Halaman


Selasa, 17 Jun 2014

Tiada daya upaya.

Disana sini, aku melihat satu kebangkitan, kebangkitan yang batil dan juga kebenaran, namun tak kan berpadu yang kedua-dua ini. Isu transgender berada dimana-mana sahaja. Sedangkan didalam fiqh Islam dah pun menerangkan dengan jelas, garisan antara dua jantina dan juga hak kepada khunsa. Kenapa ramai yang mahu menjadi khunsa sedangkan khunsa yang sebenar kalau boleh mahukan apa yang anda mahu. Ya, jujur aku tidak pernah bertemu dengan insan khunsa yang sebenar, yang ada banyak kepada pembohongan yang membawa pembohongan yang lain. Namun terpulang, hidayah ada dimana-mana.

Islam meletakkan hak buat setiap hamba Allah dan Allah maha sempurna. benarlah kata ustaz Pahrol, ramai yang tahu dia hamba, tapi tak ramai yang menyedari dia hamba.

Benar juga hidup ini penuh dengan sabar. Dan Allah bersama dengan orang-orang yang sabar. Wahai aku, kau sedar tak bahawa Allah itu tuhanmu dan kau telah berjanji sejak di alam roh, dialah tuhan yang wajib disembah? Dan beruntungnya kau, lahir didalam keluarga Islam.

Antara beberapa kategori sabar, adalah sabar dalam mematuhi larangan Allah.

 LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH (TIDAK ADA DAYA DAN UPAYA KECUALI DENGAN PERTOLONGAN ALLAH)

Ujian itu datang dan sentiasa hadir. Dan benar,bila hubungan dengan manusia mempunyai masalah,sila semak hubungan dengan Allah. Ah, MG, kau cakap macam orang pandai agama pula. Maaf, tujuan hidup aku memang untuk mengangkat kalimah Allah, walaupun aku tidak akan pernah sempurna.

Khamis, 5 Jun 2014

Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.

Dhuha di Air Terjun Sg Perdik, kenangan GNY2.

Dalam dikelilingi satu kumpulan yang unik, ujian sering berlegar-legar. Sebelum aku memulakan group Jalan Pulang, bila aku ajak rakan-rakanku yang kulihat telahpun kuat bersendirian, kerana waktu itu sumpah aku amat lemah, kata mereka, kenapa nak dikumpulan dalam satu kolam, akan ada yang menjadi mangsa dan dimangsakan, keluar, berjalan seorang, hijrah, tinggalkan semua.

Aku pernah berkali berseorang, dan setiap kali itu aku jatuh, kerana aku amat memerlukan yang memahami aku, ya aku sangat lemah, mungkin cinta tuhan belum kurasai mencukupi, kerana itu aku menolak kata-kata rakanku itu, aku perlukan teman untuk bangkit.

Sering berasa asing dimajlis-majlis agama, dan sering merasa sangat perit keseorangan dalam berjuang menahan diri, lalu terdetik hati, aku perlukan teman seperjuangan.

Lalu terbentuk Jalan Pulang.

Dan, ya, apabila berkumpul bersama, gurauan dan ujian itu sentiasa ada. Kadangkala menjadi dilema didalam diri, benarkah apa yang aku lakukan ini ALLAH redha. Namun, sentiasa ada satu jawapan. Kebanyakan kami solo. Kerana menjauhi fitrah naluri yang mahu dilunasi. Lalu kawan-kawan inilah yang sering menjadi kekuatan.

Contoh, bagi yang keluar dari satu perhubungan, kesunyian akan menjadi musuh yang membunuh. Bila ramai untuk sama berhubungan, sedikit sebanyak kesunyian itu dapat dilawan.

Cuma moga Allah jauhkan kami dari kelembah penzinaan dan pergantungan pada satu-satu individu atas nama cinta, sekali lagi. Moga Allah haramkan kami meletakkan agama hanya sebagai topeng bagi menutupi satu kemungkaran yang besar.

Jangan sampai ada yang jumpa partner di Group Jalan Pulang!

Aku telah berpesan, dan aku merasakan niat dan jalan kumpulan ini masih lebih banyak kebaikan dari kemudharatan. Kerana aku masih percaya tidak semestinya perlu berjuang seorang dalam menghampiri jalan kebenaran.

Bagi aku Jalan Pulang/ GNY hanyalah umpama support group kepada satu jalan yang lebih baik. Kelainan seksualiti bukanlah untuk dibanggakan, tetapi juga bukanlah untuk membuatkan kita menderita dan sesal lalu menyalahkan takdir. Kita hadapi dunia ini dengan cara yang ALLAH mahu. Dan apabila kekuatan itu telah diperolehi, terpulanglah kepada kawan-kawan samada terus menjadi Daie kepada rakan-rakan yang mendepani ujian yang sama ataupun terus kepada agenda kehidupan yang lebih luas.

Bagi aku, aku ingin kedua-duanya. Aku ingin menuntut ilmu, menegakkan kalimah ALLAH, walau aku jauh dari sempurna. Dalam masa yang sama, bersama teman-teman menghadapi ujian kecil dimata individu lain, tetapi tidaklah mudah pada kami.

Tunjukanlah kami jalan yang lurus. (Mohon ada yang membimbing, menunjukkan jalan, bukan meninggalkan kami dan membunuh niat yang masih baru bertatih).

Rabu, 4 Jun 2014

GNY 2, seribu nikmat dan hikmah.

