Halaman


Rabu, 4 September 2013

Pengkid oh pengkid

Sebenarnya isu ini agak dah basi. Tapi asyik bermain dikepala aku.  Beberapa bulan lepas, ada dua isu yang berputar di muka buku tentang pengkid. Pengkid disini adalah individu berjantina perempuan yang berperwatakan lelaki. Kenapa aku buka definisi, sebab ada juga yang merujuk kepada semua kami yang senget sebagai pengkid. Sungguh salah. Tapi tiada salah apa pun, cuma salah definisi sahaja. Aku tak kisah pun.

Isu pertama, video yang kononnya menghina Islam. Video ni, setelah aku tonton berkali-kali. Pertama sekali, aku dah berdebar dah bila nampak individu didalam ni. Yang bagi aku sekadar boyish kot. Pengkid tegar, lebih lagi dari ini. Aku tak sedap hati, sebab aku tahu akan mulalah segala cacian terhadap golongan pengkid menghangatkan masyarakat. Masa tu aku berdoa agar bukanlah individu ini seorang Islam. Allah tak makbul. Didalam kad pengenalannya, Islam.




Tapi, percaya atau tidak, aku tak rasa pun video ini menghina islam. Pada aku video ini sekadar memainkan sentimen perkauman. Berdosa ke sentuh anjing? Orang melayu, kalau sebut anjing pergh, memang boleh melenting. Walhal dalam sirah ada disebut orang yang tidak solat dengan sengaja, air hujan yang jatuh ke atapnya, boleh dianggap air yang jatuh tu lebih hina dari urin anjing. Sentuh anjing cuma perlu samak, tidak berdosa, anjing juga makhluk ciptaan Allah. Sentuh orang yang bukan muhrim, ya berdosa. Tak solat, ya berdosa. Dan, yeah, Maznah agak nakal memainkan sentimen ini, dan sekarang tak tahu lah apa cerita didalam lokap ke. Aku akui, video ini tidak wajar, kerana video ini memang berniat jahat untuk meng onarkan masyarakat melayu Islam di Malaysia.

Dunia pengkid juga yang kena ludah.

Kemudian, isu tentang Tabung Haji mengisytiharkan Pengkid haram pergi haji. Masa ni aku memang nak kata Apa neraka! (What the hell). Tengok video, rupanya masalah nak menyediakan bilik, kerana ditakuti muslimat lain tidak mahu berkongsi bilik.




Pertama sekali, aku nak cakap. Pengkid, kalau nak pergi haji, dia dah tak macam pengkid dah. Kalau ada pun, dalam hati sahaja. Cuma, ye, kalau bila sebilik dengan muslimat lain, buka tudung, rambut ala komando, memang muslimat lain akan tak senang, apa susah, duduk kan jela dengan makcik-makcik, paling-paling pun beristighfar je, paling-paling pun makcik-makcik tu berleter jela. Dan lagipun, kalau kami nak pergi haji, masa tu takde lah fikir nak mengsongsang tak tentu pasal. Ehhh..kami pun tahu juga hormat agama dan tanah suci tu, kalau tak takdelah kami pergi mendaftar haji weiiii. Benda ni takde isu sebenarnya. Takdelah siapa antara kami yang kurang akal, mendaftar nak pergi haji, lepas tu declare kami ni pengkid. Tu konpem la orang kurang waras wehhh.

Lain tak bukan sekadar nak memburukkan pengkid kan? Isu ni. Jangan risau, tidak ada pengkid yang mendeclare diri pengkid nak daftar haji. Ni lain dengan kes FTM. FTM di Malaysia memang tidak ada undang-undang mengesahkan. Itu kes lain. Semua, pengkid ke, senget ke, PLU mana pun, kalau nak pergi haji, mesti nak pergi sebagai muslimat/muslimin. Dan kalau tersatu bilik dengan muslimat yang ala-ala pengkid pun, jaga aurat sudahla, tak perlu takut, kami sedar diri, kami sedar kami dimana masa tu. Jaga aurat sebagai sesama perempuan. Janganla pula, pergi gedik tanpa seurat benang dalam bilik tu. Itu memang cari nahas.

