Halaman

Jumaat, 12 Disember 2014

Positive Warriors,Pusat Komuniti dan Pakcik Pie.

Tahun 2014, aku mula berkecimpung secara serius dalam Pertubuhan Positive Warriors Malaysia, dan aku sesungguhnya masih baru belajar, masih baru bermula. Dan aku sekadar belajar dari pemerhatian, kadangkala tak mampu buat seperti apa yang orang-orang yang lebih berpengalaman buat.

Pertubuhan Positive Warriors Malaysia adalah inspirasi dari blog AkuHIV positif, dimana NGO ini terdiri daripada sukarelawan yang sukarela berkhidmat untuk menghasilkan komuniti yang memberi sokong bantu kepada PLHIV khususnya muslim di Malaysia. Juga bekerja keras menyebarkan maklumat yang tepat tentang situasi sebenar diskriminasi, prejudis dan stigma yang berlaku terhadap PLHIV kepada masyarakat,melalui media sosial, program-program yang dianjurkan ataupun yang menjemput wakil atau presiden PPWM untuk memberi penerangan tentang komuniti dan misi PPWM. PPWM bukanlah satu NGO yang mempunyai kepakaran dalam outreach atau bantuan kebajikan.

Presiden persatuan ini adalah En. Muhammad bin Wahid atau lebih dikenali sebagai Pie, beliau telah membawa keluarganya dalam perjuangan ini, beliau terjun dan dalam masa yang singkat iaitu kurang lebih 3 tahun, beliau telah membuatkan nama Pertubuhan Positive Warrior Malaysia mula meniti bibir mereka yang berkecimpung didalam arena HIV aktivis ini. Bonus bagi beliau kerana beliau seorang PLHIV yang beristeri dua(isteri-isteri dan anak-anak adalah bebas dari HIV)  dan berlatar belakang agama yang kuat. Situasi itu menepis bahawa semua PLHIV itu hanya terdiri dari individu-individu yang berdosa, pembuat maksiat dan sampah masyarakat.

Disamping beliau dan keluarga sentiasa menghadiri jemputan program yang berkaitan dengan AIDS dan HIV yang bukanlah berbayar sangat seperti yang didakwa kadangkala, beliau baru-baru ini telah menggunakan semua sumber kewangan beliau dan keluarga demi membina sebuah pusat komuniti mini, sebagai lokasi program-program pemantapan sukarelawan PLHIV dan juga sebagai tempat untuk mendidik masyarakat tentang HIV dan AIDS.

Maafkan aku kalau aku dilihat sedikit menyanjungi keluarga ini. Buat pengetahuan semua, dari keluarga beliau dan beliau juga menerapkan asas didalam pertubuhan ini satu prinsip sukarelawan yang sebenar. Iaitu kami bekerja tanpa apa-apa imbuhan, program-program yang dikendalikan melalui tajaan JAKIM dan sebagainya, dijalankan tanpa sedikit pun ahli jawatankuasa mendapat imbuhan. Apatah lagi untuk masuk ke akaun pertubuhan. Kami bekerja dengan peluh dan airmata sendiri.

Aku belajar dan terkejut apabila sebenarnya, kebanyakan NGO bekerja dengan dana dari sesuatu sumber. Walaupun itu tidaklah salah dan kebanyakan NGO memperuntukkan elaun untuk sukarelawan sendiri, hingga kadangkala sesbuah NGO sangat bermotifkan wang untuk bergerak.

Pertubuhan Positive Warriors Malaysia mungkin adalah sebuah NGO yang paling miskin didalam bidang ini, Namun matlamat perjuangan ini adalah mendidik masyarakat dan juga memantapkan komuniti yang dikatakan terpinggir ini tetap berlansung. Benar, yang menggerakkan pertubuhan ini naif dalam bidang mengutip dana, namun bayangkan selama sepenggal, satu AGM, tanpa dana melainkan program-program yang ditaja JAKIM, pertubuhan ini telah dikenali dan memberikan khidmatnya dengan baik sekali.

Pusat Komuniti yang dibina di tanah persendirian ini adalah infaq beliau sekeluarga dan juga mereka yang memberi sumbangan untuk satu pusat pendidikan kepada masyarakat. Disinilah nanti, disamping seminar dan program, tempat beliau mengajar quran dan fardhu ain kepada murid-murid dewasa, juga penginapan mereka yang mungkin perlu kan tempat sementara menjalani rawatan di hospital atau klinik kesihatan terdekat.

Pakcik Pie dan salah satu bangunan komuniti.

Tangga yang separuh siap

Hampir siap, namun belum sempurna.

Sebuah keluarga yang telah menghabiskan hampir rm200,000.00 (dua ratus ribu ringgit) untuk pusat komuniti ini dengan wang simpanan dan pinjaman bank sendiri. Maaf entry ini terlalu jujur. Harus diingat mereka sekeluarga bukanlah orang berada, hanya rakyat marhain yang bergaji bulanan.

Perincian di blog beliau andai anda ingin membantu beliau menyiapkan pusat komuniti ini : Sumbangan pusat komuniti 

Dalam dua tahun aku berkecimpung dalam dunia sukarelawan ini, Dan aku akui sangat mentah, aku banyak belajar tentang hati dan jiwa manusia. Jujurnya aku sangat mentah dalam dunia komuniti, namun aku yakin, kerana aku tahu matlamat pertubuhan ini, aku masih berdiri dibelakang pertubuhan ini. Manusia silih berganti akan pergi, namun selagi perjuangan dan matlamatnya masih benar, dan jelas, aku insan kerdil ini akan membantu dengan kapasiti yang aku ada.

Inilah hidup MG DA kini.

Info Berkaitan:

Facebook Fanpage PPWM:

Laman Web Rasmi PPWM:


No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Khamis, 4 Disember 2014

GID dan Transgender di Malaysia, kemana?

Sebagai orang awam, isu ini mula menarik perhatian umum, dan pastinya sebagai seorang yang amat tertarik dengan isu seksualiti, aku tidak terkecuali.

Ada dua perkara yang aku lihat disini. 

1. Institusi mahkamah syariah mula dicabar.
2. Hak bersuara golongan LGBT mula menerobos ke ruang yang sering ditakuti.

Golongan doktor ada yang menerima baik dan mengatakan golongan ini perlu dirawat dan tidak disisihkan. Golongan pelampau agama mula memaki hamun golongan yang dikatakan sebagai golongan laknatullah ini. Dan golongan LGBT tegar pula semakin melaungkan hak bersuara yang menjadi gagasan dunia.

Golongan doktor melihat perkara ini dalam sudut paling liberal. Mereka perlu dirawat kata penulis drsyamirul.Baiklah, andai perlu dirawat, hasil yang bagaimana yang dikehendaki? adakah mereka yang keliru ini akan menerima jantina asal mengikut fisiologi mereka?

Satu lagi pertanyaan, kaliini kepada golongan transgender, mahukah anda dirawat untuk akhirnya menjadi yakin dengan gender asal? Lagi pertanyaan, adakah anda akui anda sebenarnya sakit jiwa dan perlu dirawat?

Terasnya disini adalah akidah, apabila anda tidak dapat menerima hukum tuhan dan kejadian tuhan, akidah anda, keimanan anda boleh dipersoal.  Sedangkan institusi keagamaan hanya menjalankan tugas mengikut hukum yang termaktub dalam syariah, mencegah kemungkaran yang lebih besar.

Persoalan disini, anda redha atau tidak Islam menjadi agama anda? Anda redha tak, Allah sebagai tuhan anda? Nabi Muhammad sebagai pesuruhNya?

Lantas apa yang digariskan didalam Islam, apa yang ditentukan oleh Allah dan apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad itu adalah benar dan wajib diterima andai kau redha Allah tuhanmu.




