Halaman


Sabtu, 30 November 2013

F Cinta platonik aku



Sedari kecil aku sering rapat dengan rakan-rakan PLU lelaki, kerana aku tak betah bersama lelaki-lelaki straight yang kasar dan kadangkala memandang aku sinis.

"Woi sedarlah kau tu pompuan, pergi balik lipat kain!"

Kau pernah dengar ni, masa kau masuk main bola, jadi goal keeper, masa tu aku rasa nak terajang-terajang dan pijak-pijak zakar lelaki lurus tu sampai hancur, sungguh.

Jadi, aku lebih gemar berkawan dengan rakan-rakan lelaki yang lembut. Dengan kawan perempuan pula, juga ada yang tak faham aku, diaorang sibuk bergosip tentang Back Streeet Boys la, apa jadah haram lagi. Masa tu, yang member-member yang pengkid pula, kerjanya cari gaduh saja, memekak sana sini (maaf realiti, ahh hormone testorane kita sedang memberontak waktu itu, zaman remaja, kalau tak pernah bertumbuk, ahh tak macho la!), tapi kadang-kadang aku ikut belakang juga. Tapi biasanya aku dengan dunia aku sendiri. Dan bersama rakan-rakan lelaki yang lembut, sering buat aku selamat.

Dan aku pula, umpama magnet pada rakan-rakan tidak straight ini. Sejak sekolah, hingga zaman kerja, akan ada yang menjadi side kick aku. Ya, hingga aku pernah berkahwin dengan salah seorang darinya.

Apa itu cinta platonik?

Cinta platonik adalah cinta tanpa nafsu, tanpa tarikan seksual. Kalau dalam dunia hetero, ianya adalah antara lelaki dan perempuan, dan bagi orang-orang hetero, ianya hampir mustahil. Namun bagi PLU, ini adalah cinta paling suci. Tanpa nafsu. Dan amat biasa terjadi.

Aku bertemu F, awal tahun ini, kalau tak silap aku. Dan bagai magnet, kami mula selalu bersama kesana-kemari, dan apatah lagi, dia tahu perjuangan aku dan dia juga sedang mencuba untuk berubah, jatuh bangun, dan aku berdoa moga dia akan terus berhijrah. Aku sangat sayang F. Sumpah. Dan ianya dalam cinta amat Platonik.

Dimata aku, F jujur, walau bergelumang dengan dunia yang kadangkala lebih banyak melukakan. Kadang-kala bila F mula berstylo dan melirik-lirik manja pada lelaki-lelaki yang taste nya, aku mula ketawa. Sebab aku faham. Aku faham, bagaimana aku dulu pun, selalu sangatlah cover macho atau buat-buat macho bila rasa perempuan didepan aku tidak lurus dan aku mula berkenan.

Aku dan F boleh berbual 24 jam tanpa henti jika diberi peluang. Dia tak suka fast food, dia tak gemar tempat sejuk, dan dia tidak lokek membelanja aku andai kami bertemu. Dia tetap lelaki disitu. Dia tetap tahu, fungsi lelaki adalah menjaga perempuan disampingnya, walaupun perempuan tu tak macam perempuan.

Ada waktu kadangkala aku nak usap dan belai F, letak dipangku dan beritahu dia, aku doa dengan sangat, dia akan kuat dan menjadi seorang pejuang menempuh hidup yang sangat sakit, dengan seksualiti ini. Namun aku sentiasa sedar batas aku dan dia, walau kadangkala aku hampir terlupa tentang hukum pergaulan aku dan dia adalah sama dengan lelaki yang bukan muhrim.

Kerana, aku sangat sayang akan sahabat ini. Kalau dia perempuan, aku dah peluk dan usap air matanya.

F, aku tahu, hukum tetap hukum, dan apatah lagi, aku kemungkinan akan tidak solo lagi, dan orang-orang lulus disekeliling aku tidak dapat memahami kejadian cinta platonik plu. Kita akan tetap ditangkap khalwat kalau sebilik, dunia tidak akan faham.

F, doa aku untukmu, sama juga seperti semua sahabat-sahabatku yang berjuang, solo atau tidak, yang berlawan dengan keinginan, setiap detik dan setiap saat. Aku akan terus mendoakan kalian dalam usai solatku, temukan kami semua difirdausi. Dan aku akan terus bergerak dan berusaha untuk menyebarkan dakwah dan kekuatan ini. Walau apapun status aku nanti. Aku akan bergerak dalam kapasiti dimana aku berhak.

