Halaman


Isnin, 18 Februari 2013

Pengkid, ftm dan transgender.

Sebelum aku mula bicara, mari aku bercerita tentang definisi yang dipakai. Namun harap maklum, definisi yang terang hanyalah sekadar penilaian aku dari pergaulan, pembacaan dan pengalaman.

Pengkid:
Golongan yang dilahirkan sebagai perempuan namun mempunyai cara hidup seperti lelaki, cara berpakaian, cara bercakap dan bergaul. Kebanyakan mereka tidak selesa dikenali sebagai perempuan melalui panggilan nama seperti kakak, cik dan sebagainya. Malah nama panggilan yang dipilih juga selalunya menyerupai nama lelaki.

FTM (Female to male):
Mereka ini bukan sekadar berpakaian atau hidup seperti lelaki, mereka sentiasa menganggap diri mereka lelaki, dan merasakan terperangkap dengan tubuh biologi mereka. Mereka didefinisikan ftm sepatutnya hanya setelah mereka membuat pembedahan membuang buah dada. Ada yang memulakan dengan mengambil pil Testoran atau dipanggil 'T'. Selepas fasa ini biasanya mereka akan melengkapi diri mereka dengan pembedahan Metoidioplasty, untuk memiliki penis yang membolehkan mereka sekurang-kurangnya membuang air berdiri. Dan terakhir adalah pembedahan buang rahim, agar mereka tidak mengalami haid.

Transgender:
Golongan FTM ataupun MTF. Dimana FTM dipanggil Transmen dan MTF dipanggil Transwomen.

Pengkid biasa dilihat namun, FTM pada awalnya hampir tidak wujud. Namun, mereka sebenarnya ada. Terlalu sukar untuk dibezakan, kerana mereka biasanya amat low profile, amat. Mereka tidak pernah menganggap diri mereka lesbian, mereka adalah lelaki.

Aku sering dan suka mengkaji kehadiran FTM sejak 3 tahun lepas, dan komuniti di Malaysia telah ada, namun jarang disedari kerana mereka terlalu terpencil.

Membaca dari artikel The Transmen is still overshadowed  aku merasa sesuatu.

Aku dapat merasakan sedikit kemelut dijiwa mereka. Ya, aku tahu mencapai impian namun tidak akan pernah diiktiraf, apalah ada pada pengiktirafan kewujudan, jika di bandingkan dengan kepuasan yang diperolehi. Di Malaysia, penukaran gender didalam dokumen hanya dibolehkan kepada golongan khunsa, iaitu yang disahkan doktor memiliki dua jantina.

Pertama sekali, prinsip aku, kita semua manusia, masyarakat yang menghakimi dan menjadikan dunia ini memaksa banyak perkara. Kalau ikut hati aku, aku memang nak buat pembedahan, dan migrate ke luar negara..lalu hilanglah semua ketidak puasan.

Ingat dalam diri kami tiada tuhan? Kucing pun tunduk pada kekuasaan Illahi. Perkara paling besar dan anugerah paling berharga adalah kalimah Allah didalam hati. Dan ini tidak akan dapat dinilai oleh sesiapa.

Berhakkah orang lain mengatakan orang transgender ini harus dibakar dilaknat Allah, tak diterima bumi, harus dipulaukan, harus ditentang, malah ada yang mengatakan harus dibunuh.

Mereka mengatakan dan melantik diri menjadi hakim kerana mereka tidak pernah merasa betapa peritnya rasa janggal dalam setiap perkara, merasa tidak pasti dalam setiap perkara, merasa keliru dalam setiap perkara, merasa asing pada tubuh sendiri.

Sewaktu berusia 18 tahun, aku ingat bagaimana seluruh keluarga menentang aku, abang merayu, kakak menempelak, Pa dan Ma melontarkan bahawa aku memalukan keluarga. Namun pemberontakkan hati itu hilang kah? Tidak. Ia cuma hilang, bila Allah beri hidayah pada hati, iaitu beberapa tahun kemudian.

Lalu pada semua prejudis dan kebencian yang dilemparkan, adakah ada impak pada setiap jiwa yang telah tekad? Jawapannya tidak, ianya sekadar menguatkan dan membina benteng disegenap ruang hati, lalu mencari jalan keluar.

Sewaktu mengikuti program street dakwah dahulu, aku panas telinga bila ada rakan se program yang mengadu kawan mereka tidak menutup aurat dan sebagainya. Ingin sahaja aku memberitahu, perkara paling utama adalah syahadah, adalah iman dan kalimah Allah. Ramai sahaja orang bukan islam yang bertudung litup, tetapi tiada syahadah dihati.