Selasa, 11 November 2014

Ma

Satu dunia pernah berpesan, tentang kasih seorang ibu.
Dan satu dunia pernah berkata tiada taranya kasih seorang ibu.
Juga satu dunia telah memberitahu dunia tidak akan sama setelah seorang ibu tiada lagi.

Ada waktu rindu sangat mengcengkam
Ada waktu dunia sangat sepi
Ada waktu diri sangat hilang

Setelah dia tiada.

Pelik
Aneh

Aku sangka aku sangat kuat tanpa dia
Aku sangka bahagia itu tanpa dia
Aku sangka duka itu hilang seperginya dia

Aku bukan orang baik

Ma
Andai kau ada mungkin aku tidak pernah belajar erti hilangmu.

Ma
Aku akan bayar apa sahaja untuk punya kasih seperti ini.

Ma.
Ma.
Ma.
Ma.

Ibu.

Jumaat, 24 Oktober 2014

Life itu kehidupan

Always againts us

Kadangkala bagai lautan sejuk
Kadangkala bagai hutan yang manis
Kadangkala bagai pasir yang sayu

Rindu
Pada silam yang menggamit
Cuma sekadar
Cuma secicip
Sepi

Ada taufan yang dalam
Ada hujan yang bisu
Ada malam yang silau
Ada banir yang sangat kering

Rindu.

Selasa, 30 September 2014

Datang dan pergi

Dalam hidup aku,aku tak ramai rakan. Ada rakan,aku kekal berkawan kerana aku hormati dan meminati cara mereka berfikir. Ada rakan,aku tetap berkawan kerana..tanpa sebab.

Manusia datang dan pergi. Dan satu waktu kau sedar dia ingin terus pergi.

Harini kau makan semeja, esok belum tentu kau boleh melihat walau sekilas saja.

Manusia berubah. Itulah yang pasti.

Dan ada juga, manusia itu sekadar hanya untuk dikenali bertahun-tahun hanya untuk ditinggalkan apabila kau benar-benar mengenalinya.

Aku rela buat-buat bodoh dari diperbodohkan. Banyak waktu aku akan berdiam diri apabila tidak bersetuju, namun aku akan tetap tak bersetuju bila menyalahi prinsip aku.

Benar,banyak kali aku tersilap. Namun aku manusia yang tak mahu terusan silap.

Aku boleh terus sahaja bersahabat dengan sesiapa andai kita faham erti kepercayaan.

Jumaat, 26 September 2014

Bengkel Fiqh dan Smart Solat

Dijemput semua muslimat untuk hadir ke majlis ilmu. Pakaian adalah menutup aurat.

Dianjurkan oleh rakan-rakan GNY(Getting near You) iaitu sebahagian dari rakan-rakan Jalan Pulang.

For people like us.

Khamis, 18 September 2014

Satu

Selalu aku dengar ayat,siapa lah yang tak mahu berkahwin. Dan ramai juga yang mengatakan hidup aku mudah kerana telah berkahwin.

Ceritanya,cuma aku dah jarang menulis.

Ujiannya tetap sama.
Bila seorang PLU berkahwin baru sedar sebenarnya tiada yang berubah melainkan tanggungjawab.namun tidaklah aku mengatakan perkahwinan itu tiada manfaatnya. Tidak begitu sama sekali.

Meninggalkan sesuatu yang disukai naluri mu perlukan kekuatan.

Apatah lagi rakan-rakan mula menjauh dan kau sedar kau tidak boleh sewenangnya berperilaku. Ada seseorang yang kau perlu fikirkan.

Paling pasti kau kena sangat kuat. Kerana tak  perlu lagi berbicara pasal cinta,hati,rindu,keinginan dan kehendak. Biar itu antara kau dan tuhan.

Isnin, 25 Ogos 2014

Pasca penyatuan

Browser di laptop tah apa yang silapnya tidak boleh buka blogger. Jadi terpaksa menulis dari telefon ini. Haish.

Kini masa untuk menulis dah tak banyak. Oleh kerana aku dan dia meminati bidang sukarelawan, sering hari minggu kami habiskan dengan program dan aktiviti. Aku lebih gemar menulis menggunakan laptop. Puas menatap skrin.

Bila alam perkahwinan aku tempuh ada sesuatu yang kadangkala aku kena belajar terima dengan redha. Terutama melibatkan kewanitaan.

Sepanjang hidup aku, aku lebih gemar dengan watak maskulin aku yang tak seberapa. Namun itulah aku. Lalu kerana perkahwinan, perkara yang melibatkan kewanitaan terpaksa aku tempuh.

Beberapa minggu lepas aku menjalani pemeriksaan kesihatan. Alhamdulillah aku ok setakat ini.

Naluri aku, ya benar,aku mahukan anak, tapi aku tak sanggup dan tidak selesa untuk melalui proses-proses ya melibatkan sistem biology wanita.

Aku terbaca satu artikel tentang seorang wanita yang sangat maskulin,berkahwin dan mempunyai seorang anak. Dan selepas kelahiran itu, dia memfailkan cerai dan terus menjalankan terapi hormon dan kemudiannya menjalani pembedahan menukar jantina.

Katanya proses biologi itu menyebabkan dia kemurungan dan benar-benar tahu bahawa dia terperangkap dalam tubuhnya.

Aku merasai perasaan itu sebanyak 20%.

Apatah lagi bila datang pertanyaan:-

"Kau tak mengandung lagi? Kau tak buat ke?"

Untuk pengetahuan mereka yang mempunyai semangat ingin tahu yang tinggi ini, jawapannya aku tidak pernah gagal menjalankan tanggungjawab aku terhadap dia dalam bab batiniah yang khusus ini.

Awalnya ia tidaklah mudah kerana ada beberapa kesan psikologi yang aku hadapi disitu. Tapi alhamdulillah, dia sangat memahami dan sangat bijak menangani masalah aku.

Alhamdulillah,aku dijodohkan dengan orang yang bukan sebaya.

Aku dan dia umpama kawan. Dan sangat indah kerana aku menjalani kehidupan tanpa lagi memikirkan apa yangbaku dan pasangan aku lakukan adalah murka Allah. Sebaliknya ia menjadi ibadat.

Cuma perlu berusaha mengislamkan keinginan dan nafsu.

Ada yang mengatakan..nah..bila kahwin,mereka yang gay,maknyah boleh sahaja hidup normal.

Anda tidak tahu perjuangan mereka menundukkan naluri yang lahiriah.

Sabar dengan kehidupan yang sementara. Sangat sementara.

Ahad, 3 Ogos 2014

Engkar, mungkir.

Jujurnya, aku tidak tahu untuk meletakkn tajuk. Jujurnya, aku hampir ingin meletakkan noktah kepada MG. Kerana aku merasakan kemelut yang aku hadapi dahulu sudah hampir hilang. Ramai yang bertanya, bagaimana..bagamana untuk berkahwin sedangkan mereka tidak dapat melupakan naluri.


Naluri, jujurnya aku belum temui kaedah penyelesaian. Aku cuma bertuah, kerana dikurniakan jodoh yang sangat memahami aku. Kadangkala, akulah menunjukkan padanya gadis-gadis cantik yang ada didepan mata, sama sahaja terujanya dia dan aku, kerana dia lelaki, jadi itu normal, kerana dia memahami aku, jadi dia tidak menempelak aku. Kerana dia tahu, sekadar itu-itu sahaja nakalku. Bukan juga dia membenarkan tingkah laku ku.


Namun, dia juga bukan selamanya untuk aku.


Ini bukan syurga, yang segalanya kekal disampingmu. Ini dunia. Dimana nanti kau juga akan hancur ditelan tanah, kecuali kau syahid atau penghafaz quran, atau mana-mana satu dari golongan itu. Jujurnya, perkahwinan ini juga, aku sebagai manusia biasa dan diuji dengan seksualiti, bukanlah mudah membuat keputusan. Aku cuma tenang selepas istikarah yang entah seberapa. Aku cuma tenang selepas meratap pada Yang Esa.