Setiap kita punya hati dan perasaan, lihatlah lebih dari sekadar kulit. Jika anda seorang yang berhikmah.


note: aku rindu nak menulis. Hujung tahun makin hampir, makin sibuk. hidup aku alhamdulillah, segala puji bagi Allah, aku gembira dan tenang, segalanya punya hikmah. Dan ..aku sayang dan rindu mak ayah aku yang kini tak tinggal sekali dengan aku, mungkin sementara, atau tempoh tertentu.

Rabu, 28 Ogos 2013

Tidak peduli itu sukar

Malam dah semakin ke pagi. Aku harini sukar untuk tidur. Ya, seminggu dua ini aku agak sibuk dengan urusan kerja dan keluarga.

Namun, kau tahu, setiap kali aku melintasi rumahnya, hati aku akan tersenyum bila melihat keretanya dirumah sewanya. Perasaan tu masih mirip orang bercinta. Tak nampak orang, bumbung rumah pun dah melepaskan rindu dihati.

Aku cuba untuk tidak menghubungi dia sejak dua minggu lepas. Malam ni mesejnya sampai ke telefon. Dan aku cuma membalas mengatakan aku sibuk.

Demi tuhan, ingatan ini hampir setiap saat pada dia.

Seksanya bila terpaksa buat tidak peduli. Makankah dia, gembirakah dia, sakitkah. Dan, aku harus bertahan untuk tidak sekali-kali meluahkan apa-apa kepedihan kepada dia. Aku tidak harus sekali-kali menyatakan apa sahaja perasaan yang melanda.

Tahan. Tahan Mg. Tahan rasa itu.

Biar luah disini. Bukan pada dia yang akan sekadar membuat kau semakin lemah.

Yakinlah. Kau sekadar hamba.

Sabtu, 24 Ogos 2013

Bulan di Bagan Lalang

Kau rasa sendiri bila sendiri? Haha. Soalan yang tiada erti. Aku kini tinggal seorang, tidak lagi bersama kedua orang tua. Mungkin bagi setengah orang ianya bukan apa. Tapi bagi aku ini bagai tamparan hebat juga.

Sejak aku berpisah dengan teman serumah, setahun dulu, aku tidak pernah tinggal seorang.

Dan lebih getir lagi kerana aku sedang cuba untuk tidak memperdulikan Deanna.

Aku nak, kali ni aku tidak mengharapkan apa-apa dari dia.

Bersendiri begini perkara yang baru bagi aku. Walaupun aku selalu mengetahui perkara ini akan aku tempuh juga. Dan aku sudah tidak gemar keluar. Lebih gemar dirumah. Atau, keluar jauh untuk menemui rakan-rakan.

Bersendiri begini buat aku perlu menjaga diri lebih. Jaga kesihatan, kawal keinginan, jaga solat.

Rakan-rakan cuba membantu dari jauh. Alhamdulillah.

Semalam, melihat bulan di Bagan Lalang, aku lihat ia begitu sunyi, dikelilingi kegelapan.

Sekurangnya, aku masih lagi boleh memetik suis lampu dengan dayaku :)

Ahad, 18 Ogos 2013

The last pillar: Tiang yang akhir

Disatu ketika, aku melenting apabila seseorang mengatakan pengkid menolak akidah. Aku berasa amat marah. Sangat-sangat marah. Aku rasa macam nak pancung orang yang sedap mulut berkata. Kau tu dah lahir lengkap sebagai lelaki dan resam kau memang maskulin, boleh lah kau cakap macam tu. Cuba kalu lahir sebagai lelaki, tapi kau suka pakai gaun, kau suka memasak, kau suka lelaki, hah baru kau tahu langit tinggi rendah.

Mudahnya, kau menuturkan kata. Dasar lelaki keparat.

Ha, macam tulah marah aku.

Dan disatu hari..


 entah bagaimana aku terbaca  gambar diatas dari gambar-gambar di muka buku.

Beriman dengan qada dan qadar, buat aku tersentak. Bagaimana tanda beriman dengan qada dan qadar?



Lalu, adakah semua ketentuan Allah tidak boleh diubah? Ada yang boleh diubah, ada yang memang telah ditentukan. Itu pendapat aku. Dan kelahiran kita didunia adalah antara takdir yang tidak boleh diubah. Terutama jantina.