Membenci, tidak akan menyelesaikan apa-apa, kerana dunia ini hanya sementara. Yang utama adalah masih memegang kalimah syahadah. masih mengaku diri ini Islam. Dan aku tahu itupun mahal harganya bagi segelintir muslim secara biologi.

Doa aku buat semua, siapa pun anda, bagaimana pun diri anda, walau ada yang mengatakan anda tidak layak hidup dibumi ini, peganglah kalimah Allah, dan akuilah rasulullah itu pesuruhnya, ada banyak perkara, hanya Allah dan anda sahaja yang tahu. Solatlah cara mana pun. Selagi anda mengaku anda Islam, anda adalah saudara seIslamku.Moga kita sama-sama sentiasa mendapat hidayahNya.

Link: Videoblog ,PLUcommunity, wikipedia, Iranian Transmen

Salah seorang FTM selepas mastectomy, pembedahan dada.

Ahad, 17 Februari 2013

Aku dan motor

Dari kecil impian aku nak mengembara, menunggang motor berkuasa tinggi. Mungkin terpengaruh dengan abang ku yang gemar membeli majalah motor dan juga bertukar-tukar motor, aku jadi mudah kagum dengan kenderaan bermotor dua ini.

Walaupun mengembara naik motor bukanlah mudah, seksa badan juga kan. Cuma mudah parkir dan mencilok, juga mudah nak susur jalan salah arah kalau sesat jalan, kalau setakat motor RG tu, boleh je angkat pergi lane sebelah, kahkahkah.

Dulu masa remaja, aku curi-curi bawa motor Pa, Pa memang selalu meradang sebab aku bawa motor tanpa kebenaran, lesap aja dengan seorang sahabat aku. Cuma aku ni berhati lembut tidaklah sebuas kawan aku, yang memang masuk merempit, walau selalu kalah. Paling indah, adalah pengalaman kelakar susup sasap lari dari polis traffik, akibat tiada lesen.

Kata orang lagi mencabar, lagi thrill.

Cuma satu. Aku tak pandai bawa motor clutch. (Malah bawa kereta pun, aku cuma tahu kereta auto, pernah belajar bawa ada clucth, tapi tetap susah nak tangkap)  Hahahaha. Ni memang dari dulu kena bantai gelak oleh kawan-kawan. Dan sebab tu lah aku tak pernah teringin pun nak berlumba dengan kawan-kawan.

Orang yang ajar aku menunggang motor adalah abang. Motor pertama adalah motor  suzuki gear automatik, jadi bila nak bawa motor ada clucth, memang aku cepat panik dan tak pernah berpeluang nak bawa betul-betul.

Kemudian, masa aku merantau. Aku beli motor skuter elegant. Masa tu motor tu baru keluar. Rasa macam impian tercapai. Member-member serumah bengang je bila aku bawa masuk motor parking dalam rumah, gila tak gila.

Lebih 5 tahun juga aku pakai motor tu. Merasa bawa dalam hujan ribut, sakit-sakit badan kena tujah hujan. Sakit pinggang bila menunggang lebih dari 3 jam. Memang kalau tengah bawa motor tu kalau hujan lebat tak sempat cari tempat berhenti, petir sabung menyabung, hah..masa tulah tahu erti sebenar tawakal. Kehkehkeh.

Masa aku bawa motor tu, ramai member tegur, belilah kereta, tak perlu berhujan lagi, awak tu perempuan.

Ces.

Akhirnya, aku beli juga kereta. Tapi, membawa motor tetap memberi kepuasan pada aku. Tapi bila adik dapat kerja dan kena merantau, motor yang amat kusayang tu, akhirnya ku beri pada adik, kerana kesian pada dia yang baru nak mula hidup.

Jadi sekarang aku bike/motor less, hahah.

Dalam pada aku menulis ini, aku teringat satu detik. Dimana sewaktu aku kerumah mak mertua (dulu waktu masih bergelar isteri), kakak ipar nak bawa aku berjalan-jalan, dan aku nampak motor pak mertua, dalam keluarga suami, tidak ada perempuan yang tahu bawa motor. Jadi bila aku mula meminta kunci, mereka kaget.  Bila aku mula berada diatas motor, pak mertua siap tanya..

"Dah salam minta izin suami kamu belum?"

Hahahaah.

Aku pun  panggil turun motor balik, salam dan minta izin si kurus yang juga sama-berkumpul dengan keluarganya menyaksikan aku menolak motor itu tadi. Start sahaja motor, aku pun ram enjinnya, macam orang nak merempit, aku lihat muka sikurus ketat je masa tu, sebab...dia tak tahu bawa motor. Hhahaahahahah. Aku nampak macam tercabar je kelelakian dia. Bila kakak ipar aku melompat naik dibelakang, aku pun terus lah lepaskan gian menunggang motor.