Kadangkala, aku masih mengkagumi kawan-kawan penk dan juga ftm. Betapa aku pernah dan teramat ingin seperti mereka. Tidak terbuang dalam diri sendiri. Namun realitinya kini, aku cuma isteri orang yang tidak pandai masak, berboxer dirumah dan sentiasa berambut pendek. Dunia ini juga pendek waktunya.


Biarlah aku menjadi aku dengan cara yang tidak engkar.


Bolehkah golongan kita berkahwin? Punya zuriat, hidup dijalan yang Allah redha?


Jawapan aku, yang juga kudapat dari seorang kawan.


Tiada yang mustahil bagi Allah.


Pertamanya, tinggalkan kekasih mu yang tidak diiktiraf dunia dan akhirat. Jangan beralasan tanggungjawab kerana kawan. Bila sahaja kau pernah merasakan dia lelaki mu atau dia isterimu itu tandanya kau di jalan yang tidak benar. Tinggalkan dia. Maaf, keras ayatku.  Tapi, untuk apa aku berlapik lagi, sampai bila?


Keduanya, lengkapkan solat dan aurat. Usaha, usaha hingga mati.


Ketiga, cari ilmu, dengan ilmu kau akan semakin dekat dengan tuhan dan orang-orang yang baik.


Cukup, buat tiga ini dulu. Inshaallah kau akan temui yang lain. Andai salah satu langkah ini kau gagal istiqamah, atau tidak buat, tapi terusan meroyan akan nasibmu, akan jodohmu, akan rumitnya hidupmu..tandanya kau yang memilih itu semua. Kau yang memilih engkar.


note: Dalam 3 peringkat ini kau akan menderita, tapi yakinlah Allah bersama orang-orang yang berjuang.

Sabtu, 5 Julai 2014

Islam menyayangi golongan LGBT.

Semakin lama orang-orang diluar semakin memekik, ada dua arus yang bergelombang dan arus baru itu semakin menakluk. Arus lama semakin lemah dan keliru. Walau arus baru itu membawa kebenaran namun kerana senjata yang digunakan salah, lalu ia meracun seantro umat. Arus baru, semakin memekik, gembira dan mendabik dada, kata mereka, merekalah yang benar, walhal segenap hati mereka tahu mereka hanya memalsukan kebenaran yang mereka patrikan dihati.

Arus lama yang membawa kebenaran harus sedar, mereka harus menyuap dengan kebenaran dan keindahan, bukannya dengan gertak dan kemarahan serta kebencian.

Ibu-bapa yang baik akan mendidik anak-anaknya bukan sahaja disaat anak-anak itu tidak berbuat salah, tetapi juga saat anak-anak itu berbuat salah, itu lebih lagi. Kata Prof Muhaya.

Berapa ramai dari kita yang bersikap arus lama, bila rakan menyatakan mereka baru lepas berdosa, kita yang bagaikan orang yang tidak pernah berdosa, mengecam malah mencampak rakan itu jauh. Mungkin kerana kelemahan kita.

Sepanjang aku merapati rakan-rakanku, beberapa rakanku telah mengagungkan hidup tanpa agama, lebih merasakan mereka bahagia, walau tidak pernah sebenarnya. Untuk cinta, untuk kegembiraan dan ketenangan yang palsu, agama itu sangat-sangat menghalang, bagi mereka.

Kenapa mengatakan, lesbian itu haram, gay itu haram, transgender itu haram?  Di wajah pelaku yang memang telah lama tahu tentang itu. Itu sekadar umpama ludahan kemuka.

Kenapa kau tidak mengatakan Allah sangat menyayangi hamba-hambanya yang bertaubat, Allah sangat menyayangi hambanya yang mengawal nafsu, Allah sangat mencintai hambanya yang berjuang dijalan yang benar, marilah, sama-sama ke bulatan gembira kami, dengar dulu tentang kasih sayang Allah, dengar dulu tentang kebesaran Allah.

Bergembiralah kerana kamu golongan yang diuji, dan ujian itu tanda kasih sayang Allah.

Katakanlah, kami sayang kamu dan ingin ke syurga bersama, mari kita cari jalan kesyurga. Dan syurga itu benar, sayang.

Pesanan yang benar

Doa buat semua pejuang yang mencari kebenaran, moga kita melihat kebenaran sebagai kebenaran.


Selasa, 17 Jun 2014

Tiada daya upaya.

Disana sini, aku melihat satu kebangkitan, kebangkitan yang batil dan juga kebenaran, namun tak kan berpadu yang kedua-dua ini. Isu transgender berada dimana-mana sahaja. Sedangkan didalam fiqh Islam dah pun menerangkan dengan jelas, garisan antara dua jantina dan juga hak kepada khunsa. Kenapa ramai yang mahu menjadi khunsa sedangkan khunsa yang sebenar kalau boleh mahukan apa yang anda mahu. Ya, jujur aku tidak pernah bertemu dengan insan khunsa yang sebenar, yang ada banyak kepada pembohongan yang membawa pembohongan yang lain. Namun terpulang, hidayah ada dimana-mana.

Islam meletakkan hak buat setiap hamba Allah dan Allah maha sempurna. benarlah kata ustaz Pahrol, ramai yang tahu dia hamba, tapi tak ramai yang menyedari dia hamba.

Benar juga hidup ini penuh dengan sabar. Dan Allah bersama dengan orang-orang yang sabar. Wahai aku, kau sedar tak bahawa Allah itu tuhanmu dan kau telah berjanji sejak di alam roh, dialah tuhan yang wajib disembah? Dan beruntungnya kau, lahir didalam keluarga Islam.

Antara beberapa kategori sabar, adalah sabar dalam mematuhi larangan Allah.

 LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH (TIDAK ADA DAYA DAN UPAYA KECUALI DENGAN PERTOLONGAN ALLAH)

Ujian itu datang dan sentiasa hadir. Dan benar,bila hubungan dengan manusia mempunyai masalah,sila semak hubungan dengan Allah. Ah, MG, kau cakap macam orang pandai agama pula. Maaf, tujuan hidup aku memang untuk mengangkat kalimah Allah, walaupun aku tidak akan pernah sempurna.

Khamis, 5 Jun 2014

Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.

Dhuha di Air Terjun Sg Perdik, kenangan GNY2.

Dalam dikelilingi satu kumpulan yang unik, ujian sering berlegar-legar. Sebelum aku memulakan group Jalan Pulang, bila aku ajak rakan-rakanku yang kulihat telahpun kuat bersendirian, kerana waktu itu sumpah aku amat lemah, kata mereka, kenapa nak dikumpulan dalam satu kolam, akan ada yang menjadi mangsa dan dimangsakan, keluar, berjalan seorang, hijrah, tinggalkan semua.

Aku pernah berkali berseorang, dan setiap kali itu aku jatuh, kerana aku amat memerlukan yang memahami aku, ya aku sangat lemah, mungkin cinta tuhan belum kurasai mencukupi, kerana itu aku menolak kata-kata rakanku itu, aku perlukan teman untuk bangkit.

Sering berasa asing dimajlis-majlis agama, dan sering merasa sangat perit keseorangan dalam berjuang menahan diri, lalu terdetik hati, aku perlukan teman seperjuangan.

Lalu terbentuk Jalan Pulang.

Dan, ya, apabila berkumpul bersama, gurauan dan ujian itu sentiasa ada. Kadangkala menjadi dilema didalam diri, benarkah apa yang aku lakukan ini ALLAH redha. Namun, sentiasa ada satu jawapan. Kebanyakan kami solo. Kerana menjauhi fitrah naluri yang mahu dilunasi. Lalu kawan-kawan inilah yang sering menjadi kekuatan.

