang tutur lembut. Benar. Hanya 3 bulan. Saya rasa bagai keluarga sendiri.

Melihat gadis kecil berusia setahun lebih itu, hati saya bagai digigit sesuatu. Satu hari nanti bila dia pandai berkata-kata, dia akan bertanya, siapa pengantin yang satu lagi, digambar-gambar perkahwinan mamanya. Dan saya harap mamanya dengan sabar menerangkan. Harap, mamanya memaafkan saya, kerana permulaan detik bahagia dia, adalah satu noktah hitam dalam hidup saya.


Rabu, 23 Oktober 2013

Segugus Harapan Setitis Kasih

Jarang aku tulis mengenai program-program yang aku pergi. Alasannya kerana aku takut identitiku terbongkar. Ya, itu sahaja. Kerana itu juga aku jarang menulis terperinci tentang apa yang aku lalui. Dan itu juga melindungi aku daripada memberitahu kalian tentang kehidupan aku.

Baiklah, mulai entri ini, aku akan catatkan kehidupan aku, dimana MG sekarang. Diruang kehidupan mana dia berada. Yang telah lepas adalah yang lepas, terpulang pada kalian ingin menghakimi.

Pada 18-20 hb, aku mengikuti Program Segugus Harapan dan Setitis Kasih. Kebanyakan peserta adalah bekas penagih dadah, yang kini telah pun dirawat menggunakan kaedah pengambilan methadone. Dalam program ini, terdapat dua ceramah utama. Satu ialah Perspektif Islam dalam menangani HIV yang disampaikan oleh Dato' Dr Faisal sebagai wakil dari JAKIM. JAKIM telah mengeluarkan naskah Manual HIV untuk diedarkan kepada masyarakat dan para agamawan, khusus menyampaikan maklumat yang tepat mengenai HIV dan juga mendedahkan masyarakat tentang tanggungjawab menentang stigma dan prejudis yang sentiasa perlu dihadapi oleh PLHIV. Buku ini boleh didapati di JAKIM yang berpejabat di Putrajaya.


Ceramah kedua adalah dari President PPWM (Pertubuhan Positive Warrior Malaysia) , memperkenalkan Pertubuhan Positive Warrior itu sendiri dan juga menerangkan tentang stigma yang dihadapi oleh insan-insan yang terkesan oleh HIV, cara-cara jangkitan HIV dan perkongsian pengalaman hidup beliau selepas diagnosed. Sharing beliau sebagai PLHIV sendiri banyak membuka mata peserta bahawa HIV ini hanyalah virus yang sebenarnya tidaklah memberi kesan buruk pada kehidupan dengan rawatan betul, tidak seperti yang digembar-gemburkan oleh media sebelum ini.

En. Mohamad bin Wahid, Presiden Pertubuhan Positive Warrior
Slot yang lain adalah outdoor dan juga LDK pada hari terakhir. LDK adalah mengenai plan tindakan yang meminta kami untuk merancang program. Setiap kumpulan diberi golongan sasaran seperti, Sex workers, Gay, Penagih Dadah dan PLHIV.

Kumpulan aku diberi tajuk Sex Workers, satu tajuk yang baik dan aku rasa, lain kali aku kena volunteer untuk present agar aku dapat menyampaikan idea dan pendapat aku lebih baik, tidaklah menyimpan rasa tidak puas hati hingga pulang program. Haha,

Sebenarnya, apa yang aku belajar dari program ini, adalah pendedahan kepada bekas penagih-penagih. Dimana aku lihat mereka mempunyai displin yang tinggi, solat jemaah, hampir semua hadir. Dan mereka juga telah biasa sharing dengan ahli kumpulan tentang pelibatan mereka dengan dadah, jujurnya kebanyakan mereka boleh pergi jauh lebih dari orang lain yang kononnya jauh lebih sempurna akhlaknya. Pengalaman mereka di CCRC ( Cure & Care Rehabilitation Centre ) yang dulunya dikenali sebagai Pusat Serenti. Menyebabkan mereka lebih berdisplin.