Tak aku sangka, itu jadi salah satu isu sikurus mengatakan aku hidup macam lelaki.

Tak apa, itu kelakar.

Aku pernah merancang dengan Deanna, yang aku akan bersara awal, dan akan mengembara bersama dia, sekiranya dia masih bujang lagi. Dia setuju.

Sekarang ni, impian, nak pergi tunai haji dulu,kot.hehehe.

Motor impian, BMW bike.

Jumaat, 8 Februari 2013

Kau gay dalam diri.



Dalam hidup aku, aku cuma pernah tinggal asrama dua kali sahaja. Sekali di penghujung umur 17 tahun, dan sekali lagi di penghujung umur 20 an.

Dan aku syukur kerana Allah tidak menguji aku dengan kehidupan diasrama. Namun setahun sewaktu aku berumur 20an itu, benar benar mencabar dan aku terjebak juga sejak itu.

Kerana aku tidak seperti mereka yang keperempuanan, tidak suka bermekap, gemar berambut pendek, gemar bersendirian, lalu aku menjadi perhatian. Maaf tak sekali nak bangga, cuma waktu itu aku agak tertekan kerana sifat ku itu menjadi perhatian. Seorang dua dari mereka amat suka bergurau mesra.

Aku suka yang comel, dan ada seorang yang aku minati memang suka amat bermanja dengan ku, kemuncaknya dia bergurau mengejutkan aku dengan memelukku  dari atas dan menghenjut aku seolah sedang beraksi jimak. Hampir aku mendakapnya dan terlalu ingin untuk mengucup dia, tapi dia melompat dan kemudiannya ketawa.

Dia tidak faham, apa yang aku rasakan. Sejak itu aku agak berhati-hati andai bergurau dan mesra. Hujung tahun di pengajian itu, kawan-kawan punya pertelingkahan, semata-mata kerana aku terlalu rapat dengan salah seorang antara kami. Gadis itu cantik walau bergigi jarang, menjadi bahan tawa mereka, apatah lagi gadis ini sakit, sering sakit.

Rusuh, memang merusuh, hingga aku ambil keputusan berpindah tingkat, bawa gadis ini bersama aku. Namun gadis ini amat lurus, tidak pernah aku menyentuhnya, cuma pernah dia menegur sikap aku yang suka merenung dia, hingga dia naik malu.

Aku sedar, cabaran tinggal dengan gadis-gadis sebaya yang comel muda dan cantik, atau manja, atau apa sahaja selagi bergelar wanita dan gadis, mereka tetap indah. Cabaran itu amat getir. Dan saat itu tiada siapa yang memahami segala tindakan dan gerak geri kita. Andai aku ditakdirkan lama di asrama, aku rasa kalian tak jumpa aku disini, sebaliknya aku telah pun menjadi transgender, dan itu pun pernah aku cita-citakan.

Umur yang muda, cabarannya getir, hormon amat tinggi dan pergaulan amat sukar dikawal.

Aku bertuah kerana telah melepasi perkara itu, dan berharap aku konsisten dalam perjuangan ini, atau paling kurang, tidak hilang rasa berdosa andai ia berlaku lagi. Rasa sengsaranya menjadi penderhaka pada tuhan yang memilik jiwa dan setiap inci tubuh, amat perit.

Buat sahabat-sabahat Jalan Pulang dan juga sesiapa yang dapat membaca tulisan ini, bertahanlah. Berjuanglah demi tuhan yang mencipta kita. Kita hidup untuk Dia. Sesungguhnya, Dia memberi pilihan, iaitu tewas atau menang. Semakin kuat kau diuji, semakin besar ganjarannya, andai sabar menjadi tunjang dan redha menjadi batu asas dalam hidup.

Siapa kita untuk memilih ujian yang datang. Siapa kita untuk memarahi tuhan kerana kita ini lain dari orang biasa. Siapa kita?


Paling realistik, banyakkan berdoa, banyakkan tidak bercampur, andai kalian masih belum kuat, sendiri itu akan beri banyak kekuatan, dan mengajar kita bergantung hanya pada Allah. Lantaklah apa orang nak kata. Mereka tidak tahu. Tapi Allah maha tahu.


Moga semua kawan-kawanku diberi sejuta ketabahan, dan sentiasa dijalan yang benar, semoga akhir perjuangan hidup ini, kita dihadapkan dalam keadaan kita rindu pada Allah dan Allah redha pada kita. Amin yarabbalalamin!

Rasulullah menyebarkan Islam dengan darah dan air mata, andai nak buat sesuatu, fikirlah satu...Allah redha tak? Rasul suka tak?

Kalau boleh, itulah yang harus ada dalam hati.

