Halaman


Sabtu, 30 Mei 2015

Perpisahan yang panjang, Pakcik pie (akuhivpositif)

Awal minggu ini aku sepatutnya menulis tentang Kem GNY 3 yang telah berlansung dengan jayanya. Sungguh, kem ini paling membuat aku teruja. Pihak penaja mula matang dalam menyediakan penceramah dan juga dalam menjaga kebajikan peserta.

Tapi, sejak dua minggu lepas, sejak pulang dari pusat komuniti di Temerloh, hati aku seolah-olah mengatakan kami akan kehilangan.

Jadi aku cuma dapat menulis sedikit tentang kem tersebut di page Jalan Pulang LGBT 

Sejak perjumpaan di pusat komuniti, pakcik mula sakit perut yang amat sangat, sebelum ni pun ada berlaku sejak seminggu dua sebelum itu. Pakcik tak boleh bangun. Cuma malam sebelum  training itu sahaja pakcik dapat berbual dengan kami. Hinggalah malam sebelum kami pulang, pakcik gagahkan diri berbual lagi, masa tu kami memang nak angkat pakcik ke hospital, tapi degil orang tua ni memang lain macam. Dan esoknya kami pulang dengan perasaan bercampur baur.

Sepanjang seminggu dua itu, kami cuma dapat mengetahui tentang pakcik dari ummi dan mak melalui aplikasi telegram. Hati kami dah sangat rengsa. Tapi hidup perlu diteruskan, kerja, dan hubung menghubung tentang kem. Pakcik deaktivate facebook, dan orang mula bertanya bagaimana keadaan pakcik. Kami pula diberi amanat untuk tidak memberitahu sesiapa, pakcik mahukan privacy dengan keluarga. Ya, ini saat genting. Bila pakcik tinggalkan whatssap group, aku dah tahu pakcik dah mula putuskan hubungan dari dunia dalam talian, tempat pakcik selalu memberi kaunseling tentang HIV, tentang perkahwinan malah tentang kehidupan, apa sahaja..

Hinggalah kemuncaknya pada 27haribulan Mei, kami menerima mesej dari ummi.

"Tolong..tolong doakan, abah kritikal"

Saat itu aku dan suami dah tak terkata apa. Ya, pakcik Pie, yang kami anggap abah, dia yang selalu memberi nasihat, dia yang sangat penting dalam hidup kami. Sedang nazak. Allahuakbar.

Dan dia pergi pada malam itu.

Benarlah, kematian itu datang tanpa menunggu sesiapa. Pemergian dia membuatkan garis masa FB aku dibanjiri dengan ratapan dan keluh sedih sesiapa sahaja yang pernah mengenali beliau, samada pernah berjumpa atau tidak, semua tersentuh. Benarlah dia, datangnya dirai, perginya ditangisi.

Sehingga aku menulis entry ini, aku masih menghadam bahawa dia telah tiada. Hanya satu ayat yang membuat aku melepaskan dia setiap kali ingatan tentang dia datang ialah..

"Allah merindui dia"

Ya, siapalah kita untuk menahan setiap dari Yang Esa, Yang Maha besar. Selalu pakcik pesan pada aku, minta pada Allah, mustahil ada yang mustahil bagi Allah. Lalu bukankah setiap pertemuan itu nikmat dan perpisahan itu pasti.

Dulu ramai orang menegur aku, jangan taksub dengan manusia yang seorang ini, ini bukan taksub. Sahabat jujur, sahabat yang
ikhlas, yang tidak gentar memohon maaf walaupun dari seorang yang menyakiti beliau bila sedar ada khilafnya. Orang begini tidak datang banyak kali dalam hidup, dan tidaklah salah andai hadirnya dihargai, dan belajar banyak dari sikapnya yang baik.

Ya dia insan hebat. Satu-satunya aku terkilan bila dia menyatakan dia bangga dengan aku dalam satu forum tertutup dan pertama yang aku dan dia dijemput bersama. Aku sangka aku khilaf dengar, dan aku tidak memberikan apa-apa respon sebaliknya sekadar berdiam diri. Walhal aku ingin sangat mengatakan dialah yang banyak mengajar aku untuk terus berjuang dengan diri sendiri dan kebenaran yang aku sangat pasti.


Pakcik, baru dua hari pakcik pergi, kerinduan kami telah sangat tak tertampung. Beberapa mesej dari rakan menyatakan kerinduan dan kesedihan sampai di telefonku. Dan aku semat dalam diri untuk menukarkan semua rasa kerinduan ini sebagai tekad untuk meneruskan perjuangan pakcik.

Mungkin masa ini masa bertenang, demi untuk sama menyokong keluarga pakcik yang pastinya lebih-lebih lagi terasa dengan kehilangan. Kita boleh meneruskan kehidupan seperti biasa, tapi mereka, banyak yang perlu dibina kembali, banyak urusan yang harus diselesaikan. Demi sebuah kehilangan. Inshaallah PERTUBUHAN POSITIVE WARRIORS MALAYSIA akan kembali mengatur strategi dalam tempoh terdekat.

Pakcik, kami merindui pakcik.
Dan akan kami titipkan alfatihah setiap kali ingatan itu hadir.

Pakcik Pie 20/4/1967-27/5/2015







Ahad, 10 Mei 2015

Gay atau plu mahu hijrah.

KAMI TAK SENDIRIAN

Sejak akhir-akhir ini pelbagai pihak mula memberi respond apabila mendapat tahu ada golongan kami yang ingin kembali ke jalan yang benar. Walaupun bilangan kami yang benar-benar ingin berubah tidak begitu ramai namun setiap kami melalui perjalanan yang berlainan.

