Halaman


Selasa, 30 April 2013

Antara Ego dan hikmah.



Aku adalah seorang yang ego, panas baran dan kurang sifat sabarnya. Aku bukanlah berjiwa besar seperti orang-orang yang aku kagumi. Banyak perkara yang harus aku belajar dalam hidup ini. Terlalu banyak.

Kadangkala kalau ada yang sedar, mungkin menganggap aku seorang schizophrenia. Ada waktu aku seorang yang sabar, ada waktu aku mudah melenting, kaki gaduh dan baran.

Ego menyebabkan aku tidak mudah menelan kritikan orang. Sewaktu berumur 17 tahun, didalam sebuah kem, aku pernah menendang kerusi melayang hampir terkena fasilitator yang bercakap didepan. Hanya kerana menegur sifat aku yang lain dari pelajar perempuan yang lain.

Baran.

Dan sejak akhir-akhir ini, banyak perkara yang membuatkan aku terpaksa telan dan belajar bersabar. Dengan perjuangan diri yang kadangkala sekadar menanti rebah, MGDA juga telah ditusuk bertubi-tubi.

Kawan-kawan mula sukar menerima kelemahan-kelemahan aku, aku yang dulu amatlah playful, suka mengurat sana sini, aku dipaksa untuk membuktikan perjuangan aku.

Perjuangan apa? perjuangan untuk mencari redha Allah. Perjuangan untuk menjadi manusia yang lebih baik. Manusia yang tidak berzina dan menghampiri zina.

Dan aku akui, bila disepak terajang oleh rakan-rakan plu yang masih juga berbangga dengan awek-awek mereka, separuh dari diri aku meradang, kau tu setiap hari kehulu-hilir dengan partner, malam dapat sedap-sedap, ada hati nak mengutuk dan menyindir aku.

Tak kurang juga rakan-rakan yang memang mempunyai jiwa yang baik, menasihati aku. Tapi resam orang baran dan ego, susah nak terima nasihat orang lain, kepala otak dia je yang betul,

Tapi aku selalu teringat kisah seorang sahabat nabi yang menangkap seorang pencuri (dikatakan pencuri itu adalah iblis yang menyamar) yang memberi nasihat kepada sahabat nabi itu. Lalu sahabat nabi itu mengadu kepada nabi tentang peristiwa itu. Kata rasullullah, benar, nasihatnya benar, lalu ikutlah tanpa mengira siapa dia.

Siapa pun orang yang memberi nasihat, namun andai nasihatnya benar, hadamlah andai ianya memang akan membawa kebaikan kepadamu.

Susah kan, sebab dalam diri, masih ada ego.

Benar, nasihat itu berat, lalu contohilah rasullullah yang sentiasa menasihati dengan berhikmah. Tapi dalam hidup ni, tak semua ubat semanis madu.

ps: wahai adik-adik, takpelah, akak redha korang panggil akak ni akak, nanti umur 50 karang kena telan juga orang panggil makcik,kan. Tak gitu pakcik. tapi janganlah saja-saja niat nak sindir, akak ni kan jiwa dia masih tak betul, selalu terasa dia ni 'bro'. Takpelah, hidup macam 'bro' pun..nanti bila jadi jenazah, akak-akak, makcik-makcik juga yang uruskan jenazah.

-menulis dengan mood tenang.

Ahad, 28 April 2013

Itik dan ayam

Kadangkala aku malas nak berbual dengan kawan-kawan straight yang tahu aku senget, tentang kegilaan aku pada perempuan.

Ada la ayat-ayat seperti..

Ala apa yang pompuan tu ada, kau ada.
Boringla perempuan dengan perempuan.
Perempuan takde .... apa nak buat.
Lelaki la menarik boleh dapat kasih sayang. Pergila mengorat lelaki, banyak lagi lelaki bujang.

Kadang aku terasa aku yang bodoh sebab berbual benda yang pastinya mereka tak faham.

Tapi aku kini ada satu tabiat iaitu lebih rela berbual dengan orang straight tentang seksualiti aku. Ada sebabnya, walaupun akhirnya aku yang sakit jiwa balik.

