Halaman


Memaparkan catatan dengan label Positive Warrior. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Positive Warrior. Papar semua catatan

Sabtu, 30 Mei 2015

Perpisahan yang panjang, Pakcik pie (akuhivpositif)

Awal minggu ini aku sepatutnya menulis tentang Kem GNY 3 yang telah berlansung dengan jayanya. Sungguh, kem ini paling membuat aku teruja. Pihak penaja mula matang dalam menyediakan penceramah dan juga dalam menjaga kebajikan peserta.

Tapi, sejak dua minggu lepas, sejak pulang dari pusat komuniti di Temerloh, hati aku seolah-olah mengatakan kami akan kehilangan.

Jadi aku cuma dapat menulis sedikit tentang kem tersebut di page Jalan Pulang LGBT 

Sejak perjumpaan di pusat komuniti, pakcik mula sakit perut yang amat sangat, sebelum ni pun ada berlaku sejak seminggu dua sebelum itu. Pakcik tak boleh bangun. Cuma malam sebelum  training itu sahaja pakcik dapat berbual dengan kami. Hinggalah malam sebelum kami pulang, pakcik gagahkan diri berbual lagi, masa tu kami memang nak angkat pakcik ke hospital, tapi degil orang tua ni memang lain macam. Dan esoknya kami pulang dengan perasaan bercampur baur.

Sepanjang seminggu dua itu, kami cuma dapat mengetahui tentang pakcik dari ummi dan mak melalui aplikasi telegram. Hati kami dah sangat rengsa. Tapi hidup perlu diteruskan, kerja, dan hubung menghubung tentang kem. Pakcik deaktivate facebook, dan orang mula bertanya bagaimana keadaan pakcik. Kami pula diberi amanat untuk tidak memberitahu sesiapa, pakcik mahukan privacy dengan keluarga. Ya, ini saat genting. Bila pakcik tinggalkan whatssap group, aku dah tahu pakcik dah mula putuskan hubungan dari dunia dalam talian, tempat pakcik selalu memberi kaunseling tentang HIV, tentang perkahwinan malah tentang kehidupan, apa sahaja..

Hinggalah kemuncaknya pada 27haribulan Mei, kami menerima mesej dari ummi.

"Tolong..tolong doakan, abah kritikal"

Saat itu aku dan suami dah tak terkata apa. Ya, pakcik Pie, yang kami anggap abah, dia yang selalu memberi nasihat, dia yang sangat penting dalam hidup kami. Sedang nazak. Allahuakbar.

Dan dia pergi pada malam itu.

Benarlah, kematian itu datang tanpa menunggu sesiapa. Pemergian dia membuatkan garis masa FB aku dibanjiri dengan ratapan dan keluh sedih sesiapa sahaja yang pernah mengenali beliau, samada pernah berjumpa atau tidak, semua tersentuh. Benarlah dia, datangnya dirai, perginya ditangisi.

Sehingga aku menulis entry ini, aku masih menghadam bahawa dia telah tiada. Hanya satu ayat yang membuat aku melepaskan dia setiap kali ingatan tentang dia datang ialah..

"Allah merindui dia"

Ya, siapalah kita untuk menahan setiap dari Yang Esa, Yang Maha besar. Selalu pakcik pesan pada aku, minta pada Allah, mustahil ada yang mustahil bagi Allah. Lalu bukankah setiap pertemuan itu nikmat dan perpisahan itu pasti.

Dulu ramai orang menegur aku, jangan taksub dengan manusia yang seorang ini, ini bukan taksub. Sahabat jujur, sahabat yang
ikhlas, yang tidak gentar memohon maaf walaupun dari seorang yang menyakiti beliau bila sedar ada khilafnya. Orang begini tidak datang banyak kali dalam hidup, dan tidaklah salah andai hadirnya dihargai, dan belajar banyak dari sikapnya yang baik.

Ya dia insan hebat. Satu-satunya aku terkilan bila dia menyatakan dia bangga dengan aku dalam satu forum tertutup dan pertama yang aku dan dia dijemput bersama. Aku sangka aku khilaf dengar, dan aku tidak memberikan apa-apa respon sebaliknya sekadar berdiam diri. Walhal aku ingin sangat mengatakan dialah yang banyak mengajar aku untuk terus berjuang dengan diri sendiri dan kebenaran yang aku sangat pasti.