Alhamdulillah, syukur kepada Illahi kerana program Getting Near You 2, berjalan dengan baik sekali. Seperti biasa dalam setiap program yang berunsur kerohanian pencarian peserta tidaklah begitu mudah. Jujurnya, sebagai seorang yang tidak pernah mencapai apa-apa dalam bidang marketing, aku agak tertekan dalam mencari peserta, nasiblah rakan-rakan banyak menolong. Sungguh, tanpa beberapa orang dari GNY 1, program ini tidak akan berjalan lancar, dan tidak juga mengumpul kami dengan izin Allah.

Dalam perasaan yang agak lelah, sebelum hari 30 Mei, aku mengemas pakaian dalam keadaan separuh hati. Saat itu aku berkira-kira, inilah akhir, inilah akhir.

Sampai di Lembah Pangsun, melihat wajah rakan-rakan baru yang penuh harapan yang datang dari utara dan pantai timur semenanjung, ada satu perasaan yang sukar untuk aku gambarkan.

Sebelum slot pertama, adalah sesi penerangan dan berkenalan, aku menerangkan kepada rakan-rakan tentang bagaimana asalnya kami dari group Jalan Pulang mendapat tajaan dari Yayasan Ihtimam. Melihat mereka memahami dan mula memberi kepercayaan sepenuhnya, aku berasa lega. Ya, saat itu aku sangat sedar, jangan sesekali buntu dalam menghadapi ketidakfahaman sebelum berusaha untuk memberi kefahaman. Mahu atau tidak, aku kena kedepan dan memberi penerangan. Kawan, betapa aku lebih mudah menulis dari berkata-kata didepan kalian.

Kemudian Slot pertama dari sifu Hanafi, kami dibawa membuka mata tentang kebesaran Allah. Sifu Hanafi sebenarnya amat dekat dihati golongan LGT kerana pendekatannya yang santai, ceria dan sangat dekat pada audience, tidak seperti cara ustaz-ustaz memberi ceramah di masjid. Beliau tidak membicarakan tentang hukum,  dan tidak juga berceramah secara lansung, dari video-video diselitkan kata-kata yang lebih dari hati, dari gurauan dan aktiviti-aktiviti yang membina keyakinan diri peserta yang dalam masa yang sama merapatkan beliau dan para peserta, beliau mengajak peserta merasai dekatnya Allah dengan kita. Kata-kata ustaz yang sangat berkesan dihati aku dan harapnya semua rakan-rakan, di akhir slotnya..

"Kita hidup untuk buat Allah happy", lalu apa lagi yang kita sering bertanya tentang tujuan hidup?

Di Lembah Pangsun, memang aku meminta agar peserta diletakkan di dorm, dalam suasana asrama, sekurangnya ruang-ruang yang cuba untuk dielakkan dapat menjadi kekuatan pada niat awal kami dalam menyertai program ini. Berbanding sekiranya orang-orang macam kami ini diletakkan di hotel dan di biarkan dengan individu yang mempunyai tarikan magnet. Walau cara program ini dilaksanakan agak santai, namun beberapa isu tetap aku fikirkan, kerana mungkin pihak penaja tidak dapat memahami sesetengah perkara yang menjadi ujian kami, alhamdulillah perbincangan awal dengan pihak Yayasan Ihtimam banyak memudahkan perjalanan program.

31 May 2014
Slot kedua dan ketiga adalah pengisian dari Ustaz Izwan Yusof yang merupakan penceramah yang juga sedang menghabiskan tesis nya LGBT dan quran untuk pengajian phd nya. Beliau banyak menerangkan tentang iman dan akidah. Pendekatannya agak konvensional iaitu menghuraikan teori, namun perwatakan beliau yang tidak menghukum dengan pengisian dan disebabkan beliau telah banyak mendekati golongan istimewa seperti kami ini, menyebabkan masa beliau dalam menjawab pelbagai persoalan yang peserta lontarkan terasa begitu singkat. Peserta sebenarnya tidak mahu melepaskan peluang untuk bersoal jawab dalam program-program seperti ini, apatah lagi dengan penceramah yang sememangnya mempunyai pengetahuan yang khusus.

"Kita tidak boleh memilih cara kita mati, namun kita boleh memilih cara kita hidup"

Petang itu, selepas slot praktikal solat yang sememangnya sering tidak pernah cukup buat kami yang dahagakan ilmu masa dua jam bersama Ustazah Hazlin dirasakan sangat singkat, kami menikmati aktiviti flying fox yang dinanti. Ada yang naik berkali-kali hingga penat kerana perlu mendaki anak tangga sebelum sampai kemenara. Bermacam style dan gaya peserta, tak sangka peserta yang dilihat pendiam begitu cergas dan teruja dengan aktiviti ini.

Malam itu slot 5 pit stop dari Ustaz Afandi Che Harun, kami dibawa mengenali 5 peringkat kehidupan, dari alam roh, alam rahim, alam dunia, alam barzakh dan akhir sekali alam akhirat. Sesungguhnya manusia telah bersumpah di alam roh lagi tentang keesaan tuhan

al-a'raf ayat 172
".. Bukankah Aku ini Tuhan kamu ? Maka semua menjawab (manusia) Benar ! Engkaulah Tuhan kami, kami menjadi saksi, dan yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari qiamat Kami adalah lalai"

Kemudiannya 1jun, adalah hari yang mendebarkan bagi kami, misi perjalanan ke Air Terjun Sg Perdik agak mencabar, mengharungi anak sungai dan trek yang tegak beberapa ketika, menyebabkan aku kadangkala hampir putus asa. Namun jalan tetap diteruskan.






Moga kami menuju kredhaan Allah . Ribuan terima kasih kami ucapkan buah Yayasan Ihtimam selaku pihak penganjur, semua urusetia dan semua peserta, moga ukhwah kerana Allah..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...