Sebabnya ialah, aku punya kecenderungan untuk memikat kawan -kawan perempuan yang tak straight. Dan aku tidak mahu berlaku kekecewaan dimana-mana. Sebab kedua ialah, aku takut aku yang lebih menggatal dengan kawan-kawan yang tak straight ni.

Lalu pilihan aku ialah, mengacau kawan-kawan ku yamg straight. Nafsu seksual aku tinggi, pada waktu-waktu tertentu. Dan daripada aku membelek gambar-gambar (porn lama dah aku tak layan) awek-awek yang buat bertambah terseksa, selalunya aku akan cari kawan-kawan straight yang tahu tentang seksualiti aku.

Kadangkala perbualan memang akan jadi bergaduh.

Hahah.

Sebab orang straight ada waktu memang tak dapat faham yang aku tak tertarik lansung dengan bentuk tubuh lelaki. Aku amat suka caring pada perempuan. Aku memang berkehendakkan apa yang perempuan ada. Apa yang lelaki ada tidak membuat aku bernafsu.

Dalam diri aku, aku adalah lelaki. Pada kebanyakan masa.

Sakit jiwa dan terseksa juga. Tapi sekurangnya kawan-kawan aku inilah yang membantu aku lari dari fokus ghairah aku. Membuatkan nafsu berahi aku turun, dan akhirnya berbincang tentang perkara lain.

Kawan-kawan, terima kasih. Kalianlah wakil-wakil dari tuhan untuk membantu aku. Walaupun kalian tak faham, tapi kalian tetap anugerah tak ternilai.

Jumaat, 26 April 2013

Sejujurnya, dan diri aku yang aku tinggalkan.

Sejujurnya, buat seseorang yang pernah jadi kekasih saya. Seorang Adam, yang pernah saya cuba usaha untuk menjadi yang halal buat saya..

Maafkan saya, maafkan saya.

Saya dalam diam, membandingkan anda dengan Deanna. Salah saya, saya tidak mampu mengasihi awak, seperti seorang perempuan mengasihi awak. Buat masa ini.

Saya boleh kata, entah kenapa, saya tawar hati.
Saya boleh kata, saya kini dan dulu, sebenarnya hanya jatuh hati dengan orang yang matang.
Saya boleh kata, mungkin saya telah lupa tentang cinta saya pada awak.
Saya boleh kata, saya terluka dengan sikap awak yang tidak membuktikan awak boleh menjadi suami buat saya.

Sebenarnya.
Dihati saya masih ada cinta buat seorang wanita.
Yang saya masih simpan, dan belum terhapus, walau saya tidak lagi bernoda dengan dia.

Untuk itu, maafkan saya. Sayalah yang tuhan uji dengan perasaan ini. Sayalah yang tidak lagi dapat mengasihi awak. Kerana saya acapkali membandingkan awak dengan dia.

Saya dah sebati dengan cinta seorang hawa buat saya.
Saya dah biasa. Walau hubungan itu sekadar tinggal kenangan,kini.

Mulai harini, saya tidak mahu memberi harapan pada sesiapa. Pada Hawa, saya dah tidak mampu engkar pada tuhan. Pada Adam..cinta saya tiada.

Maafkan saya, sepuluh jari. Sayalah yang sebenarnya tidak mampu mengasihi seorang lelaki.

Mungkin kini, saya ada satu impian yang lebih besar. Dalam masa yang sama, biarlah saya berjuang pada diri saya dahulu. Atau mungkin berjuang melupakan cinta ini, itu lebih tepat mungkin.

Perkahwinan, bukan perjuangan saya kini. Mungkin dulu, kerana menyangka dengan berkahwin saya akan melengkapi hidup. Tetapi, kini, saya nak belajar ..belajar jadi hamba Allah.

Apa gunanya berkahwin, andai saya tak mampu menyintai awak, walau awak boleh menjadi halal buat saya.

Saya percaya, tuhan akan sentiasa melindungi awak selagi awak berserah pada Dia.

