Aku mula membaca buku ini lebih kurang jam 7.15 pagi, iaitu 15 minit sebelum kekasih memulakan enjin kereta untuk pergi ke tempat kerja.
Tidak sampai 3 jam, aku telah menghabiskan bacaan buku ini. Buat hampir sedekat, aku berjumpa dengan sebuah buku berbahasa Melayu yang mampu membuatkan aku membaca dari halaman pertama hingga akhir tanpa henti. Buku terakhir membuatkan aku bersengkang mata dan membaca tanpa henti, adalah hasil tulisan J.K Rowling. Buku terakhir dimana pertama kali aku menangis teresak-esak akibat sebuah fiksi yang sangat menipu, ya kerana kematian Dumbledore.
Terima kasih buat seorang sahabat yang sangat gemar membaca dan menghadiahkan buku buat rakan-rakan yang ditemuinya. Jujur dia sahabat yang baik walau aku tidak mengenali hati budinya, kerana sikap aku yang introvert. Mungkin buku Percaya ini sempat menyiku seorang aku.
Percaya, hanya senuat kisah perjalanan Farhan dan Karim untuk kebalai polis. Namun Karim adalah hero tidak bertopeng yang hatinya disentuh oleh seorang manusia bernama Hassan. Hassan yang telah tiada di dunia, namun nama dan dirinya bernegara di hati Karim dan kemudiannya berhijrah ke hati Farhan dan Kudin.
Buku ini bukan sekadar perjalanan itu, bukan sekadar itu sahaja. Dengan sisipan ayat-ayat alquran yang sangat kena pada setiap babak penceritaan. Dan juga pengkisahan sejarah-sejarah besar dunia yang memberi makna pada setiap hujungnya. Buat aku bergenang air mata, bukan kerana sebuah kisah cinta seperti drama-drama Suri Mr.Pilot itu. Setiap pengkisahan didalam buku yang tidak sampai 200 halaman ini, dihujung mata aku, ada basahan air mata, sebab buku ini terlalu bercerita tentang manusia. Terlalu.
Tahniah buat Shamiel Fikri, buat aku percaya pada sebuah buku berbahasa Melayu yang sangkaku telah hilang zamannya. Nama asing ini kini aku letakkan sebaris Khairulnizam Bakeri, sebagai nama penulis yang bukunya harus aku beli, walau berlainan genre, tapi aku percaya tidak kecewa.