Paling realistik, banyakkan berdoa, banyakkan tidak bercampur, andai kalian masih belum kuat, sendiri itu akan beri banyak kekuatan, dan mengajar kita bergantung hanya pada Allah. Lantaklah apa orang nak kata. Mereka tidak tahu. Tapi Allah maha tahu.

Moga MGDA si penulis ini pun sentiasa ingat apa yang ditulisnya ini.

Salam Jumaat!

Sekadar gambar hiasan.

Rabu, 6 Februari 2013

Aku dan pilihanraya #jompantau

Rakan-rakanku tahu betapa aku amat membenci politik. Benci hingga menutup mata pada perkara itu.

Puncanya. Puncanya kerana sewaktu di kampus aku pernah hampir menjadi mangsa kerakusan mereka.

Lalu sejak itu aku mula menjadi jahil politik. Aku tidak menonton tv dan juga tidak membeli suratkhabar, melainkan diberitahu.

Sewaktu aku pergi taklimat PEMANTAU iaitu satu gerakan rakyat untuk melaporkan segala salah laku yang mungkin akan terjadi disekitar musim pilihanraya nanti, speaker taklimat itu terkejut dan aku tahu ada pandangan sinis dimatanya, seolah malu akan kehadiran aku disitu sebagai salah seorang yang dia agak kenal.

Bukan seorang dua yang memandang aku seperti orang bacul. Menutup mata dari memilih. Dan orang seperti aku bukan seorang.

Sebenarnya, keputusan aku buat bukan sekadar dendam yang berakar dikampus.  Tetapi aku meletakkan ketidak percayaan aku pada 2 tunjang. SPR dan juga ahli politik.

Aku pernah hampir terlibat sebagai petugas SPR, ada yang mengelirukan.

Kemudian ahli politik. Kadangkala manifestation yang mereka bawa itu betul, tetapi nafsu amat merajai mereka dan para pengikut hingga mengangkat tokoh politik itu seperti nabi akhir zaman dan suci.  Lalu menjadikan mereka buta dan tidak berakal.

Mungkin aku golongan yang cuba berakal dan membutakan diri.

Oleh itu aku mendaftar diri sebagai PEMANTAU satu gerakan berkecuali yang hanya mahukan pilihanraya berjalan dengan bersih. Dan kami cuma pelapor, untuk bertindak bukan kami, tapi ini sekurangnya yang akan kami lakukan.

Ikut aku, aku nak ubah semua sisterm, dan buat sistem seperti khulafa rasyidin. Sistem pemerintahan ulama. Dan aku lihat pun ulama dah ramai bangkit. Kebangkitan itu dah semakin sukar dihalang.

Adakah tahun ini aku akan mengundi? Hanya masa yang akan menentukan.

Jumaat, 1 Februari 2013

Dunia ini tidaklah luas



Aku baru pulang dari makan malam. Bersama seorang kawan baru yang menjadi member usrah.

Kelakarnya, dia adalah teman serumah kepada salah seorang perempuan yang pernah ku letakkan hati. Berkali juga dia bertanya, bagaimana aku kenal dengan kawan itu, aku asyik berkata..aku pun tak ingat.

Dunia ini terlalu kecil. AKu terfikir, bagaimana andai blog aku ini mula diketahui oleh orang-orang yang tidak mahu aku tahu.

Namun kemudiannya, aku fikir, ah persetankan.

Andai seorang penghidap HIV boleh memberitahu statusnya, kenapa aku takut dengan kisah silam aku. Biarlah, orang nak kenal aku. Mungkin aku tidaklah sesekali akan berbangga dengan siapa aku. Tapi, mahu atau tidak, aku tidak boleh menidakkan bahawa aku adalah MGDA.

Seseorang yang bukan lurus. Seseorang yang punya sisi gelap yang pelbagai.

Bersama dengan Positive Warriors aku selesa. Kerana dikalangan mereka ada yang membaca blog aku, dan tahu aku siapa. Sungguhpun tidak sekali berbangga, tapi cukup merehatkan aku dari bersembunyi.

Perancangan tuhan amat sempurna. Dan tuhan tunjukkan segalanya yang aku perlu syukuri.

Aku mahu diri aku boleh berdiri sebagai diri sendiri. Bukan dengan segala yang palsu.

Hanya kerana aku sedikit bertuah, aku bukan pengkid, dan aku bertudung, lalu aku mudah menipu yang tidak tahu, walau itu bukan sekali-kali niatku. Hakikatnya, aku juga sama pernah berdosa seperti orang lain, persetankan. Andai orang mahu terbeliak biji mata tergolek-golek bila mengetahui siapa aku dari blog ini, pedulikan.

Tetapi untuk menunjukkan sisi gelap ini dan menjaja nya, tidak sesekali.

Apa tah lagi, semua coretan blog ini adalah bukan fiksi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...