Tidak pernah saya menolak sunnah untuk berkahwin. Namun, andai saya tidak mampu menyintai seorang lelaki kerana dihati saya ada seorang perempuan..perkara itu terlalu berat untuk saya hadapi,sebuah perkahwinan.

Dan saya akan sentiasa berjuang untuk tidak kembali pada siapa saya dahulu. Apa yang telah lepas, saya tinggalkan disitu. Biarlah saya menjadi manusia yang tidak bernafsu. Saya tidak kisah kini, orang kenal saya sebagai MGDA, cuma keluarga tu dan kawan sekerja tu, susah la sikit. Tapi saya percaya, Allah tidak akan menguji hambanya dengan sesuatu yang dia tak mampu. Kalau tuhan takdirkan aku tidak lagi perlu sembunyi, itulah yang terbaik.

Aku tidak akan menjaja siapa aku dulu. Tapi kalau yang tahu, biarlah, dan aku nak kalian tahu juga...




Saya percaya, saya tidak pernah sendirian.

Allah ada.

Hidup ni sebentar amat, azab kubur lagilah lama, azab neraka lansung kekal.

Ahad, 21 April 2013

Hidup sebagai skandal

Petang semalam aku menonton teater inggeris yang menjadi projek Deanna di kampus, beberapa bulan ini.

Aku tahu, dia sebenarnya hampir terlupakan aku. Faham, kesibukannya. Itu lebih baik dari kami sentiasa mencari masa untuk bersama dan akhirnya aku yang tidak dapat melayan gelora nafsu.

Dia sebagai pengarah duduk dibarisan hadapan bersama rakan lelakinya. Deanna, pernah cerita padaku, hubungannya yang bermasalah dengan teman lelaki, membuatkan dia melayan mana-mana lelaki yang menghampiri. Kataku kenapa tidak, cari saja yang terbaik.

Lalu aku duduk dibarisan tiga. Disebelah gadis tionghua yang aku terpeluk bahunya waktu sedang asyik menonton.

Aku tidaklah dapat menikmati sangat persembahan dihadapanku. Aku lebih sesekali memandang Deanna. Yang kadangkala ditenangkan oleh lelaki disebelahnya apabila ada babak yang gagal mencapai sempurna.

Hati aku, andai bukan kerana cinta, pasti tidak terasa apa. Terhiris juga. Namun aku cuba menumpukan pada pentas. Aku sedar aku siapa. Aku tidak akan pernah menjadi teman lelakinya. Walau bukan tak pernah kami hampir merancang berumahtangga di Thailand. Aku memilih untuk tidak menurut kemahuan hati dan nafsu.

Itulah hidup seorang skandal. Memerhati dari jauh, orang yang pernah kau uliti dan tahu setiap inci tubuh. Namun tidak sekali kau dapat isytihar hak.

Kebelakangan ini juga, aku rapat dengan seseorang. Namun wanita ini tahu prinsip dan perjuangan aku. Walau hatinya dalam pada aku. Dia berpunya. Jadi kami sekadar berhubung di hari kerja, 8pagi hingga 8malam, akibat sibuk, hnya beberapa kali sahaja dapat berhubungan.

Namun aku syukur dia sudi mengambil berat dan menemani hidup aku seadanya.
Akulah yang tidak pernah ada untuk dia.

Nak skandal dengan lelaki? Simpang malaikat 44. Aku rela pergi meminang kalau hati dah suka, dia pun suka dan dia tidak berpunya.

Kerna aku tahu betapa mahalnya sebuah perhubungan yag halal.
Terlalu mahal. Dan aku tidak ragu andai aku tidak mampu memilikinya.

Ps: gambar dibawah adalah screen capture status fb seorang penulis yang juga seorang plu. Statusnya menyentuh hati aku.

ps2: aku baru je tergerak nak check inbox..ampunnnnnn aku tak sedar banyak email bertandang, mari marah fon aku sebab tak bagi aku notification, yes..semua email akan dibalas harini juga. maaf ye.

Khamis, 18 April 2013

Kita adalah anugerah.

