Halaman


Memaparkan catatan dengan label perjalanan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label perjalanan. Papar semua catatan

Sabtu, 12 Mac 2016

Cinta PLU yang gelap (HIJRAH)



CINTA PLU YANG GELAP (HIJRAH)
Ramai mungkin tidak faham bagaimana menyintai namun tidak boleh untuk melunaskan perasaan cinta. Itulah perasaan seorang plu yang cuba memilih jalan sendirian. Ia menolak untuk gembira dan mematri cinta bersama pasangannya. Dunia plu yang bercinta sakan, memang indah bagaikan bendera lambang LBGT itu sendiri, tiada halal haram yang menjadi label dan sempadan. You are my darling, and I am yours. Papa, mama. baby, sayang, dan segalanya semua. Sangat warna warni. Bahagia umpama syurga itu berada ditapak kaki sahaja.
Dan ada juga yang mengimpi bahagia hingga ke jannah, sama- sama ke masjid, menghadiri usrah, kuliah agama, sambil merasai dia milik aku dan akulah milik dia, umpama hukum tuhan itu boleh dikuis umpama lalat dihidung. Ada yang bersembunyi, masih merasa dosa namun berpegang pada Allah amat memahami, ada pula yang tanpa segan silu mengiiktiraf, okay yang ini tidak mahu kusentuh situasi mereka.
Namun cinta seorang plu yang menahan diri adalah sangat gelap. Gelap kerana tidak mampu dia ungkapkan dengan kata-kata, tidak mampu untuk dia bercerita buat meringan beban. Orang yang dia rasa sangat serasi, sangat dekat dihati, dia lepaskan, dia biarkan pergi, demi kerana sebuah larangan, yang dia junjung dengan hati yang sangat kerdil. Mungkin pernah bersama lalu berpisah, mungkin pernah bercinta lalu melupakan, kerana sebuah hidayah yang nurnya umpama mishkat.
Gelap.
Cuma Allah yang tahu.
Dan bagaimana pula plu yang berkahwin, ikhlas mahu berubah, ya yang mahu berlakon juga ramai. Namun ada yang benar menyintai pasangannya, tapi tidak mampu memfungsi diri seperti orang normal sebaiknya. Tidak mampu meluahkan cinta seperti layaknya seorang adam menyintai hawa, bolehkah diterjemah rasa itu?
Lalu dalam diam, segalanya sendiri, kecewa kerana tidak betah, tidak tahu. Dan tidak mampu melangkah.
Plu yang berhijrah, siapapun mereka, mereka cuma mampu meluah pada yang Esa, sebenar-benar luahan. Keterasingan adalah nafas yang sentiasa dihela.
Tabahlah, dunia ini sekejap.
Ya, dunia ini sekadar ujian. Dunia bukan tempat untuk gembira, melainkan bahagia yang Allah beri nikmat kepada sesiapa yang redha dengan ujian, anugerah dan nikmat. Kadangkala rasa syukur atas ujian dan bahagia kerana hidayah mahu hadir menyapa, kadangkala juga nafsu merasa sakit dan perit.
tadi radio menyiarkan lagu ini....

Kegelisahan didalam kedinginan
Meniti sepi keseorangan
Sebuah kematian yang tiada bernisan
Sendu mengiringi perpisahan
Ruang nan luas diri bergerak bebas
Namun keupayaanku terbatas
Segala mimpi menjadi asing
Perit membakar diri
Sebuah cinta dan harapan
Menjadi mimpi berterbangan
Tersekat nafasku kabur pandangan mataku
Amat tersiksa diriku
Kerana kehilanganmu
Oh mengapakah terus mengharap menanti
Walau cukup kusedari
Kau tak kan kembali
Pemergianmu mengisi kekosongan
Biarpun dikau masih kuperlukan
Kita dikatakan pasangan bahagia
Kini terasing luka



Ahad, 19 April 2015

Suicidal, bukan noktah.

Aku bukan seorang yang sangat peramah, bukan sangat penyayang. Dalam banyak masa memang sifat aku agak keras. Tak pandai ekpressi betapa aku kisah dengan seseorang. Apatah lagi memang aku sedar, tidak ada seorang manusia yang boleh mengawal satu alam.

Sejak beberapa tahun lepas, sejak aku kenal Xola. Aku mula kenal kawan-kawan yang memilih arah keluar dari landasan beragama. Mungkin aku beruntung, dari kecil dididik untuk tahu mana yang salah dan benar, meski aku bukan lah hafizah atau budak maahad. Tapi ilmu yang keluarga dan masyarakat sampaikan dari tuhan cukup buat aku sedar betapa besarnya harga iman. Walau aku cuma hafal beberapa kerat surah yang bolehla dibuat bacaan lazim waktu solat.

Aku bukan penyampai yang baik. Tak pandai bertutur seperti orang bijak pandai. Kebanyakan rasa, aku simpan sendiri.

Namun mengetahui, kawan yang pernah aku sayang dan terpaksa aku tinggalkan kerana lebih membawa mudharat (takut persahabatan akan melibatkan hati), mula berpaling ke agama lain, agak menggigit hati aku. Bukan aku meninggalkan tapi masa dan situasi.

Apatah lagi mengetahui beberapa orang rakan yang mengimpikan mati saat nafas masih dihela. Ya, aku juga mahu mati andai mati aku nanti membawa ketempat yang lebih tenang. Mati tu pemutus nikmat, dan tidak pernah menjadi penyelesai masalah buat hamba yang tidak pernah mahu jadi hamba.

Khamis, 5 Jun 2014

Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.

Dhuha di Air Terjun Sg Perdik, kenangan GNY2.

Dalam dikelilingi satu kumpulan yang unik, ujian sering berlegar-legar. Sebelum aku memulakan group Jalan Pulang, bila aku ajak rakan-rakanku yang kulihat telahpun kuat bersendirian, kerana waktu itu sumpah aku amat lemah, kata mereka, kenapa nak dikumpulan dalam satu kolam, akan ada yang menjadi mangsa dan dimangsakan, keluar, berjalan seorang, hijrah, tinggalkan semua.

Aku pernah berkali berseorang, dan setiap kali itu aku jatuh, kerana aku amat memerlukan yang memahami aku, ya aku sangat lemah, mungkin cinta tuhan belum kurasai mencukupi, kerana itu aku menolak kata-kata rakanku itu, aku perlukan teman untuk bangkit.

Sering berasa asing dimajlis-majlis agama, dan sering merasa sangat perit keseorangan dalam berjuang menahan diri, lalu terdetik hati, aku perlukan teman seperjuangan.

Lalu terbentuk Jalan Pulang.

Dan, ya, apabila berkumpul bersama, gurauan dan ujian itu sentiasa ada. Kadangkala menjadi dilema didalam diri, benarkah apa yang aku lakukan ini ALLAH redha. Namun, sentiasa ada satu jawapan. Kebanyakan kami solo. Kerana menjauhi fitrah naluri yang mahu dilunasi. Lalu kawan-kawan inilah yang sering menjadi kekuatan.

Contoh, bagi yang keluar dari satu perhubungan, kesunyian akan menjadi musuh yang membunuh. Bila ramai untuk sama berhubungan, sedikit sebanyak kesunyian itu dapat dilawan.

Cuma moga Allah jauhkan kami dari kelembah penzinaan dan pergantungan pada satu-satu individu atas nama cinta, sekali lagi. Moga Allah haramkan kami meletakkan agama hanya sebagai topeng bagi menutupi satu kemungkaran yang besar.

Jangan sampai ada yang jumpa partner di Group Jalan Pulang!

Aku telah berpesan, dan aku merasakan niat dan jalan kumpulan ini masih lebih banyak kebaikan dari kemudharatan. Kerana aku masih percaya tidak semestinya perlu berjuang seorang dalam menghampiri jalan kebenaran.

Bagi aku Jalan Pulang/ GNY hanyalah umpama support group kepada satu jalan yang lebih baik. Kelainan seksualiti bukanlah untuk dibanggakan, tetapi juga bukanlah untuk membuatkan kita menderita dan sesal lalu menyalahkan takdir. Kita hadapi dunia ini dengan cara yang ALLAH mahu. Dan apabila kekuatan itu telah diperolehi, terpulanglah kepada kawan-kawan samada terus menjadi Daie kepada rakan-rakan yang mendepani ujian yang sama ataupun terus kepada agenda kehidupan yang lebih luas.