Pakcik, baru dua hari pakcik pergi, kerinduan kami telah sangat tak tertampung. Beberapa mesej dari rakan menyatakan kerinduan dan kesedihan sampai di telefonku. Dan aku semat dalam diri untuk menukarkan semua rasa kerinduan ini sebagai tekad untuk meneruskan perjuangan pakcik.

Mungkin masa ini masa bertenang, demi untuk sama menyokong keluarga pakcik yang pastinya lebih-lebih lagi terasa dengan kehilangan. Kita boleh meneruskan kehidupan seperti biasa, tapi mereka, banyak yang perlu dibina kembali, banyak urusan yang harus diselesaikan. Demi sebuah kehilangan. Inshaallah PERTUBUHAN POSITIVE WARRIORS MALAYSIA akan kembali mengatur strategi dalam tempoh terdekat.

Pakcik, kami merindui pakcik.
Dan akan kami titipkan alfatihah setiap kali ingatan itu hadir.

Pakcik Pie 20/4/1967-27/5/2015







Ahad, 3 Mei 2015

Pusat Komuniti Positive Warriors

Aku baru balik dari Temerloh.

Ada apa di Temerloh?

5 tahun yang lepas aku mungkin tak tertarik lansung tentang Temerloh. Tapi sejak setahun dua ni dah selalu juga aku dan rakan-rakan berkunjung ke Temerloh. Di Temerloh, ada sebuah keluarga yang sangat besar pengorbanan mereka kepada masyarakat demi untuk memperjuangkan nasib komuniti yang terlibat dengan HIV.

Dan kali ini, aku datang pula dengan teman hidup aku, dia pun dah mula akrab dengan keluarga ini. Kami semua kagum dengan usaha keluarga ini membangunkan Pusat Komuniti Positive Warriors. Untuk pengetahuan semua, Disember lepas kawasan ini ditenggelami air, rumah dan tingkat satu bangunan ini tenggelam.

Video pembinaan dan peristiwa banjir.

Banjir Disember 2014


Sebaik sahaja kereta kami memarkir ke kawasan Pusat Komuniti Positive Warriors #pkpw kami tercengang melihat keadaan rumah dan bangunan seolah-olah tidak disentuh banjir. Walaupun sepanjang jalan dari selatan ke Temerloh tadi memang kelihatan rumah-rumah yang masih mempunyai kesan-kesan banjir. Terus kami meninjau bangunan dan bilik-bilik dibahagian bawah dewan. hati aku rasa macam, keluarga ni entah bela jin agaknya, dalam tempoh beberapa bulan hidup dan keadaan kawasan ini seolah tidak pernah dilanda banjir! Tak dapat aku bayangkan mereka sekeluarga membersihkan dan mengemaskan kawasan ini kembali.




Aku disana juga bermakna menghadiri Training Pemantapan organisasi, banyak menimba ilmu dari En. Zamzuri Abdul Malik yang banyak pengalaman didalam bidang training, beliau kini berkhidmat di YADIM, sebelum ini di MAC.



Keluarga pakcik pie yang sangat-sangat menghormati tetamu, membuatkan kami sangat-sangat rasa dihargai dan terhutang budi. Aku juga berpeluang mengenali rakan-rakan lain dengan lebih dekat. Dah rasa macam keluarga, tanpa mengira siapa pun mereka.

Inshaallah Pusat Komuniti Positive Warriors ini akan dijadikan tempat untuk pihak Positive Warriors menjalakan bengkel-bengkel untuk memberi pengetahuan dan perkongsian-perkongsian eksklusif yang melibatkan isu-isu HIV.

Gambar dan Video dari FB Pertubuhan Positive Warriors Malaysia dan FB En Zamzuri Abdul Malik.

#pkpw #positivewarriors #temerloh #tamansyurga 

Jumaat, 12 Disember 2014

Positive Warriors,Pusat Komuniti dan Pakcik Pie.

Tahun 2014, aku mula berkecimpung secara serius dalam Pertubuhan Positive Warriors Malaysia, dan aku sesungguhnya masih baru belajar, masih baru bermula. Dan aku sekadar belajar dari pemerhatian, kadangkala tak mampu buat seperti apa yang orang-orang yang lebih berpengalaman buat.