Kau tahu, bila aku rasa amat down, aku boleh mencapai balik ke tahap sifar aku dulu. Cuma aku taklah lagi terfikir nak habiskan hayat. Cuma aku terfikir cepatlah tuhan habiskan hayat aku, supaya aku tak buat banyak lagi kemungkaran dan dosa atas dunia ni.

Sebenarnya, perasaan hidup sendiri ni kena amat kuat. Bila balik letih fikiran berkecamuk tentnag kerja dan perkara lain, balik rumah, kosong, hanya perabut yang tidak berjiwa, hidup rasa macam tiada erti.

Bila kita lemah, iblis jadi kuat bangkit melompat-lompat, memainkan perasaan, mulalah membisikkan perasaan yang kita tidak akan bahagia, kita takkan dicintai, mahu atau tidak, perasaan itu ada dalam semua manusia.

Nak bercinta, hati lebih mudah mencintai gadis.

Taknak bercinta, hati macam kosong, yelah, iman masih lemah.

Sebenarnya, kehadiran kita didunia adalah anugerah yang esa buat alam, andai kita pandai berfikir. Buat keluarga. Buat sahabat, buat orang-orang disekeliling, malah buat orang asing yang kita bukakan pintu pun. Atau saja orang asing yang kita hadiahkan senyum.

Benar, orang bujang, selalu tak stabil (so what? kau nak suruh aku pinang Pierce Brosnan?), terimalah kalau kami meroyan dimana-mana. Tapi, kamilah yang selalu ada untuk kerja, kamilah yang selalu ada sebagai sahabat, kamilah yang meramaikan tempat melepak, kamilah yang mudah sikit nak berjuang dimana-mana.

Jadi, orang bujang, orang tiada pasangan, senyum. Anda juga tidak kurang harganya dengan orang-orang lain, malah anda kadangkala lebih berharga jika anda kuat emosi dan kental rohani.

Aku mencari orang bujang seperti aku dikawasan berhampiran, untuk jadikan kawan.Sekian.

ps: entry sebelum ini tidaklah menggambarkan aku putus asa. aku akan berjuang hingga ke akhir, inshaallah.

Selasa, 16 April 2013

Ada apa dengan cinta

Aku dan dia hampir membicarakan tentang perjumpaan dengan keluarga. Dan aku rasa kerana aku punya rasa kasih pada dia, maka bila kami mula menghubungi, kami terus mahu ketahap yang serius.

Tapi, entah kenapa mungkin kerana demam selama 5 hari. Aku jadi ragu. Benarkah dia boleh menyayangi aku lebih dari Deanna menyayangi aku, atau sekurang-kurangnya setara.

Kalau aku nyatakan kerisauan ini, pasti sahaja dia merasakan ego nya tercabar. Dan aku tidak berterus terang pun yang aku masih menyayangi Deanna.

Bagaimana ingin aku lupa cinta kasih aku pada Deanna, bila aku sakit, dia yang bertanya keadaan aku, dia yang menawarkan untuk membawa aku ke klinik.

Ada apa erti cinta, kalau tiada rasa.
Ada apa erti cinta, kalau membuat kau sepi.

Cukuplah.
Cukuplah.
Cukuplah.

Cukuplah, aku mencuba mencari jalan dengan makhluk bernama adam.

Biarlah aku bercinta dengan segala cinta terlarang. Cinta yang lebih membuatkan aku bahagia. Mungkin tiada rezki ku untuk dikasihi sang adam.

Tapi aku janji tidak akan berzina.

Kalau ada sang hawa yang sanggup mengasihi aku tanpa nafsu, aku disini. Hidup ini terlalu sepi untuk sendiri. Dan aku pun tidaklah begitu kuat untuk menanggung kelukaan yang bertubi.

Aku bukan kalah, tapi aku akur pada sesuatu.

Ahad, 14 April 2013

Ustaz songsang, fitnah akhir zaman?

Sebenarnya dah lama, aku nak menulis atas perkara ini. Dan harini, baru teringat dengan spontan.