Aku pernah mendengar orang berkata penagih dadah tegar ini, harusnya hanya dicampak ke laut sahaja, kerana tiada apa yang menghentikan ketagihan mereka. Dan pendapat ini ternyata salah. Barisan urusetia yang juga bekas penagih dadah memberikan komitmen yang tinggi, dan jika dilihat wajah-wajah peserta, ada yang wajah mereka lebih bersih dari orang yang biasa aku temui. Seorang dua dari mereka memperlihatkan perwatakan pembawaan jemaah tabligh, membuktikan mereka benar-benar berubah.


Terlalu banyak yang berlaku dalam tempoh setahun kehidupan aku setelah aku menyertai Positive Warrior. Setiap pengalaman membuatkan aku lebih menghargai kehidupan.

Khamis, 10 Oktober 2013

Semalam Nirvana harini Maher Zain.

Sejak akhir-akhir ini, banyak perkara menyedarkan aku betapa masa itu sangat penting dan setiap orang tidak pernah tahu berapa lama masa yang diberikan. Dan aku amat mencemburui orang-orang berdakwah yang baru kembali pada Islam, sangat-sangat cemburu pada mereka. Betapa mereka sentiasa berada dijalan kebenaran dan pula membawa manusia kejalan kebenaran.

Kata seorang kawan, mahu atau tidak, kita wajib berubah, apabila telah tahu perkara yang benar dan hati mula menerima kebenaran. Walau sesakit mana pun jalan tu, walau sesusah mana pun halangan. Usaha sampai mati.

Beberapa rakan pernah berkata padaku, jalan aku agak mudah kerana aku memang bertudung. Aku tahu itu satu isu yang berat. Dan permulaan aku memakai tudung dahulu juga bukanlah mudah, cuma, aku bermula agak muda. Kolejku mewajibkan pemakaian tudung, walau tudung sebenarnya bukanlah definisi sebenar menutup aurat. Namun tudung membezakan penampilan. Kawan-kawan ku memang tahu dengan sifatku yang memang setiap bulan menggunting rambut, dari pergi ke kedai mamak, aku ke salon, dan dari salon akhirnya aku mencari rakan-rakan kolej yang pandai menggunting rambut, kerana dah malu menanggalkan tudung didepan amoi tukang gunting rambut.

Bila tidak bertudung di bilik asrama, yang tak biasa melihatku, pernah sahaja menjerit berlari, kerana menyangka ada lelaki masuk di asrama perempuan. Dan tak juga kurang yang terkesima dengan kekacakan aku .(hahahaha, sila muntah). Alah, ini perkara biasalah, macam kau masuk tandas perempuan, tapi kau berkemeja dan berambut mohawk atau spikey, mesti terserempak dengan makcik-makcik yang beristighfar dan gadis-gadis yang membeliakkan mata.

Tapi bila aku menyarungkan tudung, berakhirlah segala drama. Jadilah aku, si perempuan yang tak pandai segala fesyen, selekeh dan serabai. Ingat pakat tudung senang? nak gosoklah, nak kena matching dengan baju la, payah. sangat payah. Sejujurnya, ada juga kawan yang mengatakan pada aku, aku lebih elok tidak bertudung.

Akhirnya terbiasa juga dengan tudung itu, dan perlahan-lahan aku belajar menutup aurat, mana yang boleh. Is not easy, tahun 2008. Aku pernah kembali tidak bertudung kerana merasa terhina, bertudung tetapi bersama dengan teman wanita dan berkumpul dengan rakan-rakan sisi gelapku. Dimana zina adalah permainan kami.

Demi masa, segalanya boleh berputar. Rasa bertuhan boleh hilang dan muncul, kepayahan mematuhi perintah tuhan boleh sembuh dan menjadi nikmat. Iman boleh tumbuh dan hancur. Cinta boleh datang dan pergi. Begitu juga insan boleh pergi dan datang. Sesungguhnya tiada apa yang kekal.