Pertubuhan Positive Warriors Malaysia adalah inspirasi dari blog AkuHIV positif, dimana NGO ini terdiri daripada sukarelawan yang sukarela berkhidmat untuk menghasilkan komuniti yang memberi sokong bantu kepada PLHIV khususnya muslim di Malaysia. Juga bekerja keras menyebarkan maklumat yang tepat tentang situasi sebenar diskriminasi, prejudis dan stigma yang berlaku terhadap PLHIV kepada masyarakat,melalui media sosial, program-program yang dianjurkan ataupun yang menjemput wakil atau presiden PPWM untuk memberi penerangan tentang komuniti dan misi PPWM. PPWM bukanlah satu NGO yang mempunyai kepakaran dalam outreach atau bantuan kebajikan.

Presiden persatuan ini adalah En. Muhammad bin Wahid atau lebih dikenali sebagai Pie, beliau telah membawa keluarganya dalam perjuangan ini, beliau terjun dan dalam masa yang singkat iaitu kurang lebih 3 tahun, beliau telah membuatkan nama Pertubuhan Positive Warrior Malaysia mula meniti bibir mereka yang berkecimpung didalam arena HIV aktivis ini. Bonus bagi beliau kerana beliau seorang PLHIV yang beristeri dua(isteri-isteri dan anak-anak adalah bebas dari HIV)  dan berlatar belakang agama yang kuat. Situasi itu menepis bahawa semua PLHIV itu hanya terdiri dari individu-individu yang berdosa, pembuat maksiat dan sampah masyarakat.

Disamping beliau dan keluarga sentiasa menghadiri jemputan program yang berkaitan dengan AIDS dan HIV yang bukanlah berbayar sangat seperti yang didakwa kadangkala, beliau baru-baru ini telah menggunakan semua sumber kewangan beliau dan keluarga demi membina sebuah pusat komuniti mini, sebagai lokasi program-program pemantapan sukarelawan PLHIV dan juga sebagai tempat untuk mendidik masyarakat tentang HIV dan AIDS.

Maafkan aku kalau aku dilihat sedikit menyanjungi keluarga ini. Buat pengetahuan semua, dari keluarga beliau dan beliau juga menerapkan asas didalam pertubuhan ini satu prinsip sukarelawan yang sebenar. Iaitu kami bekerja tanpa apa-apa imbuhan, program-program yang dikendalikan melalui tajaan JAKIM dan sebagainya, dijalankan tanpa sedikit pun ahli jawatankuasa mendapat imbuhan. Apatah lagi untuk masuk ke akaun pertubuhan. Kami bekerja dengan peluh dan airmata sendiri.

Aku belajar dan terkejut apabila sebenarnya, kebanyakan NGO bekerja dengan dana dari sesuatu sumber. Walaupun itu tidaklah salah dan kebanyakan NGO memperuntukkan elaun untuk sukarelawan sendiri, hingga kadangkala sesbuah NGO sangat bermotifkan wang untuk bergerak.

Pertubuhan Positive Warriors Malaysia mungkin adalah sebuah NGO yang paling miskin didalam bidang ini, Namun matlamat perjuangan ini adalah mendidik masyarakat dan juga memantapkan komuniti yang dikatakan terpinggir ini tetap berlansung. Benar, yang menggerakkan pertubuhan ini naif dalam bidang mengutip dana, namun bayangkan selama sepenggal, satu AGM, tanpa dana melainkan program-program yang ditaja JAKIM, pertubuhan ini telah dikenali dan memberikan khidmatnya dengan baik sekali.

Pusat Komuniti yang dibina di tanah persendirian ini adalah infaq beliau sekeluarga dan juga mereka yang memberi sumbangan untuk satu pusat pendidikan kepada masyarakat. Disinilah nanti, disamping seminar dan program, tempat beliau mengajar quran dan fardhu ain kepada murid-murid dewasa, juga penginapan mereka yang mungkin perlu kan tempat sementara menjalani rawatan di hospital atau klinik kesihatan terdekat.

Pakcik Pie dan salah satu bangunan komuniti.