Bagi aku, aku ingin kedua-duanya. Aku ingin menuntut ilmu, menegakkan kalimah ALLAH, walau aku jauh dari sempurna. Dalam masa yang sama, bersama teman-teman menghadapi ujian kecil dimata individu lain, tetapi tidaklah mudah pada kami.

Tunjukanlah kami jalan yang lurus. (Mohon ada yang membimbing, menunjukkan jalan, bukan meninggalkan kami dan membunuh niat yang masih baru bertatih).

Rabu, 4 Jun 2014

GNY 2, seribu nikmat dan hikmah.

Alhamdulillah, syukur kepada Illahi kerana program Getting Near You 2, berjalan dengan baik sekali. Seperti biasa dalam setiap program yang berunsur kerohanian pencarian peserta tidaklah begitu mudah. Jujurnya, sebagai seorang yang tidak pernah mencapai apa-apa dalam bidang marketing, aku agak tertekan dalam mencari peserta, nasiblah rakan-rakan banyak menolong. Sungguh, tanpa beberapa orang dari GNY 1, program ini tidak akan berjalan lancar, dan tidak juga mengumpul kami dengan izin Allah.

Dalam perasaan yang agak lelah, sebelum hari 30 Mei, aku mengemas pakaian dalam keadaan separuh hati. Saat itu aku berkira-kira, inilah akhir, inilah akhir.

Sampai di Lembah Pangsun, melihat wajah rakan-rakan baru yang penuh harapan yang datang dari utara dan pantai timur semenanjung, ada satu perasaan yang sukar untuk aku gambarkan.

Sebelum slot pertama, adalah sesi penerangan dan berkenalan, aku menerangkan kepada rakan-rakan tentang bagaimana asalnya kami dari group Jalan Pulang mendapat tajaan dari Yayasan Ihtimam. Melihat mereka memahami dan mula memberi kepercayaan sepenuhnya, aku berasa lega. Ya, saat itu aku sangat sedar, jangan sesekali buntu dalam menghadapi ketidakfahaman sebelum berusaha untuk memberi kefahaman. Mahu atau tidak, aku kena kedepan dan memberi penerangan. Kawan, betapa aku lebih mudah menulis dari berkata-kata didepan kalian.

Kemudian Slot pertama dari sifu Hanafi, kami dibawa membuka mata tentang kebesaran Allah. Sifu Hanafi sebenarnya amat dekat dihati golongan LGT kerana pendekatannya yang santai, ceria dan sangat dekat pada audience, tidak seperti cara ustaz-ustaz memberi ceramah di masjid. Beliau tidak membicarakan tentang hukum,  dan tidak juga berceramah secara lansung, dari video-video diselitkan kata-kata yang lebih dari hati, dari gurauan dan aktiviti-aktiviti yang membina keyakinan diri peserta yang dalam masa yang sama merapatkan beliau dan para peserta, beliau mengajak peserta merasai dekatnya Allah dengan kita. Kata-kata ustaz yang sangat berkesan dihati aku dan harapnya semua rakan-rakan, di akhir slotnya..

"Kita hidup untuk buat Allah happy", lalu apa lagi yang kita sering bertanya tentang tujuan hidup?

Di Lembah Pangsun, memang aku meminta agar peserta diletakkan di dorm, dalam suasana asrama, sekurangnya ruang-ruang yang cuba untuk dielakkan dapat menjadi kekuatan pada niat awal kami dalam menyertai program ini. Berbanding sekiranya orang-orang macam kami ini diletakkan di hotel dan di biarkan dengan individu yang mempunyai tarikan magnet. Walau cara program ini dilaksanakan agak santai, namun beberapa isu tetap aku fikirkan, kerana mungkin pihak penaja tidak dapat memahami sesetengah perkara yang menjadi ujian kami, alhamdulillah perbincangan awal dengan pihak Yayasan Ihtimam banyak memudahkan perjalanan program.

31 May 2014
Slot kedua dan ketiga adalah pengisian dari Ustaz Izwan Yusof yang merupakan penceramah yang juga sedang menghabiskan tesis nya LGBT dan quran untuk pengajian phd nya. Beliau banyak menerangkan tentang iman dan akidah. Pendekatannya agak konvensional iaitu menghuraikan teori, namun perwatakan beliau yang tidak menghukum dengan pengisian dan disebabkan beliau telah banyak mendekati golongan istimewa seperti kami ini, menyebabkan masa beliau dalam menjawab pelbagai persoalan yang peserta lontarkan terasa begitu singkat. Peserta sebenarnya tidak mahu melepaskan peluang untuk bersoal jawab dalam program-program seperti ini, apatah lagi dengan penceramah yang sememangnya mempunyai pengetahuan yang khusus.

"Kita tidak boleh memilih cara kita mati, namun kita boleh memilih cara kita hidup"

Petang itu, selepas slot praktikal solat yang sememangnya sering tidak pernah cukup buat kami yang dahagakan ilmu masa dua jam bersama Ustazah Hazlin dirasakan sangat singkat, kami menikmati aktiviti flying fox yang dinanti. Ada yang naik berkali-kali hingga penat kerana perlu mendaki anak tangga sebelum sampai kemenara. Bermacam style dan gaya peserta, tak sangka peserta yang dilihat pendiam begitu cergas dan teruja dengan aktiviti ini.

Malam itu slot 5 pit stop dari Ustaz Afandi Che Harun, kami dibawa mengenali 5 peringkat kehidupan, dari alam roh, alam rahim, alam dunia, alam barzakh dan akhir sekali alam akhirat. Sesungguhnya manusia telah bersumpah di alam roh lagi tentang keesaan tuhan

al-a'raf ayat 172
".. Bukankah Aku ini Tuhan kamu ? Maka semua menjawab (manusia) Benar ! Engkaulah Tuhan kami, kami menjadi saksi, dan yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari qiamat Kami adalah lalai"

Kemudiannya 1jun, adalah hari yang mendebarkan bagi kami, misi perjalanan ke Air Terjun Sg Perdik agak mencabar, mengharungi anak sungai dan trek yang tegak beberapa ketika, menyebabkan aku kadangkala hampir putus asa. Namun jalan tetap diteruskan.






Moga kami menuju kredhaan Allah . Ribuan terima kasih kami ucapkan buah Yayasan Ihtimam selaku pihak penganjur, semua urusetia dan semua peserta, moga ukhwah kerana Allah..

Khamis, 22 Mei 2014

Moga ada sinar

Alhamdulillah, Marlina, baru hubungi aku, dia dah bebas, kerana ketua kampung tempat dia lahir telah memberi pengesahan yang dia lahir dikampung itu.  Tapi pihak imegresen meminta nya menguruskan sendiri untuk mendapat dokumen selanjutnya. Dari satu pusat tahanan ke satu pusat tahanan, ada dokumen yang keciciran.

Moga usaha dapat hingga ke penghujung.

Kalian tahu harga sekeping kad pengenalan? Orang "stateless" yang amat tahu harganya.

Rabu, 21 Mei 2014

Apa ada pada hak? Stateless dan lesbian?

Semalam aku dihubungi Marlina. Ya, aku letak disini namanya yang satu-satunya ada pada dokumen diri yang juga sebenarnya palsu. Dalam, sejak aku menulis blog dan aku dihampiri atau minta menghampiri insan-insan plu yang mungkin memerlukan perkongsian, perkenalan aku dan Marlina sangat terkesan dihati aku, walaupun siapa dia.

Atas rasa ingin membantu apa yang daya, aku menghubungi beberapa orang secara personal melalui whatssap, begini dengan text begini:

"Kes seorang muallaf kawan saya, Marlina, umur 28,anak 2, tiada sebarang dokumen, mengikut ceritanya..dia lari rumah disabah..sejak umur 13 tahun. Kemudian gelandangan, hinggalah dibawa ke semenanjung oleh sindiket ic palsu. Anak berusia 2 dan 5 tahun. Katanya pernah kembali ke kampung tapi ibubapanya telah tiada. beliau adalah plu. Mndpt anak kerana dianiaya dan bawah pengaruh dadah. Bebrapa kali ditahan di wad psikiatri . Tapi dia sangat tenang, spjg sy berkawan dgn dia tahun lepas. Tahun lepas, duduk smentara di balai islam,kemudian dihantar ke imgresen. Kedua2 anaknya ada buku daftar lahir hosp melaka. Kemudian imegresen hntar ke pusat tahanan papar di sabah. Semalam, dia hubungi saya secara curi2. Dari pusat tahanan. Katanya, pegawai imgresen kata dia boleh keluar sekiranya ada waris. Kerana dia sakit,kata mereka. Kalau tidak selamanya dia dan anak2 di pusat tahanan sementara Papar. Dari situ, saya rasa imgresen hanya mampu memberinya status stateless. Rasanya ada tak cara untuk bantu dia?"