Sahabatku F, semua dan juga aku, berhijrahlah dengan ilmu bukan dengan emosi, macam pesan ustaz yang kudengar dari radio ikim.fm, ilmu ada dimana-mana, sama juga ujian ada dimana-mana. Dan segala halangan serta iblis-iblis sedang menunggu dan sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan kembali. Aku yakin, iblis sangat cemburu dengan insan-insan yang bertaubat.

Kerana Allah amat mencintai hambaNya yang bertaubat.

Moga silaturahim hingga ke syurga! F, jaga diri, jaga hati, jaga iman, sayang!

Khamis, 28 November 2013

Demi masa, kita hanya hamba.

Setiap manusia tidak akan tahu apa yang akan terjadi pada masa depan. Malah kau tidak pernah tahu sesaat lagi mampukah kau bernafas.Lama aku tidak menulis, ada waktu, aku sibuk dengan kerja, ada waktu, aku sibuk dengan keluarga.

Aku sebenarnya sibuk bercinta.

Mungkin.

Mudahkah untuk bercinta sebagai satu pasangan hetero. Bagi aku, bagi aku yang mempunyai seksualiti yang berbeza, tidaklah mudah. Aku tidak memahami beberapa benda yang orang lurus fahami. Dan dia juga keliru dengan beberapa tindakan aku.

Ya cinta boleh dipupuk, dan apatah lagi dengan doa. Allahlah yang membisikkan rasa cinta, allah lah yang menerbitkan rasa.

Dalam pada itu, sedikit demi sedikit, aku buang nafsu kepada sang hawa yang sentiasa bergelora. Bila terkenang, aku istighfar. Walau ia mungkin tidak akan padam hingga aku mati. Namun aku percaya Allah pandang setiap usaha. Itu sahajalah usaha aku, saat hati tak keruan bila tubuh mula memberi respon pada ransangan didepan mata.

Satu ketika, aku menyoal sahabatku, kenapa aku tidak boleh bergaul dengan rakan-rakan lelaki, seperti rakan-rakan sejantina,sedangkan aku tidak punya rasa atau nafsu terhadap mereka. Kata sahabat, hukum tetap hukum. Apapun mereka tetap bukan muhrim.Entah kenapa perbincangan itu membuka mindaku pada sesuatu yang lain.

Kita selalu banyak songeh, kenapa tak boleh makan khinzir, kenapa tak boleh sentuh anjing..kenapa kena samak. Analisa logik akan boleh menerbitkan pelbagai analisis. Tetapi..sedarkah kita, hukum tetap hukum.
Ianya sekadar menguji sifat kehambaan kita pada Allah.

Benar, akan ada yang pertikai, mengapa tidak boleh berbahas tentang hukum, kenapa? Kenapa kena puasa, kenapa kena tutup aurat..kenapa..kenapa?

Jawapan yang mutlak dan tidak akan boleh dipertikai, adakah kita mengaku kita hamba allah?
Ya, hubungan aku dan dia serius, dan kini sedang dalam proses untuk sah. Dan ujian kami disini, untuk memahami tanggungjawab sebelum dipertanggungjawabkan dengan mutlak.Mulanya aku gusar, untuk menulis disini. Tapi ini adalah blog perjalanan aku. Pernah aku peduli apa yang terjadi? Jodoh, maut ketentuan tuhan, andai ada, ada, andai tiada takdir..tiada.

Aku juga faham, setiap bahagia atau derita adalah ujian dari Yang Esa, dan tidak akan Allah ujian hambaNya, melainkan dia mampu.

Doalah pada yang esa, Dialah yang Maha Mengetahui.


Rabu, 20 November 2013

Kem Islah Mahabbah dari kacamata aku

Pada 8-10 November yang lepas JAKIM dan Persatuan Sinar Sofia telah menganjurkan program Kem Islah Mahabbah, dimana Penceramah Jemputannya adalah Ustaz Hanafi Abdul Malek atau lebih dikenali sebagai SIfu Hanafi. Aku hadir sebagai salah seorang ahli Positive Warrior dan membawa beberapa orang peserta.

Program ini banyak memberi pengalaman baru bagi aku. Seperti biasa, program yang dianjurkan oleh JAKIM dari unit KSK (Keluarga, sosial dan komuniti) adalah untuk mencapai golongan komuniti terpinggir, iaitu didefinisikan sebagai golongan yang tidak berjaya dicapai oleh Institusi Masjid. Kebiasaanya terdiri dari PLHIV, IDU (intravenous drug user), LGBT dan sebagainya.  Banyak pengalaman yang aku timba sepanjang menghadiri program ini, Jujurnya aku masih baru dengan rakan-rakan exIDU. Dan kali ini, peserta program tidak dimajoriti oleh mana-mana golongan peserta, kerana ia juga melibatkan beberapa peserta wanita dari pelbagai NGO.