Melainkan seseorang itu khunsa. Iaitu mempunyai dua alat jantina atau sistem peranakan. Persoalan khunsa atau tidak seseorang itu, hanya dapat diketahui oleh tuan empunya diri sahaja, dan golongan khunsa ini berhak mendapat jantina yang mendominasi tubuhnya.

Jika anda berpakaian seperti jantina lawan, dengan niat untuk menyerupai jantina lawan dengan sengaja,  dimana sifat redha dan berimannya anda pada tiang iman yang ke enam? Mungkin ramai yang kata..kerana perkerjaan, kerana cara hidup. Ya. Terpulang, semuanya atas niat anda. Niat anda pada tuhan.

Jika anda mempersoalkan kenapa anda dilahirkan sebagai perempuan, dimana percaya nya anda pada qada dan qadar.

Jika anda membenci diri anda yang dilahirkan bukan dengan jantina yang anda kehendaki, dimana sifat Islam anda yang bermaksud menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah?

Lalu salahkah andai anda dikatakan telah hampir kepada menolak akidah Islam?

Berapa ramai antara kita yang mengamuk andai dikatakan bukan Islam? Tapi, berakidah Islamkah kita sebenarnya? Dalam sedar tak sedar ramai antara kita yang kelam akidah, termasuk aku bila aku meratap tangis, kenapa aku bukan lelaki lalu aku tidak boleh menikahi kekasihku.

Redha dengan siapa anda sewaktu anda dilahirkan, khususnya bab jantina. Kalau lahir lelaki, tetapi lembut, kalau lahir perempuan tetapi maskulin, semua itu tidak menjadi salah dimata Allah. Jadi sahaja lelaki, walaupun lembut, jadi sahaja perempuan, walaupun kasar. Asalkan sahaja tidak membenci kejadian sendiri dan mengikut kehendak diri yang Allah tak redha.

Aku hanya memberitahu, jauh sekali menghakimi.

Moga setiap kita, mati sebagai hamba ALLAH.Amin.

Khamis, 15 Ogos 2013

Misfit, aku sedar aku siapa

Semalam, aku berbincang dengan dia secara santai. Kami dengan rasminya cuma sebagai kawan kini.

Sedih juga.

Setelah aku masih sayang pada dia, akhirnya ya, mengalah. Sayang apa pun aku pada dia. Aku bukan siapa-siapa. Kerana keputusan aku untuk tidak lagi menjadi teman sekamar.

Lepaskan.

Dan harini, aku masih lagi msngajaknya untuk ke tutti fruity. Dia menolak, alasannya sibuk dengan latihan debatnya.

Ditakdirkan, bila aku mengajak kawanku yang juga terkejut kerana aku tidak pernah mahu mengajak sesiapa keluar, menemani aku, kami terserempak. Ya, dia keluar ke kedai aiskrim juga, dengan kawan sekuliahnya.

Aku menegur, membuat muka ceria. Mulanya aku tiada apa-apa, ya mungkin dia baru habis latihan debat dan ada masa bersama kawan. Apa salahnya.

Salahnya ialah aku.

Kerana aku masih menyayangi dia, walau sedar aku bukan siapa-siapa lagi.

Aku ingat aku kuat. Bila kami dengan rasminya mengatakan kami hanya kawan.

Aku lah yang tak sedar diri. Aku bukan kawan sekuliahnya. Aku juga bukan pengkid seperti yang dia harap-harapkan dulu.

Harap aku dapat sedar, kasih ini telah terlalu banyak menjadi racun buat aku. Cinta ini telah terlalu banyak memusnahkan aku.

Dan aku telah terlalu tua dan juga letih untuk itu semua.

Biar derita itu yang membuat aku bahagia.

Cinta yang Allah redha kadangakala terlalu mahal buat sesetengah orang, bukan sekadar untuk orang macam kita sahaja, tapi untuk orang-orang lurus juga.

Namun adakah hidup ini sekadar untuk memburu cinta manusia?

Pasti sekali-kali tidak.

Jumaat, 9 Ogos 2013

Analisa diri 1 Syawal

Malam ini, 1 Shawal.

Dan aku berada dirumah aku, melepaskan diri dari tradisi keluarga. Tak tahu samada aku akan berpatah balik esok.