Contoh, bagi yang keluar dari satu perhubungan, kesunyian akan menjadi musuh yang membunuh. Bila ramai untuk sama berhubungan, sedikit sebanyak kesunyian itu dapat dilawan.

Cuma moga Allah jauhkan kami dari kelembah penzinaan dan pergantungan pada satu-satu individu atas nama cinta, sekali lagi. Moga Allah haramkan kami meletakkan agama hanya sebagai topeng bagi menutupi satu kemungkaran yang besar.

Jangan sampai ada yang jumpa partner di Group Jalan Pulang!

Aku telah berpesan, dan aku merasakan niat dan jalan kumpulan ini masih lebih banyak kebaikan dari kemudharatan. Kerana aku masih percaya tidak semestinya perlu berjuang seorang dalam menghampiri jalan kebenaran.

Bagi aku Jalan Pulang/ GNY hanyalah umpama support group kepada satu jalan yang lebih baik. Kelainan seksualiti bukanlah untuk dibanggakan, tetapi juga bukanlah untuk membuatkan kita menderita dan sesal lalu menyalahkan takdir. Kita hadapi dunia ini dengan cara yang ALLAH mahu. Dan apabila kekuatan itu telah diperolehi, terpulanglah kepada kawan-kawan samada terus menjadi Daie kepada rakan-rakan yang mendepani ujian yang sama ataupun terus kepada agenda kehidupan yang lebih luas.

Bagi aku, aku ingin kedua-duanya. Aku ingin menuntut ilmu, menegakkan kalimah ALLAH, walau aku jauh dari sempurna. Dalam masa yang sama, bersama teman-teman menghadapi ujian kecil dimata individu lain, tetapi tidaklah mudah pada kami.

Tunjukanlah kami jalan yang lurus. (Mohon ada yang membimbing, menunjukkan jalan, bukan meninggalkan kami dan membunuh niat yang masih baru bertatih).

Rabu, 4 Jun 2014

GNY 2, seribu nikmat dan hikmah.

Alhamdulillah, syukur kepada Illahi kerana program Getting Near You 2, berjalan dengan baik sekali. Seperti biasa dalam setiap program yang berunsur kerohanian pencarian peserta tidaklah begitu mudah. Jujurnya, sebagai seorang yang tidak pernah mencapai apa-apa dalam bidang marketing, aku agak tertekan dalam mencari peserta, nasiblah rakan-rakan banyak menolong. Sungguh, tanpa beberapa orang dari GNY 1, program ini tidak akan berjalan lancar, dan tidak juga mengumpul kami dengan izin Allah.

Dalam perasaan yang agak lelah, sebelum hari 30 Mei, aku mengemas pakaian dalam keadaan separuh hati. Saat itu aku berkira-kira, inilah akhir, inilah akhir.

Sampai di Lembah Pangsun, melihat wajah rakan-rakan baru yang penuh harapan yang datang dari utara dan pantai timur semenanjung, ada satu perasaan yang sukar untuk aku gambarkan.

Sebelum slot pertama, adalah sesi penerangan dan berkenalan, aku menerangkan kepada rakan-rakan tentang bagaimana asalnya kami dari group Jalan Pulang mendapat tajaan dari Yayasan Ihtimam. Melihat mereka memahami dan mula memberi kepercayaan sepenuhnya, aku berasa lega. Ya, saat itu aku sangat sedar, jangan sesekali buntu dalam menghadapi ketidakfahaman sebelum berusaha untuk memberi kefahaman. Mahu atau tidak, aku kena kedepan dan memberi penerangan. Kawan, betapa aku lebih mudah menulis dari berkata-kata didepan kalian.

Kemudian Slot pertama dari sifu Hanafi, kami dibawa membuka mata tentang kebesaran Allah. Sifu Hanafi sebenarnya amat dekat dihati golongan LGT kerana pendekatannya yang santai, ceria dan sangat dekat pada audience, tidak seperti cara ustaz-ustaz memberi ceramah di masjid. Beliau tidak membicarakan tentang hukum,  dan tidak juga berceramah secara lansung, dari video-video diselitkan kata-kata yang lebih dari hati, dari gurauan dan aktiviti-aktiviti yang membina keyakinan diri peserta yang dalam masa yang sama merapatkan beliau dan para peserta, beliau mengajak peserta merasai dekatnya Allah dengan kita. Kata-kata ustaz yang sangat berkesan dihati aku dan harapnya semua rakan-rakan, di akhir slotnya..

"Kita hidup untuk buat Allah happy", lalu apa lagi yang kita sering bertanya tentang tujuan hidup?

Di Lembah Pangsun, memang aku meminta agar peserta diletakkan di dorm, dalam suasana asrama, sekurangnya ruang-ruang yang cuba untuk dielakkan dapat menjadi kekuatan pada niat awal kami dalam menyertai program ini. Berbanding sekiranya orang-orang macam kami ini diletakkan di hotel dan di biarkan dengan individu yang mempunyai tarikan magnet. Walau cara program ini dilaksanakan agak santai, namun beberapa isu tetap aku fikirkan, kerana mungkin pihak penaja tidak dapat memahami sesetengah perkara yang menjadi ujian kami, alhamdulillah perbincangan awal dengan pihak Yayasan Ihtimam banyak memudahkan perjalanan program.

31 May 2014
Slot kedua dan ketiga adalah pengisian dari Ustaz Izwan Yusof yang merupakan penceramah yang juga sedang menghabiskan tesis nya LGBT dan quran untuk pengajian phd nya. Beliau banyak menerangkan tentang iman dan akidah. Pendekatannya agak konvensional iaitu menghuraikan teori, namun perwatakan beliau yang tidak menghukum dengan pengisian dan disebabkan beliau telah banyak mendekati golongan istimewa seperti kami ini, menyebabkan masa beliau dalam menjawab pelbagai persoalan yang peserta lontarkan terasa begitu singkat. Peserta sebenarnya tidak mahu melepaskan peluang untuk bersoal jawab dalam program-program seperti ini, apatah lagi dengan penceramah yang sememangnya mempunyai pengetahuan yang khusus.

"Kita tidak boleh memilih cara kita mati, namun kita boleh memilih cara kita hidup"

Petang itu, selepas slot praktikal solat yang sememangnya sering tidak pernah cukup buat kami yang dahagakan ilmu masa dua jam bersama Ustazah Hazlin dirasakan sangat singkat, kami menikmati aktiviti flying fox yang dinanti. Ada yang naik berkali-kali hingga penat kerana perlu mendaki anak tangga sebelum sampai kemenara. Bermacam style dan gaya peserta, tak sangka peserta yang dilihat pendiam begitu cergas dan teruja dengan aktiviti ini.

Malam itu slot 5 pit stop dari Ustaz Afandi Che Harun, kami dibawa mengenali 5 peringkat kehidupan, dari alam roh, alam rahim, alam dunia, alam barzakh dan akhir sekali alam akhirat. Sesungguhnya manusia telah bersumpah di alam roh lagi tentang keesaan tuhan

al-a'raf ayat 172
".. Bukankah Aku ini Tuhan kamu ? Maka semua menjawab (manusia) Benar ! Engkaulah Tuhan kami, kami menjadi saksi, dan yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari qiamat Kami adalah lalai"

Kemudiannya 1jun, adalah hari yang mendebarkan bagi kami, misi perjalanan ke Air Terjun Sg Perdik agak mencabar, mengharungi anak sungai dan trek yang tegak beberapa ketika, menyebabkan aku kadangkala hampir putus asa. Namun jalan tetap diteruskan.






Moga kami menuju kredhaan Allah . Ribuan terima kasih kami ucapkan buah Yayasan Ihtimam selaku pihak penganjur, semua urusetia dan semua peserta, moga ukhwah kerana Allah..