Susah, tapi boleh.

Demi masa, waktu sihat itu tidak selamanya.
Demi masa, duit gaji kadangkala ada 5 hari sahaja.
Demi masa, semalam makan secret recipe harini makan maggi,
Demi masa, semalam pergi Movida harini pergi masjid
Demi masa, dulu dengan kaset Nirvana, sekarang pandai cari cd Maher Zain
Demi masa, semalam pakai tudung labuh, harini boleh pakai short pergi pekan
Demi masa, harini hidup, esok belum tahu lagi, kawan.

Iman turun naik, hidayah boleh ditarik balik,segala ilmu boleh dilupa tidaklah pelik.

Masa tidak pernah menunggu. Jika penghalangnya adalah cinta, korbankan cinta itu untuk ke syurga. Jika penghalangnya nafsu, marilah usaha hingga mati moga nafsu itu menjadi Islam.


Isnin, 7 Oktober 2013

Beberapa hari ini

Selalunya aku tidak bercerita tentang hidup aku, aku akan bercerita tentang apa yang aku fikir. Itu adalah lebih selamat di alam maya. Mudah dan keselamatan aku adalah tanggungjawab aku.

Beberapa waktu dulu, aku pernah terfikir untuk menunjukkan diri aku yang sebenar, dan perlahan-lahan, ianya berlaku tanpa aku sedari apabila aku mula terlibat sebagai sahabat kepada pertubuhan Positive Warriors dan kemudiannya mula berhubung dengan seorang dua kakitangan Jakim, juga kebanyakannya kerana Positive Warriors dan juga PAFI (Pertubuhan Amal Firdausi)

Apabila, muncul sebagai seorang yang orang lain tahu letar belakang aku, aku lebih terasa diterima. Apa sahaja tindakan aku tidak perlu berselindung, dan yang paling penting aku buat, apa yang aku rasa betul. Apabila ada yang mengetahui kewujudan blog ini melalui link FB dan sebagainya, ada kawan meminta aku mengubah blog ini supaya tidak lagi bercerita sebagai MG.

Bagi aku, mudah, aku bermula sebagai MG disini, akhir aku, aku tak pasti, tapi aku yakin, MG ada tanggungjawab tersendiri.

Beberapa harini, aku telah diuji dengan bayangan seolah memberitahu aku, itulah sedikit sebanyak yang perlu aku hadapi seandainya aku mahu muncul sebagai MG, di ruang hidup normal aku.

Mudah sahaja, bagaimana kalau keluarga dan orang sekeliling aku dalam kehidupan sebenar mengetahui identiti aku disini, pertama sekali, yang akan gelak sampai jatuh kerusi adalah bekas suami. Kemudian kawan-kawan sekolah yang selalu berdendam dengan sifat asingku di sekolah dan uni, Kemudian, keluarga.

Bukanlah aku memikirkan pandangan orang, tapi buat masa ini, aku masih punya ibu ayah yang harus dijaga hati dan perasaan, aku juga belum kental untuk dibuang keluarga, yang aku faham ada juga yang amat stigma dengan isu lgbt.

Andai ia berlaku secara tanpa aku jangka atau sedar, aku mohon pada yang esa, supaya aku tabah dan kehidupan aku dapat menyatakan pada yang berkenaan, bahawa masa silam adalah masa silam. Walaupun kadangkala apa yang ada pada aku adalah naluri dan membuatkan aku terbuang kadangkala, aku harap aku tidak akan pernah berputus asa untuk menzahirkan tekad aku dalam hidup ini.

Oh, untuk pengetahuan, aku dan Deanna kini, walau apapun, hanyalah sekadar kawan, yang pernah menjadi teman hidup. Walaupun perasaan kami amat dalam, namun aku sedar dialah perjuangan aku. Perjuangan aku untuk tidak melakukan yang Allah tak redha. Tanggungjawab sebagai kawan, sentiasa aku lunaskan. seminggu dua juga, dia yang kini jiran aku, aku menjaga keretanya, panaskan enjin, tengok rumah, sementara dia berpergian untuk aktiviti kolejnya.

