Semalam aku dihubungi Marlina. Ya, aku letak disini namanya yang satu-satunya ada pada dokumen diri yang juga sebenarnya palsu. Dalam, sejak aku menulis blog dan aku dihampiri atau minta menghampiri insan-insan plu yang mungkin memerlukan perkongsian, perkenalan aku dan Marlina sangat terkesan dihati aku, walaupun siapa dia.
Atas rasa ingin membantu apa yang daya, aku menghubungi beberapa orang secara personal melalui whatssap, begini dengan text begini:
"Kes seorang muallaf kawan saya, Marlina, umur 28,anak 2, tiada sebarang dokumen, mengikut ceritanya..dia lari rumah disabah..sejak umur 13 tahun. Kemudian gelandangan, hinggalah dibawa ke semenanjung oleh sindiket ic palsu. Anak berusia 2 dan 5 tahun. Katanya pernah kembali ke kampung tapi ibubapanya telah tiada. beliau adalah plu. Mndpt anak kerana dianiaya dan bawah pengaruh dadah. Bebrapa kali ditahan di wad psikiatri .
Tapi dia sangat tenang, spjg sy berkawan dgn dia tahun lepas.
Tahun lepas, duduk smentara di balai islam,kemudian dihantar ke imgresen. Kedua2 anaknya ada buku daftar lahir hosp melaka. Kemudian imegresen hntar ke pusat tahanan papar di sabah.
Semalam, dia hubungi saya secara curi2. Dari pusat tahanan. Katanya, pegawai imgresen kata dia boleh keluar sekiranya ada waris. Kerana dia sakit,kata mereka. Kalau tidak selamanya dia dan anak2 di pusat tahanan sementara Papar. Dari situ, saya rasa imgresen hanya mampu memberinya status stateless.
Rasanya ada tak cara untuk bantu dia?"
Ya, dia tiada apa-apa dokumen melainkan pernah diberi kad pengenalan palsu sewaktu mahu kesemenanjung. Dia mungkin kini hanya dapat diberikan status "Stateless" oleh pihak Imegresen Malaysia. Mungkin setelah disiasat, dia memang lahir di Sabah, tetapi tidak dapat apa-apa bukti untuk membuatkan dia mendapat apa-apa dokumen.
Dia kini di Tahanan Sementara Imegresen Papar, dan mungkin akan selamanya disitu, hingga tua, hingga ajal menjemput. Dia tidak punya hak untuk mengundi, dia tidak punya hak untuk rawatan kerana sedangkan rawatan untuk yang bukan warganegara adalah 5 hari sahaja sekiranya bergantung pada ubatan, dan anak-anaknya tidak akan dijamin hak pendidikan.
Sejak lahir dia dan aku dan beberapa kita, cuma berkehendak kepada perempuan, namun kerana rupa parasnya dan walau dia pernah hidup gelandangan, beberapa kali dianiaya dan dibawah pengaruh dadah, dia melahirkan zuriat.
Sewaktu hampir 3 bulan kami berkawan, sebelum dia ditahan oleh Imegresen atas aduan jiran, dia sangat manis, dan dia sedang angau dengan jirannya, isteri seorang askar yang baru lepas bersalin, kami terkekeh-kekeh ketawa bila dia bercerita dia seronok menjaga orang yang diminatinya itu didalam pantang. Dalam masa yang sama dua lelaki sedang merisik-risik dia, tapi manakan mungkin, bukan sahaja ketiadaan dokumen menyebabkan sukarnya untuk dia berkahwin secara sah sivil, walau dia tahu ada caranya untuk halal, tapi, untuk apa?
Sepanjang 3 bulan itu, aku sebenarnya hampir tidak tahu dia pernah dimasukkan di wad psikiatri kerana kemurungan. Ketika dia ditahan Imegresen, aku memberanikan diri datang ketempat tahanan sebagai pelawat, barulah aku melihat keadaan dia yang amat menyedihkan, dia meraung-raung memanggil namaku, dan kemudiannya aku diberi keterangan oleh pegawai imegresen tentang keadaan dia, apatah lagi pada awalnya dia hampir dipisahkan dengan kedua anak-anaknya. Bergegas aku menghubungi doktor psikiatri yang amat peramah dan sangat bekerjasama denganku. Kemurungan yang agak teruk. Dan ini bukan kali pertama.
Ya, dia pesakit Pskiatri namun bukan pesakit mental. Anda lesbian, diperkosa beberapa kali hingga ada anak, anda tiada kad pengenalan, anda terpaksa gelandangan akibat sentiasa takutkan pihak berkuasa, anda cantik, sentiasa menjadi perhatian lelaki, dengan mengkelek dua anak yang sangat kecil, hidup sentiasa berlari, anda yakin, anda boleh kekal waras?
Teringat kata-katanya, pada orang gelandangan, kematian tidak pernah menjadi sesuatu yang ditakuti.
Dan dia sentiasa hilang dalam pencarian agama, hinggalah dia mengucap syahadah waktu awal pertemuan kami. Dia hafal al-fatihah dan belajar rukun solat tidak sampai seminggu. Semua bacaan solat, kecuali qunut, itupun tidaklah menjejaskan solat.Tidak sampai seminggu! Walhal dia tidak pernah bersekolah.
Marlina Sazali atau Jessica, atau apa sahaja namamu didunia, andai warasmu hilang, moga dosa amalmu tidak dihisab, itu lebih baik, andai nikmat waras kekal pada mu, moga ia juga sentiasa bersama hidayah Yang Esa.
Kau hamba Allah, yang mungkin tidak diiktiraf kewujudanmu didunia, namun, Allah datangkan dirimu untuk menyentuh hati insan-insan yang pernah mengenalimu. Saat aku berkira-kira tentang hak, wajah polos Marlina, akan hadir didepan mataku.
Usaha untuk menghubungi orang yang dapat membantu, masih buntu.