Khamis, 22 Mei 2014

Moga ada sinar

Alhamdulillah, Marlina, baru hubungi aku, dia dah bebas, kerana ketua kampung tempat dia lahir telah memberi pengesahan yang dia lahir dikampung itu.  Tapi pihak imegresen meminta nya menguruskan sendiri untuk mendapat dokumen selanjutnya. Dari satu pusat tahanan ke satu pusat tahanan, ada dokumen yang keciciran.

Moga usaha dapat hingga ke penghujung.

Kalian tahu harga sekeping kad pengenalan? Orang "stateless" yang amat tahu harganya.

Rabu, 21 Mei 2014

Apa ada pada hak? Stateless dan lesbian?

Semalam aku dihubungi Marlina. Ya, aku letak disini namanya yang satu-satunya ada pada dokumen diri yang juga sebenarnya palsu. Dalam, sejak aku menulis blog dan aku dihampiri atau minta menghampiri insan-insan plu yang mungkin memerlukan perkongsian, perkenalan aku dan Marlina sangat terkesan dihati aku, walaupun siapa dia.

Atas rasa ingin membantu apa yang daya, aku menghubungi beberapa orang secara personal melalui whatssap, begini dengan text begini:

"Kes seorang muallaf kawan saya, Marlina, umur 28,anak 2, tiada sebarang dokumen, mengikut ceritanya..dia lari rumah disabah..sejak umur 13 tahun. Kemudian gelandangan, hinggalah dibawa ke semenanjung oleh sindiket ic palsu. Anak berusia 2 dan 5 tahun. Katanya pernah kembali ke kampung tapi ibubapanya telah tiada. beliau adalah plu. Mndpt anak kerana dianiaya dan bawah pengaruh dadah. Bebrapa kali ditahan di wad psikiatri . Tapi dia sangat tenang, spjg sy berkawan dgn dia tahun lepas. Tahun lepas, duduk smentara di balai islam,kemudian dihantar ke imgresen. Kedua2 anaknya ada buku daftar lahir hosp melaka. Kemudian imegresen hntar ke pusat tahanan papar di sabah. Semalam, dia hubungi saya secara curi2. Dari pusat tahanan. Katanya, pegawai imgresen kata dia boleh keluar sekiranya ada waris. Kerana dia sakit,kata mereka. Kalau tidak selamanya dia dan anak2 di pusat tahanan sementara Papar. Dari situ, saya rasa imgresen hanya mampu memberinya status stateless. Rasanya ada tak cara untuk bantu dia?"


Ya, dia tiada apa-apa dokumen melainkan pernah diberi kad pengenalan palsu sewaktu mahu kesemenanjung. Dia mungkin kini hanya dapat diberikan status "Stateless" oleh pihak Imegresen Malaysia. Mungkin setelah disiasat, dia memang lahir di Sabah, tetapi tidak dapat apa-apa bukti untuk membuatkan dia mendapat apa-apa dokumen.

Dia kini di Tahanan Sementara Imegresen Papar, dan mungkin akan selamanya disitu, hingga tua, hingga ajal menjemput. Dia tidak punya hak untuk mengundi, dia tidak punya hak untuk rawatan kerana sedangkan rawatan untuk yang bukan warganegara adalah 5 hari sahaja sekiranya bergantung pada ubatan, dan anak-anaknya tidak akan dijamin hak pendidikan.

Sejak lahir dia dan aku dan beberapa kita, cuma berkehendak kepada perempuan, namun kerana rupa parasnya dan walau dia pernah hidup gelandangan, beberapa kali dianiaya dan dibawah pengaruh dadah, dia melahirkan zuriat.

Sewaktu hampir 3 bulan kami berkawan, sebelum dia ditahan oleh Imegresen atas aduan jiran, dia sangat manis, dan dia sedang angau dengan jirannya, isteri seorang askar yang baru lepas bersalin, kami terkekeh-kekeh ketawa bila dia bercerita dia seronok menjaga orang yang diminatinya itu didalam pantang. Dalam masa yang sama dua lelaki sedang merisik-risik dia, tapi manakan mungkin, bukan sahaja ketiadaan dokumen menyebabkan sukarnya untuk dia berkahwin secara sah sivil, walau dia tahu ada caranya untuk halal, tapi, untuk apa?

Sepanjang 3 bulan itu, aku sebenarnya hampir tidak tahu dia pernah dimasukkan di wad psikiatri kerana kemurungan. Ketika dia ditahan Imegresen, aku memberanikan diri datang ketempat tahanan sebagai pelawat, barulah aku melihat keadaan dia yang amat menyedihkan, dia meraung-raung memanggil namaku, dan kemudiannya aku diberi keterangan oleh pegawai imegresen tentang keadaan dia, apatah lagi pada awalnya dia hampir dipisahkan dengan kedua anak-anaknya. Bergegas aku menghubungi doktor psikiatri yang amat peramah dan sangat bekerjasama denganku. Kemurungan yang agak teruk. Dan ini bukan kali pertama.

Ya, dia pesakit Pskiatri namun bukan pesakit mental. Anda lesbian, diperkosa beberapa kali hingga ada anak, anda tiada kad pengenalan, anda terpaksa gelandangan akibat sentiasa takutkan pihak berkuasa, anda cantik, sentiasa menjadi perhatian lelaki, dengan mengkelek dua anak yang sangat kecil, hidup sentiasa berlari, anda yakin, anda boleh kekal waras?

Teringat kata-katanya, pada orang gelandangan, kematian tidak pernah menjadi sesuatu yang ditakuti.

Dan dia sentiasa hilang dalam pencarian agama, hinggalah dia mengucap syahadah waktu awal pertemuan kami. Dia hafal al-fatihah dan belajar rukun solat tidak sampai seminggu. Semua bacaan solat, kecuali qunut, itupun tidaklah menjejaskan solat.Tidak sampai seminggu! Walhal dia tidak pernah bersekolah.

Marlina Sazali atau Jessica, atau apa sahaja namamu didunia, andai warasmu hilang, moga dosa amalmu tidak dihisab, itu lebih baik, andai nikmat waras kekal pada mu, moga ia juga sentiasa bersama hidayah Yang Esa.

Kau hamba Allah, yang mungkin tidak diiktiraf kewujudanmu didunia, namun, Allah datangkan dirimu untuk menyentuh hati insan-insan yang pernah mengenalimu. Saat aku berkira-kira tentang hak, wajah polos Marlina, akan hadir didepan mataku.

Usaha untuk menghubungi orang yang dapat membantu, masih buntu.

Ahad, 18 Mei 2014

Lelaki yang stigmatise

Mula-mula, aku ingat nak menulis secara umum, tentang PLU, tentang senario dunia yang semakin pelbagai, tetapi aku manusia kecil yang tidak pandai bercerita tentang kehilangan MH370, tentang dunia semakin panas atau dajjal yang semakin dekat waktu kedatangannya.

Sehari dua ni, aku sedih. Ya, sedih yang hakiki.

Cabaran orang macam aku. Ya, orang macam aku yang selama ni hidup macam..macam aku..ish, how to define me? Aku bukan penkid, dulu...satu waktu dulu mungkin. Ahhh..senang cakap, aku agak stress dan kecewa dan dah malas nak fikir pasal satu perkara ni, memasak.

Ya, aku tak gemar memasak, dan aku beruntung kerana ditemukan soulmate yang tak kisah, dan rela buat itu semua untuk aku. Tapi, sebab aku ada bercita-cita nak jadi isteri mithali, aku teringin nak pandai masak, orang selalu kata, air tangan isteri la bagai. Tapi secara seriusnya, Islam taklah meletakkan, tanggungjawab isteri adalah memasak, kau pergi baca ilmu munakahat sana ya.

Seriusnya, aku tak pandai potong bawang bagai. Aku allergic dapur dari azali. Cita-cita aku dari kecil dulu, nak kerja dan bagi anak bini makan. See...