Pernah aku terlalu berkeinginan pada dia dan dalam masa yang sama menolak kehadiran seorang lelaki yang ingin menyunting aku, aku amat ingin menyatakan "I dont want to get married but I desperately need you on my bed", tapi aku sedar, itu nafsu yang berlawan fitrah hidup. Dan kenapa aku menolak adam itu? Bagi aku ini soal hati, kalau dah tak berkenan nak buat macamana. Dan aku juga akur, jika ada pun adam yang aku berkenan, tak semestinya Allah takdirkan untuk aku.

Untuk beberapa hariini, perkahwinan bukan milik aku, hidup harus diteruskan dengan sabar dan kasih sayang itu harus dizahirkan mengikut acuan yang diredhai.


Note: dari blog ini, juga aku mendapat tahu, ada rakan-rakan yang telah berjuang sendirian bertahun-tahun, 8 tahun, 5 tahun itu biasa. Dan aku amat kagumi mereka. Aku? Baru setahun jagung dah kecoh haha. Pada semua yang berjuang sendirian, aku pasti Allah tidak pernah meninggalkan hambaNya.

Ahad, 6 Oktober 2013

Petua hidup

Apabila hati tercedera, maafkan, abaikan dan perbaiki diri.

kata-kata Ustaz Mohammad Amin.


Rabu, 2 Oktober 2013

Kadang-kadang..

Kau tahu,
Kadangkala, aku selalu membela orang-orang straight dimata kawan-kawan ku. Kadang-kadang kataku, sabar, mereka tak faham. Kitalah yang harus menjadi orang yang berjiwa besar. Memaafkan dan melupakan.

Dan kadangkala,
Kau tahu,
Kadangkala aku jua tewas, kerana orang yang mengkhianati itu adalah orang yang aku percaya.

Kau tahu, bila ada orang luar buat silap, tidak faham sensitiviti kami, kadangkala aku cuba memahamkan, tapi ada detik waktu, aku terpaksa telan, mereka tidak faham kerana mereka tidak diuji sedemikian. Begitu juga aku tidak faham kesengsaraan orang diuji dengan ujian yang tidak pernah aku lalui.

Kadang-kadang ada rasa mahu mengalah.

Pergilah, pergilah kembali kedunia mu. Mereka memang tidak faham, apalah yang kau harapkan. Dan kadangkala terasa pedih kerana bila melihat diwajah orang-orang lurus itu seolah mereka dah amat memahami.

Kadang-kadang, hati kau berkata, sudah-sudahlah membela mereka yang tak perlu pun kau bela. Tak perlulah mendesak mereka yang bersamamu untuk menerima orang-orang yang gagal memahami.

Terima sahajalah, hanya PLU yang memahami PLU.

Entah apa yang kau minta. Entah apa yang kau ingin. Entah apa yang kau harapkan. Perlu sangatkah kau terhadap mereka. Hidup sahaja nafsi-nafsi, peduli sahaja apa yang perlu peduli. Mereka tidak pernah menerima kau pun sebenarnya.

Kadangkala sukar nak menilai kejujuran atau sekadar topeng. Terlalu sukar. Apatah lagi, orang seperti kau yang lurus hati dan mudah dipermainkan. Kelurusan mu pun selalu dipersenda.

Kembali sahaja kepada orang macam kau.

Ah, dunia ini pun bukan lama sangat. Tidak perlu berharap apa-apa. Pergantungan hanya pada yang esa. Dilahirkan dengan naluri yang cacat dan cela dimata mereka. Berjuang sahaja apa yang perlu. Tak perlu berjuang untuk membela orang lain.

Kenapa kawan?

Ah dunia ini terlalu kecamuk. Penjara. sungguh penjara.