Ya, dia tiada apa-apa dokumen melainkan pernah diberi kad pengenalan palsu sewaktu mahu kesemenanjung. Dia mungkin kini hanya dapat diberikan status "Stateless" oleh pihak Imegresen Malaysia. Mungkin setelah disiasat, dia memang lahir di Sabah, tetapi tidak dapat apa-apa bukti untuk membuatkan dia mendapat apa-apa dokumen.

Dia kini di Tahanan Sementara Imegresen Papar, dan mungkin akan selamanya disitu, hingga tua, hingga ajal menjemput. Dia tidak punya hak untuk mengundi, dia tidak punya hak untuk rawatan kerana sedangkan rawatan untuk yang bukan warganegara adalah 5 hari sahaja sekiranya bergantung pada ubatan, dan anak-anaknya tidak akan dijamin hak pendidikan.

Sejak lahir dia dan aku dan beberapa kita, cuma berkehendak kepada perempuan, namun kerana rupa parasnya dan walau dia pernah hidup gelandangan, beberapa kali dianiaya dan dibawah pengaruh dadah, dia melahirkan zuriat.

Sewaktu hampir 3 bulan kami berkawan, sebelum dia ditahan oleh Imegresen atas aduan jiran, dia sangat manis, dan dia sedang angau dengan jirannya, isteri seorang askar yang baru lepas bersalin, kami terkekeh-kekeh ketawa bila dia bercerita dia seronok menjaga orang yang diminatinya itu didalam pantang. Dalam masa yang sama dua lelaki sedang merisik-risik dia, tapi manakan mungkin, bukan sahaja ketiadaan dokumen menyebabkan sukarnya untuk dia berkahwin secara sah sivil, walau dia tahu ada caranya untuk halal, tapi, untuk apa?

Sepanjang 3 bulan itu, aku sebenarnya hampir tidak tahu dia pernah dimasukkan di wad psikiatri kerana kemurungan. Ketika dia ditahan Imegresen, aku memberanikan diri datang ketempat tahanan sebagai pelawat, barulah aku melihat keadaan dia yang amat menyedihkan, dia meraung-raung memanggil namaku, dan kemudiannya aku diberi keterangan oleh pegawai imegresen tentang keadaan dia, apatah lagi pada awalnya dia hampir dipisahkan dengan kedua anak-anaknya. Bergegas aku menghubungi doktor psikiatri yang amat peramah dan sangat bekerjasama denganku. Kemurungan yang agak teruk. Dan ini bukan kali pertama.

Ya, dia pesakit Pskiatri namun bukan pesakit mental. Anda lesbian, diperkosa beberapa kali hingga ada anak, anda tiada kad pengenalan, anda terpaksa gelandangan akibat sentiasa takutkan pihak berkuasa, anda cantik, sentiasa menjadi perhatian lelaki, dengan mengkelek dua anak yang sangat kecil, hidup sentiasa berlari, anda yakin, anda boleh kekal waras?

Teringat kata-katanya, pada orang gelandangan, kematian tidak pernah menjadi sesuatu yang ditakuti.

Dan dia sentiasa hilang dalam pencarian agama, hinggalah dia mengucap syahadah waktu awal pertemuan kami. Dia hafal al-fatihah dan belajar rukun solat tidak sampai seminggu. Semua bacaan solat, kecuali qunut, itupun tidaklah menjejaskan solat.Tidak sampai seminggu! Walhal dia tidak pernah bersekolah.

Marlina Sazali atau Jessica, atau apa sahaja namamu didunia, andai warasmu hilang, moga dosa amalmu tidak dihisab, itu lebih baik, andai nikmat waras kekal pada mu, moga ia juga sentiasa bersama hidayah Yang Esa.

Kau hamba Allah, yang mungkin tidak diiktiraf kewujudanmu didunia, namun, Allah datangkan dirimu untuk menyentuh hati insan-insan yang pernah mengenalimu. Saat aku berkira-kira tentang hak, wajah polos Marlina, akan hadir didepan mataku.

Usaha untuk menghubungi orang yang dapat membantu, masih buntu.

Isnin, 5 Mei 2014

Cinta kerana cinta

Nope, aku tak berhenti menulis, aku masih disini dan menulis adalah antara kebahagiaan aku. :)

Kadangkala aku segan untuk memberitahu, bahawa aku telah berkahwin. Ada rakan yang membuang aku, kerana bagi mereka, PLU yang berkahwin adalah fakes, dan ada juga yang memang semata-mata tidak gemar akan perkahwinan, sanggup membuang persahabatan.

Adakah dengan berkahwin akan menjadikan anda straight? Normal? Haha. Mengubah naluri bukan kerja manusia, itu kerja tuhan.  Anda tak perlu berkahwin untuk tidak terus berzina dan bercinta dengan cinta yang tidak akan halal. Semua itu tetap boleh anda lakukan bila-bila tanpa ingatan akan takut pada hukum Allah.

"If a God cannot avoid you from this, you think a husband can?"

Kata-kata dia yang pernah amat menyintai aku ini, amat tepat.

Lalu aku tetap dengan perjuangan aku, bezanya, aku kini disamping seorang lelaki yang sangat memahami aku.Syukur atas kurniaan itu. Dan dia tidaklah sempurna, namun sempurna untuk aku. Begitu juga aku yang tidak pernah akan menjadi wanita yang sempurna.

Hari-hari aku, aku mula kenali penanda kesuburan yang sering mengecewakan dan juga penanda kehamilan yang sekadar memberi kepastian berat badanku naik kerana pemakanan, bukan seperti apa yang menjadi harapan. Tidak dapat ditolak, aku mungkin menghadapi masalah kesuburan mungkin kerana aku adalah aku atau mungkin juga sebab-sebab yang biasa.  Ah, namun hidup ini terlalu banyak nikmat yang hendak di syukurkan selain beberapa harapan yang masih belum direzkikan.

Jodoh, masa, dan segalanya adalah rezki. Sering kita lupa, kita adalah hamba yang dipunyai. Setiap apa yang diberikan adalah rezki.

Beberapa rakan yang meluahkan kerisauan tentang terpaksa berkahwin dan sebagainya. Bagi aku, kita hanya perlu berusaha, disamping tawakal. Allah takkan menguji andai kita tidak mampu. Namun amat sedih andai kita kecewa dan sedih berlama-lamaan. Seorang rakan ku, yang sangat kuat semangatnya dulu, yang kukagumi sifat tegasnya, kini sedang menghadapi eating disoder dan menanti untuk berjumpa dcengan pakar jiwa, akibat cinta.

"I pray you will find someone that will make you stay"

Itu kata-kata seorang yang juga pernah musnah kerana cinta, mengejar aku dan mengancam mahu berdiri didepan keretaku, meminta aku melanggarnya, yang kini juga sedang dalam perjuangan membenarkan keinginannya yang tidak pernah halal dimata tuhan.

Akui akui, cinta yang hampir buat aku musnah ialah cinta seorang gadis genit, beragama Kristian. Cukuplah.Sampai bila hendak musnah? Pernahkah kita terfikir yang Islam sampai pada kita dengan darah dan airmata seorang lelaki bernama Muhammad? Yang hanya dia juga yang mampu memberi syafaat di padang mahsyar kelah. Ye, mati itu pasti, akhirat itu benar, sayang.

Bangun kawan, kita hidup bukan kerana cinta. Kita hidup untuk mengangkat kalimah Allah. Moga sahabat-sahabatku yang tersilap langkah akan diberi hidayah, dan begitu juga aku, kau dan dia, moga sentiasa didalam hidayah Allah.

Note: Salam, nak ajak untuk program Getting Near You 2 (GNY2), tarikh 30 may-1 jun. Program bersama group Jalan Pulang PLU dan Yayasan Ihtimam. Pengisian adalah sharing bersama tentang bagaima untuk bermula kejalan kerohanian/jalan pulang. Sharing asas-asas fardhu ain. Dan juga rekreasi seperti flying fox, jungle trekking dan titi jambatan gantung.
Sila confirm secepat mungkin. Tiada bayaran dikenakan. Penginapan,pengangkutan dan makanan disediakan. Pakaian bebas, asalkan sopan. Tidak wajib memakai tudung. Kecuali slot solat. Email saya malaikatgelapdarkangel@gmail.com -MG

Rabu, 26 Mac 2014

Saat kau mendongak

"Kerapkali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Ka`abah) dan dimana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu kearahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Ka`bah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan."
Al-Baqarah 144
   

Bagaimana aku bermula membuka secret group jalan pulang?