Permulaan terjadi bila 3 tahun lepas aku menyertai satu program sukarelawan anjuran Pertubuhan Positive Warriors Malaysia dan JAKIM, waktu itu ustaz Izwan Yusof yang sedang menyiapkan kajian untuk thesis beliau juga menghadiri program tersebut, mencari sample kes tentang LGBT dan quran. Aku secara sukarela menjadi sample beliau.

Kemudian aku suarakan kepada seorang rakan tentang aku ingin mencari kelas fardhu ain buat rakan2 plu aku yang lain. Seorang kakitangan Yayasan Ihtimam mula mencadangkan kem Getting Near You siri 1. Dari rentetan itu kami bekerjasama dengan Yayasan Ihtimam, JaWI dan MAIS untuk mengadakan usrah kecil dan kursus pengurusan jenazah.

Rakan-rakan yang pernah menghadiri Getting near you 1 (GNY), mula mencari kelas-kelas agama untuk mengisi kekosongan hati dan memberi kekuatan jiwa, untuk menjadi jalan meninggalkan cara hidup yang songsang.

Kemudian kumpulan kecil fb Straight struggle (plu lelaki) pula mula ditubuhkan dan kem Hello Hijrah dijalankan juga anjuran Yayasan Ihtimam. Dan group Hello Hijrah juga mula menjalankan usrah sebulan sekali dan gelas iqrak gabungan dengan rakan dari group gny (explu muslimat) dibawah bimbingan Ustaz Izwan Yusuf, secara percuma pada setiap hari ahad.

Dan aku sebenarnya hariini baru menghadiri taalim di Yayasan ta'lim di Taman Tun Dr Ismail. Yayasan Taalim, pula menawarkan kelas
Ta'lim khas untuk kami yang disampaikan oleh Ustaz Halim Hassan, secara percuma, malah tidak kisah samada kami nak pakai tudung atau tidak bagi yang perempuan, kelas dibuka untuk plu lelaki dan perempuan, tanyalah apa sahaja,kongsilah jika mahu,malah menyediakan tempat tinggal untuk kelas yang dibuat pd hari sabtu selama 3 jam itu, bagi yang datang dari jauh. Tidak cukup itu Yayasan Ta'lim juga menyediakan kelas fardhu ain dan kelas quran mengikut jadual sekiranya mahu.

Sungguh, aku tidak tahu nikmat apa lagi yang kau dustakan wahai teman.

Mari kawan, mari sahabat, tinggalkanlah hidup yang menyesakkan itu. Siapakah yang menggerakkan jantung mu saat kau tidur? Siapakah yang membuatkan nafasmu berfungsi saat kau lelap?

Ustaz Halim Hassan cakap, bayangkan kalau bila kita mati, Allah bawa roh kita tengok waktu kita dikapankan..Allah bisik, baru dua jam tadi aku minta kau bertaubat...apa agaknya perasaan kita masa tu.

Ahad, 3 Mei 2015

Pusat Komuniti Positive Warriors

Aku baru balik dari Temerloh.

Ada apa di Temerloh?

5 tahun yang lepas aku mungkin tak tertarik lansung tentang Temerloh. Tapi sejak setahun dua ni dah selalu juga aku dan rakan-rakan berkunjung ke Temerloh. Di Temerloh, ada sebuah keluarga yang sangat besar pengorbanan mereka kepada masyarakat demi untuk memperjuangkan nasib komuniti yang terlibat dengan HIV.

Dan kali ini, aku datang pula dengan teman hidup aku, dia pun dah mula akrab dengan keluarga ini. Kami semua kagum dengan usaha keluarga ini membangunkan Pusat Komuniti Positive Warriors. Untuk pengetahuan semua, Disember lepas kawasan ini ditenggelami air, rumah dan tingkat satu bangunan ini tenggelam.

Video pembinaan dan peristiwa banjir.

Banjir Disember 2014


Sebaik sahaja kereta kami memarkir ke kawasan Pusat Komuniti Positive Warriors #pkpw kami tercengang melihat keadaan rumah dan bangunan seolah-olah tidak disentuh banjir. Walaupun sepanjang jalan dari selatan ke Temerloh tadi memang kelihatan rumah-rumah yang masih mempunyai kesan-kesan banjir. Terus kami meninjau bangunan dan bilik-bilik dibahagian bawah dewan. hati aku rasa macam, keluarga ni entah bela jin agaknya, dalam tempoh beberapa bulan hidup dan keadaan kawasan ini seolah tidak pernah dilanda banjir! Tak dapat aku bayangkan mereka sekeluarga membersihkan dan mengemaskan kawasan ini kembali.




Aku disana juga bermakna menghadiri Training Pemantapan organisasi, banyak menimba ilmu dari En. Zamzuri Abdul Malik yang banyak pengalaman didalam bidang training, beliau kini berkhidmat di YADIM, sebelum ini di MAC.



Keluarga pakcik pie yang sangat-sangat menghormati tetamu, membuatkan kami sangat-sangat rasa dihargai dan terhutang budi. Aku juga berpeluang mengenali rakan-rakan lain dengan lebih dekat. Dah rasa macam keluarga, tanpa mengira siapa pun mereka.

Inshaallah Pusat Komuniti Positive Warriors ini akan dijadikan tempat untuk pihak Positive Warriors menjalakan bengkel-bengkel untuk memberi pengetahuan dan perkongsian-perkongsian eksklusif yang melibatkan isu-isu HIV.

Gambar dan Video dari FB Pertubuhan Positive Warriors Malaysia dan FB En Zamzuri Abdul Malik.

#pkpw #positivewarriors #temerloh #tamansyurga 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...