Tangga yang separuh siap

Hampir siap, namun belum sempurna.

Sebuah keluarga yang telah menghabiskan hampir rm200,000.00 (dua ratus ribu ringgit) untuk pusat komuniti ini dengan wang simpanan dan pinjaman bank sendiri. Maaf entry ini terlalu jujur. Harus diingat mereka sekeluarga bukanlah orang berada, hanya rakyat marhain yang bergaji bulanan.

Perincian di blog beliau andai anda ingin membantu beliau menyiapkan pusat komuniti ini : Sumbangan pusat komuniti 

Dalam dua tahun aku berkecimpung dalam dunia sukarelawan ini, Dan aku akui sangat mentah, aku banyak belajar tentang hati dan jiwa manusia. Jujurnya aku sangat mentah dalam dunia komuniti, namun aku yakin, kerana aku tahu matlamat pertubuhan ini, aku masih berdiri dibelakang pertubuhan ini. Manusia silih berganti akan pergi, namun selagi perjuangan dan matlamatnya masih benar, dan jelas, aku insan kerdil ini akan membantu dengan kapasiti yang aku ada.

Inilah hidup MG DA kini.

Info Berkaitan:

Facebook Fanpage PPWM:

Laman Web Rasmi PPWM:


No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Rabu, 20 November 2013

Kem Islah Mahabbah dari kacamata aku

Pada 8-10 November yang lepas JAKIM dan Persatuan Sinar Sofia telah menganjurkan program Kem Islah Mahabbah, dimana Penceramah Jemputannya adalah Ustaz Hanafi Abdul Malek atau lebih dikenali sebagai SIfu Hanafi. Aku hadir sebagai salah seorang ahli Positive Warrior dan membawa beberapa orang peserta.

Program ini banyak memberi pengalaman baru bagi aku. Seperti biasa, program yang dianjurkan oleh JAKIM dari unit KSK (Keluarga, sosial dan komuniti) adalah untuk mencapai golongan komuniti terpinggir, iaitu didefinisikan sebagai golongan yang tidak berjaya dicapai oleh Institusi Masjid. Kebiasaanya terdiri dari PLHIV, IDU (intravenous drug user), LGBT dan sebagainya.  Banyak pengalaman yang aku timba sepanjang menghadiri program ini, Jujurnya aku masih baru dengan rakan-rakan exIDU. Dan kali ini, peserta program tidak dimajoriti oleh mana-mana golongan peserta, kerana ia juga melibatkan beberapa peserta wanita dari pelbagai NGO.

Sifu Hanafi, kanan sedang menjamu selera dengan pegawai JAKIM. (sebenarnya, telefon bimbit aku baru kena reformat, semua gambar hancus, jadi..agak hilang bahan nak bercerita disini)

Slot Sifu Hanafi dibahagi kepada dua. Kedua-duanya adalah tayangan video yang memberikan kesedaran kepada para peserta. Satu adalah tentang keagungan tuhan menciptakan manusia, dan seluruh alam, peserta dapat melihat dari sekecil sel didalam badan hinggalah seluruh galaksi bima sakti dan galaksi lainnya sebenarnya didalam genggaman tuhan yang maha pencipta. Slot kedua adalah tayangan video berkaitan sakaratul maut, maut yang menjemput dimana-mana, sesiapa sahaja.

Kem ini menemukan aku dengan insan-insan istimewa yang bergelut dengan ujiannya masing-masing. Dadah, stigma dan prejudis, semuanya sekadar ujian hidup.

Sebenarnya, kem-kem sebegini yang banyak menguatkan aku. Membuatkan aku sibuk dengan sesuatu. Dalam hidup aku, aku lemah dengan nafsu, nafsu pada perempuan. Dan aku sangkakan, tiada ubatnya. Tapi Allah tunjuk, bila buat sesuatu ..benar kerana Allah, Allah takkan sekali meninggalkan. Mungkin Allah taklah segedebuk bagi ubatnya pada aku. Tapi perlahan-lahan Allah ajar aku melihat dunia dari sudut yang berlainan. Melihat betapa hidup ni sekadar mengurus ujian, dan setiap ujian itu ada penyelesaiannya.