Jujurnya aku perlukan teman-teman dalam berjuang. Setelah setiapkali gagal membuat keputusan, aku berdoa pada yang esa setiap hari untuk sekurangnya punya rakan perjuangan, benarlah kita hanya perlu meminta dan Dia akan makbuikan.


Sering aku memberontak dalam doa-doa ku. Sedangkan nabi punya sahabat dalam berjuang, dan nabi manusia yang hebat. Tapi aku ni, dahlah lemah, lepas tu berseorangan pula. Bertahun aku bergaduh dengan tuhan dalam doakan. Dan apabila dia memakbulkan, nikmatnya sangat dahsyat. Aku ditemukan dengan rakan-rakan seperjuangan yang melalui jalan yang sama, yang kemudiannya pergi lebih jauh dari aku.


Lalu beberapa hari lepas, selepas taalim, ayat ini sangat terkesan dihati aku. Terkesan kerana, sedangkan nabi Muhammad S.A.W yang hebat itu pun, Dia tidak pernah tinggalkan, Dia tahu segala gusarnya, dalam sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara.


Lalu kenapa, kita dan aku pernah dan sering merasa berseorangan?


Jawapannya hanya satu. kerana kita yang melupakan Dia.

Khamis, 6 Mac 2014

Kisah Anas dan Cikgu Reen

Pada 2 Mac yang lepas aku menghadiri Bengkel Kelab Sukarelawan Sosial yang dianjurkan oleh Jakim dan disertai oleh pelbagai Badan-badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).  Bengkel sehari ini banyak memberi pengalaman samada secara lansung atau tidak. Ini hanyalah Majlis Perasmian, yang boleh dikatakan sebagai bengkel asas sukarelawan bagi kelab ini. Untuk makluman,banyak NGO kini giat menjalankan bengkel-bengkel sukarelawan islam.

Untuk kelab ini, sukarelawan akan ditauliahkan selepas menghadiri 3 Training of Trainer.
Dibengkel ini aku sempat mendengar kisah lansung tentang Anas. Fasilitator bagi kumpulan kecil aku yang menjurus kepada masalah juvana.

Anas, pemuda dalam lingkungan 30 an,kini adalah petugas dari sebuah NGO yang menumpukan pada pemulihan akhlak remaja. Dialah salah seorang belia yang diselamatkan oleh pengasas NGO ini. Dia dulu seorang alcoholic, pengedar,bouncer, menganggotai kumpulan-kumpulan gelap. Dan entah apa lagi yang pernah dia lakukakan.

Bermula dari awalnya dia sering diejek kerana dia ber bin kan abdullah.
Antara detik turning pointnya ialah apabila dia cuma mencari kematian namun tidak menemukannya. Pistol telah diacu ke rongga mulut, peluru telah diisi, picu ditarik, namun peluru tetap tidak meluncur.

Lalu dia mula mencari agama.

Dan kini dia seorang pendakwah buat remaja-remaja dijalanan.
Bila ditanya apa yang membuat dia berubah? Jawapannya ..kematian.

Disini juga aku bertemu dengan Cikgu Reen. Yang dulunya seorang maknyah, dan kini giat berdakwah untuk rakan-rakan golongan maknyah. Tidak sempat berbual,berkali aku mengerling ke arahnya. Didalam kumpulan sokongan kecil yang lain, dia tidak teragak-agak mengatakan dia siapa. Seorang maknyah yang kini bertemu jalan hijrah.

Aku bertanya pada Anas, bagaimana untuk istiqamah. Jawabnya mudah, dekati majlis ilmu,dekati orang-orang baik,  jangan tinggal solat dan dekati masjid.

Melihat semua ini, aku teringat kisah seorang lelaki dizaman nabi. Lelaki ini seorang yang terkenal dengan sifatnya ahli maksiat. Ditakdirkan jenazahnya diuruskan oleh nabi kerana amalannya hanyalah dia tidak putus bangun malam untuk solat dan merintih pada tuhan betapa dia tidak mampu meninggalkan maksiat akibat ajakan dan godaan.

Allah tidak hairan manusia buat maksiat, namun yang hairannya bila manusia tidak taubat.

Cikgu Reen dan En. Nurfitri Amir Muhammad dari NGO UNGGAS

Isnin, 7 Oktober 2013

Beberapa hari ini

Selalunya aku tidak bercerita tentang hidup aku, aku akan bercerita tentang apa yang aku fikir. Itu adalah lebih selamat di alam maya. Mudah dan keselamatan aku adalah tanggungjawab aku.

Beberapa waktu dulu, aku pernah terfikir untuk menunjukkan diri aku yang sebenar, dan perlahan-lahan, ianya berlaku tanpa aku sedari apabila aku mula terlibat sebagai sahabat kepada pertubuhan Positive Warriors dan kemudiannya mula berhubung dengan seorang dua kakitangan Jakim, juga kebanyakannya kerana Positive Warriors dan juga PAFI (Pertubuhan Amal Firdausi)

Apabila, muncul sebagai seorang yang orang lain tahu letar belakang aku, aku lebih terasa diterima. Apa sahaja tindakan aku tidak perlu berselindung, dan yang paling penting aku buat, apa yang aku rasa betul. Apabila ada yang mengetahui kewujudan blog ini melalui link FB dan sebagainya, ada kawan meminta aku mengubah blog ini supaya tidak lagi bercerita sebagai MG.

Bagi aku, mudah, aku bermula sebagai MG disini, akhir aku, aku tak pasti, tapi aku yakin, MG ada tanggungjawab tersendiri.

Beberapa harini, aku telah diuji dengan bayangan seolah memberitahu aku, itulah sedikit sebanyak yang perlu aku hadapi seandainya aku mahu muncul sebagai MG, di ruang hidup normal aku.

Mudah sahaja, bagaimana kalau keluarga dan orang sekeliling aku dalam kehidupan sebenar mengetahui identiti aku disini, pertama sekali, yang akan gelak sampai jatuh kerusi adalah bekas suami. Kemudian kawan-kawan sekolah yang selalu berdendam dengan sifat asingku di sekolah dan uni, Kemudian, keluarga.

Bukanlah aku memikirkan pandangan orang, tapi buat masa ini, aku masih punya ibu ayah yang harus dijaga hati dan perasaan, aku juga belum kental untuk dibuang keluarga, yang aku faham ada juga yang amat stigma dengan isu lgbt.

Andai ia berlaku secara tanpa aku jangka atau sedar, aku mohon pada yang esa, supaya aku tabah dan kehidupan aku dapat menyatakan pada yang berkenaan, bahawa masa silam adalah masa silam. Walaupun kadangkala apa yang ada pada aku adalah naluri dan membuatkan aku terbuang kadangkala, aku harap aku tidak akan pernah berputus asa untuk menzahirkan tekad aku dalam hidup ini.

Oh, untuk pengetahuan, aku dan Deanna kini, walau apapun, hanyalah sekadar kawan, yang pernah menjadi teman hidup. Walaupun perasaan kami amat dalam, namun aku sedar dialah perjuangan aku. Perjuangan aku untuk tidak melakukan yang Allah tak redha. Tanggungjawab sebagai kawan, sentiasa aku lunaskan. seminggu dua juga, dia yang kini jiran aku, aku menjaga keretanya, panaskan enjin, tengok rumah, sementara dia berpergian untuk aktiviti kolejnya.

Pernah aku terlalu berkeinginan pada dia dan dalam masa yang sama menolak kehadiran seorang lelaki yang ingin menyunting aku, aku amat ingin menyatakan "I dont want to get married but I desperately need you on my bed", tapi aku sedar, itu nafsu yang berlawan fitrah hidup. Dan kenapa aku menolak adam itu? Bagi aku ini soal hati, kalau dah tak berkenan nak buat macamana. Dan aku juga akur, jika ada pun adam yang aku berkenan, tak semestinya Allah takdirkan untuk aku.

Untuk beberapa hariini, perkahwinan bukan milik aku, hidup harus diteruskan dengan sabar dan kasih sayang itu harus dizahirkan mengikut acuan yang diredhai.