Kemahiran hidup ni pula bukanlah boleh dipelajari dan dikuasai dalam masa sehari, dan aku cepat putus asa pada benda-benda renyah macamni. I am a noob, gamers, nerd and writer. Kalau aku hidup sendiri, aku cuma makan maggi dan makan kat luar sahaja, tapi sebab sekarang ni kesian pada kekasih serumah yang asyik memasak untuk aku, membuatkan aku sedih kadangkala.

Dan aku membenci setiap lelaki atau wanita diluar sana yang mengatakan tugas perempuan adalah memasak, what the...

Kekurangan aku juga, aku terlalu bergantung pada diri sendiri, aku tak tahu untuk impress orang lain, tidak tahu untuk mengambil hati orang, aku sangat jujur hingga selalu sukar untuk menuturkan kata-kata. Tidak mudah, aku melakukan untuk orang. Sebagai manusia lemah, tidak lah mudah aku untuk mengikhlaskan diri melakukan semua yang aku tidak tahu, untuk Al-Khaliq. 

Deep in my heart..there is a small voice, telling me, I am not suit with this world, normal world...

Isnin, 5 Mei 2014

Cinta kerana cinta

Nope, aku tak berhenti menulis, aku masih disini dan menulis adalah antara kebahagiaan aku. :)

Kadangkala aku segan untuk memberitahu, bahawa aku telah berkahwin. Ada rakan yang membuang aku, kerana bagi mereka, PLU yang berkahwin adalah fakes, dan ada juga yang memang semata-mata tidak gemar akan perkahwinan, sanggup membuang persahabatan.

Adakah dengan berkahwin akan menjadikan anda straight? Normal? Haha. Mengubah naluri bukan kerja manusia, itu kerja tuhan.  Anda tak perlu berkahwin untuk tidak terus berzina dan bercinta dengan cinta yang tidak akan halal. Semua itu tetap boleh anda lakukan bila-bila tanpa ingatan akan takut pada hukum Allah.

"If a God cannot avoid you from this, you think a husband can?"

Kata-kata dia yang pernah amat menyintai aku ini, amat tepat.

Lalu aku tetap dengan perjuangan aku, bezanya, aku kini disamping seorang lelaki yang sangat memahami aku.Syukur atas kurniaan itu. Dan dia tidaklah sempurna, namun sempurna untuk aku. Begitu juga aku yang tidak pernah akan menjadi wanita yang sempurna.

Hari-hari aku, aku mula kenali penanda kesuburan yang sering mengecewakan dan juga penanda kehamilan yang sekadar memberi kepastian berat badanku naik kerana pemakanan, bukan seperti apa yang menjadi harapan. Tidak dapat ditolak, aku mungkin menghadapi masalah kesuburan mungkin kerana aku adalah aku atau mungkin juga sebab-sebab yang biasa.  Ah, namun hidup ini terlalu banyak nikmat yang hendak di syukurkan selain beberapa harapan yang masih belum direzkikan.

Jodoh, masa, dan segalanya adalah rezki. Sering kita lupa, kita adalah hamba yang dipunyai. Setiap apa yang diberikan adalah rezki.

Beberapa rakan yang meluahkan kerisauan tentang terpaksa berkahwin dan sebagainya. Bagi aku, kita hanya perlu berusaha, disamping tawakal. Allah takkan menguji andai kita tidak mampu. Namun amat sedih andai kita kecewa dan sedih berlama-lamaan. Seorang rakan ku, yang sangat kuat semangatnya dulu, yang kukagumi sifat tegasnya, kini sedang menghadapi eating disoder dan menanti untuk berjumpa dcengan pakar jiwa, akibat cinta.

"I pray you will find someone that will make you stay"

Itu kata-kata seorang yang juga pernah musnah kerana cinta, mengejar aku dan mengancam mahu berdiri didepan keretaku, meminta aku melanggarnya, yang kini juga sedang dalam perjuangan membenarkan keinginannya yang tidak pernah halal dimata tuhan.

Akui akui, cinta yang hampir buat aku musnah ialah cinta seorang gadis genit, beragama Kristian. Cukuplah.Sampai bila hendak musnah? Pernahkah kita terfikir yang Islam sampai pada kita dengan darah dan airmata seorang lelaki bernama Muhammad? Yang hanya dia juga yang mampu memberi syafaat di padang mahsyar kelah. Ye, mati itu pasti, akhirat itu benar, sayang.

Bangun kawan, kita hidup bukan kerana cinta. Kita hidup untuk mengangkat kalimah Allah. Moga sahabat-sahabatku yang tersilap langkah akan diberi hidayah, dan begitu juga aku, kau dan dia, moga sentiasa didalam hidayah Allah.

Note: Salam, nak ajak untuk program Getting Near You 2 (GNY2), tarikh 30 may-1 jun. Program bersama group Jalan Pulang PLU dan Yayasan Ihtimam. Pengisian adalah sharing bersama tentang bagaima untuk bermula kejalan kerohanian/jalan pulang. Sharing asas-asas fardhu ain. Dan juga rekreasi seperti flying fox, jungle trekking dan titi jambatan gantung.
Sila confirm secepat mungkin. Tiada bayaran dikenakan. Penginapan,pengangkutan dan makanan disediakan. Pakaian bebas, asalkan sopan. Tidak wajib memakai tudung. Kecuali slot solat. Email saya malaikatgelapdarkangel@gmail.com -MG

Rabu, 26 Mac 2014

Saat kau mendongak

"Kerapkali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Ka`abah) dan dimana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu kearahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Ka`bah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan."
Al-Baqarah 144
   

Bagaimana aku bermula membuka secret group jalan pulang?


Jujurnya aku perlukan teman-teman dalam berjuang. Setelah setiapkali gagal membuat keputusan, aku berdoa pada yang esa setiap hari untuk sekurangnya punya rakan perjuangan, benarlah kita hanya perlu meminta dan Dia akan makbuikan.


Sering aku memberontak dalam doa-doa ku. Sedangkan nabi punya sahabat dalam berjuang, dan nabi manusia yang hebat. Tapi aku ni, dahlah lemah, lepas tu berseorangan pula. Bertahun aku bergaduh dengan tuhan dalam doakan. Dan apabila dia memakbulkan, nikmatnya sangat dahsyat. Aku ditemukan dengan rakan-rakan seperjuangan yang melalui jalan yang sama, yang kemudiannya pergi lebih jauh dari aku.


Lalu beberapa hari lepas, selepas taalim, ayat ini sangat terkesan dihati aku. Terkesan kerana, sedangkan nabi Muhammad S.A.W yang hebat itu pun, Dia tidak pernah tinggalkan, Dia tahu segala gusarnya, dalam sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara.


Lalu kenapa, kita dan aku pernah dan sering merasa berseorangan?


Jawapannya hanya satu. kerana kita yang melupakan Dia.

Khamis, 6 Mac 2014

Kisah Anas dan Cikgu Reen

Pada 2 Mac yang lepas aku menghadiri Bengkel Kelab Sukarelawan Sosial yang dianjurkan oleh Jakim dan disertai oleh pelbagai Badan-badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).  Bengkel sehari ini banyak memberi pengalaman samada secara lansung atau tidak. Ini hanyalah Majlis Perasmian, yang boleh dikatakan sebagai bengkel asas sukarelawan bagi kelab ini. Untuk makluman,banyak NGO kini giat menjalankan bengkel-bengkel sukarelawan islam.

Untuk kelab ini, sukarelawan akan ditauliahkan selepas menghadiri 3 Training of Trainer.
Dibengkel ini aku sempat mendengar kisah lansung tentang Anas. Fasilitator bagi kumpulan kecil aku yang menjurus kepada masalah juvana.