Sifu Hanafi, kanan sedang menjamu selera dengan pegawai JAKIM. (sebenarnya, telefon bimbit aku baru kena reformat, semua gambar hancus, jadi..agak hilang bahan nak bercerita disini)

Slot Sifu Hanafi dibahagi kepada dua. Kedua-duanya adalah tayangan video yang memberikan kesedaran kepada para peserta. Satu adalah tentang keagungan tuhan menciptakan manusia, dan seluruh alam, peserta dapat melihat dari sekecil sel didalam badan hinggalah seluruh galaksi bima sakti dan galaksi lainnya sebenarnya didalam genggaman tuhan yang maha pencipta. Slot kedua adalah tayangan video berkaitan sakaratul maut, maut yang menjemput dimana-mana, sesiapa sahaja.

Kem ini menemukan aku dengan insan-insan istimewa yang bergelut dengan ujiannya masing-masing. Dadah, stigma dan prejudis, semuanya sekadar ujian hidup.

Sebenarnya, kem-kem sebegini yang banyak menguatkan aku. Membuatkan aku sibuk dengan sesuatu. Dalam hidup aku, aku lemah dengan nafsu, nafsu pada perempuan. Dan aku sangkakan, tiada ubatnya. Tapi Allah tunjuk, bila buat sesuatu ..benar kerana Allah, Allah takkan sekali meninggalkan. Mungkin Allah taklah segedebuk bagi ubatnya pada aku. Tapi perlahan-lahan Allah ajar aku melihat dunia dari sudut yang berlainan. Melihat betapa hidup ni sekadar mengurus ujian, dan setiap ujian itu ada penyelesaiannya.

Sabtu, 2 November 2013

Kesedaran LGBT?

Bila aku melihat seminar-seminar yang diadakan oleh orang-orang lurus ni, kadangkala aku rasa kesian. Sedih pun ada. Matlamat tak sampai dan sekadar semakin memburukkan keadaan.

Bila seminar kesedaran ni sekadar memberitahu kewujudan, bagaimana mengenal pasti, memberitahu tentang kisah nabi lut..

Itu semua sekadar menambah kebencian golongan lurus terhadap kami. Dan bila kebencian dihadapi dengan kebencian, ianya sekadar menambah jurang. Dan akhirnya golongan kami makin jauh bersembunyi dan dalam masa yang sama semakin kuat.

Buat golongan kami yang menerima naluri ini dengan bangga dan merasakan Allah pasti memahami kemungkaran yang mereka buat, seminar-seminar sebegini akan sekadar menjadi alat untuk membina tembok yang lebih kukuh.

Ya, saya muslim, saya gay. Maaf. Aku menolak itu sekerasnya andai kau julang slogan itu dengan bangga.

Saya Islam, saya tahu naluri saya sekadar ujian. Noktah. Itu untuk aku. Untuk kalian aku percaya kalian boleh memilih jalan kalian.

Sayang aku tidak boleh menghadiri seminar ini kerana kekangan kerja. Walaupun tidaklah aku setuju dengan seminar ini.

Satu hari nanti aku percaya sesuatu harus dilakukan.

Rabu, 30 Oktober 2013

Gay, naluri atau nafsu

Persoalan ini selalu bermain difikiran aku. Aku pernah bertanya dengan seorang imam muda, bersama rakan aku. Kata ustaz tu, ujian seksualiti ini boleh jadi kedua-duanya. Naluri dan nafsu.

Katanya ramai beranggapan ia sekadar nafsu, disebabkan dah pernah mencuba lalu ia menjadi kenikmatan nafsu tersebut. Namun harus diingat, ada yang memang nalurinya sejak kecil dia punya keinginan pada jantina sejenis, sebelum ia mengenali bahawa itu adalah nafsu. Dan mereka ini dilahirkan dengan ujian itu. Tidak semua naluri boleh dihalalkan. Dan itulah perjuangan manusia dalam kehidupan, untuk ikut perintah Allah.

Aku bersetuju dengan pendapat ustaz ini. Teringat mereka yang bernalurikan naluri pedophile,  dimana tempat mereka didunia ini? Dan kalau nak diikut banyak naluri luar tabii yang kalau tidak diurus dengan betul akan lebih memudharatkan.

Atas dasar itu bagi aku, tiada istilah exgay. Memang benar ada istilah I was gay. Iaitu pernah menjadi pengamal aktiviti ini, tetapi kemudiannya cuba untuk berubah. Perubahan yang terbaik adalah kerana agama. Seorang gay, kadangkala memang dilahirkan gay, andai dia berubah dia sekadar mengubah nafsunya.