Note: dari blog ini, juga aku mendapat tahu, ada rakan-rakan yang telah berjuang sendirian bertahun-tahun, 8 tahun, 5 tahun itu biasa. Dan aku amat kagumi mereka. Aku? Baru setahun jagung dah kecoh haha. Pada semua yang berjuang sendirian, aku pasti Allah tidak pernah meninggalkan hambaNya.

Ahad, 6 Oktober 2013

Petua hidup

Apabila hati tercedera, maafkan, abaikan dan perbaiki diri.

kata-kata Ustaz Mohammad Amin.


Selasa, 1 Oktober 2013

Carpe Diem!

Tiga tahun dulu aku amat memegang kata-kata ini, Carpe Diem., live life to the fullest. Aku teroka dan mencuba apa yang aku nak buat. Hidup sangat teruja dan mengasyikkan. Tapi akhirnya aku, nasiblah Allah masih sudi menarik aku kembali dan menyedarkan akan kerosakan yang aku buat pada akidah dan iman aku sendiri.

Dan sejak akhir-akhir ini, aku mula kenal kembali erti sebenar istilah "Carpe Diem".

Aku suka kan hidup aku yang sekarang, syukur amat sangat. Hidup aku rasa amat bermakna, aku mula faham sangat bahawa apabila kita meninggalkan sesuatu kerana Allah, Allah tidak akan meninggalkan atau mensia-siakan kita.

Rehatkan diri, menjadi pilihan yang entah keberapa kini. Banyak perkara yang aku harus selesaikan dan aku mula belajar untuk menggunakan masa sebaiknya, masih berusaha.

Melawat rakan-rakan yang masih merasa berjuang sendirian. Saling beri kekuatan.

Jujurnya, aku juga amat belajar manusia ini amat lemah. Bila tidak beragama, kita akan amat sengsara, jiwa akan menderita dan kebanyakan rakan yang tidak redha dengan ketentuan ini, sering berakhir dengan pergantungan pada ubat kemurungan.

Akal kita ada hadnya. Rahmat Allah lah yang tiada batasnya.

Aku mula menemui sesuatu yang amat aku suka, tak gemar untuk aku labelkan apa. Cukuplah aku katakan, aku amat syukur kerana aku kini melakukan apa yang aku yakin benar.


A078
Dan kaumnya pun datang meluru kepadanya (dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya), sedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan. Nabi Lut berkata: "Wahai kaumku! Di sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamu-tetamuku. Tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat)?"

Semalam sewaktu aku dihidangkan dengan ayat 77 dari surah Hud ini, aku amat tersentuh. Betapa Nabi Lut, sanggup melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan kaumnya dari melanggar perintah Allah, hingga sanggup menawarkan anak perempuannya.

Dia seorang BAPA. Namun kerana dia sedar beratnya perintah Allah, dia sanggup menawarkan anaknya, lalu menunjukkan juga, walau apa jua, yang halal itu adalah lebih baik dari segala-galanya.

Banyak lagi dosa yang lain, zina, riba, derhaka pada ibu bapa, namun kenapa dosa ini Allah turunkan azab hingga satu umat habis musnah?

Betapa berat neraca pertimbangan dek dosa ini, dek amalan yang dikatakan keji ini.

Seorang kawan berkata padaku, ujian akan sentiasa datang, nafsu tak pernah padam. Bagi aku, ya itu betul dan dalam surah Insyiqaq Allah janji, setiap manusia diuji berfasa-fasa. Jangan ingat apabila selesai suatu perkara, akan habis disitu, tidak, selagi bergelar manusia, hidup adalah ujian.

Tanpa rasa bertuhan, jiwa akan musnah dengan setiap ujian.

Tinggalkan yang ragu, tinggalkan yang meresahkan. Usaha dan usaha, hingga mati pun.

Jangan sampai hilang rasa berdosa, lalu angkuh dengan kebatilan (suatu yang palsu/dosa ) mula menjelma.

Yang meresahkan itu dosa.

Usaha hingga Mati. Itulah hidup perjuangan. Itulah hidup yang penuh cabaran. Itulah hidup yang sebenar hidup!

Lets Carpe Diem, live life to the fullest!




ps:Aku mungkin masih nakal, namun aku telah meninggalkan dan akan berusaha hingga mati, untuk meninggalkan apa yang meresahkan aku itu. I already make a decision, my decision. Walau aku mengarut dan mengeluh kadangkala, itu adalah kerana aku sekadar manusia biasa. 

Rabu, 24 Julai 2013

Berkasih atau tidak, berpartner atau tidak..

Alhamdulillah, syukur untuk hari ini dan semua nikmat-nikmat yang Dia beri. Tidak semua doa kita Allah makbulkan sekelip mata, tapi terlalu banyak nikmat Allah yang kita tak minta, Allah tetap bagi percuma. Pernah minta oksigen? Pernah doa minta mata boleh buka, tapi tetap setiap pagi kita boleh buka mata. Alhamdulillah.

Dalam ramadhan ni, ada beberapa doaku yang Allah makbul on the spot. Gerun pula aku. Tak mengapa setiapnya aku terima dan moga Allah didik aku untuk redha, hidup sekadar ujian, nikmat pun ujian.

Beberapa hari ini, atau beberapa minggu kebelakangan ni, ada rakan-rakan bercerita padaku, tentang niat hati ingin berubah tapi, masih takut untuk melukakan hati partner, takut nak meninggalkan partner, kerana telah lama hidup bersama.

Salahkah berpartner? Walau tiada lagi hubungan atas katil.

Sukar aku nak jawab. Dalam salah, ada baiknya, dalam baiknya ada membuka ruang untuk salah.

Dalam pada itu, aku menghormati rakan-rakan yang dapat membawa insan yang mereka cintai kejalan yang lebih baik. Bersama, berdua, pergi majlis-majlis agama, sama-sama jemaah solat. Indah kan?

Dalam pada itu mereka juga berjaya mengekang nafsu!

Memang amat aku hormati dan kagumi.

Kalau tanya aku, aku tak mampu. Dan sejujurnya, cukuplah aku telah berjaya keluar dari perhubungan itu. Kerana, aku orang yang belum berjaya mengekang nafsunya.

Bagi yang berpartner, masih belum dapat berhenti hubungan intim. Cuba mulakan dengan diri. Buatlah apa sahaja yang mendatangkan kebaikan dan lebih menenangkan hati, doa banyak-banyak...Allah dengar..yang penting usaha. Setiap usaha Allah pandang.

Namun andai anda telah solo, tak perlulah mencari, tak perlulah meminta pasangan. Bagi aku jika anda solo, Allah bagi peluang untuk lebih dekat pada DIA, lebih bergantung pada DIA, lebih sedar akan kewujudan DIA. Allah sebenarnya bagi peluang yang lebih hebat.

Seorang rakan bertanya pada ku..

"Akankah orang lain menghakimi saya, saya nak ke majlis ilmu, tapi saya ada partner"

Awak, usaplah air mata, pandang pada saya, dan ingat satu perkara.. Dalam hidup ini, tidak perlu fikir apa yang orang kata, tapi fikirlah apa yang Allah kata. Allah pandang usaha awak, Dia tahu, setiap niat dihati awak, Dia lebih dekat dari urat leher awak. Saya tahu awak telah lelah, ada kala awak rasa putus asa dan ingin menghentikan hayat, kerana lelah dengan cinta manusia dan dosa. Tapi, Dia sayang awak, lalu Allah datangkan rasa resah itu pada awak, sebab Dia nak awak mula datang pada DIA.


"....(Wahai Muhammad), maka katakanlah: "Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang yang mengikutku...." Al-i-imran ayat 20





Jumaat, 19 Julai 2013

Nikmat 10 ramadhan yang pertama 2013

Salam Jumaat :)

Hariini 10 Ramadhan, Alhamdulillah. Aku tidak tahu apa yang akan terjadi esok kerana aku bukanlah penilik nasib. Namun aku amat amat syukuri 10 ramadhan pertama ini.

Tahun ini aku belajar nikmat berpuasa. Pada sabtu dan ahad lepas, aku diserang gastrik buat pertama kali dalam hidup aku. Ya, akibat selama ini aku amat pergunakan nikmat boleh makan apa sahaja yang halal. Dan aku adalah penggemar makanan pedas yang amat. Bila aku disua ubat pil setelah mendapat suntikan penahan sakit di klinik. Tanpa sedar aku terasa sayu.