Anas, pemuda dalam lingkungan 30 an,kini adalah petugas dari sebuah NGO yang menumpukan pada pemulihan akhlak remaja. Dialah salah seorang belia yang diselamatkan oleh pengasas NGO ini. Dia dulu seorang alcoholic, pengedar,bouncer, menganggotai kumpulan-kumpulan gelap. Dan entah apa lagi yang pernah dia lakukakan.

Bermula dari awalnya dia sering diejek kerana dia ber bin kan abdullah.
Antara detik turning pointnya ialah apabila dia cuma mencari kematian namun tidak menemukannya. Pistol telah diacu ke rongga mulut, peluru telah diisi, picu ditarik, namun peluru tetap tidak meluncur.

Lalu dia mula mencari agama.

Dan kini dia seorang pendakwah buat remaja-remaja dijalanan.
Bila ditanya apa yang membuat dia berubah? Jawapannya ..kematian.

Disini juga aku bertemu dengan Cikgu Reen. Yang dulunya seorang maknyah, dan kini giat berdakwah untuk rakan-rakan golongan maknyah. Tidak sempat berbual,berkali aku mengerling ke arahnya. Didalam kumpulan sokongan kecil yang lain, dia tidak teragak-agak mengatakan dia siapa. Seorang maknyah yang kini bertemu jalan hijrah.

Aku bertanya pada Anas, bagaimana untuk istiqamah. Jawabnya mudah, dekati majlis ilmu,dekati orang-orang baik,  jangan tinggal solat dan dekati masjid.

Melihat semua ini, aku teringat kisah seorang lelaki dizaman nabi. Lelaki ini seorang yang terkenal dengan sifatnya ahli maksiat. Ditakdirkan jenazahnya diuruskan oleh nabi kerana amalannya hanyalah dia tidak putus bangun malam untuk solat dan merintih pada tuhan betapa dia tidak mampu meninggalkan maksiat akibat ajakan dan godaan.

Allah tidak hairan manusia buat maksiat, namun yang hairannya bila manusia tidak taubat.

Cikgu Reen dan En. Nurfitri Amir Muhammad dari NGO UNGGAS

Sabtu, 1 Mac 2014

Doa yang mustahil

Ada waktu aku selalu menyangka naluri aku akan selamanya wujud. Apatah lagi kehendak atau segala keinginan belum pernah reda. Aku cuma selamat bila dirumah,diluar..adalah medan peperangan bagi aku.

Seorang sahabat,berkali menegah aku bila aku mengatakan aku selamanya begini,kerana aku selalu percaya naluri ini wujud sejak aku dilahirkan.

Itu juga yang kadangkala menjadi alasan dan benteng kita mempertahankan apa yang ingin dilakukan. Jujurnya,kadangkala.

Semalam, saat aku memandu dia yang rehat disebelahku membaca terjemahan surah yang mengkisahkan doa Nabi Zakaria yang risau akan umatnya. Lalu berdoa agar dia mendapat zuriat walhal dia tahu dia telah terlalu tua dan isterinya mandul.

Lalu bila doanya diperkenankan, Nabi Zakaria tertanya-tanya,mana mungkin,hampir mustahil.

Ya. Di akal manusia yang amat terbatas,ianya mustahil.

Namun sahut Sang Pencipta,Dialah yang mengadakan daripada tiada apa-apa.

Saat aku mendengar bacaan itu,hati aku seolah dihiris-hiris. Hampir sahaja menitis air mata.

Kemudian dituruti dengan kisah Maryam, yang tidak perlu aku ungkapkan disini. Yang bukan pertama kali pastinya aku dengar. Sungguh ayat-ayat quran bukanlah sekadar penenang saat resah,tapi ianya adalah kalam Allah. Sesuatu yang Allah katakan kepada hambanya.

Dengan doa,tiada yang mustahil. Lalu kenapa percaya pada yang mustahil. Tidak pernahkah kau dengar kisah Maryam dan Nabi Zakaria? Yang hanya cebisan kisah dari sifat kun fayakun Sang Pencipta.

Doalah,moga hidup dijalan yang Allah redha.

Jumaat, 28 Februari 2014

Pagi

Pagi-pagi aku akan mula berurusan dengan kehidupan. Cari sarapan. Kini hidup berdua,dan dia memang sentiasa disisi aku,membuatkan kami seolah-olah satu unit.

Aneh kadangkala aku ada merasakan sesuatu yang salah.

Tapi hakikatnya tiada yang salah. Kadangkala rindu pada rakan-rakan itu tak dinafi. Apalagi rindu pada hidup yang dulu.

Namun aku kini hidup dengan apa yang didepan mata. Bukan yang berlaku dulu. Jika aku hilang sesuatu yang aku korbankan untuk jalan yang diredhai ini, itulah sesuatu yang aku putuskan.

Selalu dia pesan pada aku, bila aku keluar bekerja dan sebagainya.

"Ayang,jaga hati..jaga mata"

Yep,sebab dia faham siapa aku. Ujian sentiasa menanti. Mata, dan nafsu saling berkait.

Dan aku amat bahagia mendengar sahabat-sahabat seperjuangan ku semakin kuat mencari jalan kebenaran. Kadangkala,aku terasa sendiri. Tak mengapa, tuhan sentiasa ada untuk hambanya.

Rabu, 26 Februari 2014

Kejanggalan yang indah

Lagi 7 hari genap sebulan.

Bagi semua orang,perkahwinan adalah perjalanan menimba pengetahuan. Setiap hari aku belajar benda baru. Tentang lelaki,tentang kenapa aku bertindak begini dan begitu pada kami.

Tiada apa yang mudah,namun setiapnya hikmah dalam kebahagiaan kami.

Ada tindakan aku yang janggal bagi dia,namun dia akan terima itu sebagai aku.

Kadangkala aku rasa kosong,kerana apa yang didepan mata,bukan kebiasaan aku. Walau dialah perantara kebahagiaan aku sekarang.

Jumaat, 14 Februari 2014

antah berantah

Sehari dua ini, impak kehilangan insan yang dulunya paling dekat dengan aku iaitu ibu, mula aku rasakan. Hari-hari yang aku lalui, aku rasa macam kurang sesuatu, walaupun aku dan dia dilihat bahagia dan aku rasakan kebahagiaan itu. Aku kadangkala hairan pada diri aku, kenapa masih ada rasa termangu dan seolah ada rasa murung disetiap warna dan sisi hidup.

Kemudian, bila aku cuba selidiki balik, ada sesuatu yang memberi jawapan. Aku sebenarnya telah biasa menggenggam hidup aku sendiri, aku telah biasa mengatur hidup aku sendiri, aku telah biasa menjadi orang yang menjaga diri dan orang yang disekeliling.

Bila aku diminta menukar fungsi, aku sebenarnya hampir merasa hilang hidup.

Dan jujur, aku rindu dia.

Ahad, 9 Februari 2014

Fasa kehidupan

Sesungguhnya hidup ini berfasa-fasa. Dan begitu juga ujian yang ditakdirkan dalam landas kehidupan. Bila direnung diri ini, dalam-dalam, kadangkala alngkah celakanya jika kita tidak sedar kita adalah sekadar hambanya, yang melansungkan hidup sebagai khalifah, yang darjatnya lebih tinggi dari malaikat yang kekal berzikir setiap saat.

Ya, alhamdulillah, pernikahan yang berlansung pada minggu lepas adalah sesuatu yang sukar aku lupakan, kerana ia disusuli pula dengan pemergian insan yang paling aku sayang namun paling sukar aku sayangi, ibuku.

Sungguh, saat aku melangkah masuk kerumah bersama sang suami, aku memerlukan masa sendirian dan sebak beberapa saat. Kerana aku seolah tersedar, ya allah, aku kini seorang isteri. Satu keputusan yang tidak ada undur atau dapat dipadam. Kalau sebulan dulu, ia hanya sekadar mimpi, kali ini, detik ini adalah realiti yang akan menjadi hidup aku.