Tidaklah mudah. Dalam waktu sekarang, aku sekali lagi sedang cuba menerima seorang lelaki dalam hidup aku. Segalanya serba kekok. Tak tahu bagaimana, perlukah bertemu, perlukah berhubung. Aku cuba untuk perhubungan ni jalan yang allah redha secara total. Dalam masa yang sama aku mudah ada perasaan tidak suka, dalam setiap hal. Mudah menyampah, ada semacam satu perasaan mual yang kadangkala datang tanpa diundang bila aku sedar aku sedang berhubung dengan seorang lelaki yang cuba untuk membawa aku berfikir tentang perkahwinan.

Dan paling sedih, kali ini. Lelaki ini tidak kenal sisi gelap aku.

Benar, mungkin dia tidak perlu tahu. Namun, itu menyebabkan dia tidak tahu..apa yang dia hadapi.

Isnin, 28 Oktober 2013

Aku bukan serangga

Awak, ya entry kali ni untuk awak. Yang sering tak lepas membaca blog saya. Awak yang manja. Awak yang comel. Awak yang sering risaukan diri saya.

Awak, awak kata awak minat Dark Angel. Dari dulu awak baca tulisan-tulisan Dark Angel.

Awak, akhir-akhir ni kita makin rapat. Dan saya makin takut. Takut sebab, situasi ini dah banyak kali terjadi pada saya. Saya dah banyak kali lukakan orang.

Dia tetap gadis yang terakhir saya sentuh. Itu janji saya pada tuhan. Selepas dia tidak akan ada lagi. Cukuplah, awak. Saya hidup resah dalam kenikmatan. Saya bahagia dalam raungan iman saya.

Tapi siapa boleh halang tentang hati. Kita tak pernah jumpa. Dan jujurnya saya takut untuk bertemu.

Awak, sebelum awak dah ada yang kecewa. Mungkin kerana keputusan dan janji saya pada tuhan. Tapi hati ni tak pernah pandai, dia tetap mengikut arus. Gembira disayangi, gembira diambil tahu, gembira dengan hawa yang comel.

Awak, jujurnya saya takut. Kelak awak saya lukai, dan awak terpaksa membunuh saya.

Saya dah dibunuh berkali-kali. Tapi saya tetap macamni. Hidup.

Awak kata saya sweet talker. Entah dari mana saya belajar kalau itu betul pun. Awak bukan orang pertama cakap saya macam tu.

Ya. Dark Angel memang jahat.

Tuhan, maafkan aku kerana banyak melukakan. Lindungi dia dimana saja. Tabahkan hati dia bila tiba waktunya. Syukur kerana meminjamkan dia buat aku, mengisi hari-hari lemahku.

Mungkin aku tidak akan menyentuh mana-mana hawa lagi selepas Deanna. Tapi hati?

Aku mungkin bukan serangga. Tapi aku mungkin racun.

Ahad, 27 Oktober 2013

Saya pernah wujud disana..

Sebentar tadi tiba-tiba aku terasa sesuatu, pabila melihat news feed fb seseorang. Orang itu tarikh persandingannya, sama dengan saya, orang itu adalah keluarga belah sana. Kami disanding bersama. Gambar-gambar dia bersama anak perempuan sulungnya, anak yang dikandungnya sewaktu saya dan bekas suami sedang berusaha untuk berpisah.

Bekas adik ipar saya.

Saya faham, apabila telah diakad, sebenarnya tiada istilah bekas, melainkan bekas suami apabila talak dijatuhkan.

Tetapi, bekas suami mengharamkan saya berhubung dengan keluarganya. Keluarganya yang menjadi tempat menumpang kasih, sewaktu dia mula mengajar saya erti kepahitan. Jauh dihati saya, saya rindukan keluarga disana.Sedikit pun saya tidak pernah mengingati dia yang pernah berkongsi kamar dengan saya. Tapi keluarganya, keluarga pinggir desa. Rumahnya, rumah sebuah yang kelilingnya semua saudara-mara, yang kepulangan saya sendirian sering ditanya-tanga asbabnya. Teringat saya, menaiki motor bersama adik ipar, melalui jalan denai sawah.

Saya rindu ibunya, yang tutur lembut. Benar. Hanya 3 bulan. Saya rasa bagai keluarga sendiri.

Melihat gadis kecil berusia setahun lebih itu, hati saya bagai digigit sesuatu. Satu hari nanti bila dia pandai berkata-kata, dia akan bertanya, siapa pengantin yang satu lagi, digambar-gambar perkahwinan mamanya. Dan saya harap mamanya dengan sabar menerangkan. Harap, mamanya memaafkan saya, kerana permulaan detik bahagia dia, adalah satu noktah hitam dalam hidup saya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...