Secara jujur aku bukanlah alim sangat, aku bukanlah baik sangat. Dulu-dulu aku selalu juga ponteng puasa, curi-curi makan dan kadangkala gembira bila datang waktu 'Allah bagi cuti'. Dulu aku mana kira ramadhan ke tak, semua aku tak suka.

Keluar klinik, masuk kereta, dengar pula radio yang sedang ceritakan nikmat orang berpuasa. Pahala dan ganjaran puasa, Allah simpan sebagai haknya. Sebagai rahsianya. Dan orang berpuasa ini, jika tulus kerana Allah, setiap perbuatannya adalah ibadatnya, laparnya, letih dia, semua Allah tahu dan kira. Allah seolah mewar-warkan bahawa dia hak Allah.

Bayangkan, orang yang sayang kita, cinta pada kita, bagitahu satu dunia, kita ni adalah milik dia. Bukankah itu kegembiraan yang agung, pada semua kita yang sering mencari cinta.

Masa tu, baru aku sedar, selalu terdengar keluhan rakan-rakan yang dalam rawatan ubat, mengadu sedih tak dapat puasa. Baru aku faham perasaan mereka.

Alhamdulillah, cuma dua hari. Tapi rakan-rakan aku, ada yang tidak mengjangka, ramadhan yang lepas adalah kali akhir mereka dapat berpuasa.

Bagaimana andai nikmat puasa untuk ramadhan kalini adalah yang terakhir. Ya Allah, hilang satu nikmat yang agung.

Dan selain ukhwah bersama rakan-rakan GNY didalam whatssap dan FB yang saling berkongsi tazkirah dan audio bacaan mengaji, tak kurang juga yang suka menyanyi menghibur hati, hehe. Aku berpeluang bertemu dengan seorang sahabat yang banyak menyokong aku sejak blog ini mula menyentuh tentang PLU. Sahabatku, yang beravatar kucing comel di FB, Allah pinjamkan sehari untukku.

Aku berpeluang iftar bersama keluarganya dan kemudian terawih di masjid negeri, yang selalunya aku akan elak kerana bilangan rakaat yang banyak. Malam tu kami berbual panjang dalam perjalanan, tentang dunia PLU dan pertembungan dunia kami dengan golongan agamawan. Latar belakang dia dan aku amat berbeza, fikrah Islaminya banyak menyekat naluri yang menjadi persamaan antara aku dan dia.

Kawan, aku rindu berjemaah subuh denganmu.

Ramadhan kalini, juga aku belajar apa itu Talaqi. Belajar dengan al-baghdadi Learning Center aku dapat lihat peluang untuk aku belajar quran terbentang luas. Sangat-sangat syukur pada yang esa, memberi aku keberanian mendaftarkan diri di pusat pengajian itu awal disember lepas.

Banyak sungguh nikmat, bila mencari jalan kebenaran. Terlalu banyak nikmat ujian dan nikmat kegembiraan. Lalu kawan, jangan gentar, yakinlah dengan sifat penyayang Allah. Bila kau bertekad untuk meninggalkan kepalsuan, Allah akan membantuMu dengan setiap jalan dan cara yang unik.


Rabu, 10 Julai 2013

GNY:Pengalaman tak ternilai

GNY=Program Getting To Near You 2013

Alhamdulillah telah selesai semua. Hikmahnya program ini diadakan seminggu sebelum ramadhan.

Program ini dihadiri oleh 20 orang peserta, peserta pelbagai latar belakang dan proffesion tetapi memegang satu label yang sama. Andai anda mahu melabelkan. Dan, niat yang sama. Mahu menuntut ilmu.

Penceramah terdiri dari Ummie Ros (Raudhatus Sakinah), NurSyuhada (Perunding Imej), Sifu Hanafi (Penceramah bebas, selalu di tv9 rancangan tanyalah Ustaz, dan sering mengadakan program bersama transgender), fasilitator-fasilitator dari Yayasan Ihtimam dan Ustazah Laila (Perunding Motivasi).

Diruang yang terhad ini (yelah fikiran dah sampai ke bazar ramdhan, lol) tak mampu aku nak rumus semua pengalaman yang telah ditimba dan tercipta antara kami disini.

Di program ini kami mengenali Ummie Ros yang penuh dengan sifat keibuan, banyak bercerita tentang pengalamannya menguruskan Raudhatus Sakinah, brkongsi ilmu tentang ukhwah dan persaudaraan didalam islam.

Perunding imej, Puan Suraya menyebabkan kami faham betapa indahnya seorang wanita itu, menambah pengetahuan kami yang terdiri dari pecinta wanita.

Sifu Hanafi menyentak kami dengan kepentingan alfatihah, menyelusuri diri kami untuk lebih mengenali diri, menilai diri yang fitrahnya adalah hamba Allah dan mempunyai pelbagai latar belakang yang menjadikan kami siapa hariini. Tiada pengalaman yang sia-sia termasuklah kisah seorang peserta  yang memancitkan tayar gurunya, kemudian diberi idea untuk membaling telur busuk dan juga kisah seorang peserta yang dibesarkan didalam keluarga islam, namun kemudiannya memeluk buddha dan kristian, akhirnya kini kembali kepada Islam.

Fasilitator-fasilitator memberi penerangan tentang asas ibadat seperi taharah, rukun wudhu dan solat. Soalan demi soalan menjadi topik hangat perbincangan, apa sahaja, apa sahaja hinggalah kepada dilema kami sebagai PLU antara kewajiban mandi wajib selepas bersihaqah dan meladeni nafsu. Moga kami berjaya berjuang untuk tidak lagi melakukannya. Kemudian praktikal solat dan juga wudhu di surau.

Akhir sekali adalah slot bersama Ustazah Laila yang dikenali sebagai ustazah paling cantik. Seorang perunding motivasi. Berkongsi dengan kami bahawa hidup sebenarnya bukanlah ujian, tetapi adalah pilihan yang didatangkan dari Allah.

Tidak lupa juga slot sharing as PLU, kami berkongsi pengalaman suka duka sebagai orang-orang senget. Bagaimana kami bermula, bagaimana kami menyedari naluri ini wujud, pelbagai cerita benar yang amat berharga. Hinggakan tak sedar kami hampir menghabiskan beberapa dulang sandwich dari pihak hotel. Dari jam 11 malam hingga ke 3 pagi. Dan pastinya setiap cerita sekadar untuk kami yang mula membina ukhwah dan saling baru berkenalan.

Banyak pengalaman dan ilmu yang ditimba. Dan pengalaman pertama terlibat dalam program yang melibatkan PLU dan orang-orang straight pastinya sekadar mimpi andai mahukan kesempurnaan. Setiap cabaran adalah peluang untuk memperbaiki diri.

Pertembungan golongan agamawan dan PLU pastinya memberi banyak ruang dan peluang untuk saling sama mengenali.

Dan dari program ini juga akan terhasil kelompok kecil perbincangan ilmu dan bersama-sama lagi ke taman-taman syurga. Inshaallah.

Ada rezki, jika ada pihak lagi yang sudi menaja, inshaallah program ini akan diadakan lagi. Kepada urusetia dan penaja yang kupilih untuk meng anonymiti kan mereka, sungguh hanya Allah mampu membalas pahala kalian, dan moga sentiase berusaha mendidik kami untuk berdakwah dan mengikut jejak kalian.

Segala puji bagi Allah. Alhamdulillah.
Selamat menyambut Ramadhan, moga ramadhan ini hijrah, moga ramadhan ini kita dikalangan yang dirahmati.


Note: Group FB Jalan Pulang PLU telah pun dijadikan secret group demi menjaga identiti group dan kerahsiaan ahli-ahli, sekiranya ingin menyertai, sila email saya. Terima kasih.

Ahad, 7 Julai 2013

GNY:Aku dan Oswald

Program getting near you (GNY), menemukan aku dengan sahabat-sahabat yang tidak ternilai harganya, mari aku ceritakan sedikit demi sedikit.

Kisah pertama adalah kisah aku dan Oswald yang bertemu melalui group Jalan Pulang, dia salah seorang ftm yang hadir didalam group itu, selain Axl yang pernah aku temui.

Kami duduk sebilik, aku dan dia bagaikan dua sahabat karib. Dikatakan hubungan kami seperti hubungan kulit, Skinship. Hubungan tanpa tarikan seksual, mungkin kerana aku yang lesbian. Atau aku yang kurang perempuan, lalu kami boleh tidur sekatil tanpa sebarang masalah. Itu belum lagi kami saling berbangga dengan boxer dibadan.