Rabu, 23 Oktober 2013

Segugus Harapan Setitis Kasih

Jarang aku tulis mengenai program-program yang aku pergi. Alasannya kerana aku takut identitiku terbongkar. Ya, itu sahaja. Kerana itu juga aku jarang menulis terperinci tentang apa yang aku lalui. Dan itu juga melindungi aku daripada memberitahu kalian tentang kehidupan aku.

Baiklah, mulai entri ini, aku akan catatkan kehidupan aku, dimana MG sekarang. Diruang kehidupan mana dia berada. Yang telah lepas adalah yang lepas, terpulang pada kalian ingin menghakimi.

Pada 18-20 hb, aku mengikuti Program Segugus Harapan dan Setitis Kasih. Kebanyakan peserta adalah bekas penagih dadah, yang kini telah pun dirawat menggunakan kaedah pengambilan methadone. Dalam program ini, terdapat dua ceramah utama. Satu ialah Perspektif Islam dalam menangani HIV yang disampaikan oleh Dato' Dr Faisal sebagai wakil dari JAKIM. JAKIM telah mengeluarkan naskah Manual HIV untuk diedarkan kepada masyarakat dan para agamawan, khusus menyampaikan maklumat yang tepat mengenai HIV dan juga mendedahkan masyarakat tentang tanggungjawab menentang stigma dan prejudis yang sentiasa perlu dihadapi oleh PLHIV. Buku ini boleh didapati di JAKIM yang berpejabat di Putrajaya.


Ceramah kedua adalah dari President PPWM (Pertubuhan Positive Warrior Malaysia) , memperkenalkan Pertubuhan Positive Warrior itu sendiri dan juga menerangkan tentang stigma yang dihadapi oleh insan-insan yang terkesan oleh HIV, cara-cara jangkitan HIV dan perkongsian pengalaman hidup beliau selepas diagnosed. Sharing beliau sebagai PLHIV sendiri banyak membuka mata peserta bahawa HIV ini hanyalah virus yang sebenarnya tidaklah memberi kesan buruk pada kehidupan dengan rawatan betul, tidak seperti yang digembar-gemburkan oleh media sebelum ini.

En. Mohamad bin Wahid, Presiden Pertubuhan Positive Warrior
Slot yang lain adalah outdoor dan juga LDK pada hari terakhir. LDK adalah mengenai plan tindakan yang meminta kami untuk merancang program. Setiap kumpulan diberi golongan sasaran seperti, Sex workers, Gay, Penagih Dadah dan PLHIV.

Kumpulan aku diberi tajuk Sex Workers, satu tajuk yang baik dan aku rasa, lain kali aku kena volunteer untuk present agar aku dapat menyampaikan idea dan pendapat aku lebih baik, tidaklah menyimpan rasa tidak puas hati hingga pulang program. Haha,

Sebenarnya, apa yang aku belajar dari program ini, adalah pendedahan kepada bekas penagih-penagih. Dimana aku lihat mereka mempunyai displin yang tinggi, solat jemaah, hampir semua hadir. Dan mereka juga telah biasa sharing dengan ahli kumpulan tentang pelibatan mereka dengan dadah, jujurnya kebanyakan mereka boleh pergi jauh lebih dari orang lain yang kononnya jauh lebih sempurna akhlaknya. Pengalaman mereka di CCRC ( Cure & Care Rehabilitation Centre ) yang dulunya dikenali sebagai Pusat Serenti. Menyebabkan mereka lebih berdisplin.

Aku pernah mendengar orang berkata penagih dadah tegar ini, harusnya hanya dicampak ke laut sahaja, kerana tiada apa yang menghentikan ketagihan mereka. Dan pendapat ini ternyata salah. Barisan urusetia yang juga bekas penagih dadah memberikan komitmen yang tinggi, dan jika dilihat wajah-wajah peserta, ada yang wajah mereka lebih bersih dari orang yang biasa aku temui. Seorang dua dari mereka memperlihatkan perwatakan pembawaan jemaah tabligh, membuktikan mereka benar-benar berubah.


Terlalu banyak yang berlaku dalam tempoh setahun kehidupan aku setelah aku menyertai Positive Warrior. Setiap pengalaman membuatkan aku lebih menghargai kehidupan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...