Alhamdulillah, aku dan dia amat serasi. Allah jodohkan kami, kerana memang kami dijodohkan dengan penuh keserasian. Dia menjadi bahu aku, disaat aku menerima berita pemergian ibu.

Dan, alhamdulillah, tuhan beri aku kekuatan dan kemudahan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Sesuatu yang orang macam kita sering takuti. Aku akui, sebelum ini perkara ini juga menjadi sesuatu yang aku takuti.

Namun Allah lah pemegang hati manusia, , Dialah Maha Pembolak-balik hati manusia. Dia juga menjadikan setiap sesuatu itu dengan penuh hikmah dan ujian.

Sesungguhnya kamu tetap melalui beberapa keadaan yang bertingkat-tingkat baik buruknya, (sebelum kamu menemui Tuhan - menerima kesenangan dan kebahagiaan atau sebaliknya)
(Al-Insyiqaaq 84:19

Yakin pada DIA. Hidup kan menjadi sekadar jalan yang kau lalui.

Jumaat, 24 Januari 2014

Keberlansungan hidup yang harus

Tinggal beberapa hari lagi.

Kalau kerana cinta, cinta aku pada sang adam, tidak lebih dari permukaan air. Kerana sebuah keperluan yang tidaklah begitu perlu andai mengikut kehendak, aku gagahi melupakan segala trauma yang kadangkala menunjal nunjal ruang memori separa sedar.

Memori trauma ini sangat jahat. Ia sering mengganggu aku dan adam ini. Trauma itu sering menggugat kepercayaan aku pada dia yang tidak sepatutnya berlaku. Ia membuatkan aku zalim.

Zalim ialat tidak.meletakkan sesuatu ditempatnya.

Zalim bila aku sukar nak mempercayai lelaki. Kerana kesalahan yang tidak dia lakukan. Zalim aku beranggapan negatif pada dia,hanya kerana dia lelaki.

Dia cuba sedayanya untuk membuatkan aku rasa yakin dan selamat. Walau kadangkala aku sedar dia hampir tidak tahu apa yang boleh dilakukan selain meminta aku berjanji untuk tidak mengulangi kerisauan aku yang tidak bersebab.

Zalim.

Tak sangka aku kena berhadapan dengan perkara yang lebih besar dari sekadar mengawal nafsu ku kepada hawa. Aku perlu berperang dan membunuh memori pahit aku.

Ah,apa sangat ujian yang aku hadapi.

Tapi kadangkala aku nak meluahkan yang aku dah hilang rasa diri sebagai perempuan kerana pernah dikatakan tidak cukup perempuan, dan pelbagai lagi kata kesat kerana seksualiti,kerana perwartakan aku oleh seorang lelaki yang pernah mengakad aku. Aku pernah hilang hampir seluruh benteng sewaktu aku baru mahu mula bangun.

Kata lelaki yang pernah mengakad aku dulu, dia tidak bernafsu pada aku kerana rupa paras aku.

Kamar itu terlalu panas bagi dia,kerana aku.

Ya,saat itu akulah umpama sial dalam dunia dia.

Allah...kenapa ni?

Kenapa semakin hari semakin hampir ingatan-ingatan itu mula datang kembali.

Pejam mata. Padam semua. Tolong.

Inshaallah.

Khamis, 23 Januari 2014

Kelas Iqrak dan perjuangan

Seorang sahabatku telah mengusahakan satu kelas iqrak buat sahabat-sahabat kami yang mencari-cari kelas asas dalam menjalani kehidupan dijalan yang benar.

Kelas dibuat dimasjid,diwajibkan berpakaian sopan,pemakaian tudung, cap ,selendang dan sebagainya adalah mengikut keselesaan anda.

Kelas dijalankan pada hari ahad jam 10 pagi disebuah masjid di seri kembangan, selangor, untuk lokasi terperinci bolehlah hubungi saya melalui email atau fb.

Bagi aku,mereka yang hadir adalah mereka yang ingin mendekatkan diri pada Allah, siapapun kami, inilah perjalanan hidup kami. Mungkin pada orang lain memang dilahirkan dijalan perjuangan dengan ujian yang lain. Kami, inilah permulaan yang tidaklah mudah.

Inshaallah program Getting Near You 2 juga akan dijalankan pada bulan Mac.
Perjuangan ini tetap diteruskan hingga kehujung nyawa. Berhijrah wajib dengan ilmu,bukan dengan emosi.

Fight sampai mati!

Ahad, 5 Januari 2014

Rasa yang masih wujud

Sangkaku ujian ini mudah,
Sangkaku semuanya akan senang,
Sangkaku ia dipermudahkan,

namun..

Yang paling sukar tetap dia
Yang paling sukar tetap aku
Yang paling sukar tetap rasa
Yang paling sukar tetap jiwa

Sekali lagi perasaan itu menderu
Sekali lagi mimpi itu berkecai
Sekali lagi realiti itu menghentak
Sekali lagi rasa itu menikam

Hati ini tidak pernah lurus
Tidak pernah
Walau sesaat

Aku hampir milik orang
Segalanya telah dimudahkan
Telah banyak syukur yang diredahi

Mungkin aku dah mula lalai berdoa
Mungkin aku dah mula leka 
Mungkin aku dah mula alpa meminta

Aku bukan menipu, walau itu yang wajib berlaku

Musuh yang paling utama bukanlah sang iblis
Musuh yang paling kejam bukanlah nafsu
Musuh yang paling jahat bukanlah si pemfitnah
Musuh yang paling akbar adalah diri

Diri sendiri
Diri yang disempurnakan kejadian ini
Diri yang lupa hamba

Pejam mata, sayang..
Bahagia yang itu bukan milikmu.
Bakar diri kalau perlu.

Dan berbahagialah dengan kasih sayang Dia

Jangan musnah kerana cinta manusia!

ps: aku hampir mengecap bahagia, hingga menyangka aku ini lurus, rupanya, hati ini...tetap ingat asalnya.

Khamis, 2 Januari 2014

Selamat Datang 2014

Jujurnya, aku tak peduli tentang tahun masihi. Bagi aku setiap hari cuma bermaksud bertambah usia.

Maafkan aku kerana lama tidak menulis.

Tahun 2013, aku kenal dunia sukarelawan. Aku hanya menyelit-nyelit dicelah mereka, belajar. Dan menyibuk. Jujurnya. Dan, dari situ juga aku tahu, hanya yang berhati emas akan terus kekal dengan jati diri. Dengan ujian yang datang bertalu-talu hingga menjunamkan nilai sifat jati diri itu.

Letih. Kadangkala.

Bila sesuatu yang diusahakan menemui jalan buntu. Bukan mudah nak tolong orang. Bukan mudah, kadangkala akan disusahkan oleh orang lain juga.

Hanya diri yang dapat mengingati bahawa apa yang dia lakukan itu adalah amanah Allah dan usaha itu adalah kerana Allah semata-mata yang akan kekal dengan jati diri yang sebenar.

Dan insan berhati emas ini amatlah sukar untuk ditemui. Namun wujud.

Mudah sahaja kita nak tahu samada kita berada dijalan yang benar atau tidak. Kita akan tahu kita  cuma boleh berehat, tapi bukan berputus asa.

Buat masa ini, aku banyak mengambil.masa bertenang. Kerja bila awal tahun memang akan lebih dari waktu biasa.  Jika pernah satu masa aku mengikuti aktiviti dari dua tiga NGO, masa-masa lengang ini, aku isikan dengan main game. Hahaha.

Yep. Manusia biasa. Wei siapa main Hay day, jom add aku. Haha. Game The Sims 4 pun dah keluar ni.

Dan ini semua membuatkan aku sibuk, dari memikirkan yang tidak sepatutnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...