Jujurnya, itu pengalaman pertamaku sebilik dengan plu. Tapi kalau aku sebilik dengan gadis yang memang femme, mahu melayang aku. Nasib kami telah awal-awal merancang letakan bilik peserta, sebarang risiko sebolehnya kami jauhi.

Kadangkala kami berpegang tangan, kerana Oswald rimas dengan sifat aku yang suka menoleh kebelakang andai dia dibelakangku, apalah yang mampu aku lakukan, sikap dominan ku kadangkala tak bertempat, sentiasa mahu orang yang bersama denganku selamat disisi.

Kadangkala kami bergasak macam budak-budak. Tapi aku kalahlah dengan kekuatanku yang tak seberapa. Paling seronok, Oswald menggunakan fizikalnya yang ternyata lebih kuat dari aku, untuk mengejutkan aku subuh. Cukup sekadar dia meletakkan kakinya menghempap kaki aku, dah cukup buat aku terjaga sambil merengus. Yelah, 3 hari aku dan kawan-kawan banyak menguruskan peserta, dan juga bersembang hingga lewat, menyebabkan tidur menjadi pilihan akhir.

Paling indah, bila kami solat bersama. Dan Oswald amat segera menunaikan solat dengan alarm nya yang setiasa dipasang, untuk kelima-lima waktu. Sedang aku, cuma memasang alarm untuk waktu tidur!

Sepanjang kuliah, aku menjadi penterjemah dan tanpa aku sangka, aku boleh juga menterjemah ke bahasa inggeris dengan spontan. Alhamdulillah. Harapnya terjemahan aku membantu Oswald dalam memahami ilmu yang cuba disampaikan oleh penceramah.

Kesibukan bersama rakan menguruskan situasi, kadangkala membuatkan aku terpaksa membiarkan Oswald bersendiri, ah, dia sememangnya sebenarnya amat berdikari, kawan ini telah banyak mengembara dan telah punya banyak pengalaman hidup yang mengkagumkan.

Akhir pertemuan, adalah apabila aku menghantarnya di balai berlepas, moga Allah menemukan kita lagi.

Dan sesungguhnya, aku menyayangi mu kerana Allah, sahabat.

note: akan menulis tentang perkongsian di program getting near you dan juga ukhwah antara teammate yang amat berharga.

Khamis, 7 Mac 2013

Bukan Ubat kuat tongkat Ali


harini ini tiada kata-kata. Kata orang, kenapa berhenti berharap? Aku cuma berhenti berharap pada dunia, kerena telah terlalu banyak nikmat yang aku kecapi, andai apa yang bukan aku miliki, itulah yang bukan rezki dan hak aku. aku cuma ingin 'pergi' dalam redha dan tidak sebagai penderhaka. Jika ujian datang dan aku yakin hidup ini sekadar mengurus ujian...kuserah segalanya pada yang Esa. Dan aku yakin dia pemberi jalan penyelesaian.

Ada orang bertanya, bagaimana aku sekuat ini. Tidak kawan, aku tidak lah sekuat apa. Dan aku yakin ujian kalian lebih dasyat lagi. Aku ini sekadar melepaskan satu persatu, dan itu pun masih bersisa.

Bila tekad nak berubah dan nak berhentikan semuanya kerana Allah, bantuan Allah pasti datang tanpa disangka-sangka. Aku pernah menyangka dengan perkahwinan aku akan selamat dan berubah. Rupanya tidak. Benar kata Deanna dulu..

"If God cannot stop you, how a husband can stop you?"

Sebelum berkahwin, aku pernah berkali berhenti, doa dengan sangat pada tuhan, dan memang Allah bantu dengan pelbagai kejadian. Tapi kemudiannya Allah juga akan datangkan ujian yang makin besar, dan semuanya itu untuk mengajar aku lebih kuat, kerana Allah maha Penyayang.

Selepas gagalnya perkahwinan itu, aku masih juga 'bersama' dengan Deanna, namun rasa bersalah dah amat tinggi. Mungkin proses perceraian dulu buat aku semakin kuat dengan Allah, solat malam selalu, kerana perkahwinan itu terlalu dasyat buat mental aku. Merayu dan merintih disejadah itu menjadi amalan, tabiat manusia, bila buntu dan sukar dia akan mencari Allah, bila senang..dia mencari yang lagha.

Dan selepas perceraian itu, aku mula tenang, dan waktu itu dah bertekad, itulah sebesar-besar pengajaran Allah, perkahwinan tidak akan menghentikan aku, malah apa-pun tidak akan menghentikan segala onar dan penderhakaan yang aku buat.

Hanya dengan rasa bertuhan.

Ya, hanya dengan rasa itu yang akan menghentikan aku. Dan bila hati mula berniat berubah kerana Allah. Allah temukan dengan orang-orang yang membantu.

Pertemuan aku dengan sahabat blogger yang hebat, membuatkan aku tekad. Aku diberi nikmat kesihatan dan umur, sampai bila lagi akan aku bazirkan dengan dosa yang meresahkan diri?

Syawal 2012, aku berterus terang, dengan Deanna, dimana beberapa hari sebelum tu, kami masih bermukah sesuka hati, dan setiap kali ia berlaku, aku makin resah, aku makin derita, walau selepas nikmat dunia yang beberapa jam itu. Dan tuhan bagi kekuatan pada aku, untuk berterus terang menyatakan pendirian aku pada Deanna, bukan mudah, kerana dia pengikut Katholik, dia mempersoalkan semua asbab yang aku nyatakan.

Satu demi satu. Aku leraikan.

Dan semuanya, Allah bantu. Malah semuanya..Allah gerakkan.

Aku sedar, ujian yang kawan-kawan lalui adalah amat hebat lagi. Namun, aku doakan semuanya akan menemui penghujung yang baik dan Allah redha. Moga kita sentiasa diberi hidayah, amin..yarabbal alamin.

ps: aku selalu rasa nak gelak tengok iklan-iklan ni, dalam masa yang sama, aku simpati..siapa kata mudah menjadi lelaki?



Jumaat, 1 Februari 2013

Dunia ini tidaklah luas



Aku baru pulang dari makan malam. Bersama seorang kawan baru yang menjadi member usrah.

Kelakarnya, dia adalah teman serumah kepada salah seorang perempuan yang pernah ku letakkan hati. Berkali juga dia bertanya, bagaimana aku kenal dengan kawan itu, aku asyik berkata..aku pun tak ingat.

Dunia ini terlalu kecil. AKu terfikir, bagaimana andai blog aku ini mula diketahui oleh orang-orang yang tidak mahu aku tahu.

Namun kemudiannya, aku fikir, ah persetankan.

Andai seorang penghidap HIV boleh memberitahu statusnya, kenapa aku takut dengan kisah silam aku. Biarlah, orang nak kenal aku. Mungkin aku tidaklah sesekali akan berbangga dengan siapa aku. Tapi, mahu atau tidak, aku tidak boleh menidakkan bahawa aku adalah MGDA.

Seseorang yang bukan lurus. Seseorang yang punya sisi gelap yang pelbagai.

Bersama dengan Positive Warriors aku selesa. Kerana dikalangan mereka ada yang membaca blog aku, dan tahu aku siapa. Sungguhpun tidak sekali berbangga, tapi cukup merehatkan aku dari bersembunyi.

Perancangan tuhan amat sempurna. Dan tuhan tunjukkan segalanya yang aku perlu syukuri.

Aku mahu diri aku boleh berdiri sebagai diri sendiri. Bukan dengan segala yang palsu.

Hanya kerana aku sedikit bertuah, aku bukan pengkid, dan aku bertudung, lalu aku mudah menipu yang tidak tahu, walau itu bukan sekali-kali niatku. Hakikatnya, aku juga sama pernah berdosa seperti orang lain, persetankan. Andai orang mahu terbeliak biji mata tergolek-golek bila mengetahui siapa aku dari blog ini, pedulikan.

Tetapi untuk menunjukkan sisi gelap ini dan menjaja nya, tidak sesekali.

Apa tah lagi, semua coretan blog ini adalah bukan fiksi.

Khamis, 31 Januari 2013

Masa yang dicari



Segala puji bagi Allah, yang mendatangkan setiap kemanisan didalam hidup untuk dinikmati dan setiap ujian untuk mematangkan dan menguatkan lagi hati-hati hambaNya yang amat dikasihi.