Selasa, 1 Oktober 2013

Carpe Diem!

Tiga tahun dulu aku amat memegang kata-kata ini, Carpe Diem., live life to the fullest. Aku teroka dan mencuba apa yang aku nak buat. Hidup sangat teruja dan mengasyikkan. Tapi akhirnya aku, nasiblah Allah masih sudi menarik aku kembali dan menyedarkan akan kerosakan yang aku buat pada akidah dan iman aku sendiri.

Dan sejak akhir-akhir ini, aku mula kenal kembali erti sebenar istilah "Carpe Diem".

Aku suka kan hidup aku yang sekarang, syukur amat sangat. Hidup aku rasa amat bermakna, aku mula faham sangat bahawa apabila kita meninggalkan sesuatu kerana Allah, Allah tidak akan meninggalkan atau mensia-siakan kita.

Rehatkan diri, menjadi pilihan yang entah keberapa kini. Banyak perkara yang aku harus selesaikan dan aku mula belajar untuk menggunakan masa sebaiknya, masih berusaha.

Melawat rakan-rakan yang masih merasa berjuang sendirian. Saling beri kekuatan.

Jujurnya, aku juga amat belajar manusia ini amat lemah. Bila tidak beragama, kita akan amat sengsara, jiwa akan menderita dan kebanyakan rakan yang tidak redha dengan ketentuan ini, sering berakhir dengan pergantungan pada ubat kemurungan.

Akal kita ada hadnya. Rahmat Allah lah yang tiada batasnya.

Aku mula menemui sesuatu yang amat aku suka, tak gemar untuk aku labelkan apa. Cukuplah aku katakan, aku amat syukur kerana aku kini melakukan apa yang aku yakin benar.


A078
Dan kaumnya pun datang meluru kepadanya (dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya), sedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan. Nabi Lut berkata: "Wahai kaumku! Di sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamu-tetamuku. Tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat)?"

Semalam sewaktu aku dihidangkan dengan ayat 77 dari surah Hud ini, aku amat tersentuh. Betapa Nabi Lut, sanggup melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan kaumnya dari melanggar perintah Allah, hingga sanggup menawarkan anak perempuannya.

Dia seorang BAPA. Namun kerana dia sedar beratnya perintah Allah, dia sanggup menawarkan anaknya, lalu menunjukkan juga, walau apa jua, yang halal itu adalah lebih baik dari segala-galanya.

Banyak lagi dosa yang lain, zina, riba, derhaka pada ibu bapa, namun kenapa dosa ini Allah turunkan azab hingga satu umat habis musnah?

Betapa berat neraca pertimbangan dek dosa ini, dek amalan yang dikatakan keji ini.

Seorang kawan berkata padaku, ujian akan sentiasa datang, nafsu tak pernah padam. Bagi aku, ya itu betul dan dalam surah Insyiqaq Allah janji, setiap manusia diuji berfasa-fasa. Jangan ingat apabila selesai suatu perkara, akan habis disitu, tidak, selagi bergelar manusia, hidup adalah ujian.

Tanpa rasa bertuhan, jiwa akan musnah dengan setiap ujian.

Tinggalkan yang ragu, tinggalkan yang meresahkan. Usaha dan usaha, hingga mati pun.

Jangan sampai hilang rasa berdosa, lalu angkuh dengan kebatilan (suatu yang palsu/dosa ) mula menjelma.

Yang meresahkan itu dosa.

Usaha hingga Mati. Itulah hidup perjuangan. Itulah hidup yang penuh cabaran. Itulah hidup yang sebenar hidup!

Lets Carpe Diem, live life to the fullest!




ps:Aku mungkin masih nakal, namun aku telah meninggalkan dan akan berusaha hingga mati, untuk meninggalkan apa yang meresahkan aku itu. I already make a decision, my decision. Walau aku mengarut dan mengeluh kadangkala, itu adalah kerana aku sekadar manusia biasa. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...