Malam syawal, ada beberapa perkara yang mengganggu emosi aku. Menerima wechat audio dari seseorang yang aku tahu mengasihi aku, menerima sms dari seseorang yang kawan aku baru kenalkan pada aku, dan menerima satu lagi wechat dari seseorang yang pernah hadir dihati aku.

Walhal, hati aku amat merindui pada seorang hawa yang dulunya menjadi teman tidur aku.

Dengan berat aku melepaskan ramadhan.

Dalam hidup aku, cuma ada seorang yang amat aku yakini untuk hidup bersama, dia, bukan yang Allah redha. Bila datang seorang Adam, hidup aku akan jadi sukar, jadi serabut, jadi tertekan, mungkin akan buat bahagia sekadar secicip cuma, tapi kegusaran yang akan lebih menghempap kepala aku.

Aku ingin hidup bebas berlandaskan jalan yang benar. Aku ingin hidup bebas tanpa keluarga menjadi ujian hebat. Aku ingin hidup berjuang, tanpa ikatan yang mengcengkam.

Tiga ujian besar aku sekarang ialah:

1. Keluarga.
2. Deanna
3. Keinginan berkeluarga.

Keinginan itu ada, tapi yang hadir tak dapat meyakinkan aku, membuatkan aku takut dengan risiko. Dalam waktu yang sama, hati aku makin ingin mendampingi Deanna lagi, seperti dulu-dulu. Bila aku sibuk, keinginan itu mati, tapi bila ruang masa mula percuma, aku mula leka.

Dan keluarga, ujian makin menekan, kadangkala tak tergalas dibahu.

Cita-cita ku, aku ingin menjadi tenaga pengajar di pusat pengajian quran yang aku ikuti sekarang, dan aku ingin mengikuti mana-mana latihan pendakwah. Tinggi kan cita-cita aku.

Bila ada tekad, hati aku sedikit tenang. Sekurang-kurangnya menjadi azimat pada ku untuk menjaga diri.

Kelemahan aku:

1. Masih belum cukup kuat menentang cinta pada manusia.
2. Selalu gagal menyampaikan idea dalam berbicara.
3. Amat lemah dalam berhujah. Walau yakin akan bukti dan prinsip.
4. Akhlak, akhlak,akhlak. Masih terlalu fakir.
5. Ibadat masih terlalu banyak yang perlu diperbaiki, paling utama, harus kukuhkan solat.

Bagaimana andai seluruh hidup aku, aku laburkan untuk mengejar cita-cita aku tadi?

Mengapa tidak?

Inshaallah.

Yang penting, aku wajib kekal berada dijalan yang benar. Terlalu banyak sudah masa yang aku sia-siakan.






Jumaat, 2 Ogos 2013

Single itu Indah

Bullshit.

Ia derita..
Ia sengsara..
Ia gelap..
Ia sakit..
Ia menyesakkan..
Ia menghimpit..
Ia tawar..
Ia..

Sepi.

Semuanya kau boleh ganda 7, andai orang yang pernah kau cintai dan buat kau bahagia, duduk dan tinggal, tidak sampai 200 meter dari tempat kau menaip ini. Waktu kau sedang menaip ini, dia juga sedang sibuk dengan kehidupannya, cuba untuk sibuk.

Tadi, aku duduk sebentar dikamarnya, menghantar juadah lebih berbuka. Dia menjamuku dengan secangkir teh hijau. Melihat dia, nafsuku menggebu, namun dapat kubuang jauh. Ini ramadhan, kalau tak hormat pun jangan jadi bangsat.

Hati menderu, meminta aku memenuhi pelawaannya untuk tidur. Tapi, otak masih dapat berfikir ligat. Baik kau angkat kaki sebelum, nafsu mula menyeru.

Lalu, aku kembali ke kamar aku. Sepi. Hanya dengan satu kalimah itu cukup mendefinisikan.

Lagi 10 minit jam 12. Mata aku masih segar. Ya, Tidurlah, moga kau dapat bangun sepertiga malam. Ini ramadhan, bulan istimewa. Jangan kau layan hati.

Kau single, kau sepi, kau kerinduan. Tapi kau ada tenang yang tidak boleh dijual beli.

Senyum, sayang, moga apa yang buat ini untuk Allah.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...