Eh, aku bukanlah ilmuan yang menulis setelah mengkaji berpuluh buku, jika anda mahukan tulisan sedemikian, sila pergi ke blog-blog ilmuan yang terbentang untuk dibaca.

Satu perinsip aku, ujian seksualiti adalah universal.

Aku pernah punya seorang sahabat yang mengajar ilmu agama, tapi dihari tidak bekerja, dia menjalankan aktiviti-aktiviti 'luar biasa'. Dia malu, malu dengan dosanya. Dia tidak pernah memberitahu aku dengan terperinci siapa dia yang sebenar, namun hari demi hari setelah lama berkawan, sisi realiti itu akhirnya lengkap diminda aku.

Ujian seksualiti, terakam didalam al-quran sejak kisah nabi luth. Dan kemudiannya, disuatu waktu lagi, zaman para sahabat, pernah berlaku seseorang yang berwajah amat kacak, yang sering digoda lelaki-lelaki lain, dinasihati untuk pergi ke satu daerah yang lelaki-lelaki disana memang kacak-kacak belaka.

Terlalu banyak kisah orang-orang alim yang terbongkar sifat songsangnya, malamnya merintih sayu dan mengimamkan qiyamulail, siangnya mengurat anak-anak murid yang jambu.

Bagi aku, ujian bagi orang yang berilmu adalah lebih tinggi lagi. Nafsu tidak mengenal belas kasihan, malah nafsu menggunakan kuasa ultraman didalam jiwa seorang yang berilmu.

Dan kawan aku tadi, adalah seorang ustazah.

Bukan aku nak mengembar-gemburkan pangkatnya didalam masyarakat. Cuma aku nak tekan disini, ujian nafsu dan seksualiti tidak lansung memberi laluan kepada golongan berilmu, apatah lagi ilmu agama. Ianya adalah ujian sejak azali lagi.

Dan caci maki serta hinaan orang-orang awam kepada mereka yang berilmu ini apabila sesuatu kehinaan itu terbongkar, adalah ujian lagi kepada golongan berilmu tersebut.

Bukankah setiap perkara didunia ini adalah ujian. Lalu, apabila kita mengetahui tentang perkara ini, mengenali sipelaku, ujian pada kita adalah untuk memilih yang batil ataupun benar. Perkara batil adalah menurut tipuan dunia, dengan menghakimi sipelaku ini. Kebenaran pula, ini hanyalah sekadar pengajaran bagi kita, bahawa tiada satu manusia pun  yang terlepas dari melakukan dosa dan kesilapan, siapa kita untuk menghakimi.

Pilihan ditangan anda untuk menghakimi..dengan ayat-ayat "Ish..ustaz ustazah pun tak boleh percaya sekarang ni, buat maksiat juga, berzina juga, gay juga."

Sedar tak kita bahawa zina dan segala dosa yang berkait seks itu sekadar dosa, dan siapakah dari kita yang tidak melakukan dosa?

Atau pilihan kedua..doakan moga orang itu tabah, sering bertaubat, dan moga Allah kuatkan lagi hati kita dijalan kebenaran, mengambil kisah sipelaku tadi sebagai pengajaran.

Sepuluh tahun dulu, sewaktu aku duduk serumah dengan rakan-rakan seusrah, aku ternganga apabila mendengar kisah ustaz-ustazah dikampung kawanku yang ditangkap berzina. Setelah beberapa tahun kemudian, aku sedar, zina itu hanyalah dipinggir-pinggir pinggan makanan aku.

Dan aku paling suka membaca buku "Dosa" terbitan Buku Fixi. Mengisahkan kisah pelajar-pelajar pondok tahfiz yang mencari adventure hingga menjebakkan mereka kepada dunia homosexual, dadah dan parti-parti liar.



Siapa tahu, mereka yang kita kutuk kerana terdengar nya berita mereka terlibat dengan keruntuhan moral, songsang dan zina, malamnya merekalah abid (ahli ibadah) yang paling banyak menangis kerana taubat pada yang Esa.

Kita? Tidur terbongkang penat main game.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...