Kadangkala, setiap masa kita amat sibuk dengan kerja dan kerja, dan aku amat kadangkala menantikan masa untuk keluar menonton wayang dengan rakan yang aku sering dan masih sayang, Deanna.

Walaupun dia adalah cabaran hebat bagiku, namun aku tahu dia adalah sahabat akrabku dialam realiti. Walau nafsu sering melonjak disaat aku merenung dia, namun akulah yang kena mengawal hati dan perasaan. Walau aku sedar kadangkala hati aku meraung, moga adalah sang adam yang dapat menggantikan tempat Deanna dihatiku. Namun aku harus paterikan dihati aku bahawa ALLAH sebaik-baik perancang. Andai ditakdir aku tidak punya hati untuk mana-mana Adam, atau Adam yang Allah sisipkan rasa hatiku pada mereka, tetapi tidak dizin untuk bersamaku, biarlah. Allah sebaik-baik perancang.

Semalam, Adam terluka denganku apabila aku cuba bersuara dengannya tentang ketidak yakinan aku pada dia. Namun, sebagai seorang hawa, aku tahu aku berhak untuk merasa yakin sebelum mula berfikir untuk membuat keputusan.

Lalu bagaimana andai dia terus pergi, walau sebagai sahabat?

Biarlah, andai dia tidak mampu bertahan, itu maknanya tuhan tidak takdirkan aku untuk dia.

Sayang,..bukan hanya dibibir..tapi pada perlakuan dan usaha.

Matlamat hidup aku bukan lagi terletak pada berkeluarga atau zuriat. Berkeluarga pun tidak semestinya akan ada zuriat, berkeluarga pun tidak semestinya akan menjamin segala.

Aku tidak mahu lagi membuat keputusan dengan ada sebarang keraguan.

Masa, kadangkala aku terfikir, aku tercari-cari masa dengan Deanna, untuk diri. Tetapi entah bila aku mampu menguntukkan masa untuk yang mencipta aku. Dunia, dunia, dunia, makin dikejar makin ia berlari, makin sibuk semakin lelah.

Baru-baru ini seorang teman yang tidak pernah aku kenal tetapi sering juga ku lihat-lihat, telah dijemput Illahi. Melihat kekuatan rakan-rakan Positive Warriors menghadapi ujian demi ujian dalam kehidupan, buat aku sedar...apalah sangat ujian hidup aku. Membaca kisah syahid dunia yang dimiliki pelajar UTEM, aku terfikir, dia pergi dengan tenang kerana redhanya pada ujian Allah, kerana kuatnya dia pada dakwah.

Apalah ada pada dunia...

Impian aku, aku nak belajar quran sungguh-sungguh, biar berguru dengan 8 guru pun, sekurangnya aku berusaha. Aku nak belajar bahasa Arab, supaya aku lebih tahu isi kandungan al-quran. Dan ada satu, aku nak belajar ilmu akidah, fiqah dan sebagainya, ilmu-ilmu ini aku mungkin agak lambat kerana ianya hanya mudah didapati secara tidak formal. Aku akan cuba berjinak-jinak dengan kuliah-kuliah agama. Setakat ni aku ada risik-risik surau dan masjid terdekat. Cuma kekangan masa yang sering membuntu kan.

Ini hidup aku, dan aku nak hidup untuk ini.

Aku yakin aku mungkin tidak lah dapat cemerlang atau menguasai ilmu-ilmu itu, tetapi aku yakin Allah memandang usaha.

Dan Dialah, sebaik-baik yang Maha Mengetahui.

Rabu, 10 Oktober 2012

Signifikasi blog AHP Positif




Ya, apa signifikasinya blog AHP Positif buat aku?

Aku bertemu blog ini, selepas aku mengalami satu fasa hitam didalam blog aku. Waktu tu aku cuba menyambung fasa yang pernah terbengkalai dalam hidup aku. Tak mengapalah tentang fasa itu, dah pun berlalu.

Yang penting, blog ni benar-benar membuka mata aku.

Hidup ni sangat-sangat luas.

Kalau nak ikut kekaguman aku pada pengasas blog ini, ianya sekadar menambahkan ketakjuban aku pada Yang Maha Berkuasa. Blog ni salah satunya, menarik aku supaya berhenti berduka selepas era fasa hitam itu. Dan kemudiannya, mengheret aku pada perjuangan aku.

Perjuangan yang selama ni tak pernah bertahan lebih dari seminggu pun. Perjuangan yang sekadar selalu ditempelak oleh kekasih dan juga skandal. Wohaaaaaa...skandal beb.

Bukan skandal kah kalau aku pernah curi-curi buka pintu dapur waktu malam, pernah sewa hotel dan menyamar sebagai lelaki, pernah merasa tidak selamat andai mati terbunuh sewaktu play dalam bdsm.

Blog AHP ni memberi kekuatan pada aku. Antaranya selalu mengingatkan aku, betapa aku sekadar terselamat dari HIV kerana beberapa prinsip yang aku pegang teguh. Sebenarnya ia hanya satu garis halus dan amat kabur.  Pakcik ni tak pula songsang dan buat benda-benda buas macam aku, diuji juga dengan HIV. Sesungguhnya setiap insan ada ujiannya sendiri.

Dan blog ni banyak,amat banyak beritahu aku. Pergunakan kesihatan yang ada sebaiknya. Aku tahu, mungkin ada PLHIV yang kalau boleh, sanggup bayar untuk apa sahaja agar hiv itu lenyap dalam hidup mereka. Namun alhamdulillah, tak kurang juga yang kerana hiv lah mereka mendapat kehidupan baru yang lebih bernilai, yang tidak ternilai sebenarnya.

Jadi, sebelum aku terjebak, mati sewaktu play bdsm ke, syirik tertukar agama waktu sujud pada master aku ke, atau tertukar agama sebab nak sangat kahwin dengan partner aku ke, lari ke thailand untuk hidup tanpa prejudis tentang lesbian, atau menjadi hamba zina yang paling hina ke. Baik aku taubat dan berhenti. Kalau aku boleh membuat seribu usaha untuk menghalalkan yang haram, kenapa tidak aku buat satu usaha untuk menghentikan yang haram? Walau pahitnya bagai membunuh jiwa aku.

Benar lesbian amat sukar untuk mendapat hiv, tetapi aku biseksual. Dan tak menolak, mereka yang terlibat dengan aku jua ada yang biseksual, kalau tak terkena std lain, tu dah kira beruntung. Lelaki ni memang jalang kan, patut ada planet khas untuk perempuan.Hahahahaaha. Sori bro, gurau. Dan lesbian pun taklah semestinya selamat, ada ramai kawan aku yang lesbian pernah berkahwin, dan kini tukar pasangan sana sini, kalau dia pernah berkahwin, dan partner dia pun seorang isteri, dan kemudiannya nanti melibatkan orang lain. Kalau tak berjangkit penyakit, berjangkit dosa.

Dan sebenarnya, blog AHP kini memang menjadi hidup aku. Aku manusia yang memerlukan sesuatu untuk melupakan sesuatu. Jadi dulu aku amat aktif dengan komuniti bdsm, dan kini komuniti Positive Warrior Support Group pula menjadi tempat aku berhubung silaturahim. Dulu aku aktif di komuniti bdsm kerana mereka menerima aku sebagai lesbian bicurious, tetapi agak jengkel dengan aku sebab aku asyik meroyan nak berhenti bdsm sebab rasa bersalah.

Sekarang di blog ahp dan PWSG, aku diterima (walaupun mereka senyap je..hehe) dan menerima semua status aku.

Dan pakcik ahp yang tua ni tapi dia sebenarnya taklah tua sangat, lah yang selalu menyokong aku..untuk terus berjuang dan berjuang. Lalu melalui dia juga aku kenali Ao Ahp, Edgenote dan kira (bukan nama sebenar), yang menjadi penyokong setia aku.

Siapalah nak sokong biseksual dan bdsmer terbuang dari golongannya ni. Yang cuba memadamkan kisah silamnya dengan taubat yang entah laku atau tidak.

Salah. Allah ada..dan Allah akan datangkan bantuannya melalui pelbagai bentuk, apabila seseorang itu meninggalkan sesuatu kerana Allah.

Moga semua Positive Warrior Support Group akan terus berjuang, demi Allah!

Note: Cuma sayang, aku belum mampu mendedahkan blog ahp kepada rakan-rakan di FB rasmiku, hanya kerana takut identiti Malaikat gelap ku terdedah. Moga satu hari nanti, Allah tunjukkan jalan buat aku.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...